Oleh Abdul Rahman Hashim (locengwangsa@gmail.com)
Khairy Jamaluddin, 34, (foto) akhirnya terpaksa pasrah dengan tekanan politik yang dialaminya selama ini apabila beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan lagi kerusi parlimen Rembau pada PRU13 nanti. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu dikatakan mahu berehat dari kegiatan politk dan beliau dipetik sebagai berkata akan melanjutkan pelajarannya di luar negara. Khairy @ KJ juga berkata, walaupun beliau tidak akan bertanding dalam PRU13 nanti, namun begitu beliau akan turut membantu jentera BN dalam menghadapinya. KJ telah memenangi kerusi Parlimen Rembau dalam PRU12 pada tahun 2008 ketika bapa mertuanya, Abdullah Badawi masih lagi menjadi Perdana Menteri.
Karier politiknya semakin melonjak apabila percubaannya untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun yang sama telah memihak kepadanya, setelah beliau berjaya mengenepikan Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan juga mantan MB Selangor, Khir Toyo, setelah beliau diberikan amaran oleh Lembaga Disiplin Parti kerana terlibat dengan perilaku sumbang politik; namun beliau tetap dibenarkan bertanding merebut jawatan nombor satu Pemuda itu.
Langit tidak selalunya cerah, KJ yang dikaitkan sebagai liabiliti kepada parti dan kerajaan ketika BN dilanda tsunami politik dalam PRU12, tidak pula dilantik menduduki sebarang jawatan di dalam kabinet kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang menggantikan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Sejak itu sehingga hari ini nama Khairy Jamaluddin tidak terpahat di hati Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk meloloskan Ketua Pemuda UMNO itu membarisi kabinet Najib walaupun di peringkat jawatan Timbalan Menteri; sedangkan Ketua-Ketua Pemuda parti komponen BN yang lainnya seperti Ketua Pemuda PBB (Sarawak), Fadillah Yusof telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala Ketua Pemuda MCA, Dato' Wee Ka Siong pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.
TOKOH PEMUDA DALAM KABINET NAJIB
NAIB KETUA PEMUDA UMNO
Dato' Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan
MANTAN CALON KETUA PEMUDA UMNO

Dato' Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri
KETUA PEMUDA PARTI PBB SARAWAK
Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi
KETUA PEMUDA MCA

Dato' Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran
Bukan itu sahaja penganalisa politik tanah air juga melihat kedudukan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu bagaikan melukut di tepi gantang, apabila naibnya Razali Ibrahim dilonjakkan menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, manakala Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang kecundang dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda itu telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri. Terkini, Mukhriz juga telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, kerana beliau telah dikaitkan sebagai tokoh yang mampu mengembalikan sokongan generasi muda terhadap UMNO.
Pengumuman Khairy untuk berundur selepas ini, rasanya banyak menyangkut akan faktor-faktor ini yang tidak mengizinkan dirinya untuk terus memartabatkan maruah Pemuda UMNO. Beliau dilihat mempunyai 'deria hidu' sehingga mendorong dirinya untuk melangkah undur memberi laluan kepada orang lain manggalang ganti?
Sebelum KJ melunaskan rajukannya itu, eloklah ahli-ahli Pemuda UMNO menyatakan terima kasih kepadanya yang telah mencurahkan khidmat bakti seadanya sepanjang beliau menakhodai sayap kanan UMNO itu. Walaupun beliau dilihat seakan-akan dibenci oleh sebilangan di dalam UMNO yang memusuhinya, namun janganlah sampai sedikit sanjungan pun tidak diungkapkan terhadap dirinya.
Karisma KJ mungkin tidak senasib dengan karisma Ketua-Ketua Pemuda sebelumnya. KJ kena menerima hakikat hukum karma politik yang tidak menyebelahinya hari ini, namun tindakan berundur yang dipilihnya, bukan bermakna beliau kehilangan segala-galanya. Berundur tidak bermakna kalah, kerana mungkin beliau boleh mengatur langkah semula ke hadapan setelah melakukan muhasabah diri.