(emel: locengwangsa@gmail.com)

Dato' Sri Najib Tun Razak berucap merasmikan Konvensyen SUPP 2010di hadapan 5,000 ahli SUPP seluruh Sarawak, 16 Januari 2011.
"SUPP memerlukan penggilapan yang sempurna bagi membolehkan ia terus kukuh dalam BN," demikian saranan Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi BN terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai mengimbas kembali sejarah pahit yang menimpa parti tertua di Sarawak itu pada pilihan raya negeri 2006.(Foto - Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Presiden SUPP)
SUPP sebagai rakan karib BN di negeri Bumi Kenyalang ini hendaklah segera melakukan perubahan untuk mengembalikan sokongan rakyat setelah parti itu kehilangan banyak kerusi akibat penolakan rakyat khususnya pengundi-pengundi Cina di dalam bandar semasa pilihan raya negeri 2006 dan juga PRU12 2008 yang lepas.
Di dalam pilihan raya negeri 2006 SUPP hanya memenangi 8 kerusi daripada 19 kerusi yang ditandinginya, sekaligus melebarkan lagi pengaruh DAP dan juga PKR yang kian ghairah untuk menawan sebanyak mungkin beberapa kerusi lain daripada BN pada pilihan raya negeri yang akan diadakan tahun ini.
Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN Negeri turut terpanggil untuk menunjukkan semangat setia kawannya terhadap SUPP dengan menyatakan jaminan bahawa parti PBB yang diketuainya akan membantu SUPP dalam menghadapi apa jua serangan daripada Pakatan Pembangkang.
Beliau yang baru sahaja melangsungkan hari persandingan bersama isteri barunya, Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib pada ahad lepas berkata PBB akan sentiasa menyokong SUPP dan mahu membawa parti tertua Sarawak itu untuk berjuang bersama-sama, dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.
Oleh yang demikian katanya, PBB akan bersedia membantu SUPP jika mereka diserang dan tidak akan membiarkan mereka jatuh, di samping akan disokong oleh parti komponen BN yang lain.
"Kerajaan BN negeri percaya bahawa SUPP adalah penting serta relevan, disebabkan itu kita mesti memperolehi kemenangan dalam kerusi yang dipertandingkan," katanya ketika berucap di majlis perasmian konvensyen SUPP 2010, ahad lalu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang bertemakan "Berjuang Untuk Rakyat".
Pehin Sri Taib Mahmud juga menambah, kerajaan amat memerlukan SUPP yang baru dan bersemangat untuk membantu memantapkan kerja-kerja dan rancangan-rancangan yang telah dirancangkan.
Menurut Taib, SUPP telah banyak berjasa kepada negeri ini, tetapi yang penting ialah SUPP tidak boleh berhenti di suatu tempat sahaja dan mesti maju ke depan bersama-sama komponen parti dan sentiasa pula melengkapkan diri untuk memberikan yang terbaik kepada negara.
Terdahulu Presiden Parti SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam di dalam ucapannya di hadapan Perdana Menteri berkata antara faktor yang menyebabkan kekalahan BN di bedberapa kawasan dalam pilihan raya yang lepas adalah kerana kurangnya perhatian terhadap kepentingan ruang siber.
Sindrom ini menurut beliau telah menyebabkan ramai golongan masyarakat yang kurang berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang sedia ada dengan melemparkan ketidak puasan hati mereka melalui ruang siber dan media elektronik yang lainnya.
"Disebabkan itu SUPP kini telah memandang berat terhadap cabaran ruang siber ini dan saya harap setiap parti komponen BN juga dapat menyertai SUPP bersama-sama mengharungi cabaran ini," katanya.
George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, SUPP akan terus meningkatkan usaha untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat agar dapat mendorong perubahan positif yang lebih besar lagi.
Sambil mengakui dengan menerima hakikat kekalahan teruk yang dialami oleh SUPP dalam pilihan raya negeri 2006, Presiden SUPP itu juga berazam untuk melakukan perubahan seterusnya mengggubal rancangan untuk menguatkan semula SUPP, termasuk telah berjaya menubuhkan 12 cawangan baru dengan penambahhan ahlinya seramai 10,000 sejak tahun 2006. SUPP turut berjaya mendaftar seramai 10,350 pengundi baru.


No comments:
Post a Comment