assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, January 21, 2011

TAIB BAYANGKAN BANYAK MUKA BARU BAKAL DITANDINGKAN

Oleh Abdul Rahman Hashim

Taib Mahmud (Tengah) bersama dua Timbalan Ketua Menterinya
Alfred Jabu (Kiri) dan George Chan (Kanan)


Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak membayangkan partinya PBB tidak mempunyai masalah untuk mengenengahkan calon yang boleh membawa kemenangan sebagaimana yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, kerana menurutnya kebanyakan penyandang yang sedia ada akan memberi laluan kepada muka baru.

"Kita sudah tahu siapa yang kita nak gantikan dan kebanyakan mereka (penyandang) ini akan memberi laluan kepada muka baru." katanya. Bagaimanapun, Taib berharap parti komponen BN yang lain khususnya SUPP dapat menentukan mereka yang patut menjadi calon pilihan raya serta mampu menarik penyokong baru setelah mempunyai semangat baru bagi menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006.

Taib berkata demikian ketika ditemubual di dalam rancangan dialog bertajuk 'Pembangunan Sosio-ekonomi dan Politik Sarawak' di TV1 pada 19 Januari lepas.

Dalam temubual itu juga Taib Mahmud berkata beliau akan berunding dengan Perdana Menteri samada pilihan raya negeri ini patut diadakan serentak dengan pilihan raya umum.

Pada pilihan raya negeri lepas, BN berjaya memenangi 63 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandingi, SUPP pula menang 11 kerusi daripada 19 yang ditandingi, manakala PRS dan SPDP masing-masing lapan. DAP pula menang 7 kerusi, Parti Cinta Malaysia (PCM) hanya menang 1 kerusi.

Dewan Undangan Negeri Sarawak akan tamat tempohnya pada 24 Julai tahun ini selepas diadakan pilihan raya negeri pada 20 Mei 2006.

Thursday, January 20, 2011

ALFATIHAH...ADUN MERLIMAU MENINGGAL DUNIA

Alfatihah...ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan (foto) sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami satu serangan jantung semalam telah meninggal dunia lewat petang hari ini.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Hospital Putra, Melaka. Berita Warta Perdana jam 8.00 malam hari ini juga telah menyiarkan maklumat mutakhir ini pada penghujung siaran berita tersebut.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Mohd Rustam telah melawat Mohamad Hidhir sejak dari jam 3.15 petang ini ketika Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu kritikal selepas diserang sakit jantung buat kali ketiga pada pukul 6.45 pagi tadi.

Merlimau merupakan salah satu kerusi DUN di dalam kawasan parlimen Jasin, Melaka yang telah dimenangi oleh Allahyarham dalam PRU12 yang lalu. Pilihan raya kecil bagi kawasan DUN Merlimau ini dijangka bakal diumumkan oleh pihak SPR setelah mendapat pengesahan kekosongan kerusi DUN tersebut daripada Speaker DUN Melaka.

Takziah kepada keluarga Allahyarham.


Wednesday, January 19, 2011

PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK SESUAI BULAN MAC INI?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Aura Taib Mahmud dan Ragad Waleed Al-Kurdi Taib
akan menyinar pilihan raya Sarawak

Sudah terang lagi bersuluh, tahun 2011 merupakan tahun terpenting kepada kerajaan negeri Sarawak pimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kerana tempoh edah kerajaan BN negeri ini semakin menghampiri garisan penamat sebelum ia dimandatkan semula oleh rakyat menjelang pilihan raya negeri yang bakal diumumkan pada bila-bila masa dalam sebulan dua ini.

Faktor kebahagiaan dan keceriaan Taib Mahmud bersama isteri barunya Ragad Waleed Al-Kurdi Taib (Foto) yang baru saja disandingkan pada 16 Januari lepas nampaknya bakal mengilhamkan Ketua Menteri itu untuk memilih tarikh yang paling sesuai sebelum Julai 2011 untuk menasihatkan TYT Yang diPertua Negeri Sarawak membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan segera.


Parti-Parti Komponen Barisan Nasional Sarawak

Semua parti komponen BN negeri iaitu PBB, SUPP, SPDB dan PRS telah diarah supaya bersiap siaga untuk menanti tiupan nafiri, kerana mood rakyat begitu terpanggil untuk diterjemahkan dalam bentuk undi sokongan mereka samada BN masih relevan untuk memayungi rakyat ataupun mereka ada pilihan lain untuk mewarnai lanskap politik bumi kenyalang ini?

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN Pusat telah berkali-kali mengulangi bahawa pemilihan calon yang bakal ditandingkan dalam pilihan raya kali ini ialah dari kalangan mereka yang boleh memenangi hati rakyat sekaligus ia menjadi faktor penting untuk kemenangan BN.

Najib bagaikan tidak mahu berkompromi lagi tentang kriteria memilih calon ini, kerana beliau amat menyedari jika tersilap meletakkan calon yang hanya berprestij dengan kedudukan pangkat yang disandang dalam parti, tetapi dibenci oleh rakyat akar umbi. Najib menyarankan agar semua parti komponen BN tidak menamakan calon seumpama ini, kerana akhirnya ia menjadi liabiliti kepada parti seterusnya akan ditolak oleh rakyat.

Sejauh manakah saranan Perdana Menteri ini dapat dihayati dan diterjemahkan oleh ketua-ketua parti komponen BN negeri ini? Apakah kekalahan terburuk yang dialami oleh SUPP dalam pilihan raya negeri 2006 lalu mampu ditebus semula oleh parti tertua Sarawak? Begitu juga apakah SPDP pimpinan William Mawan dan PRS pimpinan Masing boleh menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dari semenanjung yang bergandingan dengan Parti SNAP untuk meruntuhkan empayar Barisan Nasional yang sudah terbina sekian lama di Sarawak ini?

Melihat akan cabaran-cabaran ini, tentunya Taib Mahmud sudah boleh membaca dan terkesan untuk melakukan sentuhan modifikasi ke arah memperkasakan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional. Banyak isu-isu yang menyentuh hati nurani rakyat yang perlu diberikan keutamaan oleh Taib jika masih mahukan sokongan rakyat.

SUPP tidak seharusnya berpuas hati dengan fenomena pengundi Cina yang masih melihat percakaran dan pergeseran dalaman di antara pemimpin parti itu yang memaksa sekali lagi mereka berubah haluan untuk memilih DAP dan PKR sebagai alternatifnya. Kepimpinan Dr. George Chan janganlah dijadikan alasan lagi oleh kebanyakan pengundi Cina untuk tidak memberikan sokongan kepada BN.

Papan iklan Konvensyen SUPP 2010 pada 16 Januari 2011
dirasmikan oleh Perdana Menteri, di Kuching.

Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Presiden SUPP telah berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat keturunan Cina dengan penambahbaikan prasarana rakyat terutama yang menyangkut dengan prsarana pendidikan, bantuan sosio ekonomi termasuk kebajikan rakyat dalam bandar dan luar bandar, yang mendapat perhatian oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.

Perjuangan SUPP selama ini sememangnya diyakini oleh sebahagian besar penduduk berketurunan Cina negeri ini, kerana parti ini terbukti telah banyak menaburkan jasa kepada rakyat sejak dahulu lagi. Mungkin rakyat menjadi bosan akibat krisis kepimpinan yang melanda SUPP sebelum ini, ditambah pula dengan beberapa isu negeri dan isu nasional yang tidak dapat dikawal menerusi media-media internet.

Pehin Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri yang paling lama bertahan ini hendaklah terus menggayakan politik pembangunnnya mengikut rentak dan acuan aspirasi Perdana Menteri yang mencetuskan Gagasan 1Malaysia sebagai formula transformasi politik yang mendahulukan rakyat.

Jika sudah bersedia dan yakin bahawa rakyat telah didahulukan, rasanya Taib Mahmud bolehlah pasrah untuk memberi peluang pula kepada rakyat memperbaharui mandat yang diperolehi selama ini. Najib mungkin memerhatikan kecenderungan sebenar rakyat Sarawak terhadap prestasi Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini, sekaligus akan mengilhamkannya pula untuk mengadakan pilihan raya umum yang tidak kurang hangat diperkatakan sekarang ini.


Nampaknya bulan Februari bukanlah satu tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya negeri, kerana di bulan ini masyarakat Cina akan merayakan Tahun Baru Cina yang diraikan secara meriah di Negeri Bumi Kenyalang. Apakah selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu di penghujung bulan Februari menjadi pilihan Taib untuk mengumumkan tarikh sesuai pembubaran DUN Sarawak kerana kemungkinan pilihan raya boleh diadakan pada bulan Mac 2011?

Memilih bulan April (4) mungkin alergik kepada yang mempercayai angka 4 itu sebagai nombor sedih ataupun ia sebagai suatu kematian yang patut dielakkan. Jika begitu, bulan April tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya. Mungkinkah angka 3 atau bulan Mac yang sesuai?
Jika memilih bulan Mei, rasanya tidak sesuai bagi negeri ini kerana masyarakat Dayak negeri Sarawak pula akan menyambut Hari Gawai Dayak di penghujung bulan Mei dan awal Jun. Jika mengikut keserasian PM yang mahu 'Rakyat didahulukan' tentunya pilihan raya amat tidak sesuai diadakan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan juga Hari Gawai Dayak.

Namun begitu, musim cuti persekolahan yang akan datang juga akan menjadi pilihan yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, kerana kebiasaannya sekolah-sekolah akan digunakan sebagai tempat pembuangan dan pengiraan undi.

Semoga aura Taib kali ini boleh mempengaruhi yang terbaik untuk BN!

Monday, January 17, 2011

SUPP PERLU DIGILAP, PBB PULA TIDAK AKAN BIARKAN SUPP JATUH LAGI

Oleh Abdul Rahman Hashim
(emel: locengwangsa@gmail.com)

Dato' Sri Najib Tun Razak berucap merasmikan Konvensyen SUPP 2010
di hadapan 5,000 ahli SUPP seluruh Sarawak, 16 Januari 2011.

"SUPP memerlukan penggilapan yang sempurna bagi membolehkan ia terus kukuh dalam BN," demikian saranan Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi BN terhadap Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) sebagai mengimbas kembali sejarah pahit yang menimpa parti tertua di Sarawak itu pada pilihan raya negeri 2006.

(Foto - Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Presiden SUPP)

SUPP sebagai rakan karib BN di negeri Bumi Kenyalang ini hendaklah segera melakukan perubahan untuk mengembalikan sokongan rakyat setelah parti itu kehilangan banyak kerusi akibat penolakan rakyat khususnya pengundi-pengundi Cina di dalam bandar semasa pilihan raya negeri 2006 dan juga PRU12 2008 yang lepas.

Di dalam pilihan raya negeri 2006 SUPP hanya memenangi 8 kerusi daripada 19 kerusi yang ditandinginya, sekaligus melebarkan lagi pengaruh DAP dan juga PKR yang kian ghairah untuk menawan sebanyak mungkin beberapa kerusi lain daripada BN pada pilihan raya negeri yang akan diadakan tahun ini.

Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Taib Mahmud yang juga Pengerusi BN Negeri turut terpanggil untuk menunjukkan semangat setia kawannya terhadap SUPP dengan menyatakan jaminan bahawa parti PBB yang diketuainya akan membantu SUPP dalam menghadapi apa jua serangan daripada Pakatan Pembangkang.

Beliau yang baru sahaja melangsungkan hari persandingan bersama isteri barunya, Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib pada ahad lepas berkata PBB akan sentiasa menyokong SUPP dan mahu membawa parti tertua Sarawak itu untuk berjuang bersama-sama, dalam usaha memberikan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.

Oleh yang demikian katanya, PBB akan bersedia membantu SUPP jika mereka diserang dan tidak akan membiarkan mereka jatuh, di samping akan disokong oleh parti komponen BN yang lain.

"Kerajaan BN negeri percaya bahawa SUPP adalah penting serta relevan, disebabkan itu kita mesti memperolehi kemenangan dalam kerusi yang dipertandingkan," katanya ketika berucap di majlis perasmian konvensyen SUPP 2010, ahad lalu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) yang bertemakan "Berjuang Untuk Rakyat".

Pehin Sri Taib Mahmud juga menambah, kerajaan amat memerlukan SUPP yang baru dan bersemangat untuk membantu memantapkan kerja-kerja dan rancangan-rancangan yang telah dirancangkan.

Menurut Taib, SUPP telah banyak berjasa kepada negeri ini, tetapi yang penting ialah SUPP tidak boleh berhenti di suatu tempat sahaja dan mesti maju ke depan bersama-sama komponen parti dan sentiasa pula melengkapkan diri untuk memberikan yang terbaik kepada negara.

Terdahulu Presiden Parti SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam di dalam ucapannya di hadapan Perdana Menteri berkata antara faktor yang menyebabkan kekalahan BN di bedberapa kawasan dalam pilihan raya yang lepas adalah kerana kurangnya perhatian terhadap kepentingan ruang siber.

Sindrom ini menurut beliau telah menyebabkan ramai golongan masyarakat yang kurang berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan yang sedia ada dengan melemparkan ketidak puasan hati mereka melalui ruang siber dan media elektronik yang lainnya.

"Disebabkan itu SUPP kini telah memandang berat terhadap cabaran ruang siber ini dan saya harap setiap parti komponen BN juga dapat menyertai SUPP bersama-sama mengharungi cabaran ini," katanya.

George Chan yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, SUPP akan terus meningkatkan usaha untuk mendapatkan sokongan daripada rakyat agar dapat mendorong perubahan positif yang lebih besar lagi.

Sambil mengakui dengan menerima hakikat kekalahan teruk yang dialami oleh SUPP dalam pilihan raya negeri 2006, Presiden SUPP itu juga berazam untuk melakukan perubahan seterusnya mengggubal rancangan untuk menguatkan semula SUPP, termasuk telah berjaya menubuhkan 12 cawangan baru dengan penambahhan ahlinya seramai 10,000 sejak tahun 2006. SUPP turut berjaya mendaftar seramai 10,350 pengundi baru.


Sunday, January 16, 2011

PERSANDINGAN TAIB MAHMUD & RAGAD WALEED BAWA SINAR UNTUK SARAWAK!

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi
ketika masuk ke dewan persandingan
di Kompleks Dewan Undangan Negeri
(DUN) Sarawak.

Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak
menyaksikan persandingan Ketua Menteri Sarawak
Taib Mahmud & Ragad Waleed Al-Kurdi

Selamat pengantin baru kepada Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang telah melangsungkan hari persandingan dengan isteri barunya, Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi semalam, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baru di Petra Jaya, Kuching.

Majlis perkahwinan ala Inggeris itu bermula kira-kira pukul 9.15 malam setelah kedua-dua mempelai diriingi masuk ke dewan persandingan yang dihadiri oleh 460 tetamu dari dalam dan luar negara. Diantara orang kenamaan yang hadir ialah Yang diPertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng dan isteri, Toh Puan Norkiah serta Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Sri Rosmah Mansor (Rosmah hari ini (Ahad), telah menerima darjah kebesaran Datuk Amar Bintang Kenyalang daripada TYT Yang Dipertua Negeri Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar).

Turut hadir memeriahkan majlis ialah ahli keluarga pengantin perempuan, beberapa Menteri Kabinet dan negeri, ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pembesar negeri. Pada majlis itu, anak kedua Abdul Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir menyampaikan ucapan ringkas dan latar belakang pasangan itu serta mengucapkan selamat hari lahir kepada Ragad yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini.

Di dalam ucapannya itu beliau sempat menceritakan tentang mimpi indah Puan Sri Ragad kira-kira lima bulan yang lalu yang dilamar oleh Raja Arab Saudi, Raja Abdullah dan dibawa pergi dengan menaiki sebuah kereta Rolls Royce.

Sebelum majlis berakhir, Abdul Taib yang segak mengenakan tuksedo hitam manakala isterinya mengenakan gaun malam serba putih menyempurnakan upacara memotong kek setinggi lima tingkat.

Abdul Taib diijabkabulkan dengan Ragad yang berasal dari Syria pada 18 Disember lalu di kediamannya di Demak Jaya sekali gus menamatkan zaman duda selepas kematian Puan Sri Laila Taib akibat kanser pada April tahun lalu.

Beliau yang berkahwin dengan Laila pada 1959 dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Jamilah, Mahmud Abu Bekir, Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 cucu.

Semoga ikatan perkahwinan 'Taib & Ragad' ini akan membawa sinar baru bukan sahaja untuk dirinya malah membawa sinar cemerlang kepada rakyat negeri Sarawak keseluruhannya yang bakal menempuh pilihan raya umum (PRU) peringkat negeri dalam tahun ini.


Tuesday, January 4, 2011

DI ISTANA MEREKA BOLEH MENYANTUN PERPADUAN

Oleh Abdul Rahman Hashim (locengwangsa@gmail.com)

Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS akhirnya mengakui berlakunya pertemuan beliau bersama-sama Dato' Sri Najib Tun Razak dan lain-lain tokoh pemimpin Melayu di Istana Terengganu, Kuala Lumpur 24 Disember lalu.

Beliau berkata, pertemuan tersebut diadakan adalah atas titah jemputan Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menerusi utusan yang dibawa oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri ketika beliau menziarahi Menteri Besar Kelantan yang dimasukkan ke Hospital Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan sebelumnya.

Menurutnya, pertemuan yang dihadiri sama oleh Tuan Guru Hj Hadi Awang, Presiden PAS, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dan Tun Abdullah Ahmad Badawi itu tidak membincangkan hal ehwal politik, apatah lagi langsung tidak bercakap mengenai kerajaan perpaduan sebagaimana yang diresahkan oleh penyokong-penyokong PAS termasuk blog-blog pro Pakatan Rakyat dan beberapa laman sosial Facebook.

Di dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Aziz hari ini, beliau juga berkata tidak berbangkit langsung tentang perbincangan politik di antara UMNO dan PAS, kerana malam itu hanya santapan bersama baginda. Beliau tidak mahu mengupas lebih lanjut apa yang dibincangkan semasa santapan malam itu diadakan demi menghormati baginda Tuanku.

Apa pun spekulasi mengenai pertemuan itu, janganlah sampai mengheret pihak istana kerana kedudukan Yang di-Pertuan Agong bukannya berpihak kepada mana-mana parti politik. Baginda atas sifatnya sebagai Ketua Negara tidak wajar dikaitkan dengan pertelagahan politik di antara UMNO dan PAS.

Namun begitu, santapan malam yang diadakan di Istana Terengganu itu diharapkan dapat dijadikan iktibar betapa mereka yang bertelagah selama ini boleh duduk semeja makan bersama di hadapan Yang di-Pertuan Agong yang menjadi Ketua Agama Islam negara ini. UMNO dan PAS merupakan dua parti terbesar orang Melayu negara ini yang belum lagi menjumpai noktah untuk mengibarkan bendera putih demi perpaduan ummah.

Bukannya mudah untuk mempertemukan Presiden UMNO dan Presiden PAS serta Mursyidul Amnya apatah lagi untuk makan bersama-sama, kerana di luar Istana mereka sering tuduh menuduh, menuding jari malah kedua-dua parti itu semakin berghairah untuk terus berbalah yang tidak membawa apa-apa keuntungan untuk masa depan ummah dan negara.

Rasanya santapan malam di hadapan baginda Tuanku Mizan itu sedikit sebanyak dapat meredakan bahang kebencian sesama pemimpin Melayu yang bertelagah itu. Kedua-dua pemimpin Melayu itu juga tentunya tidak mahu menzahirkan apa-apa polemik yang bersifat dendam kesumat berasaskan kelainan lambang perjuangan. Mereka terpaksa menyarung keris buat sementara waktu demi menghormati Raja mereka.

Bermula dari titik tolak itu kita mengharapkan kedua-dua parti yang seagama dan serumpun bangsa ini dapat melakukan muhasabah diri dan memberikan mesej kepada semua penyokong dan pengikutnya agar tidak berpesta lagi meruntuhkan empayar kekuasaan Melayu yang masih dimiliki di negara ini.

Daulat Tuanku...Daulat Tuanku...Daulat Tuanku!



KJ MELUNASKAN RAJUKANNYA?

Oleh Abdul Rahman Hashim (locengwangsa@gmail.com)

Khairy Jamaluddin, 34, (foto) akhirnya terpaksa pasrah dengan tekanan politik yang dialaminya selama ini apabila beliau mengumumkan tidak akan mempertahankan lagi kerusi parlimen Rembau pada PRU13 nanti. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu dikatakan mahu berehat dari kegiatan politk dan beliau dipetik sebagai berkata akan melanjutkan pelajarannya di luar negara.

Khairy @ KJ juga berkata, walaupun beliau tidak akan bertanding dalam PRU13 nanti, namun begitu beliau akan turut membantu jentera BN dalam menghadapinya. KJ telah memenangi kerusi Parlimen Rembau dalam PRU12 pada tahun 2008 ketika bapa mertuanya, Abdullah Badawi masih lagi menjadi Perdana Menteri.

Karier politiknya semakin melonjak apabila percubaannya untuk merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun yang sama telah memihak kepadanya, setelah beliau berjaya mengenepikan Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan juga mantan MB Selangor, Khir Toyo, setelah beliau diberikan amaran oleh Lembaga Disiplin Parti kerana terlibat dengan perilaku sumbang politik; namun beliau tetap dibenarkan bertanding merebut jawatan nombor satu Pemuda itu.

Langit tidak selalunya cerah, KJ yang dikaitkan sebagai liabiliti kepada parti dan kerajaan ketika BN dilanda tsunami politik dalam PRU12, tidak pula dilantik menduduki sebarang jawatan di dalam kabinet kerajaan pimpinan Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang menggantikan bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sejak itu sehingga hari ini nama Khairy Jamaluddin tidak terpahat di hati Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk meloloskan Ketua Pemuda UMNO itu membarisi kabinet Najib walaupun di peringkat jawatan Timbalan Menteri; sedangkan Ketua-Ketua Pemuda parti komponen BN yang lainnya seperti Ketua Pemuda PBB (Sarawak), Fadillah Yusof telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, manakala Ketua Pemuda MCA, Dato' Wee Ka Siong pula dilantik menjadi Timbalan Menteri Pelajaran.

TOKOH PEMUDA DALAM KABINET NAJIB

NAIB KETUA PEMUDA UMNO

Dato' Razali Ibrahim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan

MANTAN CALON KETUA PEMUDA UMNO

Dato' Mukhriz Mahathir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri

KETUA PEMUDA PARTI PBB SARAWAK

Datuk Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Sains, Teknologi & Inovasi

KETUA PEMUDA MCA

Dato' Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran

Bukan itu sahaja penganalisa politik tanah air juga melihat kedudukan Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu bagaikan melukut di tepi gantang, apabila naibnya Razali Ibrahim dilonjakkan menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan, manakala Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang kecundang dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda itu telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa & Industri. Terkini, Mukhriz juga telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, kerana beliau telah dikaitkan sebagai tokoh yang mampu mengembalikan sokongan generasi muda terhadap UMNO.

Pengumuman Khairy untuk berundur selepas ini, rasanya banyak menyangkut akan faktor-faktor ini yang tidak mengizinkan dirinya untuk terus memartabatkan maruah Pemuda UMNO. Beliau dilihat mempunyai 'deria hidu' sehingga mendorong dirinya untuk melangkah undur memberi laluan kepada orang lain manggalang ganti?

Sebelum KJ melunaskan rajukannya itu, eloklah ahli-ahli Pemuda UMNO menyatakan terima kasih kepadanya yang telah mencurahkan khidmat bakti seadanya sepanjang beliau menakhodai sayap kanan UMNO itu. Walaupun beliau dilihat seakan-akan dibenci oleh sebilangan di dalam UMNO yang memusuhinya, namun janganlah sampai sedikit sanjungan pun tidak diungkapkan terhadap dirinya.

Karisma KJ mungkin tidak senasib dengan karisma Ketua-Ketua Pemuda sebelumnya. KJ kena menerima hakikat hukum karma politik yang tidak menyebelahinya hari ini, namun tindakan berundur yang dipilihnya, bukan bermakna beliau kehilangan segala-galanya. Berundur tidak bermakna kalah, kerana mungkin beliau boleh mengatur langkah semula ke hadapan setelah melakukan muhasabah diri.