Sudah terang lagi bersuluh, tahun 2011 merupakan tahun terpenting kepada kerajaan negeri Sarawak pimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kerana tempoh edah kerajaan BN negeri ini semakin menghampiri garisan penamat sebelum ia dimandatkan semula oleh rakyat menjelang pilihan raya negeri yang bakal diumumkan pada bila-bila masa dalam sebulan dua ini.
Faktor kebahagiaan dan keceriaan Taib Mahmud bersama isteri barunya Ragad Waleed Al-Kurdi Taib (Foto) yang baru saja disandingkan pada 16 Januari lepas nampaknya bakal mengilhamkan Ketua Menteri itu untuk memilih tarikh yang paling sesuai sebelum Julai 2011 untuk menasihatkan TYT Yang diPertua Negeri Sarawak membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan segera.




Parti-Parti Komponen Barisan Nasional Sarawak
Semua parti komponen BN negeri iaitu PBB, SUPP, SPDB dan PRS telah diarah supaya bersiap siaga untuk menanti tiupan nafiri, kerana mood rakyat begitu terpanggil untuk diterjemahkan dalam bentuk undi sokongan mereka samada BN masih relevan untuk memayungi rakyat ataupun mereka ada pilihan lain untuk mewarnai lanskap politik bumi kenyalang ini?
Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN Pusat telah berkali-kali mengulangi bahawa pemilihan calon yang bakal ditandingkan dalam pilihan raya kali ini ialah dari kalangan mereka yang boleh memenangi hati rakyat sekaligus ia menjadi faktor penting untuk kemenangan BN.
Najib bagaikan tidak mahu berkompromi lagi tentang kriteria memilih calon ini, kerana beliau amat menyedari jika tersilap meletakkan calon yang hanya berprestij dengan kedudukan pangkat yang disandang dalam parti, tetapi dibenci oleh rakyat akar umbi. Najib menyarankan agar semua parti komponen BN tidak menamakan calon seumpama ini, kerana akhirnya ia menjadi liabiliti kepada parti seterusnya akan ditolak oleh rakyat.
Sejauh manakah saranan Perdana Menteri ini dapat dihayati dan diterjemahkan oleh ketua-ketua parti komponen BN negeri ini? Apakah kekalahan terburuk yang dialami oleh SUPP dalam pilihan raya negeri 2006 lalu mampu ditebus semula oleh parti tertua Sarawak? Begitu juga apakah SPDP pimpinan William Mawan dan PRS pimpinan Masing boleh menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dari semenanjung yang bergandingan dengan Parti SNAP untuk meruntuhkan empayar Barisan Nasional yang sudah terbina sekian lama di Sarawak ini?
Melihat akan cabaran-cabaran ini, tentunya Taib Mahmud sudah boleh membaca dan terkesan untuk melakukan sentuhan modifikasi ke arah memperkasakan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional. Banyak isu-isu yang menyentuh hati nurani rakyat yang perlu diberikan keutamaan oleh Taib jika masih mahukan sokongan rakyat.
SUPP tidak seharusnya berpuas hati dengan fenomena pengundi Cina yang masih melihat percakaran dan pergeseran dalaman di antara pemimpin parti itu yang memaksa sekali lagi mereka berubah haluan untuk memilih DAP dan PKR sebagai alternatifnya. Kepimpinan Dr. George Chan janganlah dijadikan alasan lagi oleh kebanyakan pengundi Cina untuk tidak memberikan sokongan kepada BN.
Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Presiden SUPP telah berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat keturunan Cina dengan penambahbaikan prasarana rakyat terutama yang menyangkut dengan prsarana pendidikan, bantuan sosio ekonomi termasuk kebajikan rakyat dalam bandar dan luar bandar, yang mendapat perhatian oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.
Perjuangan SUPP selama ini sememangnya diyakini oleh sebahagian besar penduduk berketurunan Cina negeri ini, kerana parti ini terbukti telah banyak menaburkan jasa kepada rakyat sejak dahulu lagi. Mungkin rakyat menjadi bosan akibat krisis kepimpinan yang melanda SUPP sebelum ini, ditambah pula dengan beberapa isu negeri dan isu nasional yang tidak dapat dikawal menerusi media-media internet.
Pehin Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri yang paling lama bertahan ini hendaklah terus menggayakan politik pembangunnnya mengikut rentak dan acuan aspirasi Perdana Menteri yang mencetuskan Gagasan 1Malaysia sebagai formula transformasi politik yang mendahulukan rakyat.
Jika sudah bersedia dan yakin bahawa rakyat telah didahulukan, rasanya Taib Mahmud bolehlah pasrah untuk memberi peluang pula kepada rakyat memperbaharui mandat yang diperolehi selama ini. Najib mungkin memerhatikan kecenderungan sebenar rakyat Sarawak terhadap prestasi Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini, sekaligus akan mengilhamkannya pula untuk mengadakan pilihan raya umum yang tidak kurang hangat diperkatakan sekarang ini.
Nampaknya bulan Februari bukanlah satu tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya negeri, kerana di bulan ini masyarakat Cina akan merayakan Tahun Baru Cina yang diraikan secara meriah di Negeri Bumi Kenyalang. Apakah selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu di penghujung bulan Februari menjadi pilihan Taib untuk mengumumkan tarikh sesuai pembubaran DUN Sarawak kerana kemungkinan pilihan raya boleh diadakan pada bulan Mac 2011?
Memilih bulan April (4) mungkin alergik kepada yang mempercayai angka 4 itu sebagai nombor sedih ataupun ia sebagai suatu kematian yang patut dielakkan. Jika begitu, bulan April tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya. Mungkinkah angka 3 atau bulan Mac yang sesuai?
Jika memilih bulan Mei, rasanya tidak sesuai bagi negeri ini kerana masyarakat Dayak negeri Sarawak pula akan menyambut Hari Gawai Dayak di penghujung bulan Mei dan awal Jun. Jika mengikut keserasian PM yang mahu 'Rakyat didahulukan' tentunya pilihan raya amat tidak sesuai diadakan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan juga Hari Gawai Dayak.
Namun begitu, musim cuti persekolahan yang akan datang juga akan menjadi pilihan yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, kerana kebiasaannya sekolah-sekolah akan digunakan sebagai tempat pembuangan dan pengiraan undi.
Semoga aura Taib kali ini boleh mempengaruhi yang terbaik untuk BN!



















