assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, April 26, 2010

3 ADUN SELANGOR MASIH HIDUP!!

Kiri: Dr. Cheah Wing Yin (ADUN Damansara Utama), Kanan: Dr. Mohd. Nasir Hashim (ADUN Kota Damansara)

KUALA LUMPUR, 25 April — Dalam suasana panas menanti keputusan rasmi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor malam ini, tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor pula “panas hati” apabila khabar angin heboh memperkatakan bahawa mereka telah meninggal dunia.

Bermula dengan Adun Kota Damansara (PSM) Dr Mohd Nasir Hashim, khabar angin itu kemudian dikaitkan dengan Adun Damasara Utama Dr Cheah Wing Yin (DAP) dan juga Adun Sungai Burong Shamsuddin Lias (Barisan Nasional), hingga menimbulkan kekeliruan banyak pihak.

Bilik berita Bernama dan telefon bimbit wartawan hari ini dihujani dengan panggilan bertalu-talu daripada orang ramai yang ingin mendapatkan pengesahan tersebut selain daripada ingin mendapatkan perkembangan mutakhir keputusan pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

Nyata khabar angin itu tidak berasas apabila Shamsuddin ketika dihubungi Bernama menjawab panggilan tersebut sambil menyatakan rasa kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu itu.

“Alhamdulillah saya masih sihat, tiada apa-apa. Memang saya terima banyak panggilan dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) bertanyakan kesahihan khabar angin bahawa saya sakit tenat dan sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya beliau sihat dan berada di Hulu Selangor bagi membantu jentera BN pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.

“Saya kecewa dengan dengan budaya suka menabur fitnah dan khabar angin seperti ini. Ia perlu dicegah dan dihentikan kerana boleh merosakkan masyarakat,” katanya.

Shamsuddin turut meminta orang ramai khususnya rakan-rakan dan pengundi di kawasannya supaya bertenang dan tidak mempercayai khabar angin itu.

“Terima kasihlah kerana menelefon dan menghantar SMS kepada saya. Ramai terperanjat dengan berita kematian saya ini. Apapun saya masih sihat dan masih hidup,” katanya.

Dr Mohd Nasir pula walaupun gagal dihubungi untuk mendapatkan reaksinya berhubung khabar angin itu tetapi disahkan sihat dan tidak terbabit dalam sebarang kemalangan jalan raya oleh Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S.Arutchelvan yang memaklumkannya melalui twitter.

“Dr Nasir, pengerusi PSM dalah selamat dan sihat. Beliau tidak terlibat dalam sebarang kemalangan seperti disebarkan dalam khabar angin,” tulisnya dalam twitter itu yang menggunakan identiti twitter Arul PSM Sec-Gen, yang disiarkan di laman web rasmi PSM. Adun Damasara Utama, Dr Cheah yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Sunway selepas terlibat dalam kemalangan 13 Mac lepas, turut menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Bagaimanapun pembantu khas beliau, Richard Yap ketika dihubungi menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai khabar angin semata-mata.

Sebaliknya Yap berkata, keadaan Dr Cheah kini bertambah stabil dan beliau dijangka dipindahkan ke wad biasa esok.

“Selepas Rabu ini, kami jangkakan pelawat dibenarkan melawat beliau,” katanya. Adun itu mengalami kecederaan serius di kedua-dua belah kakinya selepas terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pacuan empat roda di Lebuhraya Persekutuan di Shah Alam. — Bernama

BN RAMPAS KEMBALI HULU SELANGOR. UNDI CINA MASIH BERPIHAK KEPADA PKR!

P. KAMALANATHAN MENJULANG KEMENANGANNYA
BERSAMA PM DAN TPM

P. Kamalanathan calon MIC yang mewakili BN menang bergaya hari ini setelah berjaya mengalahkan Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR dengan mengaut majoriti 1,725 undi. Kamalanathan memperolehi 24,997 undi manakala Datuk Zaid Ibrahim pula memperolehi 23,272 undi.

Kejayaan BN kali ini dilihat begitu bermakna bukan sahaja kepada calonnya yang menang, malah kepada parti yang diwakilinya. Rakyat di Hulu Selangor di lihat ingin menebus kembali kekalahan yang diterimanya di dalam PRU12 yang lalu setelah PKR memenanginya dengan majoriti tipis 198 undi.

Mengimbas kembali kemelut yang dihadapi oleh BN di peringkat awal yang berhadapan dengan delima untuk meletakkan calonnya, maka jelas sekali pemilihan Kamalanathan di saat-saat akhir itu merupakan pilihan terbaik untuk menjenamakan semula imej MIC yang terpaksa mengenepikan Timbalan Presidennya G. Palanivel yang ditolak oleh pengundi-pengundi di Hulu Selangor.

Semangat perundingan yang terjalin diantara pucuk pimpinan MIC dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyenarai pendekkan calonnya sehingga terjumpa nama P. Kamalanathan adalah formula terbaik untuk mengenengahkan muka baru yang dianggap memenuhi cita rasa semua pihak di dalam BN.

G. Palanivel yang dijanjikan untuk dilantik sebagai senator sebelum dimasukkan semula di dalam kabinet Najib apabila BN menang di Hulu Selangor seharusnya dikotakan oleh Perdana Menteri. Cuma akan timbul sedikit kejanggalan apabila G. Palanivel atas sifatnya sebagai Timbalan Presiden MIC hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri, sedangkan Datuk S. Subramaniam yang hanya menyandang Naib Presiden MIC kini menjadi menteri penuh?

P. Kamalanathan pula hendaknya janganlah terjebak dengan pertelingkahan dalaman MIC yang mungkin dirinya menjadi mangsa yang akhirnya merugikan sekali lagi pengundi-pengundinya di Hulu Selangor. Datuk Seri S. Samy Vellu mungkin berpuas hati dengan kemenangan calon bidan terjun dari partinya yang telah dikosmetikkan oleh UMNO supaya ianya dapat diterima oleh orang Melayu yang menuntut supaya kerusi itu diserahkan kepada UMNO.

UMNO dilihat telah bekerja keras untuk mempastikan calon berketurunan India ini diberikan kemenangan walaupun menyedarinya begitu berisiko untuk dipertaruhkan di kalangan pengundi-pengundi Melayu, apatah lagi PKR telah meletakkan calon Melayu yang diharapkan dapat diterima oleh majoriti pengundi Melayu di situ.

Trend tidak menurunkan Perdana Menteri di dalam pilihan raya kecil sebelum ini hendaklah diubah segera, kerana keupayaan pengaruh Perdana Menteri yang turun kali ini di Hulu Selangor membuktikan betapa ianya telah membantu menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap BN. Kombinasi sokongan moral yang ditunjukkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dilihat telah banyak mempengaruhi keputusan PRK di Hulu Selangor.

Satu perkara yang harus disentuh juga di sini ialah betapa kejayaan BN kali ini masih dibayangi dengan penolakan pengundi-pengundi Cina yang tegar memihak kepada calon PKR. Rata-rata kawasan peti undi yang majoriti pengundi Cina seperti di Ulu Yam Bharu, Rasa dan sedikit di Kalumpang tidak lagi berubah dimana sokongan mereka tetap kepada parti pembangkang.

Seharusnya MCA dan Gerakan melipatgandakan usaha mereka untuk mencuci tanggapan buruk masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional. Jika fenomena ini masih berterusan, BN terpaksa berhadapan dengan segala cabaran getir untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sibu yang bakal dipertandingkan semula pada 16 Mei akan datang. SUPP di Sarawak hendaklah membuktikan bahawa masyarakat Cina negeri itu tidak sama dengan pendirian masyarakat Cina di Hulu Selangor.

Apa pun diharapkan BN tidak terlalu angkuh dengan kemenangan yang dicapai ini. Apa sahaja boleh berlaku termasuk betapa terkejutnya kita apabila Selangor terlepas ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU12 yang lalu. UMNO/BN hendaklah mengikis segala andaian buruk yang digendangkan oleh Pakatan Rakyat dengan melakukan muhasabah dan menjuruskan era perjuangannya untuk membela rakyat. Tahniah...

Sunday, April 25, 2010

KEPUTUSAN TIDAK RESMI.....

7.12pm: Keputusan tidak resmi

PKR - 9,133
BN - 7,261
Majority - 1,872


6.54pm: Keputusan tidak resmi

PKR -7,053
BN - 6,010

Majority - 1,034


6.45 petang: Keputusan tidak resmi

PKR - 6,389
BN - 5,385
Majority - 1,004
KEPUTUSAN TIDAK RESMI.....

7.12pm: Keputusan tidak resmi

PKR - 9,133
BN - 7,261
Majority - 1,872


6.54pm: Keputusan tidak resmi

PKR -7,053
BN - 6,010

Majority - 1,034


6.45 petang: Keputusan tidak resmi

PKR - 6,389
BN - 5,385
Majority - 1,004

BN & PKR SAMA-SAMA YAKIN MENANG

Jumlah pengundi P.94 Hulu Selangor @ 64,500:

Melayu (34,020 - 52.7%),
Cina (16,964 - 26.3%),
India (12,453 - 19.3%),
Orang Asli (1,000).

Setakat jam 4.00 petang ini, lebih 43 ribu pengundi Hulu Selangor telah keluar mengundi. Satu jam yang berbaki ini bakal menentukan siapakah yang akan dinobatkan menjadi Ahli Parlimen yang baru bagi kawasan ini setelah berlaku kematian Ahli Parlimen PKR Dato' Dr. Zainal Abidin Ahmad.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya oleh wakil-wakil media semasa mengadakan lawatan ke pusat-pusat pembungan undi, beliau optimis bahawa BN akan menang dengan sasaran majoriti lebih 6,000 undi. Manakala Anwar semalam berkata PKR yakin memperolehi sokongan 30,000 pengundi.

Apa pun sedikit masa lagi kita akan melihat kecenderungan manakah pengundi Hulu Selangor untuk memilih wakil mereka di Dewan Rakyat. Pakatan Rakyat merupakan parti yang memerintah kerajaan negeri Selangor, manakala BN pula adalah parti yang memerintah kerajaan persekutuan.

Apakah BN yang menjadi pembangkang di negeri Selangor akan berjaya mengembalikan semula kerusi ini kepada partinya setelah ditumbangkan oleh PKR dalam PRU12 yang lalu? Apa yang jelas ialah kemenangan samada di pihak PKR ataupun BN merupakan moraliti kepada parti itu terutama kepada pemimpinnya yang mahu buktikan bahawa partinya tetap di sisi rakyat.


Friday, April 23, 2010

TANPA UMNO JENTERA BN LUMPUH!



Hampir setiap hari saya berkunjung ke Hulu Selangor sejak pilihan raya kecil parlimen P.94 itu dilancarkan pada 17 April lalu. Saya lebih tertumpu membuat tinjauan di kawasan peti undi yang ditugaskan kepada UMNO Wilayah Persekutuan di Hulu Yam Bharu. Lokaliti peti undi Hulu Yam Bharu ini memihak kepada pembangkang dalam PRU12 yang lalu. Kini, hanya tinggal dua hari sahaja sebelum hari pembuangan undi berlangsung pada hari ahad ini 25 April 2010.

Sepanjang pengamatan saya semasa berada di tengah-tengah kehangatan berkempen di Hulu Selangor ini saya dapati jentera UMNOlah yang terkehadapan dalam gerak kerja memikat hati pengundi-pengundi di sana yang telah menolak BN dalam PRU12 lalu khususnya di peringkat Parlimen Hulu Selangor.

Walaupun ternampak kehampaan pengundi-pengundi Melayu yang mahukan calon Melayu dipertandingkan kali ini, namun semangat jati diri yang dimiliki oleh pejuang-pejuang UMNO, mereka tetap bekerja keras untuk memenangi semula hati-hati pengundi Melayu yang terluka itu.

Calon India/MIC daripada Rawang yang diproksikan mewakili BN semakin dijiwai oleh orang Melayu di situ telah mengatasi calon Melayu Kelantan dari PKR yang dipertaruhkan bertanding kali ini, kerana tuntutan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib Tun Razak telah menuntut supaya orang Melayu tidak terlalu taksub dengan keMelayuannya.

P. KAMALANATHAN calon BN yang dipertaruhkan, walaupun dia berketurunan India tetapi UMNO tetap menerimanya sebagai proksi kehendak masyarakat Melayu di Hulu Selangor. Kamalanathan hampir tidak mempercayainya betapa perkasanya UMNO yang begitu setia terhadapnya walaupun sebelum ini MIC dilihat bercakaran sesama sendiri yang tidak diyakini oleh UMNO untuk mewakili BN menentang Datuk Zaid Ibrahim dari PKR.

UMNO terpaksa berhempas pulas kerana MIC sendiri tidak sebulat kata setelah menghampakan G. Palanivel yang begitu mengharapkan dicalon semula bertanding di dalam pilihan raya kecil kali ini.

Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu pula dilihat semakin tidak popular untuk diketengahkan di dalam gelanggang ini, kerana majoriti cawangan-cawangan MIC di kawasan Hulu Selangor yang diketuai oleh G. Palanivel dikatakan terus bermogok.

Jika dilihat gerak kerja yang disusun oleh UMNO, menyaksikan seolah-olah 'Kamalanathan' merupakan calon UMNO yang lebih Melayu daripada Zaid Ibrahim. Hampir semua pentas ceramah UMNO termasuk PERKASA begitu teruja dengan calon ini, kerana mereka berpendapat Kamalanathan telah menyerlahkan kehebatannya yang tidak diduga sebelum ini.

Ibrahim Ali sendiri yang menentang UMNO di Pasir Mas dalam PRU12 lalu dilihat begitu tegar keMelayuannya di dalam PERKASA juga terpaksa akur betapa Kamalanathan perlu diyakini lebih Melayu daripada Zaid Ibrahim demi mempertahankan prinsipnya untuk menyokong BN kali ini.

Beliau menggesa supaya pengundi Melayu di Hulu Selangor jangan sekali-kali berubah hati untuk menyokong 'Kamalanathan' kerana mungkin menurutnya calon MIC itu dilihat lebih jujur untuk menjadi Melayu daripada Zaid Bin Ibrahim yang begitu kuat menyokong Anwar Ibrahim yang telah dilabelkan sebagai pengkhianat Melayu oleh UMNO.

Masyarakat Tiong Hua di Parlimen Hulu Selangor pula dilihat masih ragu-ragu untuk menerima calon proksi UMNO ini. Sepanjang saya berkunjung ke kawasan yang dominasi pengundi Cina seperti di Hulu Yam Bharu, jelas terlihat betapa mereka belum dipulihkan lagi keyakinan untuk menyokong BN, malah beberapa orang 'taiko' di kawasan ini telah mencarutkan MCA dan juga Gerakan, kerana menurut mereka parti-parti Cina ini telah gagal mempamerkan kehebatan untuk mewakili suara mereka.

Saya sendiri tidak melihat penonjolan MCA dan Gerakan untuk memenangi semula hati pengundi-pengundi Cina terutama di Hulu Yam Bharu, sebaliknya saya teruja dengan usaha yang dilakukan oleh sekumpulan aktivis Cina yang menggelarkan diri mereka sebagai NGO yang begitu prihatin untuk mengajak pengundi-pengundi Cina supaya menyokong BN kali ini.

Saya berkesempatan membuat tinjauan di Bilik Gerakan mereka di Hulu Yam Bharu dimana NGO berkenaan yang digerakkan oleh 'Mr. Ah Chong' ini begitu ikhlas dan serius untuk membantu BN dengan penampilan aktiviti-aktiviti yang merapatkan hubungan bersama masyarakat Cina.

Mr. W.M Chong (Foto: sebelah Noh Omar) seorang anak muda Tiong Hua ini dilihat lebih komited daripada MCA dan juga Gerakan dalam gerak kerja membantu BN. Saya difahamkan hari ini (23 April) NGO berkenaan akan mengadakan majlis makan malam bersama komuniti Tiong Hua yang dianggarkan kehadiran melebihi 3,000 orang di Hulu Yam Bharu. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berada di situ malam ini.

Berdasarkan kepada kejayaannya mengadakan makan malam bersama masyarakat Tiong Hua di Kampung Baru Cina Kalumpang pada 21 April lepas, lebih 600 orang yang terdiri daripada penduduk tempatan telah berjaya dikumpulkan pada malam tersebut. Saya sendiri menghadirinya bersama-sama rakan-rakan saya daripada 'Bahagian Setiawangsa'.


Noh Omar bersama komuniti Cina di Kalumpang. W.M Chong di sebelahnya berbaju kuning

Saya dan rakan-rakan turut diberikan penghormatan untuk makan bersama di meja Datuk Seri Noh Omar sebelum beliau menyampaikan sumbangan berupa basikal kepada mereka yang memerlukan bantuan itu yang telah ditaja oleh Mr. Ah Chong. Mr. W.M Chong bersama-sama dengan 'Kelab Sosial Orang-Orang Cina Kalumpang' telah terkehadapan daripada MCA dalam gerak kerja ini. Tahniah dan syabas kepada Mr. Chong!

Semasa makan, saya juga sempat bersembang dengan Noh Omar dan bertanyakan kepadanya tentang harapan BN dalam pilihanraya kecil ini; dan beliau menyatakan jika pengundi Cina dapat swing menyokong BN, pasti BN akan menang kali ini. Beliau memuji usaha yang dilakukan oleh NGO ini.

Tuesday, April 20, 2010

BUDAYA FITNAH KIAN MENULAR....DUA KALI LIMA LAH KITA!


Gambar ASAL


Gambar FITNAH oleh puak pro UMNO


Gambar ASAL


Gambar FITNAH oleh puak pro UMNO


Gambar FITNAH Najib oleh puak pro pembangkang.

Nampaknya sesiapa di kalangan pemimpin UMNO yang kaki botol sebelum ini pasti tidak terlepas daripada menerima kecaman. Sebab itu siapa yang pernah togok arak sebelum menceburi arena politik kini mereka bagaikan cacing kepanasan...takut-takut gambar mereka pula yang menjadi bahan paparan di dalam media, terutama di musim berkempen pilihan raya.

Lihat sajalah apa yang telah nerlaku terhadap Zaid Ibrahim calon PKR di Hulu Selangor, yang sebelum ini merupakan pemimpin UMNO yang didakwa pernah menjadi kaki botol, kini bahananya telah dibahangkan sendiri oleh gerombolan parti asalnya semata-mata untuk menjatuhkan air mukanya setelah beliau menjadi calon kepada PKR.

Isu peribadi ini telah diulas oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri yang juga Naib Presiden UMNO yang berkata bahawa UMNO tidak terlibat mengheret isu 'Zaid Kaki Botol', sebaliknya beliau telah menuding kepada blogger-blogger dan juga beberapa pihak media tertentu yang dilihat pro kepada partinya yang terlibat mendedahkan isu tersebut.

Khairy Jamaludin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia juga turut tidak senang hati jika benar isu-isu peribadi itu dilakukan oleh penyokong-penyokong BN. Menurut kedua-dua pemimpin kanan UMNO itu bukanlah menjadi budaya parti itu untuk melakukan perbuatan fitnah seumpama itu. Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar lagi gerun apabila isu kaki botol ini dimulakan oleh puak UMNO!

Hishammuddin turut mempersoalkan kenapa pemimpin pembangkang harus menggelabah sehingga berani mencabar UMNO supaya membuktikan bahawa Zaid kaki botol. Selama ini pemimpin-pemimpin UMNO sememangnya sering mendakwa 'tabiat memfitnah' ini sering dilakukan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang. Tetapi kini budaya jijik itu seolah-olah diharuskan oleh UMNO di dalam pilihan raya kecil di Hulu Selangor.

Melihat kepada senario yang sedang berlaku di dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor sejak kebelakangan ini, ternyata dakwaan yang dilemparkan oleh pihak UMNO selama ini, kini telah mula berjangkit di kalangan gerombolan UMNO dan ia semakin memakan diri nampaknya?

Walaupun Hishammuddin tidak mahu mengakui bahawa UMNO terlibat menyebarkan maklumat fitnah yang membabitkan calon PKR yang pernah menjadi Menteri UMNO itu, tetapi pihak pembangkang mempunyai bukti kukuh untuk tetap mengheret UMNO/BN yang terbabit dalam dakyah keji ini.

Blogger Gerakan Anti PKR (GAP) begitu nyata memperlihatkan kecondongannya membela UMNO dengan melakukan teknik super inpose terhadap gambar Zaid Ibrahim yang memperlihatkan sedang memegang botol arak, sedangkan gambar asalnya tidak sedemikian.

Persoalannya kenapa blogger yang dianggap pro UMNO harus terjerumus dengan gaya yang tidak profesional itu? Bukankah ini bakal menjadi 'back fire' kepada BN yang berkehendakkan kemenangan kali ini? Walaupun saya juga adalah blogger yang berwajah UMNO, namun saya tidak tergamak untuk mengheret maruah UMNO sedemikian rupa.

Jika tetdapat kritikan yang membabitkan samada UMNO, BN mahupun kerajaan, biarlah ianya menjurus kepada fakta yang membina....bukan membawa rebah. Rasanya tidak salah untuk kita menegur jika teguran itu ada kebaikannya, jika hendak dibandingkan dengan pujian melambung seolah-olah tidak sedikit pun kelemahan yang terdapat di dalam kepompong kita.

Saya menjadi bimbang jika budaya politik sumbang ini juga yang mendapat tempat dan menjadi pilihan di hati pemimpin UMNO, maka 2 x 5 lah kita dengan mereka! Kebimbangan saya semakin mengerikan jika mood pilihan raya kecil di Hulu Selangor ini menjurus kepada serangan peribadi yang menjolok mata sehingga membabitkan permimpin-pemimpin UMNO kita.

Ingatlah, bukan semua kebaikan milik kita dan bukan semua kejahatan itu milik orang lain! Semua manusia samada yang jenama UMNO, PAS atau PKR adalah makhluk Allah jua. Jangan biarkan budaya keji mengekji bagaikan perbuatan HALAL untuk jalan ke syurga. Islam UMNO, Islam PAS dan Islam PKR....semuanya satu kiblat, semuanya mengakui keRasulan Nabi Muhamad SAW.

Maka, janganlah kita terlupa untuk mencari noktah penyatuan jiwa dan raga demi masa depan agama, bangsa dan juga negara.