assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, April 26, 2010

BN RAMPAS KEMBALI HULU SELANGOR. UNDI CINA MASIH BERPIHAK KEPADA PKR!

P. KAMALANATHAN MENJULANG KEMENANGANNYA
BERSAMA PM DAN TPM

P. Kamalanathan calon MIC yang mewakili BN menang bergaya hari ini setelah berjaya mengalahkan Datuk Zaid Ibrahim daripada PKR dengan mengaut majoriti 1,725 undi. Kamalanathan memperolehi 24,997 undi manakala Datuk Zaid Ibrahim pula memperolehi 23,272 undi.

Kejayaan BN kali ini dilihat begitu bermakna bukan sahaja kepada calonnya yang menang, malah kepada parti yang diwakilinya. Rakyat di Hulu Selangor di lihat ingin menebus kembali kekalahan yang diterimanya di dalam PRU12 yang lalu setelah PKR memenanginya dengan majoriti tipis 198 undi.

Mengimbas kembali kemelut yang dihadapi oleh BN di peringkat awal yang berhadapan dengan delima untuk meletakkan calonnya, maka jelas sekali pemilihan Kamalanathan di saat-saat akhir itu merupakan pilihan terbaik untuk menjenamakan semula imej MIC yang terpaksa mengenepikan Timbalan Presidennya G. Palanivel yang ditolak oleh pengundi-pengundi di Hulu Selangor.

Semangat perundingan yang terjalin diantara pucuk pimpinan MIC dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyenarai pendekkan calonnya sehingga terjumpa nama P. Kamalanathan adalah formula terbaik untuk mengenengahkan muka baru yang dianggap memenuhi cita rasa semua pihak di dalam BN.

G. Palanivel yang dijanjikan untuk dilantik sebagai senator sebelum dimasukkan semula di dalam kabinet Najib apabila BN menang di Hulu Selangor seharusnya dikotakan oleh Perdana Menteri. Cuma akan timbul sedikit kejanggalan apabila G. Palanivel atas sifatnya sebagai Timbalan Presiden MIC hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri, sedangkan Datuk S. Subramaniam yang hanya menyandang Naib Presiden MIC kini menjadi menteri penuh?

P. Kamalanathan pula hendaknya janganlah terjebak dengan pertelingkahan dalaman MIC yang mungkin dirinya menjadi mangsa yang akhirnya merugikan sekali lagi pengundi-pengundinya di Hulu Selangor. Datuk Seri S. Samy Vellu mungkin berpuas hati dengan kemenangan calon bidan terjun dari partinya yang telah dikosmetikkan oleh UMNO supaya ianya dapat diterima oleh orang Melayu yang menuntut supaya kerusi itu diserahkan kepada UMNO.

UMNO dilihat telah bekerja keras untuk mempastikan calon berketurunan India ini diberikan kemenangan walaupun menyedarinya begitu berisiko untuk dipertaruhkan di kalangan pengundi-pengundi Melayu, apatah lagi PKR telah meletakkan calon Melayu yang diharapkan dapat diterima oleh majoriti pengundi Melayu di situ.

Trend tidak menurunkan Perdana Menteri di dalam pilihan raya kecil sebelum ini hendaklah diubah segera, kerana keupayaan pengaruh Perdana Menteri yang turun kali ini di Hulu Selangor membuktikan betapa ianya telah membantu menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap BN. Kombinasi sokongan moral yang ditunjukkan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dilihat telah banyak mempengaruhi keputusan PRK di Hulu Selangor.

Satu perkara yang harus disentuh juga di sini ialah betapa kejayaan BN kali ini masih dibayangi dengan penolakan pengundi-pengundi Cina yang tegar memihak kepada calon PKR. Rata-rata kawasan peti undi yang majoriti pengundi Cina seperti di Ulu Yam Bharu, Rasa dan sedikit di Kalumpang tidak lagi berubah dimana sokongan mereka tetap kepada parti pembangkang.

Seharusnya MCA dan Gerakan melipatgandakan usaha mereka untuk mencuci tanggapan buruk masyarakat Cina terhadap Barisan Nasional. Jika fenomena ini masih berterusan, BN terpaksa berhadapan dengan segala cabaran getir untuk mengekalkan kerusi Parlimen Sibu yang bakal dipertandingkan semula pada 16 Mei akan datang. SUPP di Sarawak hendaklah membuktikan bahawa masyarakat Cina negeri itu tidak sama dengan pendirian masyarakat Cina di Hulu Selangor.

Apa pun diharapkan BN tidak terlalu angkuh dengan kemenangan yang dicapai ini. Apa sahaja boleh berlaku termasuk betapa terkejutnya kita apabila Selangor terlepas ke tangan Pakatan Rakyat dalam PRU12 yang lalu. UMNO/BN hendaklah mengikis segala andaian buruk yang digendangkan oleh Pakatan Rakyat dengan melakukan muhasabah dan menjuruskan era perjuangannya untuk membela rakyat. Tahniah...

No comments: