assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Friday, September 25, 2009

APA PENTINGNYA ISA DITANDINGKAN SEMULA?

Tan Sri Mohd. Isa Bin Dato' Abdul Samad, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan nampaknya berminat betul untuk mempertaruhkan dirinya sebagai calon BN di dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang yang bakal diadakan nanti.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang kelihatannya masih mengharapkan supaya dirinya dicalonkan bagi membolehkannya menduduki kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan dari Barisan Nasional yang kini diterajui oleh Menteri Besar, Dato' Mohamad Hassan.

Persoalannya jika Mohd. Isa menang di Bagan Pinang, apakah beliau boleh dijadikan MB semula menggantikan Mohamad Hassan? Lazimnya jika seseorang yang tidak lagi menjadi Menteri Besar yang telah diganti dengan tokoh yang lain, mustahil untuk dirinya diangkat semula menjadi Menteri Besar di negeri berkenaan.

Begitu juga agak janggal jika Mohd. Isa yang pernah menjadi Menteri Besar dan pernah juga menjadi seorang Menteri di peringkat persekutuan, kemudiannya dilantik sebagai salah seorang 'Exco' di dalam kerajaan Negeri Sembilan. Ia dianggap sebagai penyongsangan politik terhadap seorang tokoh besar seperti Mohd. Isa Samad.

Jika itu juga tidak sesuai untuk Tan Sri Mohd. Isa, maka jawatan apakah yang paling sesuai untuknya di peringkat Negeri Sembilan, selain hanya seorang ADUN biasa sahaja? Apakah pengikut taksubnya di Teluk Kemang yang dikatakan tidak berganjak mahukan Tan Sri Mohd. Isa Samad sebagai calon DUN Bagan Pinang hanya berpuas hati meletakkan idolanya hanya di takuk Adun biasa sahaja? Apakah itu yang mereka mahukan sedangkan Isa Samad mempunyai kelayakan yang lebih daripada itu yang perlu difikirkan juga oleh Dato' Mohamad Hasan selepas ini.

Di Sabah, Tun Datu Mustapha yang pernah menjadi Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri berkenaan. Begitu juga dengan Tan Sri Sakaran Dandai yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah dan kemudiannya beliau dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri itu setelah dirinya tidak lagi menjadi Ketua Menteri.

Di Sarawak pula, Tun Datu Patinggi Abdul Rahman Yakub yang pernah menjadi Ketua Menteri Sarawak telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri berkenaan setelah beliau tidak lagi menjadi Ketua Menteri. Sebenarnya agak janggal jika mereka ini ditandingkan semula sebagai Adun biasa sahaja.

Sebagaimana yang saya jangkakan, Tun Dr. Mahathir Mohamad tentunya tidak berapa bersetuju jika Isa Samad dicalonkan di Bagan Pinang kali ini. Tun Mahathir berpendapat UMNO harus kelihatan serius untuk menangani gejala politik wang tanpa terpengaruh dengan desakan untuk meletakkan Isa Samad yang terbukti menurutnya sebagai pesalah politik wang yang telah menerima hukuman daripada partinya.

Dalam arti kata yang lain, Dr. Mahathir beranggapan jika BN meletakkan Isa Samad juga sebagai calonnya di Bagan Pinang, maka UMNO telah merestui perasuah yang telah digantung keahliannya untuk mewakili partinya.

Ketua Pemuda Bahagian Telok Kemang telah menempelak pandangan Dr. Mahathir itu sambil menyebutkan bahawa Dr. Mahathir pun pernah dipecat daripada UMNO pada zaman Tunku Abdul Rahman, dan telah diterima semula di zaman Tun Razak seterusnya diberikan peluang bertanding dalam pilihan raya.

Isa Samad dalam komennya pula berkata tidak menjadi apa-apa halangan untuk dirinya bertanding, sambil merujuk betapa Anwar yang juga seorang bekas banduan pun boleh bertanding. Berdasarkan kenyataan itu, nampaknya Isa Samad benar-benar bersedia untuk menjadi calon seterusnya menjadi wakil rakyat di Bagan Pinang, sedangkan dirinya sudah berpuluh tahun menjadi Adun, seolah-olah UMNO Telok Kemang memang ketandusan tokoh sehingga mereka terkabur untuk melonjakkan tokoh-tokoh yang lainnya.

Namun begitu, UMNO Bahagian Telok Kemang berhak menyatakan pendirian mereka itu, lagipun mereka mempunyai alasan tersendiri untuk menyatakan kepada pucuk pimpinan bahawa hanya Isa Samad sahajalah yang layak sebagai galang ganti untuk bertanding di DUN Bagan Pinang dalam menghadapi cabaran yang bakal ditandingi oleh PAS.

Tan Sri Muhyiddin Yassin pula perlulah menimbangkan semasak-masaknya desakan yang dibuat oleh UMNO Bahagian Telok Kemang itu, jika tidak, jentera pilihan raya UMNO dan BN di Bagan Pinang pasti akan menjadi lumpuh dan tersasar dengan kekalahan BN buat kali yang kedelapan selepas DUN Permatang Pasir.

Demikianlah sulitnya UMNO untuk memilih calonnya kali ini di kubu sendiri. Kemelut ini jika tidak cermat ditangani ianya bakal menimbulkan pelbagai polemik yang mengundang perpecahan dalaman khususnya di dalam UMNO Negeri Sembilan itu sendiri.


Monday, September 21, 2009

KELUARGAKU 1 SYAWAL

Inilah anak-anakku di pagi Syawal.

Dari kiri: Ilyas Amru (menantu), Sarah Hanis Abdul Rahman, Saiful Ammar Abdul Rahman, Abdul Rahman Hashim (saya sendiri), Nora Nordin (Isteriku), Ayu Puteri Wahida Abdul Rahman, Adi Putra Shahreeza Abdul Rahman, Aiman Farhan Abdul Rahman, Arief Ikmal Abdul Rahman & Amirul Izzat Abdul Rahman. (Tiada bergambar Saiful Adli Abdul Rahman - bertugas di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu Sabah)

Abdul Rahman Hashim

SAYA SEKELUARGA MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI LEBARAN, MINAL AIDIN WALFA IZIN. MAAF ZAHIR DAN BATIN.


14 orang adik beradikku bersama ayah bonda di tengah-tengah.
Haji Hashim bin Kulup Ismail (Ayahanda) dan Hajjah Arbaayah
Bt Haji Yeop Majlis (Bonda).


Bersama 14 adik beradik dan 11 ipar duai

Bersama 14 adik beradik, 11 ipar duai dan 37 anak saudara.

Thursday, September 17, 2009

16 SEPTEMBER 2009, HARI PENUBUHAN MALAYSIA KE-46 TAHUN YANG DILUPAKAN?

Kelmarin, 16 September 2009 (1609) sepatutnya negara merayakan hari ulangtahun ke-46 'Penubuhan Malaysia', tetapi ia disepikan tanpa sebarang acara resmi untuk mengingatinya. Alangkah ruginya 'Gagasan 1Malaysia' yang dikumandangkan oleh Perdana Menteri ttetapi idak dimanfaatkan untuk mengajak segenap lapisan rakyat di negara ini agar terus mensyukurinya, kerana ianya juga selari dengan konsep 1Malaysia yang menjurus kepada ikatan satu hati tanpa mengenal ras dan anutan agama demi mencapai matlamat perpaduan yang diidamkan.

Jangan lupa, tanggal 16 September 1963 merupakan tarikh keramat yang telah mencantumkan Sabah, Sarawak dan juga Singapura bersama Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang kemudiannya menjadi satu negara, yang dikenali sebagai Malaysia.

Nama Malaya tidak terpakai lagi, sebaliknya sebuah nama baru yang melambangkan negara bangsa telah terbentuk yang dinamakan Malaysia.

Mulai detik itu, Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat yang mengandungi 14 buah negeri yang terdiri daripada negeri-negeri berikut:-

1. Perlis
2. Kedah
3. Pulau Pinang
4. Perak
5. Selangor
6. Kelantan
7. Terengganu
8. Pahang
9. Negeri Sembilan
10. Melaka
11. Johor
12. Singapura (Keluar Malaysia pada tahun 1965)
13. Sarawak
14. Sabah

Rakyat Sabah dan Sarawak telah memperlihatkan minat mereka untuk menyertai Gagasan Malaysia setelah diadakan pungutan suara yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Cobbold. Penyertaan kedua-dua negeri dari Pulau Borneo ini ke dalam Malaysia sekaligus telah membebaskan rakyat negeri tersebut dari cengkaman penjajah. Brunei Darussalam yang dijangkakan lebih awal untuk bersama-sama di dalam Malaysia, tetapi telah menemui jalan buntu.

Singapura pula terpaksa bersetuju dengan cadangan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (Foto) supaya negeri itu bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu serentak dengan percantuman Sabah dan Sarawak, kerana situasi politik di Pulau Temasik itu begitu rencam dengan tekanan arus politik sosialis yang pro kepada komunisme.

Kekalahan PAP pimpinan Lee Kuan Yew (Foto) di dalam pilihan raya kecil Hong Lim pada penghujung April 1961 telah menggerakkan hati Tunku Abdul Rahman dan juga Tun Razak untuk menyelami hati nurani Lee Kuan Yew yang agak kecewa dengan tekanan rakyat di kawasan pilihan raya itu.

PAP dikatakan bakal ditolak oleh majoriti rakyat di Singapura jika berlaku piihan raya yang mendatang. Jika ini yang terjadi sudah tentu Singapura akan dibayangi dengan kekuasaan front sosialis yang jelas cenderung kepada aliran komunis (PKM) yang pro-China. Kemungkinan tempiasnya juga akan melanda senario politik di Tamah Melayu yang sedang bergelut dengan ancaman komunis yang digerakkan oleh gerila Parti Komunis Malaya (PKM).

Bimbang dengan kemelut ini, pada 23 April 1961, Tunku telah menjemput Lee Kuan Yew ke Kuala Lumpur untuk berbincang mengenai gagasan 'Grand Design' dan percantuman Singapura dengan Tanah Melayu.

Di dalam perbincangan itu Tunku menjelaskan tentang rancangan Malaysia. Mengikut Tunku, gagasan Malaysia akan dibentuk secara berperingkat bermula dengan percantuman Tanah Melayu dengan Brunei, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah), kemudian akan disusuli dengan percantuman Singapura.

Lanjutan daripada itu juga, Lee Kuan Yew diarahkan supaya menyediakan kertas cadangan mengenai grand design itu yang bertajuk 'Paper on future of the Federation of Malaya and the Borneo Territories'. Kertas cadangan itu berkisar kepada kajian pro & kontra terhadap cadangan percantuman Singapura bersama Tanah Melayu termasuk kajian mendalam terhadap aspek keamanan serantau.

Kertas ini telah dimajukan kepada Tunku Abdul Rahman melalui Tun Razak. Ia mengemukakan dua alternatif dalam usaha untuk pembangunan politik bagi rantau ini. Alternatif pertama ialah setiap Wilayah akan mencapai kemerdekaan secara bersendirian, maakala alternatif kedua pula ialah ketiga-tiga Wilayah itu bercantum dalam satu gagasan yang dikenali sebagai Malaysia. Kertas itu lebih cenderung memberikan pandangan bagi alternatif yang kedua sebagai jalan terbaik bagi menyelesaikan tiga Wilayah itu.

Pada 27 Mei 1961, Tunku telah mengemukakan cadangannya secara terbuka tentang gagasan Malaysia ketika menyampaikan ucapan di Kelab Wartawan di Singapura. Menurut Tunku, sebagai satu bangsa, Malaya hari ini amat sedar bahawa dia tidak dapat berdiri sendiri dan hidup bersendirian.

Menurutnya lagi, di luar bidang politik antarabangsa, maka politik kebangsaan kita hendaklah didasarkan kepada konsep yang lebih luas. Tambahnya lagi, lambat laun Malaya akan dapat mencari persefahaman dengan British dan dengan rakyat di Wilayah Singapura, Borneo Utara (Sabah), Brunei dan Sarawak.

Ucapan Tunku ini telah menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontranya. Pihak British sendiri telah menunjukkan reaksinya untuk mengadakan perundingan dengan Tunku bagi mendapatkan maklumat yang lebih jelas terhadap cadangannya itu.

Pada 26 Jun 1961, telah diadakan satu mesyuarat pegawai-pegawai kanan British di Singapura yang turut disertai gabenor-gabenor British di Sarawak dan Borneo Utara (Sabah) termasuk Pesuruhjaya British di Brunei. Mesyuarat itu telah dipengerusikan oleh Lord Selkirk, dan beliau telah meminta pandangan daripada kesemua gabenor berkenaan.

Pada asasnya semua pihak yang berkaitan telah menyambut baik idea Tunku itu, kerana mereka berpendapat idea tersebut boleh menyelesaikan banyak masalah berhubung dengan masa depan Wilayah itu, kerana Wilayah Borneo dikatakan tidak berkeupayaan untuk berdiri sendiri dalam menangani masalah-masalah dalaman. Ugutan dan ancaman dari pihak Indonesia juga begitu menekan termasuk juga ancaman serta tuntutan pihak Filipina terhadap wilayah Borneo Utara (Sabah) telah mendorong ke arah merealisasikan idea Tunku itu.

Akhirnya pada 23 November 1961, kerajaan British dan Tanah Melayu telah mengeluarkan kenyataan menyokong cadangan penubuhan Malaysia. Sebuah suruhanjaya bersaama British-Tanah Melayu telah dibentuk bagi meninjau pandangan penduduk di Wilayah yang terlibat. Suruhanjaya ini lebih dikenali dengan nama 'Suruhanjaya Cobbold' kerana suruhanjaya ini telah dipengerusikan oleh Lord Cobbold.

Suruhanjaya Cobbold telah memulakan tugasnya pada bulan Februari 1962. ada 1 Ogos 1962, suruhanjaya itu telah mengeluarkan laporannya yang menyimpulkan bahawa dua pertiga daripada rakyat negeri Sarawak dan Sabah ingin menyertai Malaysia, manakala bakinya menyokong pemerintahan British. Di Singapura pula lebih 70 peratus rakyatnya telah menyokong penubuhan Malaysia.

Di dalam keghairahan rakyat di Sabah, Sarawak dan Singapura yang telah bersetuju menyertai Malaysia tetapi ianya tidak posiitif di Brunei, kerana pemberontakan yang dicetuskan oleh Parti Rakyat pimpinan A.M Azahari terhadap kerajaan British telah menjadi faktor kepada kegagalan membawa Brunei dalam Malaysia.

Pemberontakan rakyat Brunei yang tercetus pada 8 Disember 1962 telah dikaitkan dengan provokasi dan juga sokongan moral yang diberikan oleh pihak Indonesia dimana Presiden Sukarno telah membuat tanggapan yang negatif terhadap percatuman Sabah, Sarawak dan Brunei di dalam Malaysia akan memperkukuhkan lagi imperialisme British di rantau ini.

Dalam artikata lain, Presiden Sukarno telah menentang hasrat Tunku untuk membentuk gagasaan Malaysia, kerana beliau berpendapat Tunku telah diperkudakan oleh pihak British dan bakal mengancam kedaulatan Wilayah Indonesia.

Kondisi tidak senang Presiden Sukarno terhadap penubuhan Malaysia ini telah menimbulkan suanana menjadi lebih tegang di antara Tanah Melayu dengan Indonesia, dan ianya telah mengundang kepada 'konfrontasi Ganyang Malaysia' atau KOGAM oleh pihak Indonesia.

Wilayah-wilayah di negeri Sarawak dan juga di selatan Sabah telah menjadi sasaran serangan oleh Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) yang disokong oleh kerajaan Indonesia. TNKU telah dibekalkan persenjataan yang lengkap serta memberikan latihan gerila kepada pihak-pihak yang melakukan pemberontakan di Sarawak, Sabah dan juga di Brunei, termasuk mempersenjatai gerila komunis PARAKU di Sarawak terutamanya.

Walaupun gagasan Malaysia telah berjaya diisytiharkan pada 16 September 1963, namun Presiden Sukarno dari Indonesia tetap dengan pendiriannya untuk mengganyang Malaysia. Akibatnya banyak wilayah-wilayah Malaysia terutamanya di Sarawak telah diserang oleh TNKU. Pihak komunis PARAKU pimpinan Bong Kee Chok telah diperkuatkan untuk membarakan lagi penentangan rakyat Sarawak terhadap gagasan Malaysia.

Balai polis Tebedu di Sarawak yang bersempadan dengan Kalimantan Barat telah diserang oleh TNKU pada 12 April 1963 sehingga mengorbankan nyawa dan mencederakan ramai anggota polis tempatan yang bertugas. Rumah panjang penduduk kaum bidayuh di Kampung Mongkos dan di Kampung Bunan Gega yang bersempadan dengan Kalimantan Barat juga telah diserang oleh TNKU sebanyak tiga kali.

Kesan-kesan serangan TNKU itu masih boleh dilihat di Balai Polis yang terletak di Bukit Pego, di Tebedu, Sarawak; dan juga di rumah panjang Kampung Mongkos yang terletak di dalam daerah Serian, di Sarawak.

Saya sendiri telah berkesempatan ke lokasi ini ketika membuat asigment menyiapkan buku Memoir Skuad 69 PDRM Edisi Sarawak pada tahun 2006 yang lalu. Di Kampung Mongkos, saya sendiri telah menemu bual beberapa orang lama yang pernah berhadapan dengan serangan TNKU pada tahun 1963. Kesan-kesan peluru di bahagian dinding rumah panjang itu masih diabadikan.

Begitu juga kesan-kesan peluru di pintu pagar Balai Polis Tebedu (Balai lama) di Bukit Pego, Tebedu masih boleh dilihat. Balai polis Tebedu yang baru kini telah dipindahkan di sebuah lokasi baru sebagai menggantikan balai lama di Bukit Pego.

Sebenarnya banyak lagi wilayah-wilayah Malaysia di Sarawak yiang menjadi mangsa serangan TNKU yang dibantu oleh komunis PARAKU. Tekanan yang diberikan oleh Regim Sukarno terhadap Malaysia benar-benar telah memberi impak yang besar terhada kestabilan di rantau ini. Parti Komunis Indonesia (PKI) begitu berpengaruh di dalam regim Sukarno sehingga negara serumpun ini terjebak dengan pertelingkahan yang melemahkan kekuatan yang tidak melambangkan kebijaksanaa untuk berhadapan dengan imperialisme.

Demikianlah memori lampau yang dapat saya coretkan sedikit sebagai mengenang kembali perjuangan untuk menegakkan sebuah negara bangsa yang bernama MALAYSIA. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, setiap rakyat di negara ini haruslah merasa bangga dengan pembentukan Malaysia yang diperjuangkan oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Walaupun Laut China Selatan telah menjarakkan Sabah dan Sarawak daripada tanah semenanjung, namun kita telah disebatikan dengan ikatan perpaduan sejagat menerusi gagasan satu negara yang menjadikan Malaysia semakin maju ke hadapan. Peristiwa lampau yang mencuit hati janganlah dijadikan alasan untuk memisahkan negeri-negeri yang berada di Pulau Borneo dengan negeri-negeri yang berada di tanah semenanjung.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh pimpinan negara sewajarnyalah tidak hanya manis di bibir tetapi biarlah ianya menjadi slogan sakti yang menjadikan negara ini terus diperkuatkaqn dengan kesatuan rakyatnya tanpa mengira anutan agama dan juga anutan parti-parti politik. Perbezaan fahaman politik janganlah sampai kita terlupa bahawa kita sebenarnya adalah sewarga yang berjenama Malaysia.






Friday, September 11, 2009

BEKAS MB NEGERI SEMBILAN PERNAH MENANG NAIB PRESIDEN UMNO DAN PERNAH DIGANTUNG KEAHLIANNYA, BAKAL CALON BN BAGAN PINANG?

Tan Sri Mohd. Isa Samad, mantan MB Negeri Sembilan yang paling lama ini bukan sahaja telah lama memimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang, malah Isa Samad juga merupakan mantan Naib Presiden UMNO yang juga mantan Menteri Wilayah Persekutuan pernah digantung keahliannya di dalam UMNO setelah beliau disabitkan terlibat dengan gejala 'politik wang' oleh Lembaga Disiplin UMNO enam tahun yang lalu.

Sementara itu kerusi DUN N.31 Bagan Pinang yang berada dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil akan berlaku sedikit masa lagi di DUN berkenaan setelah kerusi ini menjadi kosong dengan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor yang telah menang dalam PRU12 lalu.

Ekoran daripada kekosongan kerusi ini, UMNO Bahagian Teluk Kemang telah pun mengemukakan hanya satu nama calon yang harus dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti untuk dipertaruhkan di dalam pilihan raya kecil itu nanti. Calon tunggal yang berkenaan ialah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu sendiri, iaitu Tan Sri Mohd. Isa Samad.

Nampaknya Tan Sri Muhyidin Yasin, Timbalan Presiden UMNO tidak begitu gembira dengan ketetapan yang telah dambil oleh UMNO Bahagian Teluk Kemang itu, sebaliknya beliau berharap UMNO Bahagian Teluk Kemang dapat mengemukakan nama-nama lain yang berkelayakan bagi memudahkan pemilihan calon yang benar-benar layak dapat dibuat oleh pucuk pimpinan parti.

Reaksi Timbalan Perdana Menteri itu tentunya akan menimbulkan spekulasi seolah-olah calon tunggal yang dikemukakan itu harus dikaji semula dengan penuh teliti, supaya ianya tidak menimbulkan masalah sehingga terjumpa 'lubang angin' yang mungkin dibolosi oleh pembangkang. Kesilapan memilih calon di Permatang Pasir telah menjadi pengajaran kepada UMNO/BN kerana calon berkenaan dikatakan diselaputi dengan banyak masalah peribadi yang tidak tertanggung oleh pucuk pimpinan parti untuk menangkisnya.

Apakah Tan Sri Mohd. Isa Samad dianggap sebagai calon yang bermasalah? Benarkah rekod penyingkirannya daripada jawatan Naib Presiden UMNO oleh Lembaga Disiplin UMNO bakal dihangatkan semula oleh soldadu pembangkang di dalam kempen pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang nanti?

Bagaimanakah pihak UMNO untuk mencuci mangkok yang dikatakan pernah dikotori oleh Tan Sri Mohd. Isa? Apakah UMNO akan berkata bahawa keputusan Lembaga Disiplin yang pernah menggantung keahlian Tan Sri Mohd. Isa Samad itu sebagai perkara yang tidak betul? Apakah bentuk hukuman yang diterimanya itu boleh dianggap sebagai satu penganiayaan ataupun sabotaj akibat permainan kotor di dalam UMNO sendiri? Kalau begitu siapakah gerangan pencatur yang mengheret Isa Samad sehingga terlucut jawatannya itu?

Nampaknya kejijikan dalaman UMNO akan terbarai dan mungkin diulang tayang oleh pihak pembangkang untuk bahan tontonan rakyat tentang peri laku pemimpin UMNO. Oleh itu memang wajarlah saranan pucuk pimpinan itu supaya UMNO Bahagian Teluk Kemang dapat mengemukakan nama-nama lain selain Ketua Bahagiannya. Harap-harap janganlah pilih calon bagaikan biskut lemau.

Kita pun boleh baca apa yang akan dikatakan oleh Dr. Mahathir tentang calon yang tidak bersih dan yang tidak sepatutnya bertanding dalam pilihan raya.



Sunday, September 6, 2009

TOLONG JANGAN NYALAKAN API PERKAUMAN....


Mintak tolong jangan nyalakan api perkauman! Kalau nak berunding mengenai isu kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam itu, mengapa masih ada di kalangan kita yang menampakkan kebencian terhadap agama lain? Boleh tak jangan aibkan UMNO sehingga parti Melayu ini terjebak dengan emosi perkauman?

Kalau masih ada 'pemain' berwajah UMNO yang meniupkan sentimen perkauman yang melampau ini, saya lebih bimbang gagasan 1MALAYSIA yang dicetuskan oleh Presiden UMNO ini hanya manis di bibir saja, tetapi gagal dihayati oleh UMNO sendiri. Macam mane kita nak menarik sokongan masyarakat majmuk di negara ini terhadap kewibawaan UMNO/BN, jika kita masih dilihat tidak toleran terhadap mereka?

Sejak akhir-akhir ini UMNO masih dilihat sebagai sebuah parti yang sedang menari dengan gendang perkauman yang akhirnya menimbulkan kebencian kaum lain terhadap tarian kita itu. Apabila berlaku pilihan raya kecil, kita menjadi tercengang kerana kaum-kaum berkenaan tidak mempercayai kita lagi. Bahaya sungguh permainan ini!

Janganlah kita terperangkap lagi sehingga terbawa-bawa pula isu perkauman melampau ini di dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang nanti. Jika benar DUN Bagan Pinang merupakan kubu kuat UMNO, bukan bermakna orang Melayu di situ terdorong untuk menyalakan api perkauman. Mungkin UMNO dilihat berminat untuk meniupkan nafiri ini, tetapi sebenarnya kita terlupa bahawa tindakan ekstrim kita itu telah menebalkan lagi kebencian kaum lain terhadap UMNO/BN, dan akhirnya kita tewas lagi.

Berwaspadalah.....selain kita hanya berbangga dengan satu kemenangan sahaja di Batang Ai Sarawak, sebenarnya kita juga terlupa bahawa PRK di Kuala Terengganu, Permatang Pauh, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Penanti, Manek Urai dan di Permatang Pasir - majoriti rakyat di 7 kawasan ini telah memihak kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya UMNO/BN masih terbuai dengan slogan-slogan syok sendirinya.

BAGAN PINANG janganlah terheret sama dengan masalah LEMBU ini.

Saturday, September 5, 2009

PILIHAN RAYA KECIL KE-9 DI N31 BAGAN PINANG MILIK SIAPA KALI INI?

Akan berlaku lagi pilihan raya kecil buat kali yang ke-9, dan kali ini di Negeri Sembilan. ADUN Bagan Pinang (N31) daripada UMNO/BN Azman Mohd. Nor (Foto) telah kembali ke rahmatullah pada jam 2.30 petang kelmarin akibat serangan jantung, di hospital pakar di Seremban.

Dalam kenyataan takziahnya, YAB Datuk Sri Najib Tun Razak turut menyatakan bahawa UMNO/BN akan pasti menyertai pilihan raya kecil yang bakal diadakan di DUN berkenaan. Tentunya YAB Perdana Menteri mahukan pilihan raya kecil kali ini akan menjadi milik UMNO untuk memenanginya, setelah tujuh kali tewas di dalam semua lapan pilihan raya kecil sebelum ini.elah

Di dalam PRU12 yang lalu, Allahyarham Azman Mohd. Nor daripada UMNO telah memenangi kerusi DUN Bagan Pinang ini dengan kelebihan 2,333 undi. Berdasarkan statistik, YB Allahyarham Azman Mohd. Nor berjaya mengekalkan kerusi N.31 Bagan Pinang ini pada PRU12 2008 dengan pertambahan sebanyak 463 undi berbanding 5,967 undi yang diperolehi oleh UMNO/BN pada PRU sebelumnya.

PAS pula menerusi calonnya Ramli Ismail berjaya memperolehi 4,097 undi berbanding sebanyak 1,556 undi pada PRU11, pertambahan sebanyak 2,541 undi, bukanlah suatu fakta yang memungkinkan UMNO/BN berada dalam keadaan selesa untuk mengulangi kejayaannya. UMNO haruslah bekerja keras untuk mengembalikan semula imejnya di dalam PRK kali ini. Jika calon UMNO yang diletakkan kali ini tewas juga di tangan PAS, maka jelaslah rakyat telah menolak UMNO di kawasan miliknya.

Apa pun kita mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham Azman Mohd. Nor. Al-Fatihah!

Saturday, August 29, 2009

BANTAH KUIL HINDU, KEPALA LEMBU YANG JADI MANGSA, ANGKARA SIAPA NI..?

Renungan:
Allah berfirman, "Katakanlah (Muhamad), wahai orang-orang kafir. Aku tidak akan sembah apa yang kau sembah. Dan kau tidak akan sembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kau sembah. Dan kau pula tidak pernah sembah apa yang aku sembah. Bagimu agamamu, bagi aku agama aku." (Maksud Al-Quran Surah Al-Kafirun)

Bodoh macam lembu! Mereka yang mengusung kepala lembu yang telah disembelih (masih berdarah) di Shah Alam kelmarin, telah melakukan tindakan provokasi bodoh yang telah mencemari ramadan.

Amat dikesali kerana pelakunya adalah individu Islam. Kumpulan ini telah berarak bersama-sama dengan kepala lembu yang masih bertitisan darahnya, sambil mereka bertakbir menuju ke pejabat SUK Selangor di Shah Alam selepas mereka menunaikan solat jumaat.

Kumpulan ini telah bertindak kononnya sebagai bantahan terhadap cadangan kerajaan negeri Selangor yang memindahkan kuil Hindu di kawasan mereka di Seksyen 23 Shah Alam. Kepala lembu yang menjadi simbol kesucian penganut agama Hindu itu telah diletakkan oleh mereka yang berkenaan di pintu pagar bangunan Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor, untuk dijadikan hadiah kepada Khalid Ibrahim Menteri Besar, Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam dan juga kepada Rodziah (Exco Selangor).

Jurucakapnya pula telah berkata kepada wakil-wakil media dengan penuh emosi bahawa dirinya sanggup melakukan apa saja walaupun dengan bergadai nyawa sekalipun hingga ke titisan darah yang terakhir....demi mempertahankan kawasan penempatannya dari dicemari dengan pembinaan kuil Hindu berkenaan.

Sementara itu Perdana Menteri telah melahirkan rasa kesalnya di atas kejadian ini. Datuk Sri Najib Tun Razak telah menelefon segera IGP Tan Sri Musa Hassan supaya menyiasat insiden ini setelah mendapat laporan daripada Setiausaha Agung MIC Datuk Dr. S. Subramaniam yang juga Menteri Sumber Manusia. Sebagai pemimpin kanan kepada parti yang mewakili masyarakat India di negara ini, tentunya beliau tidak senang hati dengan tindakan yang dilakukan oleh mereka yang terbabit.

Datuk Seri S. Samy Velu pemimpin nombor satu MIC juga 'melompat' dan kesal dengan tindakan provokasi berkenaan. Beliau biimbang penganut agama Hindu di negara ini akan mengambil tindakan yang tidak diingini ekoran kejadian ini. Samy mahukan supaya mereka yang terlibat itu diambil tindakan yang sewajarnya.

Begitu juga Ketua Pemuda UMNO yang juga Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaludin turut menyesali dengan kejadian yang beliau sifatkan telah mencemari bulan ramadan. KJ merasakan tindakan ini boleh menyinggung dan membangkitkan kemarahan penganut agama yang berkenaan; dan tidak sepatutnya ia berlaku sedemikian.

Saya tidak mahu komen banyak, melainkan saya ingin menyarankan agar umat Islam tidak terjebak dengan sentimen kebencian dan permusuhan terhadap agama lain di negara ini. Seharusnya kita menghormati hak dan kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub di dalam perlembagaan negara.

Tentunya kita akan marah jika penganut agama lain mengambil tindakan memijak kitab suci Al-Quranul Karim sebagai membantah pembinaan surau atau masjid di kawasan tertentu. Demikian jugalah perasaan mereka apabila lambang kesuciannya telah diperlakukan secara hina oleh golongan ekstrimis ini.

Renung-renungkanlah cebisan ayat Al-Quran Surah Al-Kafirun yang tertera di atas, dimana Allah telah menegaskan kepada baginda Rasulullah SAW tentang toleransi beragama di kalangan umat manusia. Eloklah kita mengambil iktibar di bulan Ramadan Al-Karim ini supaya tidak menimbulkan keresahan di dalam masyarakat kita yang berbilang kaum ini.

Tuhan menjadikan manusia berbilang suku kaum di muka bumi ini bukannya untuk dipermusuhi, sebaliknya untuk kita saling kenal mengenal diantara satu sama lain. Jalinan perpaduan ini amat penting dipupuk, kerana kaedah inilah yang sedang dikumandangkan setiap hari di corong-corong radio dan kaca TV sebagai menyahut gagasan 1Malaysia oleh Perdana Menteri kita hari ini.

Janganlah dicemari juga semangat kemerdekaan yang menuntut agar semua rakyat di negara ini hidup harmoni tetapi dengan provokasi kebencian yang ditiupkan oleh segelintir golongan ekstrim ini akan merosakkan susu sebelanga.

Mari kita sama-sama merenungi Firman Allah dalam Surah Al-An'am ayat 108:-

Maksudnya: "Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa kamu ketahuinya. Demikianlah kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah kembali mereka, lalu dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan."