assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, August 30, 2012

MERDEKA! JANJI DITEPATI, BUKAN BERTIKAM SESAMA SENDIRI

Oleh Abdul Rahman Hashim


Pertikaman sesama sendiri akibat perselisihan yang tidak bernoktah
Negara kita telah MERDEKA sejak 55 tahun lalu dari belenggu penjajahan. Sejak 1511 - 1957 selama 446 tahun bangsa dan tanahair kita dililit penjajah bersilih ganti dengan sehina-hinanya bermula dengan serangan Feringgi (Portugis), Belanda, Inggeris, Jepun dan kembali semula Imperialis Inggeris. Parti Komunis Malaya (PKM) juga terbentuk semasa penjajahan British di Tanah Melayu,, dimana PKM telah dipersejantai oleh British untuk menentang Jepun di bumi Malaya; akhirnya PKM yang dianggap sebagai pengganas menjadi ancaman terbesar pula kepada British, lalu British mengisytiharkan darurat pada tahun 1948 untuk menghapuskan perjuangan militan komunis. 

Dalam kegawatan ini Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj (YDP UMNO pada masa itu) bijak dengan strategi diplomatiknya telah merangka pelan menuntut hak kemerdekaan supaya negara ini segera dibebaskan dari cengkaman penjajah sebagai langkah untuk mengendurkan ketegangan ancaman komunis. Tanggal 31 Ogos 1957 dipilih untuk merayakan HARI KEMERDEKAAN tanahair. Rakyat bersatu padu dan berdiri teguh bersama pejuang-pejuang kemerdekan pada masa itu untuk menunjukkan kekuatan dan kesepaduan hati kepada pihak British yang menjajah.
Walaupun PKM tidak mengiktiraf kemerdekaan tanahair, namun hakikatnya perjuangan menuntut kemerdekaan terhasil juga akhirnya. Ingatlah, perjuangan membebaskan negara dari cengkaman penjajah bukannya bermula semalam, bukan juga bermula seminggu berlalu dan bukan juga bermula pada tahun 1946; tetapi perjuangan menghalau penjajah ini dicetuskan oleh pejuang-pejuang kita yang terdahulu yang tidak sanggup menjadi tali barut kepada Feringgi, Belanda, Inggeris dan juga Jepun. 

Hendaknya jangan ada lagi watak-watak pengkhianat dan pembelot seperti Datuk Shahbandar Mandeliar, Si Kitol & Laksamana Khoja Hassan yang bertubi-tubi melemparkan fitnah kepada Sultan Mahmud Shah kononnya Datuk Bendahara Melaka, Tun Mutahir mahu merampas takhta Sultan; sehingga menyebabkan Sultan Mahmud Shah menjadi murka lalu memerintahkan Tun Sura membunuh Tun Mutahir sekeluarga kecuali anaknya Tun Fatimah dan Tun Hamzah. Portugis mengambil peluang dari porak peranda dalaman ini untuk menyerang Melaka yang sudah pun lemah akibat persengketaan yang berpanjangan.
Panglima perang Feringgi, Alfonso de Albuerque dalam serangan keduanya terhadap Melaka pada tahun 1511 telah dibantu oleh pembelot/pengkhianat dengan membuka pintu Kota Melaka sehinga Sultan Mahmud Shah terpaksa melarikan diri ke Muar kerana Empayar Melaka sudah pun jatuh ke tangan Portugis. Kota Melaka yang dibina oleh Parameswara atau pun Sang Nila Utama yang datang dari Pulau Temasek (Singapura) yang mencari penempatan baru telah menjadi Raja Melaka pada tahun 1400; dan akhirnya pada tahun 1511 Empayar Melaka yang hebat dan sebagai pusat perdagangan utama terpenting pada zaman itu telah punah akibat api persengketaan sesama sendiri yang tidak dapat dikawal lagi. Pertikaman sesama sendiri telah membawa padah sehingga bangsa kita menjadi hina dina....JANJI DITEPATI bukan sekadar slogan, tetapi biarlah semua pihak tanpa mengira anutan parti politik menepati janji masing-masing untuk  mensejahterakan negara ini. Segeralah mencari noktah perbalahan yang tidak menguntungkan kepada  kita  semua.  SALAM KEMERDEKAAN!!

Wednesday, August 29, 2012

IBLIS MENSYAITANKAN MALAIKAT?

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Dr. Mahathir berkata UMNO adalah syaitan yang dikenali...

Sekitar tahun 1980 semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah berkata bahawa 'PAS lebih bahaya daripada komunis'. Beliau meyandarkan hujah ini kerana menurutnya di dalam Al-Quran Allah berfirman bahawa 'Fitnah itu lebih bahaya daripada membunuh'. Beliau rimas pada masa itu kerana menurutnya pemimpin-pemimpin PAS sering melemparkan fitnah kepada UMNO, manakala pengganas komunis pula sering melakukan siri-siri pembunuhan terhadap pasukan keselamatan negara. Justeru beliau mengandaikan bahawa PAS itu lebih merbahaya daripada pengganas komunis.
Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi telah mencetuskan kontroversi di persada politik tanahair. Kali ini beliau menunjukkan geramnya kepada puak-puak pembangkang yang kononnya berlagak lebih baik daripada UMNO sebagai MALAIKAT; manakala parti UMNO yang banyak melakukan kebaikan tetapi sering dilabelkan oleh puak pembangkang sebagai SYAITAN.
Justeru Dr. Mahathir Mohamad menyatakan bahawa lebih baik kita berkawan dengan SYAITAN yang kita kenal daripada berkawan dengan MALAIKAT yang tidak kita kenali. Sampai begitu sekali Dr. Mahathir marahkan PAS dan kuncu-kuncunya sehingga sanggup beliau memartabatkan bahawa syaitan ada juga yang baik, manakala beliau menyifatkan bahawa bukan semua malaikat yang wajar kita ikuti semata-mata kerana malaikat itu suci; mungkin beliau merasakan malaikat juga seperti kejadian manusia yang dijadikan daripada tanah, maka wajarlah ia dimusuhi.
Apakah beliau menyifatkan pemimpin UMNO itu merupakan syaitan, manakala puak-puak pembangkang PAS itu adalah golongan para malaikat? Jika itulah yang dimaksudkannya, maka jelaslah bahawa beliau begitu disakiti sehingga sanggup dirinya menggemari syaitan dan membenci pula malaikat. Pada saya Tun Dr Mahathir masih bebas untuk menyukai atau membenci mana-mana parti, tetapi bukannya menjerumuskan dirinya sebagai sahabat syaitan; malah beliau telah menyamakan UMNO dan pemimpinnya sebagai syaitan yang beliau kenali.
Jika syaitan dibenci Tuhan kerana ingkar dengan segala perintahNya, maka dibimbangi Tun Dr Mahathir juga adalah sekutu syaitan yang berjaya dihasuti oleh para Iblis laknatullah. Jika benar andaian Mahathir bahawa golongan yang menentang UMNO bagaikan malaikat yang beliau tidak kenali lalu wajar ia dimusuhi, maka Dr Mahathir dilihat terlalu berani bermain dengan 'api persepsi' bahkan beliau masih terkeliru untuk membezakan sifat-sifat syaitan dan juga sifat-sifat para malaikat sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Quran.
Menurut pandangan Islam, SYAITAN dicipta dari api oleh Allah S.W.T. dan juga dikatakan berasal dari golongan Jin sebelum dipilih menjadi MALAIKAT. Ini membezakannya dari malaikat-malaikat lain. Disebabkan iblis ini menentang perintah Allah S.W.T. lalu dia diusir dari golongan malaikat dan dinyahkan dari syurga, akibat ingkar dengan perintah Allah untuk sujud kepada Nabi Adam sebagai penghormatan ciptaan-Nya yang mulia.
Menurut agama Islam, Tuhan meletakkan taraf manusia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk yang lain kerana mereka diberikan akal - terutamanya untuk membandingkan yang buruk dari yang baik.
Syaitan membangkang ciptaan Tuhan pada manusia dan mencegah dari menyujud di hadapan Adam seperti dilakukan oleh para malaikat lain. Tuhan bertanya kepada syaitan: "Apakah yang mencegahmu sujud menghormati sesuatu yang telah aku ciptakan dengan tangan-Ku?" Syaitan menjawab: "Aku adalah lebih mulia dan lebih unggul dari dia. Engkau ciptakan aku dari api dan menciptakannya dari lumpur." Ini menunjukkan bahawa syaitan merasa dirinya lebih bertaraf tinggi dari Adam kerana dia diperbuat dari api, manakala Adam diperbuat dari tanah, yang dianggap tidak bersih dan rapuh.
Justeru syaitan berjanji dan berkata di hadapan Tuhan, Nabi Adam dan para malaikat bahawa dia akan membinasakan Adam dan seluruh keturunannya (iaitu golongan manusia) sampai hari akhirat kelak.
Allah bersabda bahawa manusia yang mengikuti perintah-Nya tidak akan dibinasakan oleh syaitan, tetapi yang mengikuti syaitan akan turut dibinasakan dan diseksa di dalam api neraka pada hari akhirat. Syaitan juga yang memyebabkan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa terkeluar dari Syurga, walaupun mereka telah diampunkan oleh Allah, dan bisikannya telah menyebabkan anak mereka Qabil membunuh Habil.
Rasulullah bersabda, "Janganlah kamu marah, kerana perasaan itu datangnya daripada syaitan".
Perhatikan juga firman Allah dalam surah Al-Maidah ayat 91 yang bermaksud, "Syaitan bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian diantara kamu".
Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 169 Allah juga telah berfirman, "Sesunggunya syaitan itu menyuruh kamu melakukan perbuatan jahat dan keji, dan menyatakan mengenai agama Allah apa yang tidak diketahui".
Di dalam surah Az-Zukhruf ayat 36, Allah berfirman "Sesiapa yang berpaling daripada mengingati Allah, maka syaitan adalah teman yang selalu bersamanya".
Wallahu A'lam.

Friday, August 24, 2012

HUDUD DI'MATADOR'KAN OLEH SIAPA?

Oleh Abdul Rahman Hashim  
Jangan sampai Hudud dimatadorkan
Nik Abduh Nik Aziz selar Karpal Singh
Nik Abduh Nik Aziz, Timbalan Ketua Pemuda PAS meminta DAP menyatakan pendirian rasmi parti itu terhadap hukum undang-undang Islam khususnya hudud yang sedang hangat dihebohkan sekarang ini. Bagaimana pula dengan Pemuda UMNO, apakah tidak tercabar dengan pendirian yang dibuat oleh Pemuda MCA yang turut menolak Hudud atau mungkinkah UMNO juga turut bersimpati dengan DAP yang dikecam kuat oleh PAS sehingga tidak tergamak untuk mencabar rakan sekutunya dalam BN, MCA?
Demikianlah malangnya hukum Tuhan ini apabila dihangatkan dari kacamata politik sempit. Masing-masing  rasa tidak berdosa apabila hudud tidak mendatangkan keuntungan politik kepada parti-parti tertentu. Di Kota Bharu Kelantan, Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Fatmi Salleh yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri dikatakan kecewa kerana parti PAS masih berdegil mahu berkawan dengan DAP walaupun parti itu khususnya Karpal Singh berterusan menentang hudud?
Jika itulah respon pemimpin UMNO terhadap isu ini, maka ia bagaikan terpercik ke muka sendiri, kerana MCA yang menjadi rakan sekutu kuat UMNO di dalam BN juga tidak kurang hebatnya menentang hudud, malah ada di kalangan pemimpin MCA pernah melemparkan ugutan kepada UMNO supaya tidak melaksanakan hudud jika mahu MCA kekal di dalam BN. Demi menjaga hati MCA ini, tidak ada seorang pun pemimpin kanan UMNO yang rasa tercabar apabila hukum Allah ini dipersendakan sebegitu rupa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa mengeluarkan kenyataan resmi bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan hukum hudud kerana menurutnya hukum Tuhan ini tidak sesuasi dilaksanakan di negara berbilang kaum seperti Malaysia. MCA merasa lega dan gembira dengan kenyataan Najib itu, kerana MCA mungkin merasakan itu adalah jaminan untuk meraih sokongan semula pengundi Cina kepada BN dalam PRU13 nanti.
MCA dilihat tidak mahu tertinggal keretapi apabila DAP berterusan membuat kenyataan untuk menolak hudud. Karpal Singh tidak mencabar UMNO kerana beliau tahu sememangnya UMNO tidak mahukan hudud di negara ini. Cuma Karpal Singh masih enggan untuk menyatakan sokongan kepada UMNO yang secara terbuka telah menolak hudud demi hendak menjaga hati Pakatan Rakyat.
Masih panjang lagikah isu hudud ini hendak dipolitikkan? Jika ia diperhangatkan lagi mungkin akan menyebabkan PAS semakin menyinga kepada DAP, kerana Karpal Singh dilihat masih menjadi faktor kesukaan pihak media untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP, kalau boleh hendak memisahkan kedua-duanya dalam Pakatan Rakyat. Utusan Malaysia tetap menjadi media matador tunggangan UMNO untuk tujuan ini. Sebelum ini akhbar Utusan dan media sekutunya yang lain juga telah mempalitkan PAS dan parti-parti sekutu Pakatan Rakyat sebagai penderhaka kepada Raja.
Setiap hari di dada-dada akhbar berkenaan dan boleh dikatakan setiap malam di kaca TV1, TV2 dan TV3 rakyat di seluruh negara dipertontonkan betapa durhakanya pemimpin parti pembangkang yang kononnya telah menghina Sultan. Parti-parti pembangkang Pakatan Rakyat dalam respon mereka terhadap percubaan pihak media memainkan sentimen kebencian kepada Raja itu telah meminta supaya isu ini dihentikan sahaja kerana mereka juga mendakwa bahawa UMNO pernah terjebak dengan isu menghina Raja-Raja Melayu sehingga telah menghilangkan kekebalan Raja-Raja Melayu menerusi pindaan Perlembagaan yang mereka gubal sebelum ini. Hampir semua media arus perdana memberikan liputan meluas menghina dan memalukan Raja-Raja Melayu demi sokongan kuat mereka kepada UMNO/BN pada masa itu. Deria rasa menghina Sultan langsung telah diketepikan.
Begitulah yang berlaku pada hari ini, pihak media berterusan membesarkan isu hudud tanpa segan silu malah semacam tidak berdosa dengan Allah apabila hukum Allah ini dipersendakan bahkan dimatadorkan. Wajah Karpal Singh yang bukannya seorang Islam telah mendapat liputan dan publisiti meluas untuk memanjangkan kecamannya terhadap hukum Allah. Tindakan Karpal Singh itu diolah bagaikan seorang 'kafir harbi' yang patut ditentang oleh semua umat Islam negara ini, tetapi mereka telah mengecualikan Presiden MCA Chua Soi Lek yang juga dilihat senada dengan Karpal Singh.
Nampaknya media arus perdana tetap dengan polisi matadornya, tetapi motif matodarisme kali ini tidak melagakan UMNO dan MCA sebaliknya memilih matador parade untuk melaga-lagakan di antara DAP dan PAS. Jika ada pun serangan satu dua pemimpin UMNO terhadap kebiadapan MCA terhadap hukum Allah ini, mungkin ia tidak disiarkan demi menjaga keakraban intim UMNO/MCA. 
Demikianlah HUDUD disatirakan mengikut persepsi politik matador kepartian di negara Islam seperti Malaysia yang berpegang kepada konsep 1Malaysia.

Wednesday, August 22, 2012

MENGAPA HUDUD DIHINA SEBEGITU RUPA?

Oleh Abdul Rahman Hashim 
Dia lawyer yang tidak arif hukum hakam Islam

Menjelang hari lebaran Eid Mubarak, isu HUDUD nampaknya semakin dihina dengan berbagai kecelaruan yang dikelirukan. Kedangkalan mereka yang bukan beragama Islam terhadap syariat Islam rasanya bukanlah perkara yang pelik kerana mereka tak pernah mengaji dan membaca Al-Quran, tetapi penolakan syariat Islam yang ditanzilkan menerusi wahyu Allah oleh mereka yang mengakui beragama Islam telah menyamakan diri mereka dengan kejahilan mereka yang bukan beragama Islam. 
Jika pun hukum hudud hendak dilaksanakan di negara ini menggantikan undang-undang sivil dalam menangani masalah jenayah dan sosial, perlaksanaanya hanya di kalangan umat Islam sebagai sebahagian daripada hak beragama dan hak mengamalkan agama anutan mereka. Warga bukan Islam tidak perlu merasa terganggu dengan pelaksanaan hukum tersebut kerana ia tidak melibatkan mereka dan tidak menjejaskan hak mereka untuk beramal dengan ajaran agama anutan mereka sendiri. 
Sesuai dengan semangat toleransi antara agama, semua pihak harus menghentikan segala bentuk perlakuan dan pernyataan yang menghina dan mempersenda agama Islam. Kenyataan-kenyataan sinis dan provokatif yang kadang-kadang diucap atau diungkapkan oleh media tertentu atau pemimpin politik tertentu jelas tidak membina dan tidak mendidik kepatuhan masyarakat Islam terhadap agamanya sendiri. Jika Hudud dianggap tidak sesuai dan kejam, seolah-olah masih ada was-was di kalangan kita terhadap kesyumulan Islam. Kalau kita tidak buat salah, kenapa perlu takut dengan Hudud?
Tidak perlu kita khuatir apabila Karpal Singh (DAP) dan Chua Soi Lek (Presiden MCA) menentang hukum Hudud dan menolak perlaksanaan undang-undang Islam di negara ini, kerana mereka bukannya penganut agama Islam. Tetapi isu penolakan mereka terhadap Islam ini bagaikan memerangkap UMNO, kerana parti ini juga dilihat tidak bersedia bahkan seolah-olah menolak perlaksanaan hudud dengan berbagai alasan demi menjaga hati pemimpin MCA?
Jika hendak menjaga hati MCA yang bersekongkol dengan BN, samalah juga untuk melaga-lagakan DAP supaya terus mengecam PAS yang bersekutu dengan mereka di dalam Pakatan Rakyat. PAS dikatakan mempelopori perlaksanaan hukum Hudud, namun ia ditentang hebat oleh dua tiga kerat pemimpin DAP yang tidak memahami malah begitu jahil dengan konsep hukum hakam Islam. 
MCA yang sekutu dengan UMNO tidak kurang hebatnya mencerca hukum Allah itu, tetapi penentangan MCA terhadap Islam tidak dikecam oleh UMNO. PERKASA yang sentiasa membodek UMNO dan mengecam Karpal Singh juga membisu apabila pemimpin MCA itu menghina agama Islam. 
Nampaknya penghinaan dan pembelaan HUDUD telah menyebabkan Islam semakin dipersendakan. Hudud ditohmahkan sebagai kejam dan 'barbaric'. Kenyataan pemimpin kita (UMNO) yang menolak perlaksanaan Hudud di negara ini tidak dianggap berdosa oleh ulamak tertentu yang menjatuhkan hukum berdosa jika menyokong DAP. DAP difatwakan sebagai KAFIR HARBI oleh ulamak kebanggaan Utusan Malaysia itu, tetapi dia tidak tergamak pula untuk mengkafirharbikan MCA yang turut menghina Hudud. 
Akhbar milik UMNO ini kelihatannya tidak berani untuk menyatakan bahawa Dr. Mahathir dan PM sekarang ini juga telah menolak HUDUD semata-mata kerana mereka ini adalah pemimpin UMNO. Memangsakan PAS yang perjuangkan hudud telah menyebabkan UMNO tersepit untuk memartabatkan syariat Islam. 
Saya yang faqir ini mengharapkan janganlah ulamak pondok yang didewakan oleh Utusan Malaysia itu turut memyiarkan bahawa menyokong UMNO juga haram dan berdosa persis DAP. Na'uzubillah!

Tuesday, August 21, 2012

SALAM AIDILFITRI MAAF ZAHIR & BATIN

Abdul Rahman Hashim
Panitia blog locengwangsa dengan penuh takzim mengucapkan 'Salam Eidulfitri Minal 'Aidin Wal-Faizin' kepada semua taulan dan rakan-rakan seagama yang cintakan Islam khususnya yang sering menjengah blog ini. Hamba yang faqir ini tidak lupa untuk menyusun sepuluh jari memohon kemaafan zahir dan batin kepada sesiapa jua yang merasakan ada keterlanjuran bicara selama saya menzahirkan pandangan di dalam posting blog ini.
Saya mendoakan keampunan di sisi Allah seterusnya memohon hidayahNya dalam meneruskan kehidupan di alam fana ini. Semoga panji-panji kebesaran Ilahi ini dapat diterjemahkan dengan penuh keinsafan untuk memperkasakan kesucian Islam yang dianuti oleh kita semua tanpa mengira kabilah politik yang dipegangi. Ingatlah juga, bahawa kita semua bersaudara. 

Friday, August 10, 2012

SETIAWANGSA BOLEH REBAH JIKA UMNO LEMAH

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Trio pemimpin UMNO Setiawangsa
Dari Kanan: Zulhasnan, Halim Samad dan Fauzi Zahari  

UMNO Bahagian Setiawangsa akan bersidang pada Sabtu ini, 11 Ogos 2012. Persidangan yang diadakan dalam bulan puasa ini memang tidak pernah berlaku sebelum ini, namun ia bukannya satu kesalahan yang pelik kecuali mereka yang memang menggemari untuk mencari kesalahan semata-mata tebalnya sifat kebencian terhadap kepimpinan UMNO Bahagian Setiawangsa yang dipimpin oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Samada suka ataupun sebaliknya, Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa akan tetap berlangsung pada tarikh yang telah ditetapkan. Kali ini 50 cawangan akan menghantar wakil masing-masing termasuk wakil-wakil Wanita, Pemuda dan juga Puteri.
Walaupun persidangan pada tahun ini tidak membabitkan pemilihan jawatan, namun ia tetap menarik kerana  persidangan kali ini diadakan begitu hampir dengan musim PRU13 yang bakal disebut-sebut akan diadakan samada pada bulan September ini ataupun mungkin juga selepasnya.
Parlimen Setiawangsa satu-satunya kawasan parlimen yang telah dimenangi oleh UMNO di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selain Putrajaya dan juga Labuan. Kawasan ini dikatakan selamat dan dikategorikan sebagai kawasan putih untuk UMNO/BN di WP. Zulhasnan Rafique yang telah tiga penggal bertanding dalam pilihan raya umum sebelum ini, dikatakan berada dalam kedudukan yang begitu selesa untuk dikekalkan bertanding semula di Parlimen Setiawangsa buat penggal yang keempat pada PRU13.
Walaupun wujudnya spekulasi saingan dalam penonjolan diri beberapa calon yang lainnya, namun difahamkan nama Zulhasnan Rafique menjadi sebutan dalam 'senarai pendek' oleh pihak Jasa, Kemas mahupun di peringkat perisikan politik MIO dan juga Cawangan Khas PDRM.
Nama-nama calon lain yang turut menunjukkan idaman ialah Datuk Seri Abdul Halim Samad, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang menjadi Pengerusi KUB sekarang ini. Populariti nama Dato' Ahmad Fauzi Zahari, Naib Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa juga membayangi potensi sekiranya nama Zulhasnan tidak lagi dicalonkan. Beliau disifatkan calon baru yang winnable, malah beliau dilihat sebagai calon yang 'seiring dan sejalan' dengan era kepimpinan Zulhasnan Rafique.

Saya (kanan sekali) bersama Dato' Ahmad Fauzi Zahari (Tengah)
dan Ahmad Laili Tajul Arus (Kiri sekali)

Saya menjangkakan Fauzi Zahari lebih disenangi oleh Zulhasnan jika Ketua UMNO Bahagian itu tidak dicalonkan semula kali ini. Penyerahan baton ke tangannya lebih bersifat memenuhi kelangsungan politik yang diwarisi oleh Dato' Sri Zulhasnan Rafique yang boleh dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan parti.
Nama Datuk Astaman Abdul Aziz dan juga nama Datuk Izudin Ishak juga menjadi sebutan. Kedua-dua tokoh ini dilihat tidak selenggang dengan kepimpinan Zulhasnan walaupun mempunyai pengikut tersendiri di dalam arena politik UMNO di Bahagian Setiawangsa. 
Datuk Izudin dilihat berkecenderungan untuk menyelitkan diri dalam penonjolan namanya menerusi pembabitan saingan G7 yang akan beliau tandingi di dalam Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sabtu ini. Sudah tentu beliau mengharapkan kemenangan paling atas dalam saingan G7 kali ini untuk membuktikan pengaruh politiknya masih tegar di Setiawangsa. Beliau sendiri merasakan peluang untuk menjadi calon dalam PRU13 nanti bukanlah memihak kepada dirinya, namun ambisi politiknya di Bahagian ini tetap berakar.
Peluang mencari calon winnable di Setiawangsa tidak setakat nama-nama besar yang saya sebutkan di atas. UMNO Bahagian Setiawangsa sendiri turut menamakan Ketua-Ketua sayapnya seperti nama Hairunnisha Ismail (Ketua Wanita), Azmi Badarudin (Ketua Pemuda) dan juga Seriwani Sabtu (Ketua Puteri) untuk disenaraikan pendekkan sebagai calon pilihan.
Dalam keghairahan UMNO untuk mencari calon yang winnable di Setiawangsa, tiba-tiba kedengaran spekulasi bahawa kemungkinan calon MCA akan diletakkan bertanding di Parlimen Setiawangsa sebagai tukar ganti dengan Parlimen Wangsa Maju yang dikatakan akan dikembalikan semula kepada calon UMNO. Sejauh mana rasionalnya Setiawangsa akan ditandingi oleh MCA, ianya masih kabur bahkan jika ia menjadi kenyataan kemungkinan BN Setiawangsa bakal rebah di tangan pembangkang akibat kejutan yang menimpa UMNO.
Diharapkan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa kali ini tidak dibahangkan dengan situasi hangat semberono semata-mata untuk perjuangan menentukan calon yang layak oleh pencatur dan pengikut calon masing-masing. Kita mesti memperkasakan jentera pilihan raya yang sudah pun terbentuk. Jangan ada elemen menendang gol ke gawang sendiri.
Sewajarnya kita menghindarkan diri daripada pergelutan yang membawa kepada pertikaman sehingga membunuh rakan seperjuangan. Musuh politik yang sebenarnya adalah golongan yang bermusuh dengan perjuangan parti kita, bukannya beramuk dengan rakan separti yang tidak sekabilah dengan kita. 
Apa gunanya kita mensabotaj parti semata-mata tokoh idaman kita tidak menjadi calon dalam pilihan raya nanti, akibatnya parti menjadi lemah dan kecundang. Jika kita taksub dengan percaturan sedemikian, tanpa disedari kita juga mendorong orang lain melakukan perbuatan yang sama apabila calon mereka tidak terpilih. Apa pun saya tidak terkejut jika calon MCA yang terpilih bertanding di Setiawangsa akibat perkelahian sesama sendiri di dalam UMNO. Selamat bersidang kepada semua perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa. Perkasakan UMNO supaya jangan rebah.

Friday, July 27, 2012

BN SABAH SEMAKIN LEMAU?

Wilfred Mojolip Bumburing dan Lajim Ukin 
akan sertai  PKR?
  
Oleh Abdul Rahman Hashim 

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri dikhabarkan akan terbang ke Sabah sabtu ini (28 Julai). Walaupun beliau akan terlibat dengan beberapa program berbuka puasa bersama rakyat di sana, namun yang pasti beliau juga akan berjumpa dengan pemimpin-pemimpin UMNO/BN negeri Sabah untuk mendapatkan maklumat terkini tentang badai yang bakal melanda politik UMNO Sabah, terutama melibatkan dua Ahli Parlimen BN yang dikatakan akan meninggalkan parti masing-masing untuk menyeberangi 'Pakatan Rakyat' dalam masa yang terdekat ini.
Keributan politik Sabah yang semakin kencang sekarang ini melibatkan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin, Ahli Parlimen Beaufort yang menjadi Timbalan Perumahan dan Kerajaan Tempat daripada UMNO dan yang terbaru melibatkan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing, Ahli Parlimen Tuaran yang juga Timbalan Presiden, United Pasokmomugun Kadazan Dusun Organization (UPKO). 
Kedua-dua tokoh politik Sabah ini dikatakan akan membuat pengumuman penting tentang masa depan politik mereka pada hari Ahad ini di Sabah. Wilfred sendiri yang telah meletakkan jawatannya sebagai Pengerusi BN Parlimen Tuaran baru-baru ini dikatakan akan membuat pengumuman penting penyertaannya di dalam PKR di dalam satu majlis di Dalit, Tuaran. Difahamkan Lajim Ukin juga akan membuat pengumuman muktamad untuk meninggalkan UMNO pada hari yang sama.
Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dijangka akan berada di Sabah Ahad ini untuk menyertai 'majlis sayonara BN' yang melibatkan Wilfred dan Lajim. Apakah kehadiran Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sabah sehari lebih awal daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu memujuk kedua-duanya supaya tidak mengkhinati Barisan Nasional. 
Kegagalan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam misi memujuk ini bermakna Barisan Nasional Sabah bakal ditimpa musibah, kerana difahamkan kedua-dua tokoh berkenaan ini amat berpengaruh dan mereka mampu pula untuk memecahkan tembok besar yang boleh merobah lanskap politik Sabah, malah senario ini juga memberi impak yang besar buat BN yang mengharapkan Sabah terus dominan sebagai 'deposit tetap' kepada Barisan Nasional untuk penerusan talian hayatnyamenjelang PRU13.
Apakah akan ada lagi siri mensayonarakan Barisan Nasiponal selepas Wilfred dan Lajim melakukan kejutan ini? Apa yang pasti ialah Wilfred dan Lajim bukan berseorangan dalam merangka tindakan politik ini, malah sebelum ini Datuk Yahya Lampong juga telah pun meninggalkan UMNO. Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Osu Sukam juga telah mendahului Lajim dan Wilfred meninggalkan UMNO/BN. Potensi beberapa orang lagi Ahli Parlimen BN Sabah yang akan urut melompat semakin bertiup kencang. Kelibat seorang Ahli Parlimen UMNO yang sering menyambut Anwar di Lapangan Terbang Kota Kinabalu juga indikasi yang kuat bahawa akan ada lagi yang menyusul untuk menyertai PKR.
Sama-samalah kita menantikan apakah hasil yang boleh Muhyiddin lakukan dalam misinya Sabtu ini. Kegagalan Muhyiddin juga bermakna Anwar telah berjaya memuktamadkan Lajim Ukin & Wilfred Bumburing berada di dalam Pakatan Rakyat. Kejayaan BN memenangi 24 kerusi daripada 25 kerusi parlimen yang dipertandingkan dalam PRU12 yang lepas mungkin sukar lagi dicapai, malah kemelut ini semakin membuatkan Najib tidak lagi konsisten untuk mengilhamkan tarikh PRU13. Semakin dilewatkan PRU13, BN bagaikan biskut yang lemau akibat serangan angin menembusi peti besi.