assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, June 27, 2012

DR MURSI PRESIDEN MESIR YANG DIGERUNI ISRAEL

Oleh Abdul Rahman Hashim

BIODATA PROF DR. MUHAMMAD MURSI


Dr. Muhammad Mursi lahir pada 20 Ogos 1951 di Wilayah As-Syarqiyah, di sebuah perkampungan Al-Udwah.  Beliau hidup dalam sebuah keluarga sederhana yang mementingkan pendidikan Islam. Bapanya seorang petani dan ibunya seorang suri rumah.
Berkahwin pada tahun 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu. Difahamkan kelima-lima orang anaknya adalah hafiz dan hafizah Al-Quran, malah beliau sendiri dan isterinya juga adalah hafiz/hafizah Al-Quran.

Di dalam dunia pendidikan Dr. Mursi telah melanjutkan pendidikannya di Universiti Cairo dalam bidang Kejuruteraan pada tahun 1970 hingga 1975. Selepas itu, beliau memperolehi Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di Universiti yang sama (Cairo) pada tahun 1978. Tahun yang sama beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dan memperolehi Sarjana Kedoktoran, memperolehinya pada tahun 1982 di Universiti Southern California. 

Beliau dilantik untuk menjadi pensyarah di Universiti Southern California, kemudian menjadi pembantu Prof. di Universiti California-North Ridge. Setelah kembali dari Amerika Syarikat, beliau ditawarkan sebagai Profesor dan Ketua di Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material pada tahun 1985 hingga tahun 2000 di Universiti Zaqaziq.
Dakwah dan Politik

Dr. Mursi tidak hanya berkhidmat sebagai ahli akademik, malahan beliau turut terlibat ke gelanggang dakwah dan konsisten membela dan memperjuangkan keadilan dan kebebasan, menentang segala bentuk kezaliman dan kekejaman.
Beliau yang aktif sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin ini, ikut bertarung dan terpilih sebagai ahli parlimen untuk tempoh 2000-2005. Dan pada pilihanraya parlimen 2005, Dr. Mursi meraih suara terbanyak, mengalahkan musuh politiknya daripada Nasional Demokratic Party (NDP) parti Mubarak,namun setelah keluar keputusan yang tidak berpihak kepadanya, hingga dilakukan pemilihan semula yang memenangkan parti Mubarak.



Permasalahan lain yang menjadi perhatian utamanya adalah berkaitan Palestin dan Al-Quds, sebagai permasalahan Umat Manusia yang mempunyai hati nurani, dan tidak hanya permasalahan Bangsa Palestin sahaja, tapi menjadi permasalahan bersama umat Islam. Dr. Mursi terpilih sebagai ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah. Selain itu, Dr. Mursi juga terlibat sebagai pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.

Dr. Muhammad Mursi sangat terkenal dalam bidang akademik melalui pelbagai kajian dalam bidang industri yang menyentuh pengeluaran hasil bumi Mesir, malah beliau mempunyai puluhan kajian dalam menyelesaikan kajian permukaan logam yang dianggap sebagai bidang utama kepakarannya, sehingga kajiannya diiktiraf oleh NASA pada tahun sekitar lapan puluhan yang lalu.

Penjara dan Penangkapan

Dr. Mursi merupakan di antara pendakwah yang bergiat cergas dalam Jemaah Ikhwanul Muslim, perjuangan, pengorbanan, diri, jiwa dan harta telah diwaqafkan dalam jalan dakwah. Sedar dengan akibat yang akan dihadapinya, melawan kezaliman rejim dan sistem kezaliman, penjara, pengusiran, dan sebagainya, adalah istilah yang tidak pernah lepas dari benak para pejuang seperti dirinya.


Sikapnya yang terus menentang tindakan dan perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau sering ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan parlimen pada pemilihan tahun 2005, Dr. Mursi menjadi tulang belakang dalam melakukan demonstrasi dan menyokong kehakiman yang bebas. Akibatnya, pada 18 Mei 2006, beliau ditangkap bersama 500 orang anggota Ikhwanul Muslimin di depan bangunan Mahkamah Cairo dan bangunan mahkamah Al-Jala di ibu negara Cairo, dan akibatnya beliau telah diheret ke dalam jeriji besi
selama 7 bulan.



Dr. Mursi juga pernah ditangkap bersama-sama dengan sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin yang lain, pada hari Jumaat pagi 28 Januari 2011 yang terkenal sebagai Jumaat Amarah (Jumaat Al-Gadhab) supaya beliau tidak terlibat dengan demonstrasi. Tidak hanya beliau yang dizalimi, keluarganya turut menjadi sasaran penangkapan, anaknya Dr. Ahmad ditangkap di saat Dr. Muhammad Mursi mencalonkan diri pada pemilihan tahun 2000.


Sebagai satu pengiktirafan karier politik perjuangannya selama lima tahun, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin telah memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir. Majlis Syura Ikhwanul Muslimin juga memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.


Perlu diungkapkan kembali bahawa Ikhwanul Muslimin selama lebih kurang 80 tahun berjuang demi sebuah keadilan dan kebebasan. Selama itu pula mereka ditindas dan dizalimi. Telah banyak jiwa dan darah yang mengalir sepanjang beliau berdakwah, bermula dari pengasasnya Assyahid Imam Hassan Al Banna, yang syahid terbunuh secara misteri, malah saat kematian Hassan Al Banna menyaksikan pejuang Islam ini telah dilayan dengan keji oleh pemerintah, disusuli Sayyid Qutub, Muhammad Al- Farigili, Abdul Qadir Audah, hingga As-Syahid Nashir Uwais, dia antara pemuda Ikhwan yang syahid pada Revolusi 25 Januari 2011.

Hari ini tokoh pejuang Ikhwanul Muslimin, Dr. Muhammad Mursi telah dinobatkan sebagai Presiden Mesir yang baru menggantikan Hosni Mubarak yang telah digulingkan atas suara-suara akar umbi Dataran Tahrir yang telah menyalakan api perjuangan demi sebuah pembaharuan yang dikehendaki oleh rakyat Mesir sendiri.

Kini di pundak Dr Mursi tergalas segala keringat dan air mata malah percikan darah juga menjadi saksi revolusi yang dicetuskan oleh rakyat untuk mengangkat dirinya sebagai pemimpin yang diharapkan untuk melakukan perubahan seterusnya mengangkat martabat Islamiah.

Tuesday, June 26, 2012

KENALI DATUK BANDAR KUALA LUMPUR

Oleh Abdul Rahman Hashim

Datuk Bandar Kuala Lumpur Pertama
Tan Sri Dato' Lokman Yusof

Datuk Bandar Kuala Lumpur Kedua
Tan Sri Yaakob Latiff

Datuk Bandar Kuala Lumpur Ketiga
Tan Sri Dato' Elyas Omar

Datuk Bandar Kuala Lumpur Keempat
Dato' Dr. Mazlan Ahmad

Datuk Bandar Kuala Lumpur Kelima
Tan Sri Dato’ Kamaruzzaman Shariff

Datuk Bandar Kuala Lumpur Keenam
Datuk Hj. Mohmad Shaid b. Mohd Taufek

Datuk Bandar Kuala Lumpur Ketujuh
Dato' Hj. Ruslin bin Hj. Hasan

Datuk Bandar Kuala Lumpur Kelapan
Dato' Ab Hakim bin Borhan

Datuk Bandar Kuala Lumpur Kesembilan
Tan Sri Ahmad Fuad bin Ismail
Datuk Bandar Kuala Lumpur Kesepuluh
Datuk Ahmad Phesal Talib


Daripada sebuah pekan kecil Kuala Lumpur telah menjadi Ibu Kota Negara dan sebuah bandar yang terbesar di Malaysia. Kuala Lumpur dibina pada tahun 1857 di kuala sungai Gombak dan Klang. Dalam Bahasa Melayu, maksud namanya adalah "kuala berlumpur." Pendudukannya bermula apabila seorang ahli keluarga kerajaan Selangor, Raja Abdullah, membuka Lembah Klang untuk pelombongan biji timah.
Bandar Raya Kuala Lumpur kini menjadi penting dan menjalankan peranan dalam pelbagai bidang termasuk perniagaan, kewangan, pentadbiran, pendidikan, agama, kebudayaan dan sukan.
Hal ehwal perbandaran Kuala Lumpur ditadbirkan oleh satu perbadanan tunggal (corporation sole), sejak 1 April 1961 iaitu Pesuruhjaya Ibu Kota yang kemudian diubah kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur apabila Kuala Lumpur dianugerahkan taraf Bandaraya pada 1 Februari 1972. Oleh itu peranan Datuk Bandar adalah amat penting demi memajukan dan memartabatkan Kuala Lumpur di persada dunia sebagai Ibu Negara Malaysia!!

AHMAD PHESAL TALIB DATUK BANDAR KUALA LUMPUR YANG BARU

Datuk Ahmad Phesal Talib bakal 
Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru

Kuala Lumpur : Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib hari ini diumum sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baru berkuatkuasa 18 Julai 2012.
Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar dalam satu kenyataan hari ini berkata beliau menggantikan Tan Sri Ahmad Fuad Ismail yang akan tamat kontrak perkhidmatannya pada 15 Julai 2012.
Menurut kenyataan tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Ahmad Phesal mengikut subseksyen 4(2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 [Akta 190].
Untuk rekod, Ahmad Phesal telah berkhidmat selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam serta mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam pentadbiran, pembangunan dan perancangan wilayah sebelum dilantik sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar pada 2007.

Wednesday, June 20, 2012

NALLAKARUPAN...LU TIBAI ANWAR, MAHKAMAH SURUH LU BAYAR GANTI RUGI..

Mahkamah putuskan NALLA fitnah ANWAR.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin memutuskan bahawa  Presiden Parti India Malaysia (MUIP) Datuk S Nallakaruppan bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2008.
    
Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan pembelaan Nallakaruppan.
    
Peguam Latheefa Koya, yang mewakili Anwar, memberitahu pemberita Hakim Su turut memerintahkan Nallakaruppan, seorang senator, membayar gantirugi dan kos kepada ketua pembangkang itu, yang akan ditaksir oleh Penolong Kanan Pendaftar.

Latheefa berkata Anwar membuat permohonan itu kerana Nallakaruppan gagal memberi butiran terperinci berhubung dakwaannya terhadap ketua pembangkang tersebut.
    
Beliau juga berkata peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Nallakaruppan, memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan mengemukakan rayuan, dan Hakim Su memerintahkan peguam itu memfailkan permohonan rasmi bagi menggantung keputusan tersebut.

Pada 25 Ogos 2008, Anwar memfailkan saman berhubung kenyataan Nallakaruppan yang didakwa berunsur fitnah dalam artikel bertajuk 'Anwar terima RM60 juta', yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian.

Dalam pembelaannya, Nallakaruppan berkata beliau tidak berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan itu dan berada di bawah perlindungan bersyarat.

- Bernama

Monday, June 18, 2012

LAJIM UKIN BAKAL MENINGGALKAN UMNO?

Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, 
Pemimpin Bisaya Negeri Sabah. Apakah 
beliau tidak akan bersama-sama lagi 
di dalam UMNO pada PRU13 nanti?


Oleh Abdul Rahman Hashim
Sememangnya gelombang politik di Sabah agak tidak menentu sekarang ini. Semakin menghampiri gerbang PRU13, politik negeri di bawah bayu ini kelihatannya semakin berkocak malah bertambah kronik. Walaupun Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak baru sahaja menamatkan lawatan turun padangnya ke negeri Sabah tempoh hari, namun ia tidak meninggalkan kesan positif terhadap rentak politik UMNO negeri itu. 
Datuk Seri Panglima Musa Aman, Ketua Menteri Sabah bukan sahaja dilihat masih ada bibit-bibit konfrontasi politik dengan kabilah tertentu di dalam UMNO yang tidak sehaluan dengannya, malah perkembangan sehari selepas Najib melawat negeri itu menyaksikan satu lagi kejutan telah meletus di mana Datuk Seri Panglima Haji Lajim Ukin, Timbalan Menteri Perumahan Kerajaan Pusat yang juga Ahli Parlimen Beaufort telah menghantar notis perletakan jawatannya sebagai Ketua UMNO Cawangan Kerambai Kebatu kepada Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort. 
Sebelum ini Lajim Ukin yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah memaklumkan bahawa diri beliau tidak akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian itu pada musim pemilihan jawatan parti tahun hadapan. Jika itu pilihannya, ini bermakna Lajim Ukin tidak akan bertanding atas tiket UMNO/BN dalam PRU13 nanti?
“Langkah pertama tidak pertahankan kerusi ketua bahagian dan langkah kedua, letak jawatan ketua cawangan. Langkah ketiga, tunggu dan lihat,? katanya dipetik sebuah akhbar berpangkalan di Sabah.
Beliau dilapor berkata demikian di hadapan lebih 5,000 penyokongnya pada sambutan hari lahirnya di rumahnya di Kampung Kaundu Kebatu, kelmarin.
“Saya yakin jika rakyat menolak saya, kehadiran mereka pada majlis malam ini tidak akan seramai begini. Ini kerana majlis ini dibuat tanpa jemputan, hanya sambutan hari jadi.
“Dalam politik, kita tidak boleh menjadi pemimpin hanya menurut kehendak pihak tertentu,” katanya.
Mengikut laporan itu, Lajim turut memberi jaminan bahawa dirinya akan terus berkhidmat dalam Parlimen Beaufort walaupun ‘dalam wadah yang berbeza’ demi membawa agenda perubahan untuk rakyat.
Difahamkan Lajim Ukin akan membuat beberapa pengumuman penting selepas ini yang mengundang musibah politik kepada UMNO dan BN menjelang PRU13. Keadaan musibah ini juga dikatakan menjadi salah satu faktor penting mengapa PRU13 tidak dapat diadakan dalam masa terdekat ini.
Dalam PRU12 yang lalu, Sabah dan Sarawak dianggap sebagai penyelamat kepada Barisan Nasional daripada kehilangan kuasanya. Dua negeri di Pulau Borneo ini dianggap sebagai 'Simpanan Tetap' kepada BN kerana BN di Semenanjung hampir hilang taring pengaruhnya bila dikejutkan dengan gelombang tsunami politik yang meneyebabkan BN kalah di lima buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan.
Baru-baru ini Ketua Pemuda Persatuan Orang Murut Sabah Sdra Raymod, bapanya sendiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pensiangan telah menyertai PKR sejak sebulan yang lalu. Semasa berucap di Pentas Merdeka Rakyat di Guar Perahu, Permatang Pauh tempoh hari Raymond memberitahu di hadapan ribuan hadirin iaitu lebih 60 ribu orang Murut di negerinya akan buat penentuan dlm PRU13 nanti untuk menjatuhkan UMNO/BN.
Harap-harap UMNO Sabah jangan berbalah sesama sendiri, perbalahan puak Shafie Apdal/Musa Aman juga dilihat menjadi faktor yang tidak sihat kepada UMNO/BN. Lebih baik mereka yang terbabit ini segera mencari noktah supaya perbalahan itu tidak menjadi barah kepada parti.


Monday, June 11, 2012

SIDANG DEWAN RAKYAT BERMULA HARI INI HINGGA 28 JUN


Apakah Sesi Dewan Rakyat kali ini merupakan yang terakhir 
sebelum PRU13? Parlimen boleh dibubarkan pada bila-bila 
masa termasuk ketika persidangan Dewan Rakyat sedang 
berlangsung untuk memberi laluan kepada 
pilihan raya umum diadakan.


Disenaraikan pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan sepanjang sesi Dewan Rakyat yang mula bersidang pada hari ini sehingga 28 Jun 2012:-

Pertanyaan Bagi Jawab Lisan

1. Dato' Seri Tiong King Sing [ Bintulu ] minta MENTERI KEWANGAN menyatakan :-   
(a) jumlah Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) yang telah siap dibina di seluruh negara terutamanya di negeri Sarawak sejak skim ini diperkenalkan; dan 

(b) apakah Kementerian dapat mengkaji untuk memasukkan kos penambakan tanah dan kos cerucuk (piling) dalam usaha meringankan beban kewangan para pemohon RMR.  


2. Dato' Seri Anwar bin Ibrahim [ Permatang Pauh ] minta PERDANA  MENTERI  menyatakan langkah-langkah yang diambil untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa anggota-anggota polis yang bertindak ganas  terhadap wartawan-wartawan dan peserta-peserta perhimpunan bersih 3.0 pada 28 April 2012 serta maklum balas Kerajaan terhadap ketetapan Majlis Peguam Malaysia  mengenai keganasan polis semasa perhimpunan Bersih tersebut.   


3. Dato' Abdul Manan bin Ismail [ Paya Besar ]  minta  PERDANA MENTERI menyatakan faktor-faktor yang membolehkan Felda Global Ventures Holdings (FGVH) sebagai penjana keuntungan kumpulan syarikat berstatus konglomerat global bagi menghasilkan dana apabila disenaraikan dalam Bursa Malaysia dan apakah status terkini mengenai firma global yang bakal menjadi rakan niaga strategik 
antarabangsa FGVH. 


4. Dato' Seri Abdul Hadi bin Awang [ Marang ]  minta  MENTERI PELAJARAN menyatakan adakah telah dijalankan kajian menyeluruh di peringkat nasional tentang beban tugas para guru, dan jika ada apakah dapatan-dapatan daripada kajian tersebut.   


5. Datuk Haji Mohamed Bin Haji Aziz [ Sri Gading ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN  menyatakan apakah kayu ukur kejayaan 'Himpunan Jutaan Belia' dalam sambutan Hari Belia Negara pada bulan Mei yang lalu serta sejauh mana ia menjadi pemangkin hala tuju golongan belia dalam cabaran terkini dan masa depan.   


6. Dr. Tan Seng Giaw [ Kepong ]  minta  PERDANA MENTERI menyatakan sejak 2008, berapakah projek transformasi yang dianggap berjaya dan berapakah yang disangka kurang berjaya. Apakah faktorfaktornya.   


7. Dato' Lilah bin Yasin [ Jempol ] minta MENTERI ENGANGKUTAN menyatakan :-   
(a) bilakah projek pembinaan stesen Kereta Api Bahau yang baru akan dimulakan; dan 
(b) apakah komponen dalam perancangan pembangunan tersebut dan anggaran kos yang terlibat.  


8. Tan Sri Dato' Seri Abd. Khalid bin Ibrahim [ Bandar Tun Razak ] minta  MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan sejak bilakah Program Insentif Peningkatan Hasil Padi diperkenalkan kepada pesawah di Malaysia dan apakah mekanisme yang diguna pakai dalam pelaksanaan program ini.      


9. Dato' Shamsul Anuar bin Nasarah [ Lenggong ] minta PERDANA MENTERI menyatakan :-   

(a) adakah Kerajaan bercadang mewujudkan badan baru menggantikan Majlis Peguam Malaysia; dan 

(b) apakah Kerajaan berpuashati dengan peranan yang dimainkan oleh Majlis Peguam Malaysia.  


10. Tuan John a/l Fernandez [ Seremban ] minta MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR  menyatakan peranan Kementerian dalam usaha membantu menyelesaikan rungutan pengguna elektrik yang dibebankan dengan tunggakan bil yang tinggi berikutan bacaan meter elektrik yang tidak dibuat setiap bulan tetapi setiap 2 dan 3 bulan sekali.   


11. Puan Hajah Nancy binti Haji Shukri [ Batang Sadong  ]  minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGGUNAAN  menyatakan peranan yang dimainkan oleh Kementerian untuk mengawal Perubatan  'Traditional Knowledge'  dari diciplak oleh negara asing.   


12. Dr. Che Rosli bin Che Mat [ Hulu Langat ]  minta  MENTERI PENGAJIAN TINGGI  menyatakan kejayaan dan kesan yang dicapai dalam program pertukaran pelajar antarabangsa.


Soalan MP PAS yang disenaraikan:

27. Tuan Mohd. Abdul Wahid bin Endut [ Kuala Terengganu ]  minta MENTERI BELIA DAN SUKAN  menyatakan jumlah perbelanjaan setiap tahun untuk menganjurkan Piala Monsun di Terengganu dan adakah kontrak penganjuran Piala Monsun akan dilanjutkan.


28. Dr. Siti Mariah Binti Mahmud [ Kota Raja ]  minta  PERDANA MENTERI menyatakan fungsi dan peranan  Akademi Undang-undang yang akan ditubuhkan oleh Kerajaan.   


29. Tuan Salahuddin Bin Haji Ayub [ Kubang Kerian ] minta MENTERI KEWANGAN  menyatakan berapa banyakkah jumlah  "exposure" Kerajaan di dalam MAS dan Penerbangan Malaysia. 


34. Dato' Kamarudin Bin Jaffar [ Tumpat ]  minta  MENTERI KERJA RAYA  menyatakan mengapakah cadangan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai tidak dilaksanakan walaupun telah dirancang dalam RMK-9 lagi.   


35. Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad [ Kuala Selangor ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah dari tuntutan oleh JK Pilihan Khas (PSC) Penambahbaikan Pilihan Raya dan 8 tuntutan Bersih 2.0 yang akan dilaksanakan oleh SPR dalam PRU ke-13 nanti.  


38. Dato' Haji Mahfuz bin Omar [ Pokok Sena ]  minta  PERDANA MENTERI  menyatakan kenapakah Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membenarkan PALAPES dijadikan satu lokaliti pengundi yang tidak perlu hadir.  


48. Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [ Jerai ]  minta  MENTERI DALAM NEGERI menyatakan statistik kadar jenayah di seluruh Negara untuk kesemua kategori (mengikut negeri) bagi tempoh Jan 2008 - Mei 2012 serta nyatakan jumlah kes yang berjaya diselesaikan dan masih tertangguh sehingga kini.


59. Dato' Haji Wan Abd Rahim bin Wan Abdullah [ Kota Bharu ] minta PERDANA MENTERI  menyatakan kos perbelanjaan setiap lawatan rasmi YAB. Perdana Menteri ke negeri Kelantan sejak memegang jawatan.


81. Tuan Khalid bin Abdul Samad [ Shah Alam ]  minta  MENTERI DALAM NEGERI  menyatakan mengapa Tun Hanif Omar dipilih sebagai Pengerusi Jawatan kuasa penyiasat BERSIH 3.0 sedangkan beliau jelas berpihak dalam isu ini.


83. Dr. Mohd Hatta bin Md Ramli [ Kuala Krai ]  minta  PERDANA MENTERI  menyatakan adakah Kerajaan bercadang untuk membuat apa-apa pindaan kepada peraturan pilihan raya khususnya berkaitan peraturan pengundi pos bagi membenarkan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara untuk mengundi secara pos. (Sekarang ini hanya pegawai konsulat, pelajar sepenuh masa dan isteri/ suami kepada pelajar itu sahaja yang boleh mengundi secara pos).


90. Dato' Seri Mohammad Nizar bin Jamaluddin [ Bukit Gantang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah penduduk Bukit Gantang yang terlibat dengan Projek Lebuh Raya Pantai Changkat Jering-Klang, serta berapakah anggaran ganti rugi yang akan dibayar.  


93. Dato' Taib Azamudden bin Md Taib [ Baling ]  minta  PERDANA MENTERI  menyatakan jumlah kuota haji setiap tahun mulai 2008 hingga 2012.


101. Dato' Dr. Haji Mohd Hayati Bin Othman [ Pendang ]  minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan jumlah pelaburan mengikut negeri yang masuk ke dalam negara sepanjang tahun 2011 dan Q1 tahun 2012 dan senaraikan negara-negara yang melabur serta jumlah pelaburan masing-masing.


103. Tuan Haji Nasharudin bin Mat Isa [ Bachok ]  minta  MENTERI PELAJARAN  menyatakan berapakah jumlah kes jenayah yang melibatkan pelajar- pelajar sekolah.


110. Tuan Haji Che Uda bin Che Nik [ Sik ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan Peruntukan Khas untuk program J-Qaf telah tidak lagi diberi sejak tahun kebelakangan ini. Keadaan ini menyebabkan program ini terpaksa bergantung kepada peruntukan asas per kapita yang sedia terhad itu. Apakah langkah Kerajaan untuk mengatasi perkara ini.  


RANG UNDANG-UNDANG KERAJAAN UNTUK BACAAN KALI YANG PERTAMA

1.  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri * Rang Undang-undang Pelindung (Pindaan) 2012.


Rang Undang-Undang Bacaan Kali Kedua

1. (D.R. 22/2012) Rang Undang-undang Profesion Undangundang (Pindaan) 2012 [ Menteri di Jabatan Perdana Menteri ] 


2. (D.R. 24/2012) Rang Undang-undang Perubatan (Pindaan) 2012 [ Menteri Kesihatan ] 


3. (D.R. 19/2012) Rang Undang-undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2012 [ Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ] 

Monday, May 28, 2012

PENJAJA & PENIAGA KECIL BERHAK TENTU HALA TUJU NEGARA

Najib bersama Penjaja. Di kanan, Dato' Ramli Dorani

"Selain berperanan sebagai penyumbang ekonomi negara, penjaja dan peniaga kecil juga mempunyai hak dan kuasa untuk menentukan hala tuju negara" - Dato' Sri Najib, Perdana Menteri.

Dato' Sri Najib Tun Razak semalam telah mengumumkan beberapa insentif penting untuk golongan peniaga dan penjaja kecil termasuk menurunkan kadar bayaran pendaftaran kali pertama bagi perniagaan pemilik tunggal dan perkongsian kepada RM50 untuk tempoh lima tahun sekali gus.
Sebelum ini, penjaja dan peniaga kecil perlu membayar RM30 bagi pendaftaran perniagaan Pemilikan Tunggal dan RM60 bagi Perniagaan Perkongsian, yang perlu diperbaharui setiap tahun. Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus terhadap kadar kompaun bagi pendaftaran lewat perniagaan dan bayaran pendaftaran lewat.
Pengumunan tersebut disambut dengan tepukan gemuruh daripada kira-kira 15,000 warga penjaja dan peniaga kecil yang menghadiri Majlis Ramah Mesra Warga Penjaja dan Peniaga Kecil 1Malaysia di Dataran Merdeka malam tadi. Perdana Menteri berkata diskaun kadar kompaun itu akan berkuatkuasa 1 Jun sehingga 31 Dis 2012.
“Ini merupakan pemberian istimewa kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) kepada warga penjaja dan peniaga kecil di negara ini,” katanya.
Bagi menjamin kesejahteraan jangka panjang pula, Najib turut memaklumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu skim insurans berkelompok khusus untuk golongan penjaja dan peniaga kecil selepas proses mengemas kini data pendaftaran golongan itu dibuat.
“Kalau golongan peniaga ini sakit, mereka tidak ada SOCSO (Pertubuhan Keselamatan Sosial), jadi beban kos rawatan hospital itu sangat berat pada keluarga.
“Jadi pada golongan ini, yang pendapatannya tidak tetap, kita kena fikir perlindungan untuk mereka, bukan sahaja pada masa senang, tetapi juga semasa mereka susah, kita tetap jaga kebajikan mereka,” katanya.
Najib berkata kerajaan akan meneliti semua maklumat berhubung golongan penjaja dan peniaga kecil dan memaklumkan mengenai butir-butir skim insurans itu tidak lama lagi.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Persatuan Penjaja Dan Peniaga-peniaga Kecil Malaysia (PPPKM) Datuk Ramli Norani.
Pada majlis itu, Najib turut bersetuju dengan cadangan Ramli untuk meletakkan tanggungjawab bagi menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga kecil di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
“Dengan ini jika ada masalah (penjaja dan peniaga kecil) sudah ada tempat untuk dirujuk dan mendapatkan perlindungan dan Datuk Seri Ismail Sabri boleh jadi bapa (mereka),” katanya secara berseloroh.
Sehingga kini, terdapat kira-kira sejuta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara. Sebelum ini, tiada kementerian khusus bertanggungjawab menjaga hal ehwal penjaja dan peniaga kecil. Perdana Menteri berkata kejayaan PPPKM menghimpunkan sejumlah besar ahlinya malam ini secara aman dan tertib memberi isyarat jelas bahawa tindakan mengadakan demonstrasi jalanan tidak perlu jika mahu membuat sebarang kenyataan.
“Apa perlu demonstrasi jalanan untuk membuat kenyataan…kenyataan peniaga kecil malam ini sudah cukup kuat, hebat dan lebih bermakna dan menunjukkan mereka juga punya kekuatan sebagai sebuah kumpulan yang penting dalam masyarakat,” katanya.