Sunday, April 29, 2012
JIKA BERSIH 3.0 GAGAL, ADAKAN PILIHAN RAYA SEGERA!
Saturday, April 21, 2012
HIMPUNAN AIBKAN MANUSIA PECACAI AMPU SEMALAYSIA (HAMPAS) LANCARKAN 'TIBAI'
Oleh Abdul Rahman Hashim
menjadi HAMPAS buat UMNO!
Maaf kepada Majlis Syura TIBAI, saya tidak dapat memenuhi undangan itu kerana saya tidak berkenan dan tidak mahu menambahkan lagi dosa saya kepada Allah, kerana di dalam majlis TIBAI ini nanti tentunya akan dinodai oleh mereka-mereka yang tidak takut berdosa kepada Tuhan akibat keghairan meluap-luap mereka untuk menyerang dan mengaibkan air muka orang lain.
Di dalam agama yang tidak dianuti oleh Senator Nallakarupan, Islam melarang keras tanpa ada kompromi sekiranya kita berkelakuan lebih buruk mencaci, menghina dan mengaibkan orang yang dianggap buruk oleh kita. Banyak potongan ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang diImani oleh Zahid Md Arip, Ezam Mohd. Nor, Zaharin Hashim, Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali termasuk serikandi idola mereka Umi Hafilda yang melarang umat Islam supaya menjauhi daripada perebuatan keji dengan menghina dan mengaibkan peribadi orang lain.
Lagi banyak kutukan dewata kita terhadap individu Islam yang dihina itu, maka bertambahlah pahala yang dperolehi oleh orang yang diaibkan itu. Pahala yang ada pada kita akan berpindah kepada orang yang kita aibkan itu! Takkan Zul Nordin dah kabur mata dengan hukum feqah ini?
Apakah Mursyidul Am Majlis Syura TIBAI, Saudara Zahid Md Arip iaitu cucu kepada Tun Ghafar Baba tidak terasa berdosa untuk mensyubhatkan diri ke lembah dosa yang amat keras balasannya di akhirat kelak? Apakah anggota Majlis Syura TIBAI ini ada kekebalan di sisi Allah untuk terus membiadapkan diri mereka sehingga terlupa bahawa diri masing-masing juga memiliki sifat-sifat mazmumah, malah mungkin lebih tinggi darjat dosanya dengan insan yang ditibai itu?
Kepada mereka, secara tulus saya ingatkan supaya diri kita jangan jadi 'hampas' semata-mata tingginya keinginan untuk menjadi pembodek yang hina dina. Jika kita membariskan kesalahan orang lain dan mendedahkannya kepada umum, apakah kita tuli bahawa di dalam rumah kita juga tidak kurang, malah lebih berganda perbuatan-perbuatan munkar dan kekejian yang wajib dibanteras?
Jika di dalam UMNO disaratkan dengan insan-insan yang oportunis seperti ini termasuk kaki ampu dan kaki kipas serta yang tidak takut kepada dosa, maka dibimbangi semakin hampirlah kita di perkuburan untuk ditalkinkan.
Saya berpendapat di dalam sepak terajang berpolitik janganlah kita ghairah sangat untuk mencari-cara keaiban peribadi orang lain. Permainan politik sedemikian menjadikan diri kita lebih hina, kerana tak pasal-pasal orang lain akan menilai akhlak dan akal budi kita, saling tak tumpah persis pecacai UMNO yang hina dina. Apabila kita gemar menjadi pecacai menghina orang lain, tentu ramai yang akan berkata bahawa yang menghina itu lebih hina dari orang yang dihinanya. Sebagai orang UMNO, saya berhak untuk menyatakan rasa malu sekiranya UMNO menghalalkan perbuatan keji yang berdosa ini.
Bukankah banyak kebijakan lain yang boleh kita lakukan untuk menghambat hati rakyat supaya selesa dengan UMNO? Bukankah di dalam UMNO ramai juga yang berjiwa Islam, tetapi apakah kita hanya berbangga dengan ilmu Islam yang dimiliki sedangkan kemunkaran berlambak di depan mata tidak dipedulikan.
Ulamak-ulamak yang berada di dalam UMNO hendaklah benar-benar ikhlas dan tuntas untuk melihat kebejatan yang menjadi virus dan racun kepada parti yang menjadi teras kepada pemerintahan negara ini agar tidak dipendekkan jangka hayatnya. Melontarkan banyak keaiban Anwar janganlah sampai mengundang keaiban pemimpin kita turut terlondeh. Jika kita marah kerana aib pemimpin kita dilondehkan, eloklah kita segera muhasabah diri dan perbetulkan alignment sendiri yang kelihatan rosak.
TIBAI yang dilancarkan nanti lebih merupakan 'HIMPUNAN AIBKAN MANUSIA PECACAI AMPU SEMALAYSIA' atau singkatannya HAMPAS. Wallahu'alam!
Thursday, April 19, 2012
SAMSENG YANG DIPERKASAKAN LEBIH PERKASA DARIPADA POLIS?
KESAMSENGAN YANG TAK TERKAWAL LAGI?
BUAT APA NAK TUNJUK SAMSENG KEPADA PELAJAR,
LEBIH BAIK PERGI BUKIT BINTANG,
DI SANA LEBIH BANYAK SAMPAH MASYARAKAT
YANG PERLU DIBERSIHKAN OLEH SAMSENG.
Puak yang berkhemah itu berkeras untuk tidak mengendahkan arahan DBKL, sebaliknya mereka berkata akan terus berkhemah di Dataran Merdeka sehingga Perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012.
Di dalam kejadian
malam tadi, kira-kira jam 2.30 pagi terdapat sekumpulan 60-70 orang dikatakan telah bertindak kasar terhadap segolongan mahasiswa yang masih berkampung di Dataran Merdeka.(Foto kiri - Antara yang tercedera akibat dipukul)
Samseng ini bagaikan lebih berkuasa daripada penguatkuasa Direktorat DBKL, bahkan mereka kelihatannya begitu sewenang-wenangnya bertindak merobohkan khemah-khemah yang ada, mengkasari mereka yang menghuni khemah itu, malah samseng-samseng ini mengganas dengan menyepak, menendang dan merampas kamera dan perakam video yang dimiliki oleh mahasiswa terbabit.
Kekecohan yang berlaku ini bagaikan tidak ada kawalan keselamatan, kerana pihak polis yang ada di situ dilihat gagal untuk menghentikan kekasaran mengganas yang dibuat oleh samseng yang diupah oleh pihak tertentu itu, walau pun kedengaran jeritan meminta pertolongan oleh sebahagian mahasiswa yang menjadi mangsa buli golongan penyangak itu.
Persoalannya sekarang ialah, wajarkah puak samseng ini diundang untuk menyuraikan pelajar-pelajar yang berkhemah di situ. Apakah samseng upahan ini wajar dilindungi sehingga mereka bermaharajalela bertindak sesuka hati sehingga mendatangkan kecederaan kepada pelajar-pelajar terbabit?
Amatlah malang lagi, jika terdapat pemimpin UMNO sendiri yang merestui tindakan 'gangsterisme' ini semata-mata kerana runsing dengan desakan mahasiswa yang tidak berpihak kepada UMNO/Kerajaan dalam isu PTPTN yang diperjuangkan oleh mereka. Nampaknya macam wujud kecenderungan beberapa pemimpin UMNO termasuk Menteri Pengajian Tinggi sendiri yang tergamak menghina anak-anak muda itu, sekaligus semacam wujudnya kecenderungan memihak kepada puak-puak samseng itu.
SAMSENG yang mengancam dan mengkasari pelajar nampaknya begitu selesa dilindungi sedangkan golongan pelajar yang berkhemah secara aman di situ dianggap LEBIH SAMSENG dari SAMSENG UPAHAN itu.
Jika itu sajalah hukuman yang wajar dilakukan terhadap golongan pelajar itu, maka rakyat negara ini masih belum selamat kerana ada suatu gerakan yang dilindungi untuk memberi muka kepada aktiviti gangsterisme. Selalu sangat kita melihat golongan ini membuat kacau ganggu malah mereka semakin liar untuk menggugat gerakan demokrasi sihat di negara ini.
Misi pihak polis untuk mencegah jenayah di negara ini, janganlah sampai rakyat merasakan adanya kelompong yang meragukan, apabila mafia politik ini diberikan kebebasan untuk lebih berkuasa daripada kuasa polis sendiri. Sekian, sekadar keluhan saya.
NAJIB SERING LABELKAN DIA 'LANUN', KINI SHAFIE APDAL DIHIMPIT SKANDAL?
"Pada setiap kali perjumpaan itu Datuk akan menyerahkan wang tunai antara RM100,000 hingga RM200,000" - Bekas Pemandu Zahida.
Tiba-tiba isu yang membabitkan seorang Menteri dengan seorang artis ini meletup. Ia timbul di saat Perdana Menteri sedang berkira-kira untuk mentaqwimkan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal diadakAn menjelang Jun 2012 ini.
Apakah skandal Shafie Apdal & Zahida Rafik (Foto kiri) bakal mencontengkan imej parti dan juga kerajaan sebagaimana tercalarnya maruah peribadi Anwar yang digonggong oleh pecacai-pecacai yang mendakwa hanya pemimpin pembangkang itu sahaja yang perlu dilenyapkan karier politiknya atas alasan 'tidak bermoral'?
Jika alasan itu Anwar hendak dimangsakan, maka Shafie Apdal haruslah memerbersihkan dirinya segera supaya rentetan malang kepada Anwar itu tidak terpalit ke atas dirinya. Persoalannya ialah apakah benar Menteri Pembangunan Luar Bandar itu terlibat dengan skandal sebagaimana yang disangkakan itu?
Jika pemberian wang sebanyak itu perlu diberikan kepada artis secantik Zahida Rafik pada setiap kali mereka berjumpa, mungkin ia tidak perlu dipolemikkan sekiranya mereka merupakan pasangan suami isteri yang sah. Seberapa banyak duit sekali pun yang hendak disalurkan kepada Zahida Rafik atau berapa banyak banglo serta beberapa kereta mewah yang hendak dihadiahkan kepadanya, bukanlah menjadi masalah besar sekiranya benar mereka adalah pasangan suami isteri.
Tetapi ia mungkin mencetuskan polemik kepada diri mereka malah terpalit juga imej kerajaan dan parti UMNO, kerana Sang Jejaka itu adalah seorang Menteri Kerajaan Persekutuan dan juga Naib Presiden UMNO yang dilihat terjebak dengan skandal yang membabitkan dengan seorang Jelitawan bergelar artis/pelakun. Sememangnya cerita pasangan sejoli ini telah lama tersebar, cuma ianya dapat dikawal supaya tidak mencetuskan isu politik yang mungkin membebankan UMNO.
Bermula dengan dakwaan pemandu peribadi Zahida sendiri yang membongkarkan bahawa Shafie Apdal akan menyerahkan wang tunai antara RM100 ribu hingga RM200 ribu kepada kekasihnya, Zahida Rafik apabila setiap kali mereka berjumpa; telah menjadikan isu ini terangkat di persada media terutama di dalam media baru seperti laman-laman blogg, facebook, twitter dan beberapa media cetak yang lainnya.
Mungkinkah akan terselak lebih banyak maklumat sensasi yang bakal menghangatkan dunia hiburan tanah air, malah dibimbangi ia akan mencalarkan imej peribadi Shafie Apdal sekaligus menyaksikan Menteri yang sering digelar oleh Najib sebagai 'Lanun Semporna' itu bakal rebah dek kerana terkhayal dengan godaan wanita cantik.
Apa pun saya sarankan agar kita tidak berterusan bersikap untuk mengaibkan orang lain, terutamanya kepada rakan-rakan dalam blok Pakatan Rakyat supaya tidak terikut-ikut dengan gaya pecacai-pecacai UMNO selama ini yang berminat sangat dengan citra melucahkan, namun citra dan sketsa melucahkan Anwar Ibrahim akhirnya terpercik juga ke muka UMNO.
Sekiranya puak-puak Pakatan Rakyat enggan menyamakan diri mereka dengan gelagat keji yang disandiwarakan oleh pecacai UMNO selama ini, eloklah jauhi dari perbuatan itu. Harap-harap JAKIM, Utusan, Berita Harian, RTM & TV3 janganlah sensasikan skandal Shafie Apdal/Zahida Rafik seperti yang telah mereka lakukan terhadap Anwar Ibrahim.
Friday, April 13, 2012
KARNIVAL LUT & ANWAR DI SETAPAK JAYA
kisah Nabi Lut dan Anwar.
Oleh Abdul Rahman Hashim
Saya terpukau dengan kehebatan seorang Imam yang sedang berceramah di dalam sebuah Surau di Taman Setapak Jaya malam tadi, tapi sayangnya dia berceramah syok sendiri di hadapan kira-kira 15 orang sahaja di dalam surau tersebut. Dia sempat mendendangkan lagu-lagu nasyid untuk menghiburkan jemaah yang tidak terhibur dengan ceramahnya itu.
Namun begitu saya percaya Imam tersebut merasakan ceramahnya itu akan diikuti dan didengari oleh ribuan orang ramai dari pelbagai kaum yang sedang membajiri padang bolasepak yang terletak bersebelahan sahaja dengan Surau Taman Setapak Jaya. Ramai juga jemaah di dalam surau itu yang lebih berminat untuk mengikuti ceramah agama yang mengkisahkan NABI LUT dari luar surau sahaja, lagi pun corong pembesar suara yang dihalakan ke padang itu pun cukup jelas untuk didengari.
Malangnya kebanjiran manusia yang berada di padang itu lebih tertumpu pula untuk mendengar celoteh ADAM ADLI, YB Dr. Tan Seng Giaw dan YB Khalid Samad sebelum kedatangan Anwar Ibrahim. Ribuan manusia yang berada di situ kebingungan malah ada yang menggelengkan kepala kerana terdapat dua majlis ceramah di dalam satu masa.
Ceramah mengenai Nabi Lut semakin sayup menghilang malah Anwar Ibrahim yang tiba pada jam 10.30 malam pun tidak sempat untuk mendengar kisah-kisah kejahilan kaum Nabi Lut. Laungan reformasi anak-anak muda di situ yang menyambut ketibaan Anwar telah menenggelamkan citrawara Nabi Lut. Hampir separuh daripada keluasan padang itu telah dipenuhi dengan ribuan orang ramai, dan mungkin sebahagian daripada 15 orang yang setia dengan kisah Nabi Lut itu turut berada di tengah padang untuk melihat sendiri wajah Anwar Ibrahim yang disangkakan persis kaum Lut??
Seingat saya yang sudah 25 tahun menetap di persekitaran Setapak Jaya, inilah sejarah yang menakjubkan bagi penduduk Setapak Jaya, kerana terdapatnya karnival LUT & ANWAR yang diadakan serentak dalam satu masa di surau dan juga di padang. Namun saya sedih juga, kisah Nabi Lut di dalam Surau itu masih tidak boleh mengatasi kehebatan Arwah Hamzah Kunjoo Marakan yang sentiasa berjaya mengumpulkan kehadiran yang ramai apabila beliau menganjurkan Karnival Sukan Bolasepak 9 Sebelah dan Hari Keluarga untuk penduduk Setapak Jaya hampir saban tahun sehingga akhir hayatnya.
Allahyarham H
Ceramah Isu Semasa anjuran Pakatan Rakyat di atas padang, Taman Setapak Jaya dalam Parlimen Setiawangsa yang diadakan malam 12 April 2012 telah menyaksikan ribuan penduduk tempatan dan juga masyarakat dari luar kawasan ini terpegun dengan impresi 'permainan kata-kata' yang dicerakinkan oleh Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim telah mengupas beberapa isu politik dengan segala kehebatan yang dimilikinya. Ceramah yang bertenaga itu berlegar-legar tentang perkara yang dipolemikkan seperti isu Altantuya, komisen kapal selam, Rosmah dengan cincinnya, hal permit teksi milik tokoh-tokoh UMNO, isu-isu SPR dan BERSIH 3.0 termasuklah isu pendidikan percuma yang berkait rapat dengan PTPTN yang juga dsentuh oleh Anwar.
Anwar terkejut melihat kehadiran orang ramai di sini kerana menurutnya Setiawangsa dianggap sebagai kawasan putih bagi UMNO/BN, kini bagaikan terpukul gelombang untuk ditawan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti. Anwar menyatakan harapan dan keyakinannya bahawa tidak mustahil Parlimen Setiawangsa bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, kerana sokongan rakyat yang berpihak kepada Pakatan Rakyat dalam PRU12 yang lepas akan berganda menjelang PRU13.
Jika menoleh kembali keputusan yang dicapai di dalam PRU12 yang lepas, peti undi di Setapak Jaya menyaksikan undi popular kepada UMNO/BN jatuh merudum. Majoriti pengundi Cina di sini bagaikan berdegil untuk terus dominan kepada Pakatan Rakyat. Kecaman dan sanggahan politik yang dicetuskan Anwar Ibrahim di dalam ceramahnya di Setapak Jaya malam tadi memperlihatkan cabaran yang sengit bakal dihadapi oleh UMNO di bawah pimpinan Ahli Parlimen Setiawangsa, Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Permainan kata-kata yang dilemparkan oleh Anwar terhadap pemimpin-pemimpin UMNO haruslah diambil ingatan kerana ianya didendangkan secara santai di atas ketempangan dan kepincangan yang mungkin terserlah di dalam UMNO.
Transformasi politik yang dicetuskan oleh Najib Tun Razak mungkin bagaikan mencurah air ke daun keladi seandainya masih ada golongan oportunis yang terdorong untuk memperkasakan diri sendiri lebih daripada memperkasa parti. Ingatlah, gerombolan yang berpayung di bawah Pakatan Rakyat tidaklah sekuat mana, cuma mereka menjadi semakin kuat di atas kebejatan politik yang melanda UMNO/BN dewasa ini.
Pilihan rakyat hanya satu, jika UMNO mampu menjadi lebih hebat sebagai Sang Juara Rakyat, maka konsistensi untuk UMNO terus berkuasa menjadi semakin cerah. Jika UMNO tidak berupaya melepasi kepompong kehinaan seperti gejalah rasuah, kebejatan moral, kesombongan, berkelahi sesama sendiri untuk merebut takhta, cah keting, bentis membentis dan macam-macam lagi kehinaan yang melilit perjuangan UMNO, maka rebahlah kekuasaan yang kita miliki selama ini.
Wednesday, April 11, 2012
BANDAR ACEH BERGONCANG LAGI!
Oleh Abdul Rahman Hashim
"Amaran tsunami akibat gempa yang berpusat di barat daya Simelue, Aceh pada kedalaman 10 km itu meliputi lima wilayah iaitu Aceh, Sumatra Utara, Sumatra Barat, Bengkulu dan Lampung," kata jurucakap PMKG Pekan Baru, Marzuki seperti dilapor Republika Online yang memetik agensi berita Antara.
Jurucakap itu berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 3.38 petang (4.38 waktu Malaysia). Gegaran turut dirasai di beberapa buah negeri di negara ini. Suasana panik berlaku di beberapa tempat kerana berlakunya gegaran di beberapa buah bangunan tinggi di Pulau Pinang dan juga di Kuala Lumpur.
Ombak tsunami dijangka tiba di Georgetown pada 9:11 malam ini dan Port Dickson pada 2:10 pagi ini. Semoga semua siap sedia dengan segala kemungkinan.
Tuesday, April 10, 2012
PTPTN DIANGGAP CETI KEPADA PELAJAR IPT?
Najib - Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM43 bilionuntuk memberi pinjaman PTPTN kepada pelajar-pelajar IPT
Isu PTPTN kini telah diperhangatkan. Orang politik begitu gemar dengan isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat kerana isu sedemikian dianggap mampu untuk meraih sokongan politik. Anwar dalam maraton kempennya ke seluruh negara telah meniupkan sentimen kebencian terhadap polisi PTPTN yang tentunya beliau mempunyai motif politik untuk memikat hati rakyat, terutamanya golongan muda yang menjadi pelajar IPTA/IPTS samada yang masih siswa mahupun bekas siswazah, dengan berkata bahawa pinjaman PTPTN ini akan dihapuskan jika Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya. Musuh politiknya akan berkata, ia RETORIK. Manakala rakan sekutunya dahulu, Ibrahim Ali berkata negara akan bankrup jika dibiarkan sipemiutang PTPTN tidak melunaskan hutang mereka.
Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak dalam reaksinya pula berkata jumlah keseluruhan pinjaman yang telah dikeluarkan oleh kerajaan menerusi PTPTN ialah sekitar RM43 bilion. Menurutnya kerajaan tidak mampu untuk menjelaskan hutang sebanyak itu.
Jika diperhatikan kenyataan-kenyataan lantang Anwar ini bagaikan beliau terlupa bahawa sistem ceti yang diperkenalkan dalam akta PTPTN ini adalah berputik mekar semasa beliau masih lagi menjadi Timbalan Perdana Menteri dan juga Menteri Kewangan. Kerajaan telah menubuhkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini melalui akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, 1977 (Akta 566). Sudah tentu Anwar akan pertahankan dasar itu, jika beliau masih berada di dalam kerajaan hari ini.
Mari kita merenung sejenak apa yang tersurat dan yang tersirat di sebalik penubuhan PTPTN. Tujuan PTPTN ialah untuk mengambil alih peranan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sebelum ini merupakan agensi pemberian pinjaman pendidikan terbesar kerajaan selain Majlis Amanah Rakyat (MARA). PTPTN juga bertujuan mewujudkan satu tabung pinjaman pendidikan yang tidak lagi memerlukan peruntukan kerajaan saban tahun seperti JPA sebelum ini.
Malangnya PTPTN bermula dengan langkah yang salah apabila mengenakan caj sehingga 4% setahun ke atas pinjamannya. Ini menimbulkan kemarahan para pelajar yang terasa mereka dibebani oleh pinjaman pendidikan yang terlalu tinggi apabila mula bekerja.
Persoalannya ialah pengenaan caj 4% ini dilakukan di bawah pengawasan Menteri Kewangan mana? Orang yang sama hari ini yang mendakwa pinjaman PTPTN dan caj pengurusan sebagai zalim dan menindas mahasiwa, sedangkan caj yang dikenakan sekarang ini dilihat jauh lebih rendah daripada zaman beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu.
Namun kerajaan Barisan Nasional yang prihatin ini kemudiannya menurunkan kepada 3% dan seterusnya menganjurkan skim baru yang hanya mengenakan caj perkhidmatan sebanyak 1% sahaja. Dan ingatlah semua ini berlaku bukan lagi pada zaman Anwar Ibrahim yang pernah bersekongkol memegang kuasa di zaman Mahathir.
Sungguhpun kita mengetahui bahawa isu ini telah menjadi siulan politik untuk memerangkap pihak pemerintah, namun saya merasakan kita juga harus menerima hakikat bahawa wajah, struktur dan bentuk PTPTN boleh diberi nafas baru untuk menjadikannya lebih mesra rakyat. BPada hemat saya bukannya salah jika Anwar hendak mengkritik dasar yang lama itu, tetapi biarlah pemimpin UMNO/BN pula bijak berhujah untuk menangkisnya.
Berhujah dengan Anwar hendaklah berfakta bukannya secara emosi, jika kita tersalah hayun mungkin isu ini menjadi 'bola tanggung' yang sukar untuk ditangkis. Apabila Anwar hendak menghapuskan PTPTN, bukan bermakna begitu mudah untuk dia menghapuskan akta PTPTN itu, sebaliknya jika beliau hendak menghapuskan dasar pinjaman ala ceti kepada mahasiswa ini, ia memerlukan penggubalan baru atau pindaan kepada akta yang telah menjadi undang-undang sejak tahun 1997.
Jika Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin berhujah kononnya penghapusan PTPTN akan menyusahkan orang Melayu yang berpendapatan rendah untuk membiayai pengajian anak mereka di IPT, namun Menteri itu tidak menjawab dengan tepat mengenai saranan Anwar yang hendak menghapuskan pinjaman ceti PTPTN, bukannya menghapuskan PTPTN? Menghapuskan PTPTN dengan menghapuskan pinjaman PTPTN adalah berbeza.
Dimana rasionalnya jika itulah nada jawapan Khaled Nordin? Jika itu yang disanggah oleh Menteri Pengajian Tinggi maka bermakna kerajaan BN akan mengekalkan dasar pinjaman ala ceti yang diperkenalkan oleh PTPTN kepada anak-anak kita, sedangkan Anwar membuat provokasi memikat hati rakyat untuk melupuskannya. Ternyata Khaled Nordin memasuki perangkap akibat jawapannya yang tersasar sehingga terlupa bahawa PTPTN dianggap pelajar yang terbabit sebagai along. Nama mereka terpampang disenarai hitamkan. Penyanyi, Faizal Tahir sendiri terhalang untuk ke luar negara kerana nama beliau dipaparkan sebagai pemiutang kepada PTPTN.
Sehingga tahun lalu seramai 885,564 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu membayar balik pembiayaan pendidikan masing-masing yang berjumlah RM5.3 bilion. Pada Oktober tahun lalu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Hou Kok Chung berkata, 114,125 peminjam telah diluluskan penangguhan bayaran balik disebabkan menyambung pelajaran, masih belum bekerja dan dalam proses tawaran yang melibatkan amaun sebanyak RM967.18 juta.
Ini bermakna masih ada lagi ruang untuk pelajar yang telah lulus pengajian memohon penangguhan bayaran semula. Namun masih ramai yang tidak berpuas hati kerana PTPTN mewajibkan mereka mula membayar balik enam bulan selepas habis pengajian. Jika tidak mampu membayar maka perlu melakukan rayuan dan bergantung atas budi bicara para pegawai PTPTN. Malah difahamkan bahawa PTPTN mempunyai budi bicara untuk mengurangkan bayaran bulanan sehingga serendah RM 50 sebulan.
Namun masalah yang besar ialah mengenai jumlah yuran pengajian yang begitu tinggi di Institut Pengajian Tinggi Swasta sehingga menyebabkan ada antara pelajar lulusan vokasional dan teknik berhutang dengan PTPTN sehingan RM 45 ribu ke 50 ribu sebaik tamat pengajian.
Alangkah wajarnya dalam keadaan beginilah kerajaan harus menganggap memberi pinjaman pendidikan tinggi kepada para pelajar merupakan satu bentuk pelaburan yang kalau tidak lebih penting pun tentulah sama penting dengan pelaburan pembangunan lain.
Saya berpendapat PTPTN perlu menggunakan kaedah skim pembayaran balik pinjaman MARA yang lebih mesra pelajar dan sangat bertimbang rasa. Ini membolehkan pelajar menikmati pelbagai potongan diskaun selain menggalakkan kerja keras msiswa menumpukan kepada pelajaran. Jika pelajar yang mendapat kelulusan baik diberi potongan tertentu, maka lebih ramai yang akan menumpukan kepada pelajaran berbanding dengan menghabiskan masa berhibur dan berdemontrasi.
Kenapa PTPTN sebagai organisasi yang berkait rapat dengan kerajaan harus menjadi seperti bank yang mengenakan pelbagai caj dan faedah sehingga membebankan mahasiswa? Bukankah PTPTN mendapat dana permulaan daripada kerajaan? Saya percaya kerajaan boleh menambah dana tersebut jika PTPTN mempunyai strategi yang berkesan untuk menjadi sebuah organisasi yang mapan pada masa akan datang.
Justeru PTPTN harus mengambil langkah seperti MARA yang kini difahamkan mempunyai cabang pelaburan sendiri bagi mengumpul dana untuk organisasi dan aktiviti mereka. Atau sekurang-kurangnya PTPTN boleh mencontohi model pengurusan dan pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mampu mendapat keuntungan bagi menampung kos operasi dan membayar dividen kepada penyimpannya.
PTPTN boleh memohon dana khas kerajaan untuk pelaburan dalam industri tertentu yang tidak berisiko tinggi tetapi mempunyai pulangan sederhana. Kos pengurusan PTPTN dan juga kerugian daripada pemberian diskaun kepada pinjaman pelajar boleh ditampung dari sumber keuntungan pelaburannya, bukan daripada pinjaman pendidikan itu sendiri seperti yang berlaku sekarang.
Dengan peruntukan berbilion ringgit daripada kerajaan, adalah mustahil untuk PTPTN tidak mampu untuk mencari peluang pelaburan yang mencukupi untuk membiayai pengurusan organisasinya dan juga menampung kekurangan dana pinjaman akibat pelupusan dan juga pengurangan bayaran balik pinjaman.
PTPTN juga boleh melakukan pelbagai aktiviti mengutip dana untuk tabung pinjaman ini jika syarikat korporat, dermawan dan rakyat percaya mereka membuat kerja membantu mahasiswa bukannya menindas mahasiswa.
Yang utuma dan penting ialah PTPTN tidak seharusnya mengambil jalan senang dengan memberi pinjaman dan mengutip bayaran semata-mata sehingga masalah ini menjadi satu tekanan kepada rakyat. Pembangkang mengutip masalah ini dan menuding jari kepada kerajaan Najib Razak yang didakwa boros berbelanja duit rakyat, malah rakyat kini disajikan pula dengan pelbagai isu yang membabitkan pelupusan pinjaman kroni 'Tajudin Ramli' yang berjumlah RM589 juta oleh pihak kerajaan. Anwar mendakwa Najib tidak pandai mencari sumber untuk menampung pendidikan percuma di negara ini, sebaliknya memberikan pembelaan kepada golongan korporat yang terjebak dengan pelbagai kes rasuah.
Oleh itu PTPTN haruslah mencontohi daripada agensi lain terutamanya daripada MARA yang bukan sahaja berupaya menaja para pelajar ke luar negara tetapi juga memberi pinjaman yang sangat fleksibel dan mesra mahasiswa. Tanggapan nakal yang dilontarkan kepada PTPTN sebagai ceti yang dilesenkan oleh kerajaan untuk membebankan pelajar dengan hutang pinjaman adalah sesuatu yang perlu kepada transformasi dan perubahan yang drastik dengan penambahbaikan terhadapnya.
Apabila ada gerakan untuk mengheret isu PTPTN ini di dalam satu perhimpunan di Dataran Merdeka pada 14 April ini, maka jelaslah wujudnya keresahan golongan muda yang terikut dengan gendang politik Anwar untuk menjatuhkan kerajaan BN menjelang PRU13. Waspadalah, jasa UMNO kini hendak dilupakan oleh mereka.














