kisah Nabi Lut dan Anwar.
Oleh Abdul Rahman Hashim
Saya terpukau dengan kehebatan seorang Imam yang sedang berceramah di dalam sebuah Surau di Taman Setapak Jaya malam tadi, tapi sayangnya dia berceramah syok sendiri di hadapan kira-kira 15 orang sahaja di dalam surau tersebut. Dia sempat mendendangkan lagu-lagu nasyid untuk menghiburkan jemaah yang tidak terhibur dengan ceramahnya itu.
Namun begitu saya percaya Imam tersebut merasakan ceramahnya itu akan diikuti dan didengari oleh ribuan orang ramai dari pelbagai kaum yang sedang membajiri padang bolasepak yang terletak bersebelahan sahaja dengan Surau Taman Setapak Jaya. Ramai juga jemaah di dalam surau itu yang lebih berminat untuk mengikuti ceramah agama yang mengkisahkan NABI LUT dari luar surau sahaja, lagi pun corong pembesar suara yang dihalakan ke padang itu pun cukup jelas untuk didengari.
Malangnya kebanjiran manusia yang berada di padang itu lebih tertumpu pula untuk mendengar celoteh ADAM ADLI, YB Dr. Tan Seng Giaw dan YB Khalid Samad sebelum kedatangan Anwar Ibrahim. Ribuan manusia yang berada di situ kebingungan malah ada yang menggelengkan kepala kerana terdapat dua majlis ceramah di dalam satu masa.
Ceramah mengenai Nabi Lut semakin sayup menghilang malah Anwar Ibrahim yang tiba pada jam 10.30 malam pun tidak sempat untuk mendengar kisah-kisah kejahilan kaum Nabi Lut. Laungan reformasi anak-anak muda di situ yang menyambut ketibaan Anwar telah menenggelamkan citrawara Nabi Lut. Hampir separuh daripada keluasan padang itu telah dipenuhi dengan ribuan orang ramai, dan mungkin sebahagian daripada 15 orang yang setia dengan kisah Nabi Lut itu turut berada di tengah padang untuk melihat sendiri wajah Anwar Ibrahim yang disangkakan persis kaum Lut??
Seingat saya yang sudah 25 tahun menetap di persekitaran Setapak Jaya, inilah sejarah yang menakjubkan bagi penduduk Setapak Jaya, kerana terdapatnya karnival LUT & ANWAR yang diadakan serentak dalam satu masa di surau dan juga di padang. Namun saya sedih juga, kisah Nabi Lut di dalam Surau itu masih tidak boleh mengatasi kehebatan Arwah Hamzah Kunjoo Marakan yang sentiasa berjaya mengumpulkan kehadiran yang ramai apabila beliau menganjurkan Karnival Sukan Bolasepak 9 Sebelah dan Hari Keluarga untuk penduduk Setapak Jaya hampir saban tahun sehingga akhir hayatnya.
Allahyarham H
Ceramah Isu Semasa anjuran Pakatan Rakyat di atas padang, Taman Setapak Jaya dalam Parlimen Setiawangsa yang diadakan malam 12 April 2012 telah menyaksikan ribuan penduduk tempatan dan juga masyarakat dari luar kawasan ini terpegun dengan impresi 'permainan kata-kata' yang dicerakinkan oleh Anwar Ibrahim.
Anwar Ibrahim telah mengupas beberapa isu politik dengan segala kehebatan yang dimilikinya. Ceramah yang bertenaga itu berlegar-legar tentang perkara yang dipolemikkan seperti isu Altantuya, komisen kapal selam, Rosmah dengan cincinnya, hal permit teksi milik tokoh-tokoh UMNO, isu-isu SPR dan BERSIH 3.0 termasuklah isu pendidikan percuma yang berkait rapat dengan PTPTN yang juga dsentuh oleh Anwar.
Anwar terkejut melihat kehadiran orang ramai di sini kerana menurutnya Setiawangsa dianggap sebagai kawasan putih bagi UMNO/BN, kini bagaikan terpukul gelombang untuk ditawan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti. Anwar menyatakan harapan dan keyakinannya bahawa tidak mustahil Parlimen Setiawangsa bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, kerana sokongan rakyat yang berpihak kepada Pakatan Rakyat dalam PRU12 yang lepas akan berganda menjelang PRU13.
Jika menoleh kembali keputusan yang dicapai di dalam PRU12 yang lepas, peti undi di Setapak Jaya menyaksikan undi popular kepada UMNO/BN jatuh merudum. Majoriti pengundi Cina di sini bagaikan berdegil untuk terus dominan kepada Pakatan Rakyat. Kecaman dan sanggahan politik yang dicetuskan Anwar Ibrahim di dalam ceramahnya di Setapak Jaya malam tadi memperlihatkan cabaran yang sengit bakal dihadapi oleh UMNO di bawah pimpinan Ahli Parlimen Setiawangsa, Dato' Sri Zulhasnan Rafique.
Permainan kata-kata yang dilemparkan oleh Anwar terhadap pemimpin-pemimpin UMNO haruslah diambil ingatan kerana ianya didendangkan secara santai di atas ketempangan dan kepincangan yang mungkin terserlah di dalam UMNO.
Transformasi politik yang dicetuskan oleh Najib Tun Razak mungkin bagaikan mencurah air ke daun keladi seandainya masih ada golongan oportunis yang terdorong untuk memperkasakan diri sendiri lebih daripada memperkasa parti. Ingatlah, gerombolan yang berpayung di bawah Pakatan Rakyat tidaklah sekuat mana, cuma mereka menjadi semakin kuat di atas kebejatan politik yang melanda UMNO/BN dewasa ini.
Pilihan rakyat hanya satu, jika UMNO mampu menjadi lebih hebat sebagai Sang Juara Rakyat, maka konsistensi untuk UMNO terus berkuasa menjadi semakin cerah. Jika UMNO tidak berupaya melepasi kepompong kehinaan seperti gejalah rasuah, kebejatan moral, kesombongan, berkelahi sesama sendiri untuk merebut takhta, cah keting, bentis membentis dan macam-macam lagi kehinaan yang melilit perjuangan UMNO, maka rebahlah kekuasaan yang kita miliki selama ini.

















