Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Majudilihat lebih winnable menjadi calon BN Wangsa Maju kali ini.Oleh Abdul Rahman Hashim
Insya Allah, pada malam ini (4 Mac 2012) gerakan menyuntik semangat memperkasakan Barisan Nasional di hati rakyat akan diteruskan di kawasan Parlimen Wangsa Maju. Saya sendiri telah dijemput untuk bersemuka dengan pengundi akar umbi di situ untuk menyampaikan ceramah politik secara bergandingan dengan penceramah daripada Parti Gerakan dan juga MIC.
Sudah tentu Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah, Pengerusi BN Wangsa Maju yang juga Ketua UMNO Bahagian di situ mengharapkan sesuatu yang boleh membangkitkan kesedaran rakyat untuk melakukan transformasi merobah lanskap politik rakyat supaya mengembalikan keutuhan Barisan Nasional yang telah dirobek dalam PRU12 yang lalu. Parlimen Wangsa Maju yang menjadi kubu kuat UMNO/BN sebelum ini telah kecundang dan rebah di tangan PKR apabila Yew Tiong Look yang mewakili BN tumpas di tangan Wee Chee Keong daripada PKR. PKR menang dengan kelebihan 150 undi sahaja. Apa nak dikatakan, walaupun kelebihan 1 undi, BN telah kalah di situ.
UMNO di bawah kepimpinan Dato' Shafei Abdullah semakin berputar laju bagaikan putaran gasing menemui rakyat akar umbi dengan mengharapkan mandat supaya Wangsa Maju kembali semula ke tangan Barisan Nasional. Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju bermula dengan kejayaan Datuk Dr Kamal Salih pada tahun 1994, dituruti pula kemenangan Dato' Sri Zulhasnan Rafique pada tahun 1999, kemudiannya bersilih ganti kepada Yew Teong Look daripada MCA yang memenangi kerusi BN pada pilihan raya 2004, namun dalam PRU12 pada tahun 2008 Parlimen Wangsa Maju turut dilanda tsunami politik setelah BN ketinggalan hanya 150 undi untuk menobatkan Wee Chee Keong daripada PKR sebagai Wakil Rakyat pembangkang di Wangsa Maju.
UMNO, MCA, Gerakan dan juga MIC haruslah bergerak seiring dan sejalan untuk mempastikan kerusi ini tidak lagi dimiliki oleh pembangkang menjelang PRU13 nanti. Tidak wajar sama sekali kita terkeliru untuk mencari kemenangan, kerana kemenangan sebenarnya boleh dicapai jika BN dapat membuktikan sokongan padu kepada calonnya tanpa mengira dari parti komponen mana yang akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti.
Jika sebelum ini calon UMNO yang diwakili oleh Kamal Salih, Zulhasnan dan Yew Teong Look daripada MCA boleh cipta kemenangan hasil sokongan semua pihak, maka jangan lagi memberi alasan kononnya semangat setiakawan dalam BN Wangsa Maju tidak bersemi lagi sehingga MCA boleh merajuk semata-mata Pengerusi BN Wangsa Maju kini berpindah kepada Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Shafei Abdullah.
Kekalahan Yew Teong Look di Wangsa Maju pada pilihan raya umum 2008 lepas bukan bermakna tiada langsung pengundi Melayu menyokong beliau. YTL harus juga melihat faktor sokongan pengundi Cina di situ yang lebih berpihak kepada Wee Chee Keong. Rata-rata keputusan Peti Undi yang majoriti pengundi Cina tidak berpihak kepada BN, sedangkan peti-peti undi yang dikuasai oleh majoriti pengundi Melayu walaupun berlaku penurunan namun masih ketara menyokong BN walaupun calonnya daripada MCA.
Yew Teong Look sebaik-baiknya tidak berterusan menuding jari ke arah UMNO akibat kekalahannya itu, kerana UMNO telah bekerja keras untuk mempengaruhi pengundi Melayu di situ supaya terima sahaja calon BN itu walaupun kedengaran ada yang tidak berpuas hati dengan prestasi YTL selama beliau menjadi wakil rakyat di situ.
Sebenarnya tidak timbul UMNO menolak MCA. Jika sentimen itu dipermainkan, mana mungkin YTL boleh menang di kawasan Melayu dalam PRU yang diadakan pada tahun 2004. Bukankah faktor sokongan pengundi Melayu yang memungkinkan YTL menang di Parlimen Wangsa Maju? Kini Wangsa Maju mempunyai lebih 53 peratus pengundi Melayu yang bakal memperkasakan kekuatan BN. Namun begitu jika semangat tolak ansur tidak dapat dijiwai oleh MCA dan lain-lain parti komponen BN di Wangsa maju sehingga isu yang remeh ini menjadi beban utama pula kepada faktor kekuatan BN, maka agar sukar diramalkan tentang masa depan BN Wangsa Maju untuk merampas kembali kerusi yang telah dimenangi oleh PKR sebelum ini.
Jika berbekalkan karisma kepimpinan Dato' Mohd. Shafei Abdullah yang mengetuai Jentera Barisan Nasional Wangsa Maju, dibuktikan pula dengan agenda rakyatnya selama ini, maka tidak mungkin BN boleh kecundang lagi dalam PRU13 nanti. Kebimbangan faktor sabotaj sesama sendiri agak sukar diramalkan untuk meraih kemenangan yang dihajati. Apalah maknanya jika benar ramalan Pakatan Rakyat kononnya MCA menjadi penghalang terbesar kepada BN untuk menawan semula Wangsa Maju.
Jika benar dakwaan Pakatan Rakyat itu, MCA haruslah membuktikan bahawa partinya bukanlah si pengkhianat kepada Barisan Nasional sebagaimana yang disangka oleh mereka. Yew Teong Look janganlah lagi memerangkap dirinya dengan berselindung di sebalik panji-panji Barisan Nasional untuk menghalang kemenangan BN dalam PRU13. Sewajarnya beliau memberikan sokongan padu kepada Shafei Abdullah sebagaimana sokongan yang telah diberikan oleh UMNO kepadanya ketika beliau memenangi kerusi ini pada PRU 2004.
Tidak ada maknanya jika YTL hanya mahukan jawatan Pengerusi BN dan mahukan dirinya pula dicalonkan semula dalam PRU13 nanti menjadi pra syarat untuk beliau menyokong membantu kemenangan BN. Beliau tidak harus mencemarkan nama baik partinya sendiri sedangkan MCA telah menyatakan akujanjinya untuk mempastikan BN menang cemerlang dalam PRU13 nanti.
MCA kena ingat juga bahawa ramai juga calonnya akan bertanding di beberapa kawasan yang majoriti pengundi Melayu. Undi Melayu juga penting untuk kemenangan mereka, maka YTL harus bertegas untuk menukar pendiriannya menjadi lebih patriotik terhadap Barisan Nasional.
Saya berharap saya mampu untuk berhadapan dengan kemelut politik ini di dalam majlis ceramah yang dianjurkan oleh BN Wangsa maju pada malam ini (4 Mac 2012). Misi untuk menawan semula kerusi Parlimen Wangsa Maju bukanlah kerja yang mudah, namun kita meyakini kerja yang rumit ini akan menjadi lebih mudah jika kita yakin dengan kekuatan yang dimiliki.