assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, October 23, 2010

"U TAU TAK SOI LEK...KAMI TAK PANGGIL KAMU BANGSA PENDATANG, TAPI KAMI NAK BERITAHU KAMU DATANG MENGGANGGU KAMI" - PENGERUSI TETAP UMNO

Di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang masuk hari kedua pada Jumaat, 22 Oktober 2010, Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya tidak lagi mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu termasuk 30 peratus ekuiti Bumiputera yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bercakap dalam dialek Hokkien, Badruddin berkata, sebagai sebuah pasukan dalam Barisan Nasional (BN), Dr Chua tidak sepatutnya mempersoalkan hak 30 peratus ekuiti Melayu dan Bumiputera itu yang disediakan menerusi tindakan afirmatif ekonomi.

“Soi Lek, kita semua kawan. Saya nak beritahu beliau supaya 30 peratus (ekuiti) jangan ganggu.

“Kami bagi orang Cina, orang Melayu dan orang India kongsi itu 100 peratus,” kata beliau seolah-olah memberi nasihat kepada bekas menteri kesihatan itu.

Dr Chua menghadiri sesi perasmian Perhimpunan Agung Umno 2010 semalam.

Di sebalik persekitaran kontroversi berhubung kenyataan rasis sejak kebelakangan ini membabitkan pengetua-pengetua sekolah dan pemimpin politik dan sektor awam yang menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang, Badruddin seterusnya berkata: “U (kamu) tau tak Soi Lek, kita hormati kamu.”

“Kita tidak panggil kamu bangsa pendatang tapi kami nak beritahu kamu datang ganggu 30 peratus itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

“U (kamu) tahu tak Soi Lek?” kata beliau yang mempengerusikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini menyusuli perbahasan seorang perwakilan.

--------------------------------------------------------------------------------

MENARA WARISAN MERDEKA BIARLAH DI KG BARU?

Dato' Johari Ghani (Foto sebelah), Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang mewakili Umno Wilayah Persekutuan mahu kerajaan membangunkan projek Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat di Kampung Baru sebagai mercu tanda orang Melayu.

“Saya mencadangkan agar menara Warisan Merdeka 100 tingkat ini dinaikkan di tengah-tengah tanah orang Melayu di Kg. Baru.

“Permodalan Nasional Berhad ada 220 ekar tanah, 203 ekar 10 peratus adalah orang Melayu akan setuju jika menara Warisan Merdeka ini menjadi mercu kejayaan orang Melayu di tanah Melayu,” kata beliau ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di hari kedua semalam.

Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. dan yang kedua tertinggi di dunia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Rakyat.

“KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) kini membangun dan tanah di KLCC mahal, Menara Warisan Merdeka ini saya percaya seluas 220 ekar ini pada 10 tahun hingga 40 tahun akan datang ia akan jadi harta tidak ternilai oleh orang Melayu,” kata Johari lagi.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Kawasan Kampung Baru meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar dan berusia 110 tahun. Ia kini mempunyai 35,000 penduduk.


Friday, October 22, 2010

Tiada Masalah Jika Berpegang Kepada Kontrak Sosial – Dr Mahathir


KUALA LUMPUR 21 Okt – Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika rakyat Malaysia berpegang kuat kepada perjanjian asal, yang dipersetujui oleh pemimpin daripada pelbagai kaum sewaktu merdeka dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak akan ada pertikaian hak.

(Foto - Presiden UMNO menyampaikan ucapan dasarnya)

“Kita telah mempunyai satu formula yang berjalan dengan baik selama 50 tahun. Mengapakah kita mahu menukarnya? Mengapakah anda mahu menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno ke-61 oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai ucapan perasmian Najib yang antara lain berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakati oleh bapa-bapa pengasas mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri keempat negara, berkata ucapan Najib itu tepat pada masanya bagi menjelaskan dan memperingati perjanjian yang sekian lama didokong antara pelbagai kaum dalam negara ini.

Dr Mahathir, yang turut menyifatkan isi kandungan ucapan Presiden Umno itu baik, berkata adalah penting bagi rakyat patuh kepada perkara-perkara dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Dr Mahathir berkata mereka yang cuba meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya tidak faham mengenai isi andungannya.

Malahan sejak dahulu lagi, kata beliau jika ada pihak yang hendak membuat perubahan ia tidak dibenarkan kerana perkara itu akan menimbulkan pertentangan antara kaum-kaum.

Sementara itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan ucapan Najib sebagai “ucapan penyedar” terhadap isu-isu Perlembagaan, kedudukan orang Melayu dan sebagainya yang kini “menampakkan wujudnya kekeliruan dan kecelaruan” dalam perbincangan.

“Tapi hari ini Presiden Umno telah menjelaskan, dan saya percaya akan ada satu kesedaran mengenai situasi itu, jadi (tidak ada sebab) kita timbulkan perkara-perkara yang nak menakut-nakutkan, nak memomok-momokkan,” kata bekas Perdana Menteri.

Abdullah berkata dengan kesedaran itu, ia akan menghindar pelbagai perbalahan yang mungkin timbul kerana tidak adanya pemahaman mengenai apa yang dimaktub dalam Perlembagaan.

“Inilah perkata yang kita namakan klausa gagasan politik yang telah berakar umbi dalam Perlembagaan Persekutuan… ertinya apa yang ada dalam Perlembagaan itu dimeterikan dengan diadakan perjanjian dulu serta diadakan muafakat pada masa itu antara semua pemimpin-pemimpin kaum,” katanya.

Wednesday, October 20, 2010

UMNO TIDAK PERLU APOLOGETIK PERJUANGKAN HAK MELAYU - MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Umno tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno yang kini mempunyai kira-kira 3.4 juta anggota, juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, malah anggota parti seharusnya bangga menjadi Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana Umno berlaku adil kepada semua.

“Ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah, dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang yang beriman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap Umno — Wanita, Pemuda dan Puteri yang bertemakan “Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur dan isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno juga tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Umno tidak akan ragu-ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi (negara) yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu,” katanya.

Beliau berkata peluang-peluang ekonomi juga akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha, sebaliknya tiada tempat bagi pengamal “rent-seeking” yang haloba dan ingin mengaut laba yang sementara.

Muhyiddin berkata politik berasaskan kaum bukan satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, malahan Umno sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan pada masa yang sama sentiasa menghormati hak serta kepentingan kaum-kaum lain dalam negara.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

“Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis,” katanya.

Beliau berkata pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain sebenarnya jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan terutama dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Muhyiddin berkata kejayaan Malaysia selama ini membuktikan andaian pelbagai pihak meleset apabila sejurus selepas negara merdeka, mereka meramalkan negara akan hancur akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi.

“Berkat kepimpinan Umno yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah,” katanya.

Beliau berkata antara punca kejayaan negara ialah kesejahteraan ekonomi yang berperanan penting untuk menjamin keamanan.

“Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar Umno apabila mereka mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil,” katanya.

Di akhir ucapannya, Muhyiddin mengajak semua anggota sayap parti agar memperkukuhkan kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan amal, dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci Umno.

“Marilah kita berikan sokongan padu kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan. Marilah kita berikan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat perjuangan Umno,” katanya.

Perhimpunan lima hari yang bermula hari ini dihadiri 4,907 perwakilan yang terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung Umno, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Monday, October 18, 2010

SELAMAT DATANG KE PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KE-61 2010

Seramai 4,907 perwakilan dijangka akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno ke-61 yang dijadual berlangsung selama lima hari bermula hari Selasa hingga Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berkata mereka terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung Umno, 793 perwakilan ke perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 perwakilan di Perhimpunan Agung Pemuda dan 776 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.

Sebanyak 54 daripada 71 perwakilan Kelab Umno Luar Negara yang diundang juga telah mengesahkan kehadiran pada perhimpunan kali ini.

Tengku Adnan berkata Perhimpunan Agung Umno kali ini akan membahaskan tiga usul iaitu Ucapan Dasar Presiden, Usul Ekonomi dan Usul Pendidikan dan Agama.

Panitia Locengwangsa akan berada di lokasi sempena Perhimpunan Agung UMNO tersebut, lagi pun saya sendiri juga merupakan salah seorang perwakilan daripada UMNO Bahagian Setiawangsa, WP.

Wednesday, October 13, 2010

SULTAN KELANTAN LUCUTKAN GELARAN 'DATUK' IBRAHIM ALI

Ibrahim Ali

Istana Kelantan menarik balik gelaran Datuk yang dikurniakan kepada Presiden Perkasa, Ibrahim Ali dan bekas setiausaha kerajaan negeri, Wan Hashim Wan Daud.

Penarikan semula gelaran itu selang beberapa hari setelah Ibrahim mengadap Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra.

Selepas kunjungan pada Jumaat lalu, Ibrahim dipetik sebagai berkata, Tuanku Ismail kononnya sangat gembira bertemu beliau dan sempat berkongsi pengalaman bersama beberapa tahun lalu.

Wan Hasim pula merupakan setiausaha sulit kepada Sultan Kelantan sebelum ini.


(Sumber: mstar Online)

Monday, October 4, 2010

RUPANYA KU LI TAK KATA 'YA' ATAU 'TIDAK' UNTUK KETUAI JENTERA BN DI GALAS!!

Soalan siapa akan mengetuai jentera pilihan raya BN semasa kempen di dewan undangan negeri Galas terus menjadi teka-teki apabila pemimpin veteran Umno yang dipertanggungjawabkan tugas itu, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, beliau belum berkata 'ya ataupun tidak'.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa lalu mengumumkan bahawa Tengku Razaleigh telah bersetuju memikul tugas itu, tetapi ahli parlimen Gua Musang - hari ini pada halaman Twitter - menafikan perkara itu.

"Rakan, rakan, saya tidak berkata ya ataupun tidak. Saya akan menjelaskan berhubung Galas apabila saya pulang ke Malaysia,” tulisnya pada jam 6.35 waktu tempatan.

Tengku Razaleigh kini berada di Ireland, bagi melawat universiti di mana beliau mendapat pendidikannya - Queen's University di Belfast. Beliau dijadualkan pulang pada 9 Oktober ini.

Namun pada awalnya, tidak dapat dipastikan sama ada Tengku Razaleigh merujuk kepada pengumuman kenyataan Muhyiddin atau cadangan dari pihak lain yang beliau dilantik sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun, gambaran semakin jelas, apabila seorang daripada pengikutnya mengemukakan soalan di Twitter kepadanya: "Harap maaf Tengku, tetapi kenapa TPM asyik berkata bahawa anda telah persetujui? Bukan sekali tetapi hampir setiap hari.”

Menjawab soalan itu, Razaleigh menyerahkan perkara berkenaan kepada Muhyiddin dengan berkata beliau belum memberi sebarang persetujuan berhubung jawatan berkenaan.

"Itu, kita kena tanya beliau. Saya setakat ini belum membuat sebarang kenyataan,” jawab Razaleigh. -Malaysiakini

Wednesday, September 29, 2010

PRK DUN GALAS, KU LI PASTIKAN UMNO MENANG?

Tengku Razaleigh Hamzah, dilema di DUN Galas

Pilihan raya kecil (PRK) bagi DUN Galas di Kelantan pasti berlaku setelah berlakunya kekosongan kerusi DUN berkenaan kerana kematian ADUNnya Che Hashim Sulaima dua hari lepas. Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan telah pun menghantar notis kepada SPR mengenai kekosongan kerusi DUN itu bagi membolehkan SPR menetapkan tarikh PRK yang bakal menghangatkan persada politik tanah air.

PAS dan UMNO nampaknya terpaksa bertembung juga kali ini, dan ia memaksa kedua-dua pihak bertelagah sesama sendiri untuk memenangi hati rakyat dalam beberapa isu yang menyentuh kepentingan rakyat, samada isu tempatan mahupun isu nasional. Yang pasti isu wang ehsan dan royalti minyak bakal diheret untuk membuktikan kemahuan sebenar rakyat Kelantan.

Bila bercakap soal DUN Galas yang terletak di dalam kawasan Parlimen Gua Musang, semua orang akan terbayang wajah Ku Li. Ku Li yang sudah lama bertapak di Gua Musang, dilihat sebagai faktor utama untuk menggalas tanggungjawab menang kalah BN.

PAS pasti agak berkerut dahi memikirkan tentang kehebatan Ku Li di situ. Dan pastinya PAS sedar, pertembungan sengit seperti yang berlaku di Manek Urai akan berulang. Laluan PAS untuk mengekalkan kerusi tersebut pastinya akan penuh dengan ranjau dan duri. Tak apalah..masih terlalu awal untuk kita menduga.

Cuma yang sedang difikir fikirkan ialah tentang sejauh mana Ku Li akan mengambil tanggungjawab untuk menggalas tanggungjawab SEPENUHNYA untuk membantu kemenangan calon BN. Umum tahu isu royalti minyak pasti akan menjadi modal perang PAS untuk membelasah BN dan tambah mengerutkan kening bila terbayang wajah Ku Li berucap di stadium di Kota Bharu di atas platform PAS untuk membicarakan isu royalti minyak.