Di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang masuk hari kedua pada Jumaat, 22 Oktober 2010, Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya tidak lagi mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu termasuk 30 peratus ekuiti Bumiputera yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Bercakap dalam dialek Hokkien, Badruddin berkata, sebagai sebuah pasukan dalam Barisan Nasional (BN), Dr Chua tidak sepatutnya mempersoalkan hak 30 peratus ekuiti Melayu dan Bumiputera itu yang disediakan menerusi tindakan afirmatif ekonomi.
“Soi Lek, kita semua kawan. Saya nak beritahu beliau supaya 30 peratus (ekuiti) jangan ganggu.
“Kami bagi orang Cina, orang Melayu dan orang India kongsi itu 100 peratus,” kata beliau seolah-olah memberi nasihat kepada bekas menteri kesihatan itu.
Dr Chua menghadiri sesi perasmian Perhimpunan Agung Umno 2010 semalam.
Di sebalik persekitaran kontroversi berhubung kenyataan rasis sejak kebelakangan ini membabitkan pengetua-pengetua sekolah dan pemimpin politik dan sektor awam yang menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang, Badruddin seterusnya berkata: “U (kamu) tau tak Soi Lek, kita hormati kamu.”
“Kita tidak panggil kamu bangsa pendatang tapi kami nak beritahu kamu datang ganggu 30 peratus itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”
“U (kamu) tahu tak Soi Lek?” kata beliau yang mempengerusikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini menyusuli perbahasan seorang perwakilan.
--------------------------------------------------------------------------------
MENARA WARISAN MERDEKA BIARLAH DI KG BARU?
Dato' Johari Ghani (Foto sebelah), Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang mewakili Umno Wilayah Persekutuan mahu kerajaan membangunkan projek Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat di Kampung Baru sebagai mercu tanda orang Melayu.
“Saya mencadangkan agar menara Warisan Merdeka 100 tingkat ini dinaikkan di tengah-tengah tanah orang Melayu di Kg. Baru.
“Permodalan Nasional Berhad ada 220 ekar tanah, 203 ekar 10 peratus adalah orang Melayu akan setuju jika menara Warisan Merdeka ini menjadi mercu kejayaan orang Melayu di tanah Melayu,” kata beliau ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di hari kedua semalam.
Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.
Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. dan yang kedua tertinggi di dunia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.
Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Rakyat.
“KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) kini membangun dan tanah di KLCC mahal, Menara Warisan Merdeka ini saya percaya seluas 220 ekar ini pada 10 tahun hingga 40 tahun akan datang ia akan jadi harta tidak ternilai oleh orang Melayu,” kata Johari lagi.
Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.
Kawasan Kampung Baru meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar dan berusia 110 tahun. Ia kini mempunyai 35,000 penduduk.







