Siapakah penjajah yang begitu durjana sehingga negara Ketuanan Melayu ini terpaksa di 1MALAYSIAkan sekarang? Mudah sahaja jawapannya, sejarah telah membuktikan bahawa negara ketuanan Melayu ini telah dijajah dengan kejatuhan dan kehancuran Empayar Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Bermula detik itu Melayu dilihat semakin tertekan sehingga kehilangan kuasa di bumi sendiri.
Sultan Mahmud Shah yang menjadi tonggak kepada era Kesultanan Melayu Melaka pada masa itu begitu mudah dikunyah oleh gerombolan penyangak 'Alfonso de Albuquerque' dari negara kebanggaan 'Christiano Ronaldo' yang memakai jersi 'Portugal' di musim Bolasepak Piala Dunia baru-baru ini.
Penyangak Portugis ini berjaya membolosi jambatan Sungai Melaka pada tanggal 25 Julai 1511 akibat kecurangan Si Kitol yang telah membocorkan maklumat pertahanan Melaka kepada pihak Portugis setelah Sultan Mahmud menolak permintaan Alfonso de Albuquerque yang menuntut pembebasan tawanan Portugis seterusnya mendesak supaya Kerajaan Sultan Mahmud membayar segala ganti ruginya.
Namun Sultan Mahmud bertegas tidak mahu melayani permintaan benggali putih itu, lalu angkatan laut Portugis itu bernekad untuk melancarkan serangan ke atas Melaka sehingga Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri ke Muar dan kemudiannya ke Pahang seterusnya ke Bentan, setelah takhtanya berjaya dirampas oleh penyangak Portugis itu pada tanggal 24 Ogos 1511. Portugis menjajah negara ini selama 130 tahun!
Demikianlah bermulanya kehancuran kuasa politik Melayu yang membawa kepada penjahahan asing (Imperialist) yang bersilih ganti selama 446 tahun (1511 - 1957) lamanya. Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun telah melumatkan dasawarsa martabat bangsa Melayu sehingga hari ini Melayu terpaksa berkongsi kuasa pula dengan 'orang lain' walaupun Tanah Melayu (Malaya) telah dimerdekakan pada 31 Ogos 1957.
Hari ini Melayu terpaksa berbangga dengan sejarah itu, dan hari ini juga Melayu terpaksa menerima hakikat jika kuasanya tidak mahu terlepas lagi, maka Melayu terpaksa menerima pelan kongsi kuasa bercirikan kesamarataan semua ras dan semua bangsa yang ada di buminya sendiri.
Hari ini Melayu diajar supaya tidak kobarkan lagi semangat bangsanya, kerana bimbang dengan serangan emosi 'golongan lain' yang perlu dijaga hatinya. Melayu yang penuh kesantunan ini juga diajar supaya tidak lagi membudayakan menghunus keris kerana ia dibimbangi akan menjelmakan semangat Jebat sebagai pembela Si Tuah.
Bukan itu sahaja, malah Melayu yang sudah merdeka ini juga telah terpedaya dengan penjanaan transformasi sehingga bahasanya sendiri semakin dirobek supaya tidak lagi berjenama bangsanya. Tulisan jawi Melayu telah dikudetakan menjadi rumi dan ia tidak lagi menjadi kebanggaan warisan bangsanya sebagaimana tulisan China dan tulisan India yang terus mendominasi kejiwaan bangsanya.
Manakala dalam sektor ekonominya pula Melayu terpaksa meraih 30 peratus sebagaimana yang didasarkan dalam DEB, manakala lebihannya dibiarkan berterusan dikuasai oleh penakluk ekonomi yang lain. Itu pun penakluk ekonomi berkenaan telah mula menyalak dengan menggesa kerajaan yang diterajui oleh UMNO/Melayu supaya dasar ekonomi negara menajdi lebih terbuka dan tidak lagi berasaskan kepada kecenderungan perkauman.
Ekonomi Melayu bukan sahaja dibimbangi berkembang di negaranya sendiri, bahkan kemuncupan autonomi politik Melayu di negara ini juga dilihat semakin bercelaru dengan gejala perpecahan yang masih belum bernoktah.
Konsep 1Malaysia yang dijelmakan oleh Dato' Sri Najib Tun Razak sejak memulakan tugasnya sebagai Memanda Menteri dilihat bagaikan buih yang terapung. Memang kejayaan matlamatnya menjadi harapan dan juga impian oleh pencetusnya, namun hakikatnya masih ramai juga yang mengsangsikan betapa Melayu telah kehilangan banyak perkara di sebalik tabir 1MALAYSIA.
Biarlah 1MALAYSIA yang diriuh rendahkan di segenap pelusuk bumi Melayu sekarang ini tidak menghilangkan jati diri bangsa yang menjadi tuan kepada negara ini. Harap-harap slogan dan tema Hari Kemerdekaan Negara Yang Ke-53 tahun ini '1MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI' bukannya slogan untuk menghiris hati Melayu.














.jpg)