Sebelum ini mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad begitu sinis mempersoalkan keberkesanan konsep 1Malaysia yang telah diperkenalkan oleh PM Dato' Sri Najib Tun Razak, kini PERKASA pimpinan Ahli Parlimen Bebas Dato' Paduka Ibrahim Ali (Foto) pula memberi tekanan baru ke atas Datuk Seri Najib Razak dengan meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep 1Malaysia, yang sesetengah pengkritik menganggapnya sebagai slogan cetek dan tidak membantu meredakan ketegangan kaum. Ibrahim berkata, konsep 1Malaysia telah dimanipulasikan oleh sesetengah pihak dengan mendakwa ia merujuk kepada soal kesamarataan antara kaum.
“Kami meminta Perdana Menteri menjelaskan konsep 1Malaysia,” kata wakil rakyat Pasir Mas ini kepada pemberita di sini kelmarin.
Menurut Ibrahim, PERKASA mahu konsep itu berasaskan pada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 153 merujuk kepada hak keistimewaan Bumiputera dan membolehkan kerajaan mengadakan kuota di institusi pengajian tinggi, peluang pekerjaan sektor awam dan permit.
Malah, Penasihat DAP Lim Kit Siang juga mempersoalkan keberkesanan konsep 1Malaysia, yang dibawa Najib sejak dilantik sebagai Perdana Menteri April 2009, ekoran insiden-insiden bersifat perkauman dengan dua pengetua mengeluarkan kenyataan berbaur rasis.
PERKASA mengemukakan gesaan itu ketika negara membuat persediaan untuk menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-53 Selasa ini.
(Foto sebelah - Ibrahim Ali berucap di Kelab Sultan Sulaiman pada 29 Ogos 2010 selepas bertarawih bersama ahli-ahli PERKASA)
Ibrahim juga mencabar Najib agar membentangkan resolusi Parlimen untuk menggugurkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan jika konsep 1Malaysia benar-benar merujuk kepada soal kesamarataan.
“Adakah beliau boleh berbuat demikian?” kata Ibrahim lagi.
Najib menyatakan pendirian terbukanya dua hari lalu berhubung kenyataan rasis pengetua sekolah di Johor dan Kedah terhadap pelajar Cina dan India.
Kata beliau, pentadbirannya tidak akan bertolak ansur dalam isu-isu berkaitan dengan perkauman.
Perkembangan itu membawa kepada reaksi Lim yang memberi tempoh 60 jam agar Najib mengambil tindakan terhadap pengetua-pengetua terbabit, menjelang Hari Kemerdekaan, jika tidak ia akan membuktikan dasar tidak bertolak ansur itu hanya pendekatan perhubungan awam semata-mata.
Kelmarin, Ibrahim turut membidas masyarakat Cina yang menuntut agar kuota 30 peratus bagi Bumiputera digugurkan.
“Kaum ini tidak menghormati orang Melayu sebagai bangsa ketuanan,” katanya.
“Mereka tidak menghormati kerana tamak. Orang Melayu merupakan 67 peratus penduduk negara ini. Kami hanya meminta 30 peratus,” katanya.
Malam tadi (29 Ogos 2010), Ibrahim Ali turut menyampaikan ucapannya di hadapan lebih 200 ahli-ahli PERKASA di Kelab Sultan Sulaiman selepas menunaikan solat sunat Tarawih. Beliau menyatakan bahawa PERKASA akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberikan penerangan berkaitan isu yang berbangkit ini.
Difahamkan Tun Dr. Mahathir Mohamad juga akan dijadualkan di dalam 'road show' tersebut.


No comments:
Post a Comment