assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Tuesday, February 9, 2010

MELAYU.. KEMBALILAH BERSATU!

Sejak kebelakangan ini senario politik semakin mendapat perhatian umum. Faktor Anwar Ibrahim juga dikatakan bakal merobah lanskap politik nasional sebagaimana yang pernah berlaku ketika PRU 1999 dan PRU 2008, dimana ia mampu memberikan kejutan kepada UMNO dan BN sehingga 6 negeri terlepas daripada genggaman BN.

Keputusan pilihan raya 2008 dianggap yang terburuk kepada UMNO dan BN. Keputusan pilihan raya umum 1969 yang mencetuskan huru hara di dalam negara ini pun tidak sehebat kejutan yang diterima oleh UMNO/BN semasa PRU12 yang lepas. Rakyat dilihat semakin matang dalam membuat perkiraan dan bukan lagi perkara remeh untuk memperkoyokan mereka seolah-olah BN masih mempercayai jika meletakkan 'songkok' sekalipun yang bertanding atas tiket BN, pasti menang!

Kemunculan gagasan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dilihat mampu menggugat kekuatan BN kerana mereka telah berjaya mengenepikan sentimen masing-masing semata-mata untuk menumbangkan BN semasa PRU 12 yang lepas.

DAP yang menjadi kebencian di kalangan orang Melayu selama ini juga telah berjaya menembusi tembok pemisah ini, malah tanpa disedari kombinasi PKR/PAS/DAP juga telah menjadikan kekuatan politik Melayu di negara ini semakin goncang.

Negeri Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang diterajui mereka, kecuali Kelantan dan Kedah tindak tanduk DAP yang menjadi rakan kongsi tampuk pemerintahan Pakatan Rakyat di negeri tersebut dilihat bergolak. Kerakusan mereka (DAP) untuk menjadi lebih 'chauvinis' telah merunsingkan sebahagian daripada rakan-rakan sekutu mereka daripada PAS dan PKR.

Zulkifli Sulong, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru daripada PKR juga semakin berani bersuara melintasi protokol partinya dengan menuding jari ke arah DAP yang dikatakannya sudah berani menunjukkan taringnya di sebalik 'Midle Malaysian' yang diperkenalkan oleh mereka yang diandaikannya mirip dengan slogan 'Malaysian Malaysia' yang pernah dicetuskan oleh Lee Kuan Yew suatu masa dahulu.

Zulkifli juga mendakwa ramai lagi rakan-rakan seperjuangannya di dalam Pakatan Rakyat terutama di dalam PKR yang sependapat dengannya, malah beliau mendakwa mereka ini akan bertindak lebih berani lagi untuk melintasi garisan jika kegelisahan ini tidak dapat dibendung oleh pucuk pimpinan parti mereka. Sambil itu beliau juga membayangkan terdapat juga beberapa rakannya di dalam PAS yang turut gelisah dengan fenomena DAP ini.

Justeru beliau juga berharap agar pihak UMNO melihat secara positif dengan perkembangan yang berlaku di dalam PAS hari ini, kerana kelihatannya Tuan Guru Haji Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Aziz telah menunjukkan indikasi persefahaman mereka untuk merangka persefahaman dengan UMNO dalam konteks Islam dan kekuatan Melayu di negara ini.

Saya berpendapat lebih aula mereka ini membincangkan perkara tersebut dengan jemaah mereka di dalam PAS supaya keputusan dapat dicapai secara muafakat demi kebaikan umah dan juga negara. Begitu juga diharapkan pihak UMNO tidak memandang sepi dengan perkembangan ini dan janganlah pula terdapat di kalangan pemimpinnya yang mementingkan ego masing-masing, kerana sikap ini tidak akan menghasilkan natijah yang dikehendaki iaitu MELAYU KEMBALI BERSATU.

Mungkinkah senario ini akan menjadi noktah untuk kita tidak menjadi bangsa yang berkabilah lagi? Selama ini kita telah banyak membuang masa dengan pertelagahan sesama sendiri sehingga terlupa rupa-rupanya kita semakin lemah dan bakal kehilangan kuasa di bumi sendiri. Tidak ada ruginya jika kita bermuhasabah dengan mencari formula terbaik untuk mengembalikan harga diri, maruah sebangsa dan seagama demi kekuatan negara bangsa. Bukankah molek jika UMNO, PAS dan pemimpin Melayu PKR duduk semeja memikirkan masa depan negara ini daripada memikirkan agenda politik peribadi masing-masing?



No comments: