assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, February 2, 2009

Datuk Nasa dicaci kerana masuk PKR, tapi UMNO tak mencaci dua Exco Perak nak lompat masuk BN?

Dunia politik ini sememangnya bergelut dengan segala unsur kekejiannya, terutama apabila dianya dicatur oleh penguasa politik yang tidak beretika kerana rendah akal budinya. Ezam Mohd. Noor yang pernah mencerca UMNO kerana mendakwa parti ini perasuah besar abad ini, begitu mudah sekali diterima semula menjadi ahli UMNO, bukannya kerana Ezam terlalu berjasa kepada parti yang sudah tua ini, tetapi Ezam dilihat begitu berguna untuk dijadikan bom berangkai supaya kubu Anwar dapat dimusnahkan.

Pengundi benci Ezam, tapi UMNO suka Ezam

Ezam bukan sahaja gagal melakukan misi tersebut, malah Ezam dilihat menjadi beban kepada UMNO yang dikatakan oleh Muhyiddin Yassin sebagai 'tidak ada daya penarik' lagi. Ezam semakin dibenci oleh pengundi, tetapi disukai pula oleh UMNO.
Datuk Nasarudin Hashim, ADUN Bota yang telah berhijrah ke pangkuan PKR meninggalkan UMNO telah menerima cacian yang menghina tindakan politiknya itu. Beliau menerima tuduhan kononnya telah menerima sogokan itu dan sogokan ini, persis apa yang pernah diperlakukan oleh parti lamanya (UMNO) yang begitu licik untuk memperdayakan beberapa orang Wakil Rakyat daripada Pakatan Rakyat yang sedang memerintah negeri Perak supaya dapat meninggalkan parti mereka untuk menyertai UMNO.

Dua ADUN PKR di pancing UMNO

Sambil menuding jari kepada Datuk Nasa yang dianggap sebagai pengkhianat UMNO, tetapi dalam waktu yang sama juak-juak UMNO/BN Negeri Perak yang diketuai Ketua Perhubungannya yang baru Datuk Sri Najib telah menjalankan gerak kerja sulitnya memancing dua orang Exco Kerajaan Negeri Perak (ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering) yang akan berhadapan dengan pertuduhan rasuahnya di Mahkamah lewat minggu hadapan - dengan khabarnya mereka berdua ini (lihat foto) dijanjikan dengan berbagai jaminan yang memberangsangkan (?) supaya dua ADUN PKR ini meninggalkan partinya untuk memasuki gawang UMNO.
Jika ini terjadi, tentunya pemimpin-pemimpin UMNO akan segera memberikan respon sehingga memberikan pujian melangit kepada dua ADUN ini kononnya tindakan mereka ini adalah wajar dan bermoral?
Pak Lah sendiri telah membuat kenyataan mengesahkan bahawa kemungkinan ada dua orang ADUN PKR akan menyertai Barisan Nasional dalam masa yang terdekat ini, dan segala langkah perlu telah diambil supaya mereka ini benar-benar dapat menyertai UMNO.

Melompat ke dalam UMNO tidak menjadi hina?

Penghinaan terhadap Datuk Nasa yang melompat parti itu kemungkinan tidak menjadi hina kepada dua ADUN PKR yang akan melompat ke dalam UMNO. Kewajaran cadangan Fuad Zarkarshi MP UMNO/BN Batu Pahat supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengelakkan 'lompat katak' ini dari terus berleluasa, kemungkinan tidak relevan kerana ia menjadi penghalang kepada usaha BN untuk memancing Wakil-Wakil Rakyat dari Pakatan Rakyat di negeri-negeri yang kini dikuasai oleh mereka.

Opera Politik Murahan

Demikianlah opera politik murahan yang sedang berlaku akhir-akhir ini yang akan menjebakkan UMNO di dalam kancah yang bakal dimalukan oleh rakyat nanti. Isu misteri dua ADUN PKR yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak yang dilaporkan 'hilang' entah ke mana dipercayai di sindiketkan oleh pmguasa-penguasa tertentu di dalam UMNO yang mahukan supaya mereka ini menyertai UMNO.

Dua ADUN PKR di rumah Najib di Pekan?

Bagaimana boleh timbul cerita yang menyebutkan bahawa mereka berdua ini disorokkan di rumah Najib di Pekan, Pahang? Begitu juga tercetusnya dakwaan yang mengaitkan SPRM yang terbabit dengan konspirasi yang dikatakan boleh berkompromi menggugurkan pertuduhan rasuah terhadap mereka berdua? Angkara siapakah yang cuba mengheret SPRM dalam kemelut membeli dua ADUN PKR Perak ini? Timbul juga cerita kononnya mereka ini ditawarkan dengan jutaan ringgit sekiranya sanggup meninggalkan PKR untuk menyertai UMNO? Bagaimana boleh tersebar cerita ini, kalau bukan daripada UMNO yang memang biasa melakukannya?

Rakyat mahir dengan susur galur UMNO

Siapakah 'pengatur rancangan' yang tidak bermoral ini? Dibimbangi taktik sedemikian akan 'back fire' kepada UMNO/BN yang sememangnya memiliki track record dalam gejala rasuah! Rakyat hari ini cukup mahir untuk mengikuti susur galur politik UMNO yang digenangi dengan rasuah kini pula sedang berhadapan dengan krisis keyakinan di peringkat akar umbi.
Perkembangan terkini pula menyaksikan betapa kalutnya dua ADUN PKR yang dikatakan sedang berlindung di bawah lembayung BN, samada mereka ini terdorong untuk melompat parti ataupun mereka memilih untuk meletakkan jawatan sebagai ADUN di kedua-dua DUN yang berkenaan? Jika mereka berdua memilih untuk menyelamatkan diri daripada pertuduhan rasuah, mereka merasakan platform yang sesuai ialah menyertai parti yang mengamalkan rasuah iaitu UMNO.

UMNO bakal menerima dua ADUN bermasalah

Biasanya jika benar kita melakukan amalan keji ini, dengan sendirinya akan menggerakkan hati kita untuk mencari perlindungan serta bijak pula mengintai peluang untuk meloloskan dirinya daripada menerima hukuman yang bakal dihadapinya. Ketika itu mereka yang tidak berpegang kepada prinsip perjuangan asalnya, akan goyah pendirian untuk menyelamatkan dirinya semata-mata. Jika itu yang terjadi, UMNO bakal menerima dua ADUN yang sudah rosak moralnya akibat kes rasuah yang dihadapinya.
Jika pertuduhan rasuah itu digugurkan setelah dua ADUN ini menyertai UMNO, memang jelas lagi bersuluh betapa UMNO begitu inginkan amalan rasuah ini bermaharaja lela di dalam partinya. Jika berlaku pula sebaliknya dimana dua ADUN yang berkenaan disabitkan kesalahan rasuahnya walaupun setelah menyertai UMNO, maka kesan daripadanya akan berlaku pula pilihan raya kecil dimana dua ADUN BN yang lompat katak ini tidak layak untuk bertanding semula dan sekali lagi saya percaya rakyat akan menolak UMNO/BN dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan di dua kawasan DUN Behrang dan Changkat Jering.

Percaturan yang membahayakan UMNO

Senario ini menjuruskan lagi andaian saya betapa UMNO tidak cermat dalam percaturan memikat hati rakyat akar umbi. Rakyat akar umbi bertambah marah dengan percaturan politik murahan yang berunsurkan rasuah ini, dan sebahagian besar rakyat akan sekali lagi menghukum UMNO dengan menewaskan calon-calonnya di dua DUN yang berkenaan. Pada saya percaturan yang dibuat ini cukup merugikan malah membahayakan UMNO.
Sepatutnya UMNO harus berusaha secara bersungguh-sungguh untuk medekati rakyat dengan melakukan beberapa perubahan radikal yang melibatkan struktur organisasinya di semua peringkat agar dapat diterima oleh rakyat.



5 comments:

Anonymous said...

Semua bermula dari PKR yang memancing ADUN BN. PKR memang parti yang menghnancurkan kekuatan melayu.

Anonymous said...

PKR adalah parti PEMUSNAH umat melayu..PAS adalah parti yang mengubah akidah umat melayu..samestinya UMNO adalah parti untuk BUMIPUTRA dan umat MELAYU..

Anonymous said...

semuanya bermula dr UMNO, parti yg berlandaskan nasionalis... PKR dan UMNO sama2 parti yg bukan meletakkan Islam di hadapan.. org UMNO ngan PKR 2x5.... dua2 parti ramai yg malas nak solat, suka berebut projek, kaki rasuah dan kaki perempuan, dan kedua2nya bakal hancur!!!! yg tinggal hanya PAS parti yg benar2 memperjuangkan Islam

Anonymous said...

PAS KE..UMNO KE..PKR KE..SEMUA TAK BOLIH PAKAI..YANG BAGUSNYA DAP (DAP-DALAM API PANAS )

Anonymous said...

Melompat parti adalah budaya orang Sabah. Kalau Anwar cepat ke Sabah sebelum PR12 dulu dah tentu yang memerintah sekarang bukan BN tapi PR. Malangnya Anwar terlambat sikit.
Blog ini asyik kutuk UMNO dan BN saje, patutnya cari pengajaran untuk memperbaiki strategi.