assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, February 2, 2013

JANGAN SABOTAJ JIKA IBRAHIM ALI, ZUL NORDIN, HASAN ALI TANDING CALON BN

Mereka ini terlalu berjasa kepada UMNO. Jangan sabotaj mereka!
Oleh Abdul Rahman Hashim

Demam pilihan raya semakin menjadi topik hangat yang membahangkan. Orang politik di seluruh tanah air kini tidak bersabar lagi untuk menantikan detik pengumuman rasmi tarikh pembubaran Parlimen yang bakal diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia.
Ada kemungkinan besar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan pembubaran parlimen selepas perayaan Chap Goh Mei; angin bertiup kencang meramalkan bahawa Parlimen akan dibubar pada 22 Februari ini. Penamaan calon mungkin pada 21 Mac diikuti pula dengan hari pembuangan undi pada 30 Mac 2013. Cuti sekolah penggal pertama akan bermula pada 23 Mac -31 Mac. Tarikh-tarikh ini mungkin sesuai untuk diadakan pilihan raya umum kali ke-13.
Kerajaan yang sedia ada yang dipimpin oleh Barisan Nasional kini akan menyerahkan mandat kepada rakyat yang layak mengundi menjelang PRU13. Ada yang meramalkan BN tidak mampu bertahan lagi dengan ombak yang bakal membadai; tidak kurang juga yang meramalkan Pakatan Rakyat akan dapat ditumbangkan bukan sahaja di Kedah, Pulau Pinang, Selangor malah Najib juga telah didendangkan oleh pencacai bahawa Kelantan juga akan disapu bersih oleh UMNO/BN.
Keyakinan ini semakin membuak-buak kerana ada juga pencacai UMNO yang telah meyakinkan Najib/Muhyiddin bahawa Anwar Ibrahim juga bakal rebah di Permatang Pauh? Bukan itu sahaja orang UMNO yang memPERKASAkan Datuk Paduka Haji Ibrahim Ali juga meramalkan bahawa Najib telah merestui Ibrahim Ali bertanding atas tiket BN setelah dia berjaya mengkhianati PAS dalam PRU12 yang lalu.
Orang UMNO juga teruja kononnya Najib akan memberi laluan terhormat kepada mereka yang telah mengkhianati parti asal mereka dalam Pakatan Rakyat untuk dicalonkan atas tiket BN menentang Pakatan Rakyat.
Orang-orang yang setia dengan Najib sekarang ini seperti Zulkifli Nordin mantan PKR, Zaharin Hashim juga mantan PKR, Ezam Mohd Nor juga pernah menjadikan Anwar sebagai ikonnya, Datuk Dr Hasan Ali mantan pemimpin PAS termasuk Wee Chee Keong dari PKR yang menang di Wangsa Maju sebelum ini, malah ramai lagi yang berpaling telah menyokong UMNO/BN kini akan diberikan peranan yang maha penting untuk bertarung dengan calon-calon Pakatan Rakyat.
Mungkin juga Ustadz Nasharudin Mat Isa yang teringin sangat supaya dirinya dipecat daripada PAS agar kali ini dapat diberikan laluan bertanding atas tiket BN menentang samada Haji Hadi Awang ataupun berdepan dengan Nik Aziz. Pencacai UMNO mungkin boleh meramalkan Ustadz Nasha sahaja yang mampu menundukkan Tok Guru berkenaan. 
Namun begitu saya tidak bersetuju Nasharudin berentap dengan Hadi mahupun Nik Aziz, seelok-eloknya UMNO utamakan kehebatan ulamaknya seperti Jamil Khir yang sedang tercari-cari kawasan selamat untuknya, begitu juga tonjolkan kehebatan Ustadz Muda yang menjadi kebanggaan UMNO iaitu Ustadz Pathul Bari, ada kemungkinan mereka ini mampu membuat kejutan menewaskan pemimpin kanan PAS tersebut.
Dalam artikata lain, jika benar mood rakyat kali ini berpihak kepada UMNO/BN kenapa harus kita takut  untuk  untuk memberi peluang kepada mereka ini sebagai mengenang jasa dan budi mereka terhadap UMNO. Rasanya Perdana Menteri dan Timbalannya boleh meyakinkan tokoh-tokoh UMNO yang lain supaya berkorban untuk ketika ini demi untuk menyapu bersih semua kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PAS, PKR dan DAP.
UMNO Bahagian Gombak mungkin boleh memberi laluan kepada Hasan Ali supaya bertanding semula di DUN Gombak Setia atas tiket BN walaupun dia pernah berkata tetap yakin dengan perjuangan PAS. Begitu juga UMNO Bahagian Kulim Bandar Baru, elok juga berpakat baik-baik supaya dapat memberi laluan kepada Zulkifli Nordin sekali lagi untuk bertanding atas tiket BN kali ini.
Datuk Seri Zaharin Hashim pula dilihat layak untuk mewakili BN di kawasannya sekarang di Bayan Baru, Pulau Pinang. Berkat kesetiaan melampaunya kepada Najib sekarang ini mungkin dia mampu membuktikan kepada Najib bahawa hanya dia sahaja yang boleh menewaskan calon PKR di situ nanti.
Inilah dia transformasi politik yang perlu diuji oleh Najib untuk membuktikan bahawa mereka juga memiliki kriteria sebagai winnable candidate untuk BN. Berasaskan kepada kesahihan laporan yang dibuat oleh agensi-agens seperti Jasa, Kemas, MIO, SB dan responden yang lainnya seperti Utusan, TV3, Berita Harian malah jika kita berpuas hati dengan respon hanya dengan tiga buah universiti yang memuji Najib, maka apa lagi yang hendak ditunggu, percepatkan tarikh pembubaran Parlimen sebelum ada yang beralih arah. Bimbang juga ada yang masuk ingin akhirnya biskut menjadi lemau
Datuk Paduka Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Nordin, Datuk Dr Hassan Ali, Datuk Seri Zaharin Hashim, Wee Chee Keong, Ustadz Nasharudin Mat Isa, Dato' Ezam Mohd Noor, Datuk Nallakarupan, termasuk Mursyidul Am TIBAI, Zahid Md Arif dan yang sekutu dengannya, anda tak perlu khuatir kerana UMNO tidak akan mensabotaj jika anda diberikan peluang bertanding atas tiket BN dalam PRU13 nanti. Orang UMNO telah dilentur agar tidak mengkhianati partinya sendiri! Orang UMNO juga terhutang budi dengan anda semua kerana anda dikatakan telah berjaya menjadikan UMNO lebih mantap berbanding sebelum ini.
Walaupun saya tidak bersetuju anda mengkhianati parti yang telah memenangkan anda dalam PRU12 yang lalu, namun saya juga mungkin tidak bersetuju jika ada di kalangan ahli UMNO yang mungkin akan mensabotaj anda jika anda diberi peluang bertanding atas tiket BN dalam PRU13. Ikut sahajalah keputusan pucuk pimpinan jangan bantah jika UMNO/BN tidak mahu kecundang lagi.


Thursday, January 31, 2013

PRU13 - BUBAR SELEPAS CHAP GOH MEH, PILIHAN RAYA DALAM BULAN MAC@CUTI SEKOLAH?

Oleh Abdul Rahman Hashim
Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat

Dewan Undangan Negeri Selangor dijangka BUBAR selepas perayaan Chap Goh Meh pada 24 Februari ini.....“Sekiranya Federal tidak memberi sebarang petunjuk untuk membubarkan Parlimen, kerajaan negeri bercadang untuk berbincang dengan majlis pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk kita bubarkan DUN dengan lebih awal, iaitu selepas Chap Goh Meh,” kata Tan Sri Khalid, MB Selangor dalam sidang medianya, semalam (30 Januari 2013). Rasanya Najib pun perlu bubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini.
Selain Selangor, difahamkan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan juga dijangka berbuat demikian jika Perdana Menteri masih belum mendapat ilham untuk membubarkan Parlimen di peringkat Persekutuan.

Negeri Sembilan juga difahamkan akan berhadapan dengan tempoh 'expired' DUNnya menjelang 26 Mac ini. Nampaknya pembubaran DUN dan juga Parlimen tidak dapat tidak mesti disegerakan selewat-lewatnya pada Mac 2013 ini. SPR pula akan menetapkan tarikh penamaan calon dan pembuangan undi dalam masa tempoh 60 hari selepas pembubaran tersebut.
Kemungkinan juga pembubaran samada di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun di peringkat Parlimen akan dilakukan dalam bulan Februari ini samada sebelum atau selepas perayaan Tahun Baharu Cina@Chap Goh Meh bagi membolehkan pilihan raya ke-13 diadalkan dalam bulan Mac iaitu pada musim cuti sekolah penggal pertama yang bermula  23 - 31 Mac 2013. 
Tempoh akhir Dewan Rakyat (Parlimen) bagi penggal ke-12 ialah pada 28 April 2013 iaitu mengikut permulaan sidang Dewan Rakyat penggal berkenaan yang diadakan pada 28 April 2008. Jika mengambil kira tarikh ini, Najib boleh mengilhamkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat sebelum 28 April 2013, dan PRU13 boleh diadakan dalam tempoh 60 hari selepasnya iaitu selewat-lewatnya pada 28 Jun 2013.
Namun, Najib tidak berpeluang untuk melanjutkan lagi tempoh pembubaran Parlimen sehingga April ini kerana ia berhadapan dengan tempoh akhir beberapa Dewan Undangan Negeri menjelang Mac ini. Jika beliau enggan juga membubarkan Parlimen dalam masa terdekat ini sedangkan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat berhasrat untuk membubarkan DUN masing-masing lebih awal selepas Chap Goh Meh pada 24 Februari ini, maka SPR terpaksa bekerja lebih untuk menyelaraskan tarikh-tarikh yang sesuai bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan samada serentak dengan federal atau mungkin juga secara berasingan?



Sunday, January 13, 2013

LAUNGAN MERDEKA GEGARKAN STADIUM MERDEKA #KL112

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar mengetuai laungan MERDEKA!
Lautan manusia dalam Stadium Merdeka
HIMPUNAN SHAMSIDAR rupa-rupanya menjadi 'Himpunan Kebangkitan Rakyat' yang menyaksikan lebih 100,000 orang yang berhimpun dari pelbagai lapisan rakyat telah menyemarakkan laungan MERDEKA sebanyak tujuh kali sebaik sahaja Anwar Ibrahim mengakhiri ucapannya di Stadium Merdeka pada 12 Januari 2012 @ #KL112. Pengerusi Penganjur himpunan ini Mat Sabu pula berkata bahawa himpunan kali ini merupakan kali yang terakhir bagi Pakatan Rakyat sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran kerajaan selepas PRU13 nanti.
Sebagai blogger dan penulis maya, saya terpanggil untuk turut serta di dalam himpunan anjuran parti pembangkang ini kerana saya ingin menyaksikan sendiri apakah himpunan kebangkitan rakyat ini bakal menjadi gelombang tsunami kedua kepada UMNO dan BN menjelang PRU13 yang hanya berbaki tidak sampai 100 hari sahaja lagi dari sekarang.
Sebagai penggiat media juga, saya merasakan kehadiran saya bukanlah suatu kapasiti mewakili UMNO walaupun ramai kelihatan orang-orang UMNO yang lain turut menumpang semangat yang tercetus di dalam himpunan tersebut. Saya percaya mungkin ada juga kalangan wartawan/pemberita/jurugambar/blogger yang berwajah UMNO yang turut memikul tugas masing-masing untuk membuat liputan sepanjang program itu berjalan. Tanpa orang seperti mereka saya percaya Utusan Malaysia, Berita Harian, NST, Sinar Harian, TV3 dan RTM tidak akan dapat melaporkan apa sebenar yang sedang berlaku di dalam Stadium Merdeka itu. 
Anwar Ibrahim
Penulis bersama Anwar
Haji Mohamad Sabu, Pengerusi Penganjur Himpunan #KL112
Ribuan orang ramai di luar stadium
Di Jalan Stadium
Justeru kehadiran saya pada himpunan ini akan membolehkan saya membuat analisa tersendiri untuk dipaparkan di dalam laman blog locengwangsa. Saya merasakan karier dan beberapa jawatan saya di dalam UMNO selama ini bukanlah menjadi penghalang terbesar untuk saya mempertajamkan lagi tahap profesionalisme saya di dalam bidang penulisan maya terutama ketika buat asignment di dalam gelanggang Pakatan Rakyat. Jikalau saya dipersalahkan kerana menghadiri himpunan seumpama ini, maka saya merasakan betapa sempitnya tahap profesionalisme mereka yang sedemikian itu terhadap profesion seorang penulis bebas seperti saya.
#KL112 Himpunan Kebangkitan Rakyat telah pun berakhir tanpa sebarang insiden yang menyayat hati apatah lagi tidak terjadi langsung keganasan yang menghuru harakan negara. Kuala Lumpur kelihatannya tenang walaupun ada pencacai dan pembodek yang mengandaikan akan berlaku huru hara sehingga mengganggu ketenteraman awam, menjejaskan pencarian rezeki para penjaja kecil dan akan menggangu trafik di jalan raya.

Mewakili masyarakat orang Asli
Wakil masyarakat India

Apa yang saya perhatikan, himpunan kebangkitan rakyat kali ini tidak berlaku seperti yang disangkakan itu. Pihak polis nampaknya kali ini begitu 'mesra demonstran' sehingga tidak terdapat langsung trak black maria yang akan melonggokkan para demonstran melampau; begitu juga tidak kelihatan gerombolan FRU bertopi merah yang akan melancarkan serangan gas pemedih mata dan water canon terhadap mereka yang berhimpun. 
Pendekata, pihak polis kali ini telah mencipta sejarahnya tersendiri kerana jarang berlaku penunjuk perasaan melaung-laungkan ucapan terima kasih kepada anggota pasukan polis, malah anggota polis yang bertugas merasakan diri mereka terlalu dihormati oleh puluhan ribu yang berhimpun di sepanjang jalan-jalan masuk menghala ke Stadium Merdeka. Semua lapan 'check point' yang ditetapkan oleh penganjur himpunan seperti di Masjid Al-Rahman di Pantai Baru, Jalan Brickfield, KLCC, Kelab Sultan Sulaiman, Masjid Negara, Bukit Bintang, Amcorp di Petaling Jaya hampir menyamai program marathon larian, mereka berjalan secara aman bermula jam 10.00 pagi menuju destinasi sambil diawasi oleh para anggota pasukan keselamatan yang bertugas.
Dato' Seri Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS
Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang
Saya sendiri menaiki LRT dari stesen Seri Rampai di Wangsa Maju berhenti di stesen Pasar Seni kira-kira jam 12.30 tengahari. Saya berjalan kaki melalui Jalan Bandar, Jalan Petaling seterusnya di persimpangan Jalan Maharajalela sebelum menghala ke Jalan Stadium. Pada waktu itu kelihatan berpusu-pusu manusia yang bertali arus dengan pelbagai pakaian yang berwarna warni disulamkan lagi dengan berbagai palakat/banner/bendera masing-masing untuk ekspresi memenuhi tuntutan perjuangan mereka menumbangkan kerajaan BN dalam PRU13 nanti.
Saya memasuki Stadium pada jam 2.00 petang. Saya terkejut apabila melihat limpahan manusia bukan sahaja di bahagian tempat duduk yang boleh memuatkan 30,000 orang telah penuh, bahkan saya melihat juga di tengah-tengah padang dalam stadium itu turut dibanjiri manusia berbaju kuning, hijau dan merah. Mereka terdiri daripada pelbagai warna kulit yang berlainan bangsa dan agama. Kesatuan hati mereka begitu  menakjubkan, kerana mereka merasakan tuntutan untuk membuat perubahan dan menumbangkan BN hendaklah dijana dengan sebulat hati.
Kebencian mereka kepada Najib, Rosmah dan UMNO/BN amat ketara sekali. Kedengaran suara yang sederap meminta Najib berundur dan jatuhkan UMNO/BN. Kedengaran juga suara-suara yang menyebut NFC@Lembu yang mengaitkan Shahrizat Jalil. Tidak kurang juga bibit-bibit kebencian yang sungguh ketara ditujukan kepada 'Ist Lady - Rosmah Mansor' yang kini menjadi beban politik UMNO. Nama Isa Samad, Pengerusi Felda juga berkumandang apabila Mazlan Alimat jurucakap ANAK Felda yang meminta Isa Samad segera berundur dengan mengaitkan perintah Mahkamah yang meminta KFZ menggugurkan keahlian Isa Samad daripada koperasi Felda itu.
Senator Dato' Raja Ropiaah, Ketua Wanita UMNO Selangor yang terlibat dengan skandal kewangan membabitkan syarikatnya dengan kontrak perniagaan Kementerian Pertahanan juga disemboyankan di dalam himpunan ini. Tuan Guru Haji Hadi Awang Awang, Presiden PAS turut meminta supaya tempoh pemerintahan kerajaan UMNO/BN dapat ditamatkan menjelang PRU13 ini.
Beliau berkata, Suharto di Indonesia pun dah takde, Marcos di Filipina juga dah takde, Hosni Mubarak di Mesir juga ditumbangkan, Presiden Syria Al-Asad juga bakal digulingkan; maka beliau berpendapat sudah tiba masanya kerajaan UMNO yang dianggap sebagai korupsi wajar ditumbangkan oleh rakyat dalam PRU13. Hadi berkata, UMNO kini dalam keadaan yang semakin terdesak dengan mencipta berbagai dakyah berbentuk fitnah sehingga sanggup mempersendakan agama Islam serta meniupkan sentimen perkauman sempit.
Lim Guan Eng, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang turut berucap. Beliau berbangga dengan sokongan rakyat kali ini. Beliau begitu yakin UMNO/BN kali ini akan berjaya ditumpaskan kerana menurutnya rakyat semakin sedar dan insaf untuk memendekkan tempoh pemerintahan UMNO yang semakin dibenci rakyat.

Anwar 'Tabik' dengan kebangkitan rakyat
Anwar Ibrahim pula berjaya memukau hadirin dengan ucapan yang penuh bersemangat dan bertenaga. Anwar memulakan ucapannya dengan menyatakan 'tabik' kepada rakyat yang berani bangkit untuk membuat perubahan menuikar kerajaan yang ada kepada Pakatan Rakyat. Beliau juga mengingatkan Najib supaya berwaspada dengan isu-isu yang sedang melilit dirinya. Anwar melihat gelombang rakyat akan memaksa Najib untuk menjadi Perdana Menteri terakhir UMNO. Menurut Anwar, Perhimpunan Agung UMNO yang baru sahaja berakhir Disember lalu juga merupakan perhimpunan yang terakhir sebelum kerajaan UMNO/BN ditumbangkan dalam PRU13.
Sambil memetik alunan lagu 'Warisan' yang sering dinyanyikan oleh orang UMNO...'Anak Kecil Main Api, Tergadai Hatinya Yang sepi, Air Mata Darah Bercampur Keringat, Bumi Dipijak Milik Orang. Nenek Moyang Kaya Raya, Tergadai Seluruh Harta Benda, Akibat Sengketa, Sesamalah Kita, Cinta Lenyap Di arus Zaman..."
Lautan manausia di Stadium Merdeka

Anwar menyatakan, UMNOlah yang banyak menggadai tanah-tanah warisan di bumi ini. Menurutnya lagi, UMNO begitu takut dengan kehilangan kuasanya lalu menakut-nakutkan orang Melayu kononnya apabila UMNO kalah pilihan raya, maka akan lenyaplah keistimewaan orang-orang Melayu di negara ini. Pada Anwar, Melayu akan tetap dominan di negara ini. Raja-Raja Melayu tetap dipertahankan, begitu juga Bahasa Melayu akan tetap menjadi bahasa utama di samping bahasa-bahasa ibunda yang lainnya.
Beliau menyanggah dakwaan yang dibuat oleh UMNO kononnya apabila Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara ini nanti, Islam tidak lagi menjadi agama rasmi negara. Dalam aspek pendidikan, Anwar juga memberi jaminan, jika PR memerintah harga minyak akan diturunkan segera, PTPTN akan dihapuskan dengan memberikan pendidikan percuma kepada semua pelajar IPT di negara ini. Anwar juga menyentuh hak royalti minyak yang menjadi konflik di negeri kelantan, Terengganu termasuk Sabah dan Sarawak. Kerajaan Pakatan Rakyat katanya berjanji akan memulangkah hak royalti sebanjyak 20 peratus kepada negeri-negeri yang menghasilkan minyak.
Pada akhir ucapannya, Anwar telah melaungkan sebanyak tujuh kali laungan MERDEKA yang disambut dengan gegak gempita puluhan ribu yang memenuhi ruang Stadium Merdeka. Laungan MERDEKA yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman pada tanggal 31 Ogos 1957 menandakan Malaysia telah bebas dari penjajahan asing, namun ulangan laungan MERDEKA kali ini merupakan manifestasi kebangkitan rakyat untuk menuntut arti kemerdekaan membebaskan negara dari bentuk pemerintahan yang korup kepada yang lebih telus demi untuk kesejahteraan rakyat jelata.

DEKLARASI HKR #KL112 (Foto Kiri) telah dilafazkan dimana Datuk Saifudin Nasution, SUA PKR telah mengetuai bacaan ikrar tersebut yang menggariskan sepuluh tuntutan yang meliputi menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus, menyelematkan Felda, isu taraf Sabah dan Sarawak supaya dinaikkan taraf setara dengan semenanjung Malaysia, hak royalti 20 peratus hasil minyak, jaminan kebajikan dan melindungi hak kakitangan kerajaan termasuk guru-guru dan anggota pasukan keselamatan. Deklarasi ini juga menuntut kehidupan dengan persekitaran alam yang bersih. Bahasa kebangsaan juga digesa supaya dimartabatkan disamping menjulang bahasa-bahasa ibunda yang lainnya, seterusnya menjadikan Bahasa Inggeris terus dipertingkatkan dalam sistem pendidikan negara. Pendidikan percuma untuk semua anak Malaysia juga menjadi intipati deklarasi.
Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan telah menutup tirai himpunan kebangkitan rakyat ini dengan memimpin bacaan doa. Laungan azan dan Lagu Negaraku menyusul sebagai tanda berakhirnya Himpunan Kebangkitan Rakyat #KL112.

LENSA LOCENGWANGSA@HKR #KL112

























Monday, November 26, 2012

ISU LYNAS - MARATON 300 KM DARI KUANTAN KE KUALA LUMPUR

Oleh Abdul Rahman Hashim 

Berduyun-duyun melangkah kaki ke Dataran Merdeka

Wan Azizah, Lim Kit Siang di antara pemimpin PR yang hadir
memberi sokongan moral kepada aktivis Hijau@Lynas

Perarakan Hijau@Anti Lynas
Aktivis Hijau dari keturunan Cina begitu menyerlah dalam himpunan ini
Menghampiri Dataran Merdeka
Aktivis Hijau melangkah dan meredah DUKE Highway ke Dataran Merdeka

PERHIMPUNAN HIJAU ANTI LYNAS yang diadakan di Kuala Lumpur hari Ahad - 25 Nov 2012 merupakan satu perhimpunan yang aman tanpa adanya provokasi dan pancutan air serta tembakan gas pemedih mata oleh pihak polis. Maraton Himpunan Hijau ini (Anti Lynas) telah berjalan hampir sejauh 300 km selama 13 hari yang bermula di Kuantan. 

Kumpulan aktivis ini telah bermalam di markas tarbiyah PAS di Taman Melewar, Gombak pada hari Sabtu dan telah bergerak melalui Lebuhraya DUKE, Kampung Railway dan Sentul Pasar pada keesokan paginya sebelum sampai Dataran Merdeka. 
Pada jam 3.30 petang, kumpulan daripada Sentul bertemu dengan satu lagi kumpulan yang menunggu di Maju Junction dan kemudiaannya bergerak bersama menerusi Jalan Tunku Abdul Rahman menuju ke Dataran Merdeka. Walaupun terdapat sedikit halangan daripada pihak polis, namun ia tidak menghalang perarakan lebih 10,000 aktivis yang sedang bergerak menghala ke Dataran Merdeka.
Beberapa organisasi bukan kerajaan seperti Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM), wakil daripada Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur (KLCAH), Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) dan banyak lagi turut hadir pada perhimpunan hari ini.
Turut kelihatan juga beberapa pemimpin daripada Pakatan Rakyat (PR), antaraya ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Chua Tian Chang, William Leong, Fuziah Salleh, Elizabeth Wong dan Chang Lih Kang.


Semasa saya yang melalui Jalan Tun Perak pada sebelah petang, saya melihat sendiri betapa ramainya manusia berpakaian hijau, namun apa yang lebih menarik saya perhatikan ialah terlalu ramai yang menyertai perarakan ini terdiri daripada golongan berbangsa Tionghua. Kini mereka lebih berani menampilkan diri dalam mengenengah isu-isu yang membabitkan kepentingan awam selain daripada isu-isu politik semasa himpunan BERSIH 2.0 & BERSIH 3.0 yang diadakan sebelum ini.
Mereka bukan sekadar berarak, bahkan mereka lebih menyerlah dengan laungan dan jeritan yang meminta kerajaan supaya segera menghentikan projek Lynas yang dianggap boleh membawa kesan bahaya kepada orang ramai di negara ini. Mereka tidak silu lagi dengan memegang poster-poster yang mengecam kerajaan BN yang dikatakan sebagai tidak prihatin dengan keresahan rakyat.
Saya difahamkan akvitis Hijau ini juga akan bermalam di Dataran Merdeka sehingga pagi esok walaupun mereka dihalang oleh pihak polis dan juga pihak Direktorat DBKL berbuat demikian.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Sri Najib menyatakan bahawa kerajaan telah menyemak semula projek kontroversi nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng dan fakta saintifik menunjukkan projek tersebut tidak membawa kemudaratan kepada masyarakat setempat. Perdana Menteri berkata, kebimbangan rakyat daripada segi psikologi bahawa projek tersebut akan membawa kesan buruk juga diambil kira oleh kerajaan.