assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, November 28, 2011

UMNO - ANTARA WASATIYAH ATAU ASABIYAH?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Wasatiyah dan Asabiy
ah kedua-duanya merupakan istilah daripada perkataan bahasa Arab yang sering digunakan oleh orang-orang politik di dalam PAS dan juga UMNO. Bukan dua perkataan itu sahaja, malah banyak lagi istilah-istilah Arab yang diguna pakai untuk sinonimkan perjuangan parti masing-masing dengan perjuangan Islam, antaranya seperti ukhuwah Islamiah, dakwah, da'i, tarbiyah, madaniyah, hadhari, addin, wahdatul fikr, istiqomah, baldatun tayyibatun warabbul ghafur, ummatan wasatan, dan berbagai-bagai lagi.

Semasa Anwar di dalam UMNO banyak istilah-istilah Arab ini digunakan di dalam ceramah-ceramah beliau, kerana sebelum beliau berkancah di dalam UMNO beliau juga merupakan pemimpin ABIM yang ditarbiyahkan sebagai seorang pejuang Islam. Sejak itu perkataan-perkataan bombastik Islam ini telah mewarnai perjuangan UMNO persis sebuah parti Islam. Bukan bermakna sebelum kehadiran Anwar, orang-orang UMNO ini tuli terhadap Islam, cuma UMNO dilihat tidak islamik kerana pemimpin-pemimpin UMNO jarang mengguna pakai istilah-istilah Arab ini.

Anwar sering menggunakan perkataan wasatiyah sebelum ini, kini Najib menyerapkan semula untuk dijiwai di dalam UMNO.

Maka sebab itu, UMNO pada masa itu dilihat hanya sebuah parti yang memperjuangkan bangsa semata-mata tanpa roh Islam bahkan dianggap tidak berjiwa Islam, lantas begitu mudah dilabelkan sebagai parti yang memperjuangkan asabiyah yang dikaitkan sebagai pendekatan yang tidak islamik. UMNO yang membentuk hala tuju perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan agama selama ini telah dinafikan oleh PAS kerana PAS merasakan parti merekalah yang lebih Islam daripada UMNO.

Istilah Wasatiyah ini bukanlah perkara baru. Di kalangan tok-tok alim, guru-guru agama dan para ulamak juga sering menggunakan perkataan ini bagi menggambarkan Islam adalah agama yang toleran, tidak taksub (fanatik) sehingga menzalimi hak orang lain, atau dalam lain perkataan yang lebih mudah difahami iaitu bersederhana.

Apabila perjuangan UMNO pernah diAsabiyahkan oleh PAS, maka UMNO menafikannya kerana Asabiyah yang dilarang oleh baginda Rasulullah s.a.w adalah perjuangan menegakkan sesuatu kaum atau bangsa itu secara menzalimi hak kaum lain. UMNO konsisten menyatakan bahawa perjuangan memartabatkan bangsa Melayu bukan bermakna hak kaum lain di negara ini dinafikan malah jauh sekali untuk dizalimi. Pemimpin UMNO meletakkan perjuangan politiknya adalah bersederhana, fleksibel dan saksama. Istilah Arab yang boleh diguna pakai ialah WASATIYAH. Sejauh mana konsep wasatiyah boleh diaplikasikan di dalam pembentukan dasar perjuangan, maka terserahlah di atas budi hikmah pemimpin-pemimpin UMNO untuk merakyatkannya.

UMNO sebagai sebuah parti yang diasaskan atas prinsip perjuangan kebangsaan lebih memberikan penekanan dalam aspek memartabatkan bangsa Melayu, dan hari ini skop kebangsaannya telah meluas dalam ruang lingkup tidak sekadar bangsa Melayu sahaja malah meliputi kaum-kaum bumiputera yang lainnya, termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, Dusun, Kadazan, Bajau, Kayan dan berbagai lagi etnik rumpun Melayu tidak terkecuali meMelayukan orang India muslim dan juga orang Cina muslim.

Maka sebab itu di dalam UMNO keahliannya bukan sahaja dari kalangan orang Melayu sahaja, bahkan di dalamnya tergolong juga dari kalangan bumiputera yang disebutkan itu., walaupun ada sebahagian daripada mereka tidak beragama Islam. Orang Siam terutama di negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand ramai juga yang menjadi ahli UMNO. Di dalam Perlembagaan UMNO tidak mensyaratkan keahliannya berbentuk anutan agama, asalkan Melayu atau Bumiputera maka seseorang itu boleh menjadi ahli UMNO.

Demikian murninya UMNO yang tertegak dengan perjuangan kebangsaannya yang pernah dipertikaikan oleh PAS sebagai perjuangan Asabiyah yang pernah dianggap oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang, Presiden PAS sebagai bertentangan dengan perjuangan Islam. Isu Asabiyah yang dipercikkan oleh Hj Hadi Awang ini pernah menjuruskan kepada pertelingkahan yang amat dahsyat dimana UMNO sekitar tahun 1981, 1982, 1983, 1984 dan 1985 telah disifatkan oleh 'Amanat Hadi Awang' sebagai kafir, zalim dan fasik.

Hadi Awang telah membuat hujahan bahawa UMNO menjadi kafir, zalim dan fasik kerana beliau menyifatkan parti UMNO tidak mahu melaksanakan hukum hakam Islam di negara ini sedangkan Malaysia merupakan sebuah negara Islam. Di serata ceruk, Haji Hadi Awang melemparkan tohmahan ini dengan menyandarkan dalil aqli (akal) dan juga dalil naqli (Al-Quran dan Al-Hadis) untuk menguatkan hujahnya betapa UMNO telah melanggar perintah Allah. Antara ayat-ayat Al-Quran yang dipaparkannya seperti di dalam Surah Al-Ahzab ayat 44, 45 & 46 yang memberi maksud:-

"Barang siapa tidak melaksanakan hukum-hukum Allah maka orang itu menjadi kafir...zalim...fasik"

AMANAT HAJI HADI

Amanat Haj Hadi ini tidak didendangkan lagi..

Amanat Haji Hadi Awang juga dianggap sebagai fatwa oleh ahli-ahli PAS merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu. Berikut ini sedutan daripada amanat Haji Hadi itu:-

Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.

Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah Jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Budha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi Kafir dengan mengamalkan 'politik suku, agama suku'.

Hari ini isu Asabiyah dan kafir mengkafir yang memecah belahkan umat Islam itu tidak berbangkit lagi, terbukti ia hanya berbaur politik. UMNO juga berhak membuat pendirian bahawa parti itu bukanlah Asabiyah yang taksub sehingga menzalimi bangsa-bangsa yang lain, malah UMNO begitu yakin bahawa ahli-ahlinya yang beragama Islam tidak mudah menjadi kafir sebagaimana tafsiran Haji Hadi Awang; sebaliknya UMNO bertegas untuk menyatakan bahawa partinya turut memperjuangkan Islam.

Wasatiyah atau sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan oleh Islam kepada Umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar Umat Islam pun turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah 185 yang berbunyi :

Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…

Begitu juga dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w dari Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

Permudahkanlah, janganlah memberat-beratkan, tenangkanlah janganlah meliarkan …..

sikap bersederhana merupakan salah satu daripada ajaran yang diterapkan oleh Islam kepada Umat Islam seluruhnya yang merangkumi segenap aspek kehidupan kita. Tidak terlalu melampau dan tidak pula terlalu mengambil mudah akan sesuatu perkara atau urusan. Oleh itu Islam merupakan satu agama yang sederhana dan memerintahkan agar Umat Islam pun turut bersederhana dalam kehidupan seharian mereka. Ini bersesuaian dengan maksud firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah 185 yang berbunyi :

Allah menghendaki untuk kamu kemudahan dan tidak menginginkan kesukaran…

Begitu juga dengan maksud sabda Rasulullah s.a.w dari Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda :

Permudahkanlah, janganlah memberat-beratkan, tenangkanlah janganlah meliarkan …..

Oleh hal yang demikian apabila Dato' Sri Najib telah cenderung untuk menghala tujukan perjuangan UMNO dengan 'wasatiyah' maka ini bermakna Presiden UMNO mahukan parti ini supaya tidak terdorong untuk melakukan sesuatu yang melampaui batas sehingga memudaratkan kepercayaan rakyat terhadap perjuangan UMNO.

Najib mahukan UMNO terus relevan dan melekat di hati rakyat untuk mendokong gagasan 1Malaysia yang mendasari kepimpinannya sejak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan. Sebagai manusia biasa, tentunya beliau menyedari bahawa dirinya memerlukan banyak suntikan idea-idea baru untuk mensesuaikan konsep wasatiyah agar benar-benar menepati dengan ajaran Islam.

UMNO sendiri haruslah lebih bersedia untuk melakukan transformasi politiknya sesuai dengan aliran semasa. Wasatiyah yang digapai haruslah berpaksikan kepada keazaman untuk merakyatkan UMNO yang menjadi tunjang kekuatan politik bangsa yang meneraju negara.


Friday, November 25, 2011

PILIHAN RAYA UMUM KE-13 MASIH TIDAK MENENTU?


Oleh Abdul Rahman Hashim


Pilihan raya umum yang ke-13 semakin menghampiri ke kotak penalti sebelum memasuki gawang perlawanan. Rata-rata pemmpin politik samada di pihak BN mahupun di pihak Pakatan Rakyat telah memperkatakannya dengan segala teka teki yang memungkinkan PRU13 akan diadakan dalam jangka masa yang terdekat ini.

Kenyataan-kenyataan pemimpin UMNO yang menyatakan Perhimpunan Agung UMNO 2011 yang akan diadakan pada 29 November - 3 Disember ini merupakan perhimpunan terakhir sebelum PRU13 menguatkan lagi ramalan bahawa pilihan raya umum bakal diadakan dalam jangkamasa terdekat ini, samada pada Mac atau April 2012.

Jangkaan awal kononnya PRU13 akan diadakan sekitar September - November 2011 semakin tidak menjadi kenyataan, kerana Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dikatakan belum terbuka hatinya untuk membuat pengumuman bagi membubarkan parlimen dalam tempoh itu. Apabila jangkaan ini meleset maka kini semua politikus tertumpu pula dengan ramalan bahawa pilihan raya umum ke-13 bakal diadakan samada pada bulan Mac atapun April 2012 iaitu selepas Tahun Baharu Cina. Sebenarnya Dato' Sri Najib mempunyai tempoh berbaki yang lebih lama daripada itu sehingga April 2013 sebelum menamatkan penggal ke-12.

Selepas PRU12 yang diadakan pada 8 Mac 2008, Barisan Nasional yang diterajui oleh Pak Lah pada masa tu telah menghadapi tsunami yang paling memeritkan dimana BN bukan sahaja gagal memperolehi majoriti 2/3 di peringkat Parlimen, malah BN juga kehilangan 5 buah negeri tidak termasuk Wilayah Persekutuan dimana Pakatan Rakyat yang menggabungkan parti-parti komponennya PKR, PAS dan DAP telah berjaya membentuk kerajaan sekaligus mengheret Barisan Nasional menjadi pembangkang di Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Perak dan juga Kelantan.


Namun begitu, Pakatan Rakyat hanya mampu bertahan selama 10 bulan menjadi kerajaan di negeri Perak, kerana tiga ADUN Pakatan Rakyat, dua daripada PKR dan satu daripada DAP telah bertindak keluar parti menjadi ADUN Bebas yang mesra BN, sekaligus telah mengembalikan semula takhta kerajaan negeri tersebut kepada BN sehingga sekarang.

Najib yang telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 3 April 2009 telah meneruskan legasi kepimpinan kerajaan BN di peringkat Persekutuan bagi menggantikan Pak Lah yang telah memendekkan tempoh jawatan Perdana Menteri yang disandangnya setelah menerima desakan kuat oleh pihak tertentu dalam parti akibat kegagalan BN memperolehi majoriti dua pertiga dan tewas di lima buah negeri; Najib telah bangkit dengan bingkasnya untuk melengkapkan agenda perjuangan penerusnya dengan memperkenalkan slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.

Di pundak Dato' Sri Najib terletak segala harapan BN untuk beliau memulihkan imej parti yang telah ditolak oleh rakyat dalam PRU12 semasa Pak Lah menjadi penerajunya. Hari ini Najib sedang mencongak-congak pula untuk memperolehi mandat sebenar daripada rakyat Malaysia menerusi PRU13 yang pertama kali bagi dirinya sebagai Perdana Menteri. Persoalannya bila Najib hendak terbuka hatinya bagi membolehkan PRU13 diadakan?

Tun Dr. Mahathir Mohamad mantan Perdana Menteri yang kelihatan ragu dengan rentak kepimpinan UMNO dan BN dalam menghadapi cabaran politik yang sedang melanda hari ini telah menasihatkan Najib supaya tidak mengadakan pilihan raya umum dalam masa yang terdekat ini, kerana menurutnya Najib mempunyai lebih masa untuk memperbaiki segala kelemahan yang disisakan oleh Pak Lah sebelum ini. Dr. Mahathir berkata Najib jangan terburu-buru sangat untuk mengadakan PRU13.

Padanya UMNO dan BN perlu diperkasakan terlebih dahulu kerana Dr. Mahathir melihat teralu banyak isu-isu yang perlu ditangani dengan cermat kerana menurutnya lagi BN perlukan sokongan yang lebih berganda daripada pengundi-pengundi Melayu terutamanya golongan muda. Dr. Mahathir juga melihat kebimbangannya terhadap majoriti pengundi Cina yang semakin menjauhkan diri daripada menyokong BN.

Dalam usaha bersunguh-sunguhnya untuk menawan hati pengundi Cina, terlalu banyak gula-gula yang telah Najib taburkan untuk menjadi pemanis kepada masyarakat tionghua supaya kembali kepangkuan BN, namun manisan yang diberikan itu tidak menjadi ubat yang mujarab untuk memulihkan ingatan mereka supaya tidak lagi menyokong DAP dan konco-konco parti yang lainnya dalam Pakatan Rakyat. Pengundi Cina telah menolak MCA, menolak juga Parti Gerakan dan menolak SUPP di Sarawak.

Diantara MCA, DAP & GERAKAN, kelihatannya DAP
lebih menonjol dan lebih champion di kalangan pengundi Cina
malah DAP dikatakan menjadi
'play-maker' kepada parti pembangkang Melayu

seperti PKR dan PAS.

Mereka lebih percayakan Lim Kit Siang (DAP) daripada Chua Soi Lek (MCA), mereka lebih percayakan Lim Guan Eng (DAP) daripada Koh Tsu Koon (Gerakan) dan mereka lebih percaya kepada Karpal Singh (DAP) daripada memilih calon-calon MCA/Gerakan yang lainnya. Demikian episod beralih angin yang dihadapi oleh BN dewasa ini.

Slogan 1Malaysia yang memberikan taraf sama rata kepada semua rakyat negara ini walaupun beberapa perkara yang terkandung di dalam Konsep 1Malaysia itu boleh dilihat sebagai telah mencerobohi hak-hak keistimewaan orang Melayu negara ini, namun gagasan itu masih belum cukup untuk menjinakkan pengundi-pengundi bukan Melayu memberikan sokongan padu kepada parti BN.

Buku yang mendedahkan
Kesilapan-Kesilapan Najib


Bak kata Shahbudin Husin penulis buku 'Kesilapan-Kesilapan Najib' (Rujuk mukasurat 2) bahawa slogan 1Malaysia boleh diibaratkan sebagai langkah terdesak atau umpan politik Najib untuk memastikan bukan Melayu kembali menyokong Najib. Menurutnya, tidak ada sebab selain itu sebenarnya. Ekoran itu wujudlah pelbagai tuntutan yang mahu quota bumiputera dalam perniagaan, pendidikan, biasiswa dan sebagainya dihapuskan dan dijadikan sistem yang sama rata dan sama rasa. Dapat dilihat juga banyak perkara yang selama ini terikat dengan semangat kontrak sosial dan perlembagaan telah cuba diungit-ungkit kononnya inilah semangat 1Malaysia.

Testimonial PRU yang diadakan di Sarawak April lepas memperlihatkan pengundi-pengundi Cina masih berdegil dan tegar menyokong calon-calon DAP di semua kawasan majoriti Cina terutama di bandar-bandar besar.

Akibatnya banyak kerusi BN yang diwakili oleh calon-calon SUPP termasuk Presidennya Tan Sri Dr. George Chan kecundang di tangan calon DAP. Kekalahan ini telah menjadi igauan dan mimpi ngeri pula kepada BN menjelang PRU13, kerana senario ini memperlihatkan betapa pengundi-pengundi Cina telah menjadi penentu sejauh mana BN dapat mengekalkan momentumnya untuk terus menguasai Putrajaya yang diidamkan oleh Anwar Ibrahim.

Bolehkah kita katakannya bahawa BN kini berada dalam keadaan yang cemas? Apakah Najib mampu meneruskan legasinya untuk meneruskan keampuhan dan dominasi BN sekaligus memanjangkan tali hayat jawatan Perdana Menterinya itu selepas PRU13? Sama-samalah kita menyaksikan ledakan sokongan rakyat yang sebenar menjelang PRU13 setelah lebih dua tahun slogan 1Malaysia diperkenalkannya.

Sudah tentu UMNO/BN mengharapkan gagasan 1Malaysia ilham cipta Najib Razak akan menjadi batu geliga yang dapat memulihkan kembali daya ingatan rakyat Malaysia terhadap jasa-jasa yang telah dibuat oleh kerajaan BN selama ini. Kita bimbang orang-orang Melayu sendiri merasakan dasar 1Malaysia seperti mahu meminggirkan mereka. Jangan sampai orang Melayu mula merasakan mereka terpinggir sejak slogan 1Malaysia diperkenalkan.

Diharapkan juga pertelagahan sesama sendiri di dalam BN tentang matlamat dan tafsiran dasar 1Malaysia terutama berkaitan dengan kepentingan kaum masing-masing tidak menjadi alasan mengapa BN gagal lagi dalam PRU13 nanti. UMNO semakin memendam rasa melihatkan gelagat pemimpin MCA, MIC dan Gerakan terus mendesak itu dan ini supaya mereka juga menjadi juara kepada kelompok yang mereka wakili. Golongan ini yakin dan percaya bahawa Najib telah menunjukkan pengorbanannya melonggarkan satu persatu hak keistimewaan Melayu yang diperjuangkan UMNO selama ini demi untuk menjaga hati rakyat semua.

Bukan itu sahaja, malah kelihatan juga betapa tumpulnya suara-suara garang di dalam UMNO sehingga mereka tidak dapat melantangkan lagi suara gempita ketuanan Melayu kerana dasar 1Malaysia telah membuatkan perjuangan ketuanan Melayu sebagai racist. Beranikah lagi Dato' Hishamuddin Tun Hussein menghunus dan mengucup keris pusaka Melayu selepas terciptanya slogan 1Malaysia? Namun apa yang jelas, atas dasar menghormati kepentingan kaum lain, Hishammuddin telah meminta maaf kepada bukan Melayu di atas keceluparan kononnya beliau telah menyinggung hati bangsa lain di negara ini.

Walaupun ramai ahli UMNO di peringkat akar umbi turut kecewa dengan perangkap 1Malaysia ini, namun mereka mengharapkan slogan 1Malaysia tidak menjadi beban kepada UMNO untuk meneruskan legasi memartabatkan agama dan bangsa di bumi tercinta ini. Jika ia menjadi beban juga kepada UMNO, jangan sampai kita perlu memilih satu di antara dua samada mengekalkan Melayuisme di dalam UMNO atau mengubahnya kepada konsep UMNO 1MALAYSIA supaya UMNO gugurkan racisme Melayunya.

Perjuangan racisme di dalam Barisan Nasional begitu ketara sekali. Bukan sahaja UMNO dengan perjuangan Melayuismenya, malah MCA dan Gerakan juga dilihat parti yang begitu kuat dengan KeCinaannya. Begitu juga dengan MIC yang kuat dengan KeIndiaannya Selagi perjuangan memartabatkan suku bangsa masih kuat melilit parti-parti komponen BN, maka selagi itulah perjuangan racisme tetap bercendawan di dalam BN yang tidak relevan dengan gimik 1Malaysia sebagaimana yang dilaungkan selama ini.

Jikalau MCA beterusan menupkan semangat keCinannya semata-mata untuk mengembalikan keyakinan masyarakat Cina kepada parti itu, begitu juga dengan MIC akan berterusan menuntut itu dan ini untuk mengembalikan kepercayaan masyarakat India kepada partinya, maka janganlah UMNO terus mencampakkan kerisnya semata-mata untuk menjayakan slogan 1Malaysia. Keris (Lambang keMelayuan) biarlah sentiasa di sisip pinggang UMNO sebagai langkah kesiapsiagaan jika Melayu tampak dikhianati di buminya sendiri.

UMNO tidak harus dibuai degan mimpi-mimpi indah khabar dari rupa malah UMNO perlu elakkan trauma mimpi-mimpi ngeri sehingga kita tidak kenal yang mana satu kaca dan yang mana satu permata. UMNO mesti melangkah kehadapan dengan memperkasakan agenda perjuangannnya tanpa prejudis, tanpa adu domba, tanpa membentis kawan dan pastikan juga langkah-langkah hulubalang UMNO tidak sumbang sehingga boleh menikam sesama sendiri.

Inilah zero defect yang diperingatkan oleh Zahid Hamidi sebelum kita berhadapan dengan cabaran PRU13 sebagai menyahut cabaran dan juga harapan Dato' Sri Najib yang menyeru supaya setiap peringkat pemimpin UMNO tidak mewujudkan masalah dalaman sehingga boleh menjejaskan peluang UMNO untuk memenangi PRU13.

Penjenamaan semula BN dengan slogannya yang baru iaitu "BN Pilihan Orang Muda' janganlah menjadi slogan syok sendiri sehingga ia dibenci oleh golongan muda sendiri. Meraih sokongan orang muda kepada BN biarlah yang ideal dan bukan retorik. Rasanya golongan muda ini bukan sesuai lagi ditampilkan peranan sebagai pemalu rebana dan pemegang bunga manggar sekadar penghias majlis, dan bukan juga sekadar memerah keringat untuk menjadi penampal poster sahaja ketika pilihan raya, malah generasi muda hari ini harus digerakkan sebagai penggerak zaman yang pargmaticisme kerana pemikiran dan pengamatan mereka terhadap isu-isu berbangkit begitu advance tidak persis era kita sebelum ini.

Pengundi-pengundi muda yang sedang meresap dalam kancah pilihan raya ini seharusnya didekati dengan daya intilektualisme tanpa didedahkan dengan unsur-unsur kecacatan yang dlihat mengkolotkan perjuangan UMNO. Mereka menjadi alergik kepada UMNO jika parti ini masih tidak menampakkan kebijakan menguruskan isu-isu yang berbangkit. Misalnya, jika kita dikehendaki menyerang pihak lawan biarlah berhikmah dan jangan sampai menendang ke gawang sendiri. Jika kita mendakwa pihak lawan meminum air yang kotor, biarlah air yang kita minum juga kelihatannya lebih bersih daripada air minuman mereka.

Jikalau kita ingin mendakwa perjuangan seksualiti merdeka oleh S. Ambiga/Marina Mahathir sebagai tidak bermoral, apakah perjuangan UMNO juga telah bebas daripada unsur-unsur kebejatan sosial? Begitu juga apabla kita mengheret DAP yang sudah tentu tidak memahami Islam sebagai anti hudud, apakah UMNO yang mengakui sebagai pejuang agama Islam bersedia untuk menerima hudud sebagai suatu kaedah hukum Islam di negara ini? Jika kita mengecam DAP kononnya parti itu anti Melayu, apakah kita bersedia untuk mengecam MCA, Gerakan dan juga MIC yang kadang-kadang lebih kurang ajar daripada DAP dalam tuntutan-tuntutan mereka?

Apakah kita dilihat lebih telus dan tidak terjebak dengan korupsi apabila kita menyerang kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan kononnya mereka membiakkan gejala rasuah dalam pentadbiran mereka? Apakah kita kelihatan lebih adil dan saksama dalam sistem penghukuman di kamar-kamar makamah, jika kita tidak dapat mempertahankan dakwaan mereka kononnya kita tidak telus apabila membabitkan kes-kes terpilih?

Janji untuk menghapuskan ISA oleh Perdana Menteri kita akhirnya menjadi bahan cercaan dan kebencian pula apabila kerajaan masih meneruskan operasi tangkapan di bawah ISA dengan menahan 13 orang lagi di Sabah baru-baru ini. Adalah lebih baik kerajaan tidak melayani tuntutan penghapusan ISA yang dibuat oleh pihak tertentu jika masih berkeinginan untuk meneruskannya. Najib kini diserang oleh pihak tertentu dan pihak pembangkang sebagai 'pembohong' sebagaimana yang sering dilabelkan terhadap Anwar sebelum ini.

Di dada akhbar Suara Keadilan mereka menyebut HAJI NAJIB PEMBOHONG sebagai reaksi terhadap janji palsu (flip flop) yang dibuat oleh Perdana Menteri di dalam perutusan sempena Hari Malaysia pada 16 September lalu.

Laporan Ketua Audit Negara yang menyenaraikan kelemahan dalam sistem kewangan negara telah membuatkan imej pentadiran kerajaan semakin diragui. Najib harus lebih bercermat untuk terus mengemudi negara ini jika masih mahu mempertahankan Putrajaya dari dirampas oleh musuhnya yang dikepalai oleh Anwar Ibrahim. Najib sendiri harus melakukan muhasabah diri yang sedang diekspolitasikan, malah Najib sebagai pemimpin nombor satu negara mestilah serius untuk melakukan pembersihan dalaman supaya UMNO benar-benar reform selaras dengan matlamat transformasinya selama ini. Jika UMNO masih berbangga di takuk yang sedia ada, saya bimbang UMNO tidak terpahat lagi di hati golongan muda hari ini.

Golongan muda mungkin akan mentertawakan Ketua Pemuda UMNO sendiri kerana KJ sebagai Ketuanya pun tidak mendapat pengiktirafan kerana PM masih belum meyakini KJ untuk sebaris menduduki jemaah menteri. Bagaimana hendak meyakinkan 'BN menjadi Pilihan Orang Muda' sedangkan UMNO sendiri tidak yakin dengan kewibawaan Ketua Pemudanya? Nampaknya keyakinan itu hanya kepada Mukhriz Mahathir yang tertewas di tangan KJ dan juga kepada Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda. KJ Ketua Pemuda BN ini yang berhempas pulas untuk membawa orang muda menyokong BN kini sedang diheret keluar oleh konco-konco yang masih tidak senang hati padanya.

Inilah fenomena politik dalaman UMNO yang menjadi defacto yang sedang diperhatikan oleh generasi muda hari ini. Kini golongan pelajar yang berumur 21 tahun ke atas yang masih berada di menara gading telah mendapat kebebasan untuk mereka bergerak cergas dalam arena politik tanah air. Pemuda UMNO harus memerhati perkembangan ini, kerana kemungkinan mereka lebih terarah untuk menyertai PKR dan PAS setelah mereka melihat UMNO masih gagal melakukan transformasi sesuai dengan zaman ledakan maya ini.

Bersandarkan kepada kerencaman masalah politik dalaman BN khususnya UMNO yang masih belum diurus dengan baik, maka apa masalahnya jika PRU13 tidak diadakan dalam jangka masa yang terdekat ini, jika itu sebagai jaminan terbaik untuk mengelakkan BN terus ditolak oleh rayat. Walau apa pun alasan yang diberikan, hakikat yang tak boleh dinafikan lagi ialah PRU13 semakin menghampiri ke garisan penalti sebelum menyumbatkan gol ke gawang lawan.

Friday, November 18, 2011

DR. HASAN ALI & BANGAU OH BANGAUNYA...

Isu Murtad - Dr. Asri menegur lagi Dr Hasan Ali

Oleh Abdul Rahman Hashim

Dato' Dr. Hasan Ali, Exco Kerajaan (Pakatan Rakyat) Negeri Selangor yang diberikan tanggunggjawab menjaga hal ehwal Islam di negeri tersebut kelihatannya semakin tersasar dengan kenyataan-kenyataannya yang berbaur satira 'Bangau Oh Bangau'. Dia sering melontarkan isu-isu yang menyalahkan orang lain, tetapi tidak disusuli dengan suatu pelan tindakan yang menggambarkan betapa Islam itu lebih syumul dan diyakini sebagai agama 'a way of life'.

Rasanya tidak perlu tokoh PAS Selangor ini membangaukan masalah yang dibangkitkannya, tetapi lebih wajar dia melipatgandakan dakwah Islamiah dan menampilkan 'uslub dakwah' yang lebih rapi dan berhikmah serta mengaplikasi kaedah yang lebih canggih daripada menuding jari ke arah gerakan kristianisasi sebagaimana yang dirunsingkannnya.

Bukankah dunia hari ini telah diselimuti dengan kecanggihan teknologi maklumat yang mendedahkan pelbagai unsur tanpa sempadan termasuk elemen penyebaran agama yang sukar disekat; melainkan kita juga harus meningkatkan daya aplikasi teknologi maklumat dalam bidang Islamisasi.

Sementara kita membanggai wujudnya undang-undang bahawa agama lain tidak dibenarkan menyebarkan fahaman agamanya kepada umat Islam di negara ini, namun saya inginkan kepastian samada penyebaran maklumat kristianisasi di dunia maya (internet) yang dirunsingkan oleh Hasan Ali turut terpakai?

Jika alat 'Solar Powered Handheld Talking Bible' yang didakwa telah memurtadkan ramai penganut Islam di negara ini, maka Hasan Ali kena perjuangkan supaya kerajaan PR menyekat elemen penyebaran kristianisasi di dalam internet, terutamanya di negeri Selangor.

Banyak portal, blogg dan laman sesawang yang 'christianic' boleh dilayari oleh anak-anak muda yang mungkin telah lama dijiwai oleh mereka.

Semolek-moleknya Dr Hasan Ali kena berunding dengan Rais Yatim tentang bahaya peralatan IT berkenaan terhadap kesucian Islam. Lagi pun Dr Hasan Ali, Exco Kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Selangor sejak akhir-akhir ini kelibat politiknya persis mesra BN. Sudah tentu Menteri Penerangan, Kebudayaan & Komunikasi ini tidak keberatan untuk melayani karenah Hasan Ali yang semakin dicurigai oleh partinya sendiri, PAS.

Dr. Asri bekas mufti Perlis cuba menegurnya, ikuti kenyataan itu sebagaimana dalam petikan portal Malaysikini bertarikh 18 November 2011:-

Kenyataan exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Hasan Ali bahawa umat Islam di negara ini boleh dimurtadkan dengan menggunakan sejenis radio rakaman menggunakan tenaga solar yang dimuatkan dengan cerita-cerita Kristian atau disebut ‘Solar Powered Handheld Talking Bible’ sebagai menghina, kata bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Saya rasa kenyataan itu satu penghinaan kepada masyarakat Islam di Malaysia dan boleh menjadi satu tindakan kempen tidak langsung tentang 'the power of reading the Bible' seperti yang ditonjolkan oleh sesetengah pihak.

“Bagi saya, maaf terpaksa katakan bahawa kenyataan itu juga sesuatu yang amat tidak wajar bagi seorang exco kerajaan yang hidup di zaman teknologi. Hari ini segala bacaan samada al-Quran ataupun Bible boleh di dapati di internet. Pelbagai peralatan, samada komputer ataupun selainnya boleh melakukan 'download' semua bacaan ini.

“Tidak perlu untuk bersembunyi mendapat atau mendengarnya. Bagi saya, kenyataan beliau tanpa disedari boleh menjadi kempen mendengar Bible yang sebelum ini tidak ramai yang mengambil kisah. Itu pun bukan satu kesalahan. Dunia tidak tertutup.” kata Dr Asri dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Menurut bekas mufti itu, di Malaysia, al-Quran dikumandangkan di pembesar suara, TV, radio, dan majlis-majlis kerajaan tetapi tidak pula dihebohkan kononnya masyarakat bukan muslim telah memeluk Islam kerana terdengar bacaan al-Quran setiap hari.


“Tiba-tiba dihebohkan kononnya ada yang masuk Kristian kerana mendapat alat kecil yang membaca Bible. Alangkah hinanya umat Islam dan agamanya. Seakan-akan orang Islam yang sekian lama mendengar al-Quran, terus berubah kerana terdengar atau mendengar bacaan Bible.

“Tindakan ini seakan kuasa ataupun pengaruh Bible mengatasi al-Quran,” kata Dr Asri.

Menurut beliau lagi, setiap orang yang mendengar dan menilai akan dapat menemui kebenaran yang hakiki. Justeru, peranan golongan agama di era ini, katanya, bukan menghalang tetapi berhujah dan menerangkan apa yang diyakini secara matang.

Semalam, dalam jawapannya di Dewan Undangan Negeri Selangor, Hasan berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengesan lapan cara yang dilakukan oleh pihak Kristian bagi mendakyahkan orang Islam.

Selain menggunakan alatan canggih itu, menurut Hasan (bawah, kanan), pihak Kristian juga menubuhkan pelbagai pertubuhan kebajikan atau persatuan bagi tujuan memberi bantuan berbentuk kewangan terhadap mereka yang mempunyai kesempitan hidup seperti ibu tunggal, orang miskin dan warga emas.

“Jika benar seperti yang didakwa, ada pihak Kristian yang menyebarkan alatan itu secara percuma dan bantuan lain lagi kepada saudara-saudara muslim kita, maka saya mencadangkan beliau kena mengerahkan JAIS membuat kerja yang lebih bermanfaat .

“Ini boleh dilakukan dengan menyebarkan secara percuma alatan yang sama atau lebih canggih yang mengandungi ayat al-Quran dan terjemahannya. Juga mengandungi ucapan-ucapan dakwah kepada Islam secara hikmah dan bijaksana,” katanya.

Dr Asri juga meminta JAIS supaya memastikan dulu bahawa “alat itu 'mendapat tauliah' supaya alat itu tidak ditangkap atau dirampas”.

Walaupun tidak menyebutnya secara langsung, beliau dipercayai merujuk keputusan JAIS yang mensyaratkan mana-mana pihak yang ingin menyampaikan ceramah agama atau tazkirah di semua 2,081 surau dan 380 masjid di seluruh Selangor, perlu mendapat tauliah jabatan itu, terlebih dahulu.

Sebelum ini, beberapa pemimimpin dan tokoh agama menghadapi masalah dan dihadapkan ke mahkamah kerana mengajar agama Islam tanpa tauliah. Mereka termasuk Dr Asri sendiri.

Pemimpin PAS lain seperti Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat, pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Abdul Rani Osman, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan terbaru pengacara dan penulis lirik terkenal Bob Lokman juga dilarang berceramah.

Dr Asri dalam kenyataannya juga mengingatkan mana-mana pihak yang mendakwa bahawa sejumlah besar umat Islam di negara ini murtad adalah memalukan umat itu sendiri dan perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan mereka itu.

“Sesetengah pihak menyebut ratusan ribu, ada yang menyebut puluhan ribu, ada yang menyebut beribu-ribu. Harap nama-nama mereka dapat diserah kepada pihak-pihak yang dapat mengkaji punca untuk mengatasi masalah.

“Janganlah ia hanya satu dakwaan kosong yang tiada bukti yang diyakini, ataupun memang wujud tetapi tidak berani didedahkan kerana mereka tahu mungkin kesalahannya akan balik kepada pihak berkuasa yang menguruskan urusan agama itu sendiri,” katanya.

Menurut Dr Asri, beliau bimbang usaha mempertahankan Islam secara membuta-tuli itu secara tidak langsung boleh memperlekehkan umat dan agama Islam sendiri tanpa sedar.

"Mungkin kita ingin menutup kelemahan kita dengan menudingkan jari kepada pihak lain. Itu bukan tindakan yang baik bagi pihak yang berkuasa.

"Memalukan, umat yang majoriti sering menampilkan diri sebagai tertindas oleh agama yang minoriti. Padahal jika kita benar-benar menggerakkan kemampuan yang ada dalam kalangan Islam di Malaysia, banyak yang boleh dilakukan," katanya.

Beliau berkata cara dan gaya mempertahankan Islam para era ini memerlukan pendekatan yang lebih bersifat semasa dan berkesan.

"Malangnya hal ini tidak berlaku. Menyedihkan. Orang lain tertawakan cara kita, maka jangan hairan jika ada muslim juga yang bertambah keliru.

"Mungkin yang hendak masuk Islam menjadi terbantut, yang lemah iman tergugat. Maka jangan hairan jika benar ada yang murtad atau yang baru masuk ingin keluar semula.

"Siapakah punca langsung dan tidak langsung? Berhati-hati dalam isu ini," akhiri kenyataannya itu.