assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, March 23, 2011

PILIHAN RAYA SARAWAK : PENAMAAN CALON 6 APRIL, HARI MENGUNDI PULA 16 APRIL 2011

Pilihan raya negeri Sarawak Ke-10, 16 April 2011

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon untuk pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10 pada 6 April manakala hari pengundiannya pula jatuh pada 16 April 2011. Ini bermakna tempoh berkempen selama 10 hari.

Pengumuman itu dibuat oleh pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Kuching, hari ini. DUN Sarawak dibubarkan Isnin lalu yang mana secara perlembagaan, pilihan raya hendaklah diadakan sebelum Julai tahun ini.

BN Sarawak menguasai 63 daripada 71 kerusi dalam dewan manakala pembangkang pula dengan tujuh kerusi, termasuk satu masing-masing milik bebas dan Parti Cinta Malaysia. Pilihan raya sebelum ini diadakan pada 20 Mei 2006.

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Pengerusi BN Negeri dan juga Ketua Menteri Sarawak akan berhempas pulas untuk mempertahankan dominasi BN menguasai negeri bumi kenyalang menjelang pilihan raya negeri ke-10 pada 16 April ini sebelum beliau melepaskan jawatan yang disandangnya sejak tahun 1981.

Monday, March 21, 2011

SAH, DUN SARAWAK BUBAR HARI INI!

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.

Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.

"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak,"
katanya hari ini. Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang esok.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.

Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada Sabtu lalu, Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Saturday, March 19, 2011

DUN SARAWAK BUBAR ISNIN INI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pilihan raya negeri terakhir buat Taib Mahmud....siapa penggantinya?

Penantian pembubaran DUN Sarawak akhirnya terjawab apabila Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengumumkan pembubarannya pada Isnin ini, dan notis mengenainya telah dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Dato' Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Sehubungan pembubaran itu, pilihan raya negeri hendaklah diadakan dalam masa 60 hari.

SPR dijangka akan menetapkan tarikh hari penamaan calon dan juga tarikh pembuangan undi minggu depan. Pilihan raya ke-10 negeri Sarawak ini merupakan pilihan raya negeri yang terakhir buat Taib Mahmud, apabila beliau membuat pengumuman akan melepaskan jawatannya selepas pilihan raya nanti.

NAJIB TAHU TAIB TELAH BERSEDIA UNTUK LAKUKAN PERALIHAN KEPIMPINAN

SERIAN, 19 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau dan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah pun tahu masa yang tepat untuk melakukan perubahan kepada kepimpinan di negeri ini.

Najib berkata beliau dan Taib mempunyai ‘‘persefahaman yang sangat baik’’ mengenai masa untuk membuat pengumuman berhubung perkara itu.

“Saya tahu beliau telah bersedia. Apabila tiba masanya, beliau sedia beredar dari arena dan kami mempunyai persefahaman yang sangat baik mengenai bilakah ia akan berlaku,” katanya ketika berucap pada program ‘‘Senada Sejiwa’’ di sini hari ini.

Program itu yang mengetengahkan pameran produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, dianjurkan oleh kerajaan Sarawak.

Najib berkata perubahan kepimpinan negeri bukanlah suatu perkara yang boleh didesak memandangkan peralihan yang lancar merupakan perkara paling utama.

“Janganlah desak tapi ikutlah tradisi yang baik dalam negara kita, yang penting peralihan kuasa yang tertib tersusun supaya kepimpinan baru yang ambil alih nanti boleh membawa Sarawak kepada keadaan yang lebih baik lagi,” kata Najib.

Menerusi peralihan kuasa yang lancar, beliau berkata kerajaan persekutuan akan dapat membantu Sarawak mencapai kejayaan yang lebih gemilang.

Katanya pendekatan ini, yang telah diterima oleh kalangan masyarakat Malaysia nyata bukan seperti yang dikehendaki oleh pembangkang memandangkan mereka mengharapkan perubahan radikal menerusi demonstrasi jalanan atau rusuhan.

Najib berkata perubahan kepimpinan yang lebih disukai oleh Barisan Nasional mengambil kira kestabilan dan pembangunan yang berterusan.

Katanya pembangunan pesat yang berlaku di Sarawak sejak beliau menjadi Perdana Menteri dua tahun lepas sebahagian besarnya disebabkan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri.

Malah Ketua Menteri turut mengakui bahawa belum pernah Sarawak menikmati peruntukan yang begitu besar dan ia dilakukan bukan kerana pilihan raya tetapi yang penting ialah memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, katanya.— Bernama.

PILIHAN RAYA TERAKHIR BUAT TAIB MAHMUD?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dijangka membuat pengumuman penting, yang bakal mengejutkan banyak pihak menjelang lawatan Perdana Menteri ke Sarawak sabtu ini.

Taib membayangkan akan mengumumkan sesuatu yang penting sempena majlis 'Sejiwa Senada' yang berlangsung di Serian hari ini, mungkin berkaitan dengan tarikh pembubaran DUN yang hangat diperkatakan di dada-dada akhbar tempatan sekarang ini.

Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri sejak tahun 1981 itu juga dikatakan tidak akan kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Mungkinkah ini adalah pilihan raya terakhir buat Taib Mahmud setelah beliau berjaya meletakkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang membangun selari dengan dasar politik pembangunan yang dicetuskannya sejak memimpin negeri pada tahun 1981? Sama-sama kita tunggukan debaran ini.

Taib tidak membayangkan tarikh pembubaran DUN Sarawak tetapi beliau memberitahu pemberita di Kuching, “tunggu sehari lagi....”

Taib akan menyertai Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan bertemu rakyat di beberapa tempat, iaitu di Sadong Jaya, Taman Kenyalang dekat Kuching dan juga di Serian. Benarkah beliau akan membuat pengumuman akan melepaskan jawatan ketua menteri dan juga mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, yang bakal membuka laluan kepada pilihan raya negeri?

Penganalisa politik menjangkakan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang memperuntukkan 71 kerusi akan dibubarkan seawal Isnin ini dengan penamaan calon dan pengundian dijangka diadakan pada bulan April depan, tiga bulan sebelum mandat semasa berakhir pada 23 Julai.

Terdapat spekulasi yang hangat dibincangkan kononnya Taib tidak harus bertanding lagi kali ini tetapi tidak kurang juga yang berpendapat bahawa pemimpin itu mampu untuk mengekalkan momentumnya terutama mengekalkan kesepaduan Barisan Nasional, malah kepimpinan Taib dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan BN yang lebih besar kali ini.

Sarawak dan Sabah dilihat sebagai negeri “deposit hayat” bagi BN. Kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini menjadi lebih berharga kerana ia dilihat sebagai penanda aras kepada BN untuk berhadapan dengan pilihan raya umum di peringkat nasional kelak.

Sekiranya Taib tidak mampu untuk mengemudi bahtera kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Sarawak nanti, pasti ia bakal menjadi mimpi ngeri buat Najib di peringkat nasional. Najib pasti akan meletakkan sebesar harapan kepada Taib yang akan mengepalai gerak kempen untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya negeri ke-10.

Pada pilihan raya negeri 2006, BN memenangi 62 kerusi, DAP enam manakala PKR, SNAP dan Bebas masing-masing satu.

DAP dan PKR telah membentuk Pakatan Rakyat (PR) dengan gandingan PAS selepas pilihan raya negeri 2008 dan akan bertanding pada pilihan raya negeri bersama SNAP meskipun empat parti itu belum merumuskan pembahagian kerusi.

Sumber-sumber PR berkata perikatan itu berharap dapat menafikan majoriti dua pertiga BN tetapi BN lebih yakin akan mengekalkan prestasi lima tahun lalu.

“Kami harus mempertahankan majoriti kami walaupun kami kemungkinan hilang tambahan beberapa kerusi,” kata satu sumber BN.


Thursday, March 17, 2011

JANGAN PERSALAHKAN TAIB JIKA RAKYAT SARAWAK MASIH MEMERLUKANNYA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak

Sarawak kenek tok menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan pelancongnya dari dalam dan luar negeri, malah 'Sarawak bumi kenyalang' akan terus menjadi perhatian dan tumpuan kerana dalam tempoh terdekat ini akan berlaku pilihan raya umum ke-10 negeri Sarawak, sekaligus menyaksikan samada Ketua Menterinya masih berupaya mempertahankan dominasi BN memerintah negeri itu, walaupun dirinya semakin menjadi sasaran bertubi oleh pihak pembangkang yang tidak senang hati melihat keunggulannya selama 30 tahun mengekalkan tampok kuasa.

Kewibawaan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengemudi bahtera politik pembangunan Sarawak terbukti menghasilkan kejayaan, bukan sahaja kejayaan membangunkan prasarana sosio ekonomi rakyatnya, malah kestabilan politik yang dicernakan olehnya mampu menyatu padukan kemajmukan budaya dari kepelbagaian kaum yang terdapat di negeri ini.

Politik Sarawak tanpa kebijakan dan kelicikan pengemudinya yang sentiasa dihormati dan disanjung tinggi telah menjadi faktor utama kekuatan Barisan Nasional di hati rakyat. Sememangnya tempoh selama 30 tahun Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri Sarawak membuatkan wujudnya sentimen kebencian yang dihangatkan oleh puak-puak pembangkang, seolah-olah Taib dilihat berkuasa tanpa mendapat mandat dari rakyat yang memilih BN untuk beliau meneruskan agenda politik pembangunan di negeri ini.

Bukankah mandat pilihan raya membuktikan wujudnya proses demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan parti mana yang layak meneruskan pemerintahan. Jika rakyat sudah meluat kepada BN, tentunya keputusan pilihan raya umum yang lepas tidak memihak kepada BN. Terbukti majoriti rakyat negeri ini masih meletakkan kepercayaan kepada BN untuk terus membentuk kerajaan walaupun terdapat beberapa kerusi BN yang kecundang, terutama yang membabitkan kerusi DUN yang ditandingi oleh SUPP.

Nampaknya DAP semakin diberikan ruang oleh masyarakat Cina negeri ini untuk terus bertapak, mungkin wujudnya jurang kebencian yang ketara pengundi Cina terhadap krisis kepimpinan yang melanda SUPP sebelum ini sehingga mereka sanggup mengalihkan sokongan kepada DAP dan juga PKR. Keadaan serupa ini juga telah berlaku di semenanjung, di mana BN telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat akibat kebencian rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang dipelopori oleh kepimpinan UMNO sebelum ini, tidak terkecuali juga dengan kemelut yang melanda MCA, Gerakan dan juga MIC.

Pehin Sri Taib Mahmud bukannya tidak sedar betapa rakyat akan menolak BN jika berleluasanya sindrom kebencian rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang mungkin tidak mesra rakyat, apatah lagi jika berlakunya kecurangan poltik yang mungkin didendami oleh rakyat sebagai hukuman kepada wakil-wakil rakyat yang bersikap angkuh, sombong dan tidak sering menemui rakyat.

Ingatlah, setiap wakil rakyat hendaklah sentiasa berjiwa rakyat, bukannya memperolok-olokkan rakyat. Rakyat bukan sahaja semakin pandai bahkan mereka semakin cerdik dan pintar untuk memilih wakil rakyat mereka. Wakil Rakyat yang tidak mendekati rakyat sebenarnya mereka telah mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.

Jangan persalahkan rakyat jika rakyat mulai sedar untuk menolak mana-mana parti yang cuba menipu rakyat. Begitu juga jangan sekali-kali kita menafikan kepercayaan majoriti rakyat jika rakyat masih memerlukan BN. Kempen membenci pemimpin tertentu janganlah sampai ke tahap menyalahkan rakyat setelah rakyat menunjukkan keyakinan kepada parti tertentu termasuk penolakan terhadap parti yang tidak pada hati rakyat.

Pehin Sri Taib Mahmud bukanlah bersifat maksum seperti Rasul, malah beliau pun lebih arif untuk menentukan tempoh persaraan apabila tiba masanya nanti. Sebagai seorang pemimpin rakyat, beliau harus diberikan masa untuk menentukan warisan kepimpinan BN terus diungguli oleh rakyat. Tentunya beliau tidak mahu melihat negeri ini diwariskan kepada mereka yang tidak bijak menguruskan kerajaan negeri ini selepas beliau berundur kelak.

Mendakwa kononnya Taib Mahmud sebagai 'Raja Putih' selepas 'Rajah Brooke' adalah sesuatu yang keterlaluan, kerana Taib Mahmud hanya merupakan Presiden PBB dan juga Pengerusi BN Negeri Sarawak yang boleh dimenangkan dan boleh juga ditewaskan oleh rakyat.

Jika beliau didakwa sebagai raja semata-mata kerana sudah lebih 30 tahun menjadi Ketua Menteri, bukankah itu merupakan mandat rakyat negeri Sarawak yang masih mempercayai kewibawaannya? Janganlah persalahkan keputusan rakyat, kerana itulah kehendak rakyat negeri Sarawak yang terbaik bagi mereka. Warga bumi kenyalang 'Sejiwa dan Senada' menentukan masa depan mereka.

Tuesday, February 15, 2011

MAULIDUR RASUL BUKANNYA LAMBANG PERBALAHAN DAN PERPECAHAN SESAMA UMAT ISLAM!!

Oleh Abdul Rahman Hashim

Inilah pintu Makam Rasulullah SAW di Masjid Nabawi di Madinah.
Berselawatlah kita ke atas junjungan besar kita
Nabi Muhmmad SAW.

Masjid Nabawi terletak di Kota Madinah. Disebut Masjid Nabawi
kerana Rasulullah SAW selalu menyebutnya dengan kalimah
'Masjidku ini'. Masjid ini dibangunkan oleh Rasulullah bersama
para sahabat pada tahun 1 hijrah (September 662 masehi)
setelah baginda
berhijrah dari kota Mekah ke Madinah.
Masjid Nabawi ini dibangunkan

atas tanah milik dua anak yatim Shal dan Suhail yang dibeli
dengan harga 10 dinar, dan ditambah tanah waqaf As'ad bin Zurarah
serta bekas makam kaum muslimin yang rosak.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa bersolat di masjidku ini menjadi
lebih utama daripada bersolat

di masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram."

------------------------------------------------------------------------------

Hari ini tanggal 12 Rai'ul Awal, umat Islam seluruh dunia meraikan sambutan Maulidur Rasul sambil berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah membawa rahmat dan petunjuk ke seluruh alam dan Allah SWT juga telah mewahyukan baginda sebagai Rasul akhir zaman yakni tidak ada lagi Nabi dan juga Rasul selepas Nabi Muhammad SAW.

Perayaan Maulidur Rasul telah diasaskan oleh kerajaan Fatimiah di Mesir. Kerajaan Fatimah telah merayakan perayaan ini secara besar-besaran.

( Foto kiri - Makam Rasulullah SAW)

Bukan hanya hari jadi Rasulullah SAW sahaja yang dirayakan, tetapi juga ahli keluarga Nabi SAW seperti Zainab, Hassan, Hussain (r.a) juga turut dirayakan. Bahkan mereka juga merayakan kelahiran Nabi Isa AS. Walau bagaimanapun, semua perayaan ini telah dihentikan pada tahun 488 atas perintah Perdana Menteri Al-Afdal Shahindah pada ketika itu yang berpegang kuat pada sunnah seperti tercatit di dalam buku Al-Kamel, karangan Ibnu Al-Atheer.

Apabila Kerajaan Al-Ayubbiah merampas kuasa, semua perayaan telah dihentikan. Namun begitu, masyarakat tetap merayakannya di kalangan keluarga mereka di dalam rumah. Pada Abad ke 7, Putera Muzafar Al-Deen Abi Sa'ad Kawakbri Ibn Zein Ed-Deen `Ali- Ibn Tabakatikin telah mewartakan perayaan Maulid Nabi di Bandar Irbil.

Beliau merupakan seorang sunni. Muzafar mengambil berat akan perayaan ini sehingga memerintahkan agar persediaan seperti mendirikan khemah, menghias khemah dan pelbagai lagi dilaksanakan sebaik mungkin. Setiap kali selepas solat Asar, Muzafar akan menyaksikan perayaan ini di dalam khemah yang telah didirikan itu.

Makam Ibunda Rasulullah SAW, Siti Aminah
Makam isteri Rasulullah, Saydatina Siti Aishah

Perayaan diadakan pada 8 Rabiulawal dan kadang-kadang 12 Rabiulawal. Sambutannya diisikan dengan pelbagai acara antaranya membaca sejarah Nabi SAW sehinggalah kepada menghias binatang ternakan untuk disembelih kemudian diadakan jamuan besar-besaran.

Berkata Ibnu Haajj Abu Abdullah Al-Abdari, perayaan tersebut tersebar luas di seluruh Mesir pada zaman pemerintahan Putera Muzafar ini. Beliau menentang perayaan yang diadakan. Banyak buku telah ditulis mengenai perayan Maulidur Rasul ini antara penulisnya ialah Ibn Dahya, meninggal dunia pada 633, Muhy Ed-Deen Ibn Al-`Arabi, meninggal di Damascus pada 683, Ibn Taghrabik, meninggal di Mesir pada 670, dan Ahmad Al-`Azli dan anaknya Muhammad, meninggal di Sebata pada 670.

Oleh kerana amalan bida'ah yang banyak ketika perayaan itu, ulamak telah berbeza pendapat akan keharusan merayakan Maulid Nabi ini. Pendapat pertama membolehkan perayaan ini manakala pendapat yang kedua mengatakan sebaliknya.

Antara yang membolehkan ialah As-Siyooti, Ibn Hajar Al-`Asqalaani dan Ibn Hajar Al-Haythmi. Walaupun mereka bersetuju dengan perayaan ini, mereka tetap membangkang aturcara ketika Maulid itu (pada zamannya).

HUKUM MAULID

Seperti yang telah diketahui, perayaan Maulidur Rasul ini merupakan satu perayaan yang kontroversi. Ulamak-ulamak berbeza pendapat akan kebolehan menyambut perayaan ini. Kita sebagai masyarakat awam tersepit antara dua pendapat. Yang mana perlu kita turuti. Sedangkan kedua-dua belah pihak terdiri daripada ulamak-ulamak yang hebat dan tidak boleh ditolak lagi akan kewibawaan mereka.

HUJAH MEMBOLEHKAN MAULIDUR RASUL

Antara ulamak yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan.Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti:

"Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan:

"Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan Nabi Muhammad SAW. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad SAW".

Berkata pula Syeikh Atiah Saqr:

"Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid.u Rasul Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid'ah, seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat."

Ulamak tersohor Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini.Beliau berkata (ringkasan):

"Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah SAW tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah SAW. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah SAW dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah SAW itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Sa'ad Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah SAW kepada kanak-kanak sama sepertimana keghairahan mereka mendidik anak-anak tentang Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini.

Walau bagaimanapun, generasi terkemudian telah mula melupakan kegemilangan sejarah Islam dan kesannya. Dengan itu, perayaan Maulid Rasul ini diadakan bertujuan untuk mengingati sejarah Islam ketika Rasulullah SAW masih hidup.

Tetapi malangnya, kadang-kadang sambutan Maulid Rasul ini telah bercampur dengan amalan bid'ah yang ditentang oleh Islam. Sebenarnya, meraikan hari kelahiran Nabi bermakna meraikan hari kelahiran Islam. Maka dibolehkan meraikan Maulid Nabi ini dengan syarat ia tidak dicampur-adukkan dengan perkara-perkara bid'ah. Tetapi sebaliknya sambutan itu hendaklah diisi dengan ceramah dan kuliah yang menceritakan akan sejarah Islam.

Di negara ini sambutan Maulidur Rasul dirayakan setiap tahun pada tanggal 12 Rabi'ul Awal. Berbagai acara sambutan diadakan termasuklah mengadakan perarakan beramai-ramai dengan membawa sepanduk membesarkan keRasulan Nabi Muhammad SAW sambil mereka berselawat ke atas Nabi SAW.

Setiap masjid dan surau juga tidak melepaskan peluang ini untuk mengadakan acara sambutan masing-masing seperti ceramah-ceramah, berzanji dan marhaban di samping mengadakan majlis jamuan tanda kesyukuran. Persoalannya ialah apakah umat Islam dapat menjiwai dan menghayati semua acara sambutan yang diadakan itu dari sudut kecintaan terhadap ajaran yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW.

Saban kali sambutan Maulidur Rasul diadakan, maka acapkali juga umat Islam tidak menjiwai saranan Baginda yang menyeru umatnya supaya tidak berpecah belah dan berbalah sesama sendiri. Seruan Baginda SAW bahawa setiap orang Islam itu adalah bersaudara, nampaknya ada yang memandang remeh.

Masih wujud keangkuhan yang melilit pemikiran kononnya kesucian Islam hanya dimiliki oleh mereka yang menggunakan lambang tertentu ataupun yang menganuti parti-parti tertentu. Umat Islam yang tidak bersekutu dengan parti-parti tertentu itu begitu mudah dilabelkan sebagai tidak islamik, kononnya perjuangan membela dan membangunkan bangsa tidak diizinkan oleh ajaran Islam walaupun bangsa-bangsa yang wujud di muka bumi ini juga adalah kejadian dari Allah jua.

Kebencian terhadap umat Islam yang tidak sebumbung dengan kabilah mereka dijadikan alasan kukuh untuk mengharuskan mereka yang terbabit itu sebagai musuh. yang patut diperangi. Lebih malang lagi, mereka yang melabelkan dirinya sebagai pejuang Islam lebih terdorong untuk berbaik-baik dengan golongan yang tidak beriman dengan Allah untuk memusnahkan golongan Islam lain yang sama-sama beriman kepada Rasul-Rasul Allah.

Sampai bilakah pertentangan sedemikian sehingga tidak terjumpa noktahnya? Mudah-mudahan iktibar daripada perjuangan Rasulullah SAW yang sama-sama kita anuti selama ini dapat memperteguhkan ummah demi memartabatkan harakat Islam.