Oleh Abdul Rahman Hashim
Pehin Sri Abdul Tai

b Mahmud dijangka membuat pengumuman penting, yang bakal mengejutkan banyak pihak menjelang lawatan Perdana Menteri ke Sarawak sabtu ini.
Taib membayangkan akan mengumumkan sesuatu yang penting sempena majlis
'Sejiwa Senada' yang berlangsung di Serian hari ini, mungkin berkaitan dengan tarikh pembubaran DUN yang hangat diperkatakan di dada-dada akhbar tempatan sekarang ini.
Taib Mahmud yang menjadi Ketua Menteri sejak tahun 1981 itu juga dikatakan tidak akan kekal sebagai Ketua Menteri Sarawak selepas pilihan raya negeri yang bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.
Mungkinkah ini adalah pilihan raya terakhir buat Taib Mahmud setelah beliau berjaya meletakkan Sarawak sebagai sebuah negeri yang membangun selari dengan dasar politik pembangunan yang dicetuskannya sejak memimpin negeri pada tahun 1981? Sama-sama kita tunggukan debaran ini.
Taib tidak membayangkan tarikh pembubaran DUN Sarawak tetapi beliau memberitahu pemberita di Kuching, “tunggu sehari lagi....”
Taib akan menyertai Perdana Menteri Dato' Sri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan bertemu rakyat di beberapa tempat, iaitu di Sadong Jaya, Taman Kenyalang dekat Kuching dan juga di Serian. Benarkah beliau akan membuat pengumuman akan melepaskan jawatan ketua menteri dan juga mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, yang bakal membuka laluan kepada pilihan raya negeri?
Penganalisa politik menjangkakan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang memperuntukkan 71 kerusi akan dibubarkan seawal Isnin ini dengan penamaan calon dan pengundian dijangka diadakan pada bulan April depan, tiga bulan sebelum mandat semasa berakhir pada 23 Julai.
Terdapat spekulasi yang hangat dibincangkan kononnya Taib tidak harus bertanding lagi kali ini tetapi tidak kurang juga yang berpendapat bahawa pemimpin itu mampu untuk mengekalkan momentumnya terutama mengekalkan kesepaduan Barisan Nasional, malah kepimpinan Taib dilihat mampu menyumbang kepada kemenangan BN yang lebih besar kali ini.
Sarawak dan Sabah dilihat sebagai negeri “deposit hayat” bagi BN. Kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini menjadi lebih berharga kerana ia dilihat sebagai penanda aras kepada BN untuk berhadapan dengan pilihan raya umum di peringkat nasional kelak.
Sekiranya Taib tidak mampu untuk mengemudi bahtera kemenangan besar dalam pilihan raya negeri Sarawak nanti, pasti ia bakal menjadi mimpi ngeri buat Najib di peringkat nasional. Najib pasti akan meletakkan sebesar harapan kepada Taib yang akan mengepalai gerak kempen untuk memenangi hati rakyat menjelang pilihan raya negeri ke-10.
Pada pilihan raya negeri 2006, BN memenangi 62 kerusi, DAP enam manakala PKR, SNAP dan Bebas masing-masing satu.
DAP dan PKR telah membentuk Pakatan Rakyat (PR) dengan gandingan PAS selepas pilihan raya negeri 2008 dan akan bertanding pada pilihan raya negeri bersama SNAP meskipun empat parti itu belum merumuskan pembahagian kerusi.
Sumber-sumber PR berkata perikatan itu berharap dapat menafikan majoriti dua pertiga BN tetapi BN lebih yakin akan mengekalkan prestasi lima tahun lalu.
“Kami harus mempertahankan majoriti kami walaupun kami kemungkinan hilang tambahan beberapa kerusi,” kata satu sumber BN.