Sarawak kenek tok menjadi tumpuan bukan sahaja di kalangan pelancongnya dari dalam dan luar negeri, malah 'Sarawak bumi kenyalang' akan terus menjadi perhatian dan tumpuan kerana dalam tempoh terdekat ini akan berlaku pilihan raya umum ke-10 negeri Sarawak, sekaligus menyaksikan samada Ketua Menterinya masih berupaya mempertahankan dominasi BN memerintah negeri itu, walaupun dirinya semakin menjadi sasaran bertubi oleh pihak pembangkang yang tidak senang hati melihat keunggulannya selama 30 tahun mengekalkan tampok kuasa.
Kewibawaan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengemudi bahtera politik pembangunan Sarawak terbukti menghasilkan kejayaan, bukan sahaja kejayaan membangunkan prasarana sosio ekonomi rakyatnya, malah kestabilan politik yang dicernakan olehnya mampu menyatu padukan kemajmukan budaya dari kepelbagaian kaum yang terdapat di negeri ini.
Politik Sarawak tanpa kebijakan dan kelicikan pengemudinya yang sentiasa dihormati dan disanjung tinggi telah menjadi faktor utama kekuatan Barisan Nasional di hati rakyat. Sememangnya tempoh selama 30 tahun Taib Mahmud menjadi Ketua Menteri Sarawak membuatkan wujudnya sentimen kebencian yang dihangatkan oleh puak-puak pembangkang, seolah-olah Taib dilihat berkuasa tanpa mendapat mandat dari rakyat yang memilih BN untuk beliau meneruskan agenda politik pembangunan di negeri ini.
Bukankah mandat pilihan raya membuktikan wujudnya proses demokrasi yang memberikan hak kepada rakyat untuk menentukan parti mana yang layak meneruskan pemerintahan. Jika rakyat sudah meluat kepada BN, tentunya keputusan pilihan raya umum yang lepas tidak memihak kepada BN. Terbukti majoriti rakyat negeri ini masih meletakkan kepercayaan kepada BN untuk terus membentuk kerajaan walaupun terdapat beberapa kerusi BN yang kecundang, terutama yang membabitkan kerusi DUN yang ditandingi oleh SUPP.
Nampaknya DAP semakin diberikan ruang oleh masyarakat Cina negeri ini untuk terus bertapak, mungkin wujudnya jurang kebencian yang ketara pengundi Cina terhadap krisis kepimpinan yang melanda SUPP sebelum ini sehingga mereka sanggup mengalihkan sokongan kepada DAP dan juga PKR. Keadaan serupa ini juga telah berlaku di semenanjung, di mana BN telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat akibat kebencian rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang dipelopori oleh kepimpinan UMNO sebelum ini, tidak terkecuali juga dengan kemelut yang melanda MCA, Gerakan dan juga MIC.
Pehin Sri Taib Mahmud bukannya tidak sedar betapa rakyat akan menolak BN jika berleluasanya sindrom kebencian rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan yang mungkin tidak mesra rakyat, apatah lagi jika berlakunya kecurangan poltik yang mungkin didendami oleh rakyat sebagai hukuman kepada wakil-wakil rakyat yang bersikap angkuh, sombong dan tidak sering menemui rakyat.
Ingatlah, setiap wakil rakyat hendaklah sentiasa berjiwa rakyat, bukannya memperolok-olokkan rakyat. Rakyat bukan sahaja semakin pandai bahkan mereka semakin cerdik dan pintar untuk memilih wakil rakyat mereka. Wakil Rakyat yang tidak mendekati rakyat sebenarnya mereka telah mengkhianati kepercayaan rakyat terhadapnya.
Jangan persalahkan rakyat jika rakyat mulai sedar untuk menolak mana-mana parti yang cuba menipu rakyat. Begitu juga jangan sekali-kali kita menafikan kepercayaan majoriti rakyat jika rakyat masih memerlukan BN. Kempen membenci pemimpin tertentu janganlah sampai ke tahap menyalahkan rakyat setelah rakyat menunjukkan keyakinan kepada parti tertentu termasuk penolakan terhadap parti yang tidak pada hati rakyat.
Pehin Sri Taib Mahmud bukanlah bersifat maksum seperti Rasul, malah beliau pun lebih arif untuk menentukan tempoh persaraan apabila tiba masanya nanti. Sebagai seorang pemimpin rakyat, beliau harus diberikan masa untuk menentukan warisan kepimpinan BN terus diungguli oleh rakyat. Tentunya beliau tidak mahu melihat negeri ini diwariskan kepada mereka yang tidak bijak menguruskan kerajaan negeri ini selepas beliau berundur kelak.
Mendakwa kononnya Taib Mahmud sebagai 'Raja Putih' selepas 'Rajah Brooke' adalah sesuatu yang keterlaluan, kerana Taib Mahmud hanya merupakan Presiden PBB dan juga Pengerusi BN Negeri Sarawak yang boleh dimenangkan dan boleh juga ditewaskan oleh rakyat.
Jika beliau didakwa sebagai raja semata-mata kerana sudah lebih 30 tahun menjadi Ketua Menteri, bukankah itu merupakan mandat rakyat negeri Sarawak yang masih mempercayai kewibawaannya? Janganlah persalahkan keputusan rakyat, kerana itulah kehendak rakyat negeri Sarawak yang terbaik bagi mereka. Warga bumi kenyalang 'Sejiwa dan Senada' menentukan masa depan mereka.

























