Mumia Fir'aun yang masih tersimpan di Muzium Tahrir
Monumen Piramid & Sphinx di Gurun Sahara Mesirturut terpaku melihat kejatuhan Hosni Mubarak
Fir'aun murka kerana Nabi Allah Musa diwahyukan menjadi Rasul, bahkan Nabi Musa dianggapnya telah mengganggu supremasinya sebagai Raja yang bertaraf Tuhan, lalu fir'aun beserta dengan bala tenteranya nekad untuk menghapuskannya dan telah memburu Nabi Musa bersama pengikutnya sehingga ke Laut Merah.
Di dalam Al-Quran juga telah menceritakan betapa Nabi Musa telah menggunakan mukjizat tongkat yang dimilikinya sehingga berjaya membelah laut merah yang menjadi jalan laluan Nabi Musa untuk melarikan diri dari kedurjanaan fir'aun.

Fir'aun terperanjat melihat laut merah terbelah menjadi jalan untuk Nabi Musa melarikan diri. Namun fir'aun telah memutar belitkan kejadian anih itu dengan mendabik dada kononnya kejadian laut merah itu merupakan kekuasaan yang beliau miliki sebagai Tuhan. Nabi Musa bersama-sama pengikutnya berjaya menyeberangi laut merah itu, namun fir'aun serta bala tenteranya itu telah ditenggelami oleh gelombang laut merah sebaik sahaja gerombolannya berada di tengah-tengah laut itu.
Fir'aun akhirnya mati dan mayatnya ditemui terdampar di tepian pantai yang dijumpai oleh penduduk di situ. Mayatnya disimpan sehingga ke hari ini setelah diawet untuk dipertontonkan oleh generasi selepasnya sebagai 'Fir'aun yang zalim'. Demikianlah kisah benar yang dipaparkan oleh Al-Quran untuk menjadi pengajaran kepada setiap pemimpin supaya tidak berlagak menzalimi rakyat sehingga rakyat membara membenci pemimpin yang banyak melakukan kemunkarannya.
Hari ini, Mesir sekali lagi dilanda musibah politiknya. Rakyat bumi fir'aun itu bagaikan tidak membenarkan lagi penguasa yang berlagak fir'aun terus memerintah mereka. Hampir tiga minggu mereka membentuk gelombang kebencian untuk mengusir Presiden Hosni Mubarak yang telah bertakhta selama 10,950 hari (30 tahun) sejak tahun 1981.
Piramid dan Sphinx yang tersergam di gurun sahara di negara Mesir turut menyaksikan gelombang kebencian rakyat yang mengakibatkan penguasa yang bertakhta selama 30 tahun itu rebah dengan kehinaan yang dialaminya. Sindrom kebencian rakyat ini semakin membara apabila Hosni didapati berdegil dan liat untuk menuruti kehendak rakyatnya.
Kini, rakyat Mesir berpesta kerana berjaya mengusir pemimpin yang mereka benci selama ini. Perletakan jawatan Hosni Mubarak turut menggembirakan rakyat Palestin khususnya pihak Hammas yang dimusuhi oleh Regim Zionis Israel. Bukan itu sahaja, seluruh dunia termasuk negara-negara pakatan Eropah (EU) bahkan Presiden Obama sendiri telah menunjukkan indikasi menyokong gerakan pembebasan rakyat Mesir itu.
Negara kuasa besar itu bagaikan terpaksa akur dengan gelombang rakyat itu, walaupun mereka terhutang budi kepada Hosni Mubarak yang telah banyak berpihak kepada Israel ketika rakyat Palestin disekat memasuki Mesir apabila diburu oleh tentera Israel. Bergelimpangan rakyat Palestin terbunuh di Gaza kerana pintu masuk ke Mesir ditutup atas arahan Hosni Mubarak yang terlalu menjaga hati Regim Yahudi Israel laknatullah itu.
Apakah dengan kehilangan Hosni Mubarak, Mesir akan memperolehi penguasa baru yang tidak bersifat fir'aun lagi? Seharusnya Mesir keluarkan diri mereka dari kepompong kezaliman yang melilit kehidupan rakyat yang diwarisi oleh raja-raja fir'aun sebelum ini.
Sesungguhnya kemunculan empayar Islam di zaman Nabi Muhammad SAW telah merobah norma kehidupan rakyat Mesir yang dicengkam dengan kezaliman pemerintahan sebelum Islam. Hosni Mubarak rasanya bukanlah pewaris pemerintahan Islam yang disukai oleh rakyat, kerana kekayaan yang dimilikinya dilihat saling tak sumpah kemewahan fir'aun yang pernah memerintah bumi Mesir.




















