assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Saturday, February 12, 2011

ADUN KERDAU PULA MENINGGAL DUNIA, PRK PERTAMA DI PAHANG

DUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim (foto) daripada Umno meninggal dunia petang tadi. Allahyarham dikatakan menghembuskan nafas terakhirnya ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dilaporkan terjatuh di bilik air rumahnya.

Menurut laporan Bernama, Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supt Zundin Mahmood berkata pihak Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh mengesahkan Zaharuddin, 63, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital berkenaan pada jam 6.30 petang.

Sejak setahun lalu, Zaharuddin seringkali keluar masuk hospital kerana pelbagai penyakit. Kali terakhir adalah pada November tahun lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Hospital di Temerloh kerana tekanan darah yang tidak menentu.

Allahyarham juga sebelum ini pernah dimasukkan ke IJN pada 9 Mei tahun lalu apabila berlaku masalah pada buah pinggang dan jantungnya selepas menjalani pembedahan ulser usus.

"Masih belum dapat dipastikan sama ada Datuk Zaharuddin mengalami serangan jantung ketika terjatuh di dalam bilik air," kata Supt Zundin.

Pilihan raya kecil ke-16
Kematian itu menyaksikan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. Ia adalah pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Mengikut undang-undang pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari.

Ketika ini, parti-parti politik sibuk membuat persiapan bagi pilihan raya kecil ke-15 bagi mengisi kekosongan kerusi dewan undang negeri Merlimau, Melaka akibat kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan kerana sakit jantung.

Zaharuddin, 63, menang kerusi DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.


Sumber: Malaysiakini

MUBARAK LETAK JAWATAN, CABUT LARI KE LAUT MERAH, RAKYAT BERPESTA

Presiden Hosni Mubarak letak jawatan.
30 tahun memerintah Mesir, akhirnya direbahkan menerusi
kebangkitan rakyatnya
setelah 18 hari berdemonstrasi.

Rakyat Mesir berpesta setelah berjaya mengusir pemimpin mereka

KAHERAH 12 Feb. - Presiden Hosni Mubarak akhirnya tunduk kepada desakan jutaan rakyatnya apabila meletakkan jawatan yang diumumkan oleh naib presidennya, Omar Suleiman dalam televisyen negara itu malam tadi.

“Mengambil kira ketegangan yang berlaku, presiden mengambil keputusan meletak jawatannya sebagai presiden dan Majlis Tertinggi Tentera akan mengambilalih pentadbiran negara,” kata Omar ketika mengumumkannya dalam televisyen.

Jutaan rakyat Mesir yang membanjiri Dataran Tahrir dan yang mengadakan tunjuk perasaan diseluruh negara bersorak dan menari kegembiraan sebaik Omar membuat pengumuman tersebut.

Mubarak, 82, yang memerintah selama 30 tahun telah meninggalkan Kaherah bersama anggota keluarganya ke pusat percutian di Sharm el-Sheikh di Laut Merah.

Di Tunis, rakyat Tunisia turut berpesta meraikan perletakkan jawatan Mubarak selepas empat minggu mereka menggulingkan Zine El Abidine Ben Ali dari tampuk pemerintahan dengan menari dan membunyikan hon kenderaan sepanjang jalan.

Sebelum itu, satu sumber memberitahu AFP, setiausaha agung parti pemerintah Mesir, Parti Demokratik yang baru dilantik oleh Mubarak, Hossam Badrawi meletakkan jawatan. - AFP

Friday, February 4, 2011

KEMELUT MESIR - GELOMBANG RAKYAT MEMBENCI PEMIMPINNYA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Anwar Sadat bersama Hosni Mubarak

Kuasa rakyat akhirnya boleh menggugat kuasa pemimpin
yang dibenci rakyat

Rakyat Mesir nampaknya terpaksa mengajar dan menghukum pemimpin mereka supaya segera berundur dari takhta setelah melihat berlakunya banyak kecurangan, kemungkaran politik dan tindak tanduk pemimpin mereka yang dikatakan terlalu pro Yahudi Laknatullah.

Presiden Hosni Mubarak yang memerintah Mesir sejak tahun 1981 hingga ke hari ini bagaikan terlupa bahawa rakyat akan menyamakan dirinya sebagai firaun jika beliau masih berdegil untuk terus bersemayam tanpa mempedulikan kegelisahan dan kemarahan rakyat akar umbi yang mahukan beliau turun dengan segera.

Medan Tahrir di Bandaraya Kaherah dan di beberapa bandar utama seluruh Mesir menjadi saksi betapa himpunan jutaan rakyatnya telah membentuk gelombang tsunami untuk memaksa Hosni Mubarak supaya tidak berlengah lagi keluar dari singgahsananya, walaupun Hosni telah menyatakan formula komprominya hanya akan berundur menjelang September tahun ini.

Lautan dan gelombang manusia di Medan Tahrir mendesak
Presiden Hosni Mubarak berundur segera dari takhtanya.

Hosni Mubarak (kanan) bersama Perdana Menteri Israel Ehud Olmert

Apabila melihat lautan manusia yang berhimpun itu, tentunya Hosni Mubarak akan menjadi fobia apakah beliau akan menerima nasib yang sama seperti Presiden Anwar Sadat sebelumnya yang dibenci oleh rakyatnya sehingga tempoh pemerintahan Anwar Sadat terpaksa dipendekkan dengan beberapa das tembakan oleh anggota tenteranya sendiri.

Anwar Sadat menjadi Presiden Mesir pada September 1970 selepas kematian Presiden Gamal Nasser. Selepas 8 bulan menaiki takhta, pada pagi 15 Mei 1971 telah meletus cubaan rampasan kuasa oleh Kumpulan Ali Sabri, tetapi ia berjaya dipatahkan oleh Presiden Sadat dengan bantuan tentera elit yang dikerah untuk mengawal Istana.

Selang beberapa hari kemudia
n Presiden Sadat membuat ucapan melalui radio dan TV Mesir serta mengisytiharkan kepada rakyat Mesir bahawa beliau merupakan ketua negara yang berkuasa. Di antara ucapan pedas beliau ialah bila dia menyebut "Saya akan mencincang sesiapa sahaja yang membuka mulut".

Selepas menaiki takhta, pada tahun 1973 Anwar Sadat telah menukar kiblatnya dari Rusia kepada Amerika Syarikat kerana terpaksa mempamirkan gaya demokratiknya bagi membezakan dirinya dengan Presiden Gam
al Nasser yang zalim itu. Sebenarnya rakyat Mesir pada masa itu keluar dari mulut buaya tetapi masuk pula ke mulut singa berapi.

Anwar Sadat menemui ajalnya pada 6 Oktober 1981 apabila ditembak mati ketika perbarisan ketenteraan oleh ahli tentera yang merupakan sebahagian daripada Jihad Islam Mesir yang menentang perjanjiannya dengan Israel. Omar Abdel-Rahman adalah 'syeikh buta' yang memberi inspirasi agar Anwar Sadat dibunuh. Omar juga yang memberi kelulusan agar Pengeboman World Trade Center 1993 dilakukan.

Dalam lintas hormat itu, Anwar dikawal oleh 4 lapisan keselamatan. Bagaimanapun ketua pegawai keselamatannya sedang mengerjakan haji di Mekah. Jet pejuang Mirage terbang rendah melakukan lintas hormat di udara.

Anwar Sadat berdiri menerima tabik hormat. Pembunuh keluar dari trak-trak tentera dan melontar grenade dan melepaskan tembakan selama dua minit. Jurufoto Bill Foley berjaya merakam detik-detik 'senyuman terakhir' itu.

Khalid Islambouli menjerit "Matilah kamu Firaun!" sambil melepaskan tembakan bertalu-talu. 7 terbunuh termasuk Duta negara Cuba Jeneral Omani. 28 orang cedera termasuk James Tully, Menteri Pertahanan Ireland dan 4 pegawai tentera Amerika Syarikat.

Anwar Sadat dikejarkan ke hospital tetapi disahkan mati. Ini adalah sejarah pertama di Mesir, pemimpin negara dibunuh oleh rakyatnya sendiri.

(Foto kiri - Detik cemas ketika Anwar Sadat ditembak, 6 Oktober, 1981)

Dua penyerang ditembak mati dan lain-lain ditahan oleh polis Mesir. Khalid Islambouli didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati pada April 1982.


Kezaliman dan kejahatan Sadat ini nampaknya berjangkit dan diteruskan sehingga kini oleh Hosni Mubarak. Lihat sahaja bagaimana tergamaknya Hosni Mubarak sebagai pemimpin sebuah negara Islam membina tembok besi antara sempadan Mesir dengan Gaza, Palestin semata-mata hendak menjaga hati Regim Yahudi Zionis yang telah membunuh puluhan ribu rakyat Palestin serta memusnahkan wilayah itu pada tahun 2009.

Ekoran dari tindakan zalim dan tidak berperikemanusiaan Hosni Mubarak terhadap rakyat Palestin itu telah mengundang kemarahan rakyat Mesir yang tidak boleh menerima dasar-dasar Hosni yang pro Israel itu, lantas telah menyemarakkan kehangatan yang terpendam selama ini.

Apakah nasib yang bakal menimpa Hosni Mubarak akibat tindak tanduknya yang semakin dibenci oleh rakyatnya sendiri? Samada partinya akan terus memerintah Mesir atau sebaliknya, itu bergantung kepada sikap dan kebangkitan rakyat yang sedang ditunjukkan hari ini.

Rakyat Mesir rasanya masih ingat lagi kekejaman yang dilakukan oleh pihak pemerintah sebelum ini terhadap Gerakan Ikhwanul Muslimin apabila pemimpin pertubuhan yang berpengaruh itu Assyahid Imam Hasan Al-Banna (foto kiri) mati ditembak di hadapan bangunan pejabat Ikhwan di Kaherah. Begitu juga dengan Assyahid Syed Qutub yang mati di tali gantung di penjara Mesir.

Hari ini Presiden Hosni Mubarak telah mengeluarkan kenyataan tidak akan berundur sehingga tempoh yang telah beliau tetapkan pada bulan September ini. Beliau merasakan jika melepaskan jawatannya sekarang, negara Mesir akan bertambah kalut dan menjadi kacau bilau?

Beliau juga dikatakan tidak akan melarikan diri dari negara tanah tumpah darahnya, lagi pun beliau telah berkata jika mati pun biarlah dia mati di negaranya sendiri. Sempatkah beliau menyelamatkan dirinya sementara menghitung hari untuk dijatuhkan secara hina oleh rakyatnya sendiri. Bumi Firaun bakal menyaksikan tersembamnya seorang pemimpin negara Islam yang terlalu pro dengan regim Israel laknatullah.

Sementara itu pihak White House Amerika Syarikat tidak berselindung lagi untuk campur tangan dalam kemelut ini apabila pegawai-pegawai negara yang kuat pro Israel itu sedang berbincang dengan pegawai-pegawai dari Mesir untuk mencari formula melembutkan hati Hosni Mubarak supaya berundur serta merta dan melepaskan jawatan kepada Naib Presidennya Omar Suleiman yang dianggap oleh Amerika Syarikat sebagai tokoh pemimpin yang pro regim Yahudi.


Thursday, February 3, 2011

5 FEBRUARI ANWAR DI KUCHING DAN 6 FEBRUARI NAJIB DI MIRI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Nampaknya semakin dekat pilihan raya negeri Sarawak hendak diadakan semakin kerap pula pemimpin-pemimpin parti nasional bertandang ke negeri bumi kenyalang ini.

Anwar Ibrahim, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat akan berkunjung ke Sarawak pada 5 Februari ini, manakala Dato' Sri Najib, Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi BN Pusat akan berada di Sarawak pada keesokan harinya (6 Februari) kerana beliau dikatakan akan menemui semua ADUN Barisan Nasional Negeri itu di Miri sebelum menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan diadakan pada sebelah malamnya.

Anwar Ibrahim akan berada di Kuching sabtu ini kerana beliau menjadi tetamu istimewa di dalam majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran partinya di Batu 3, Jalan Kuching/Serian. Beliau juga akan berjumpa dengan semua anggota Majlis Pimpinan PKR Negeri Sarawak sebelum menemui rakyat di Kampung Taei, Serian dan berceramah pula di Taman Sukma, Semariang di Petra Jaya pada sebelah malamnya.

Kunjungan Najib kali ini juga diharapkan dapat menyuntik semangat yang lebih padu kepada semua pimpinan parti-parti komponen BN negeri itu, terutama sekali beliau seharusnya diberikam gambaran mengenai pergolakan terbaru di antara PRS dengan Pengerusi BN Negeri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Tokoh berpengaruh Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tedwin Ngumbang dikatakan telah bertindak menikam kepimpinan Taib Mahmud yang beliau anggap telah membuli parti itu. PRS juga dilihat sedang berada di ambang keruncingannya kerana parti itu menerima tekanan kuat dari sebilangan anggotanya supaya PRS keluar dari Barisan Nasional.

Anwar Ibrahim pula dilihat akan menjadikan isu ini untuk menarik sokongan anggota PRS supaya beralih arah menyokong Pakatan Rakyat yang juga disokong kuat oleh SNAP. Tedwin Ngumbang dikatakan akan menyertai SNAP untuk bersama-sama dengan Pakatan Rakyat dalam menghadapi pilihan raya negeri yang bakal diadakan kelak.

Najib pula diharapkan dapat memulihkan semula keyakinan komunti Cina yang dikatakan masih terdorong untuk menolak BN di negeri Sarawak. SUPP sebagai sebuah parti yang mewakili komunti Cina negeri itu hendaklah memberikan keyakinan kepada Dato' Sri Najib bahawa parti itu tidak lagi dibenci oleh pengundi Cina sebagaimana yang berlaku dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006.

Semoga Tahun Arnab yang dirayakan tahun ini dapat memberi petunjuk kepada masyarakat Cina di negeri Sarawak supaya tidak beralih arah lagi kepada parti lain selain Barisan Nasional. Rakyat berketurunan Cina di Sarawak ini haruslah memahami bahawa DAP dan PKR bukanlah parti yang terbentuk asalnya dari bumi kenyalang, sebaliknya SUPP hendaklah diberikan kepercayaan supaya parti yang tertua di negeri ini dapat digilap semula untuk masa depan Sarawak.



Monday, January 31, 2011

APA MASALAH PRS DENGAN TAIB?

Oleh Abdul Rahman Hashim


Tedwin Ngumbang buat hal...keluar PRS masuk SNAP?

Apa dah jadi.....Penasihat kepada Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tedwin Ngumbang yang juga pengasas kepada parti tersebut semalam membuat kejutan dengan mengumumkan keluar dari PRS dengan mendakwa Ketua Menteri, Pehin Sri Taib Mahmud sebagai ‘pembuli’ dan tidak mengendahkan permintaan parti tersebut.

Tedwin Ngumbang menyatakan kekecewaannya terhadap kepimpinan Pehin Sri Taib Mahmud, yang beliau anggap sentiasa menghina PRS serta kaum dayak. Kenyataan ini dianggap sebagai gunting dalam lipatan dan cukup berbekas dengan persoalan tentang hala tuju PRS menjelang pilihan raya negeri yang semakin dekat pada tahun ini.

Sejak perletakkan jawatan Tedwin pada 29 Januari lalu, belum ada reaksi atau kenyataan rasmi dari pihak PRS berhubung tindakan atau dakwaan Tedwin. Apakah dengan kenyataan berbisa oleh pengasas parti PRS ini merupakan satu cabaran bahawa PRS akan keluar BN selepas ini?

Namun begitu, memang sudah terdengar wujudnya petualang-petualang dari dalam PRS yang cuba memberi tekanan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk keluar dari BN menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Tedwin juga dikatakan sudah berjinak-jinak dengan Parti SNAP sekaligus menyerlahkan lagi permusuhannya dengan Barisan Nasional. Beliau dikatakan akan mencabar Alfred Jabu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak daripada PBB di DUN Layar, Betong.

Benar atau tidak perkhabaran ini....Presiden PRS, James Masing haruslah segera memberikan gambaran sebenar untuk mengelakkan sebarang teka teki politik yang tidak membawa keuntungan kepada Barisan Nasional. PRS kini mempunyai 8 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dimenanginya dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006.


Sunday, January 30, 2011

BN MENANG MAJORITI 3707, TAPI PENGUNDI CINA MASIH BERPIHAK KEPADA PAS

BN - 6699 UNDI

PAS - 2992 UNDI

UNDI ROSAK - 142 UNDI


Tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti yang bertambah 3707 undi, setelah calonnya Mohd Azahar Ibrahim memperolehi 6699 undi berbanding dengan calon PAS Cikgu Normala Sudirman yang memperolehi 2992 undi. Bilangan kertas undi yang rosak ialah 142 undi.

Walaupun BN telah menang, tetapi majoriti yang diperolehi tidak mencapai sasaran KPI yang dikehendaki oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang mahukan BN menang dengan majoriti 5000 undi. Keputusan di DUN Tenang ini juga menunjukkan bahawa pengundi Cina masih tegar dengan Pakatan Rakyat dengan menolak calon UMNO/BN.

Paling ketara Umno/BN tewas teruk di kawasan bandar yang majoritinya pengundi Cina. Ini jelas berdasarkan keputusan berikut mengikut peti undi.
  • Bandar Labis Tengah: PAS - 801, BN - 365
  • SMK Kamarul Ariffin: BN - 365, PAS - 801.
  • Bandar LabisTengah (S4): PAS - 209, BN - 90.
  • Bandar Baru Labis (S1): PAS - 123, BN - 64
Nampaknya masyarakat Cina di Labis masih belum terbuka hati mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, mungkin kemarahan mereka masih menebal terhadap kepimpinan MCA yang kini diketuai oleh Chua Soi Lek.

MCA haruslah membuat kajian terperinci mengapa senario ini masih berlaku, sedangkan pengundi-pengundi Melayu sudah pun menampakkan kecenderungan untuk terus menyokong UMNO. Jika senario ini tidak mampu diperbaiki, BN sewajarnya lebih berhati-hati untuk berhadapan dengan kemungkinan PRU13 yang mahu dipercepatkan pada tahun ini.

Senario yang berlaku di Tenang ini juga amat membimbangkan jika ianya terjadi pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam jangka masa yang terdekat ini. SUPP seharusnya lebih bersiap siaga samada parti itu mampu mengembalikan semula sokongan pengundi Cina kepada BN?




JIKA BN TIDAK BERJAYA PEROLEHI MAJORITI LEBIH 5 RIBU UNDI, BN GAGAL MENGEKALKAN MOMENTUMNYA

BN menang...tapi gagal dapat majoriti yang diharapkan.

Angka tidak rasmi yang diperolehi menyaksikan bahawa 71.78 % atau kira-kira 10,593 pengundi Tenang menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Dari jumlah ini dijangkakan Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim akan memperolehi 4,204 undi Melayu, 1,446 undi Cina dan 763 India iaitu jumlahnya 6,413 undi. Manakala Cikgu Normala Sudirman calon PAS memperolehi 4,180 undi. Majoriti BN sebanyak 2,233 undi.

Jika keputusan ini yang terjadi menunjukkan prestasi BN tidak banyak berubah, sebaliknya menyaksikan gelombang Pakatan Rakyat kian merobah lanskap politik negara. Lambakan janji manis dan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin termasuk pak-pak menteri yang berkampung di Labis bagaikan mencurah air di daun keladi.