assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, January 31, 2011

APA MASALAH PRS DENGAN TAIB?

Oleh Abdul Rahman Hashim


Tedwin Ngumbang buat hal...keluar PRS masuk SNAP?

Apa dah jadi.....Penasihat kepada Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tedwin Ngumbang yang juga pengasas kepada parti tersebut semalam membuat kejutan dengan mengumumkan keluar dari PRS dengan mendakwa Ketua Menteri, Pehin Sri Taib Mahmud sebagai ‘pembuli’ dan tidak mengendahkan permintaan parti tersebut.

Tedwin Ngumbang menyatakan kekecewaannya terhadap kepimpinan Pehin Sri Taib Mahmud, yang beliau anggap sentiasa menghina PRS serta kaum dayak. Kenyataan ini dianggap sebagai gunting dalam lipatan dan cukup berbekas dengan persoalan tentang hala tuju PRS menjelang pilihan raya negeri yang semakin dekat pada tahun ini.

Sejak perletakkan jawatan Tedwin pada 29 Januari lalu, belum ada reaksi atau kenyataan rasmi dari pihak PRS berhubung tindakan atau dakwaan Tedwin. Apakah dengan kenyataan berbisa oleh pengasas parti PRS ini merupakan satu cabaran bahawa PRS akan keluar BN selepas ini?

Namun begitu, memang sudah terdengar wujudnya petualang-petualang dari dalam PRS yang cuba memberi tekanan kepada pucuk pimpinan parti itu untuk keluar dari BN menjelang pilihan raya negeri Sarawak.

Tedwin juga dikatakan sudah berjinak-jinak dengan Parti SNAP sekaligus menyerlahkan lagi permusuhannya dengan Barisan Nasional. Beliau dikatakan akan mencabar Alfred Jabu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak daripada PBB di DUN Layar, Betong.

Benar atau tidak perkhabaran ini....Presiden PRS, James Masing haruslah segera memberikan gambaran sebenar untuk mengelakkan sebarang teka teki politik yang tidak membawa keuntungan kepada Barisan Nasional. PRS kini mempunyai 8 kerusi di Dewan Undangan Negeri Sarawak yang dimenanginya dalam pilihan raya negeri pada tahun 2006.


Sunday, January 30, 2011

BN MENANG MAJORITI 3707, TAPI PENGUNDI CINA MASIH BERPIHAK KEPADA PAS

BN - 6699 UNDI

PAS - 2992 UNDI

UNDI ROSAK - 142 UNDI


Tahniah kepada BN kerana berjaya mengekalkan kerusi DUN Tenang dengan majoriti yang bertambah 3707 undi, setelah calonnya Mohd Azahar Ibrahim memperolehi 6699 undi berbanding dengan calon PAS Cikgu Normala Sudirman yang memperolehi 2992 undi. Bilangan kertas undi yang rosak ialah 142 undi.

Walaupun BN telah menang, tetapi majoriti yang diperolehi tidak mencapai sasaran KPI yang dikehendaki oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang mahukan BN menang dengan majoriti 5000 undi. Keputusan di DUN Tenang ini juga menunjukkan bahawa pengundi Cina masih tegar dengan Pakatan Rakyat dengan menolak calon UMNO/BN.

Paling ketara Umno/BN tewas teruk di kawasan bandar yang majoritinya pengundi Cina. Ini jelas berdasarkan keputusan berikut mengikut peti undi.
  • Bandar Labis Tengah: PAS - 801, BN - 365
  • SMK Kamarul Ariffin: BN - 365, PAS - 801.
  • Bandar LabisTengah (S4): PAS - 209, BN - 90.
  • Bandar Baru Labis (S1): PAS - 123, BN - 64
Nampaknya masyarakat Cina di Labis masih belum terbuka hati mereka untuk memberikan sokongan kepada BN, mungkin kemarahan mereka masih menebal terhadap kepimpinan MCA yang kini diketuai oleh Chua Soi Lek.

MCA haruslah membuat kajian terperinci mengapa senario ini masih berlaku, sedangkan pengundi-pengundi Melayu sudah pun menampakkan kecenderungan untuk terus menyokong UMNO. Jika senario ini tidak mampu diperbaiki, BN sewajarnya lebih berhati-hati untuk berhadapan dengan kemungkinan PRU13 yang mahu dipercepatkan pada tahun ini.

Senario yang berlaku di Tenang ini juga amat membimbangkan jika ianya terjadi pada pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan dalam jangka masa yang terdekat ini. SUPP seharusnya lebih bersiap siaga samada parti itu mampu mengembalikan semula sokongan pengundi Cina kepada BN?




JIKA BN TIDAK BERJAYA PEROLEHI MAJORITI LEBIH 5 RIBU UNDI, BN GAGAL MENGEKALKAN MOMENTUMNYA

BN menang...tapi gagal dapat majoriti yang diharapkan.

Angka tidak rasmi yang diperolehi menyaksikan bahawa 71.78 % atau kira-kira 10,593 pengundi Tenang menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.

Dari jumlah ini dijangkakan Calon BN, Mohd Azahar Ibrahim akan memperolehi 4,204 undi Melayu, 1,446 undi Cina dan 763 India iaitu jumlahnya 6,413 undi. Manakala Cikgu Normala Sudirman calon PAS memperolehi 4,180 undi. Majoriti BN sebanyak 2,233 undi.

Jika keputusan ini yang terjadi menunjukkan prestasi BN tidak banyak berubah, sebaliknya menyaksikan gelombang Pakatan Rakyat kian merobah lanskap politik negara. Lambakan janji manis dan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin termasuk pak-pak menteri yang berkampung di Labis bagaikan mencurah air di daun keladi.

TAIB & NAJIB BERADA DI ABU DHABI TARIK PELABUR ARAB, MUNGKIN BINCANG TARIKH PILIHAN RAYA DI SANA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (foto) sudah mendapat ilham untuk adakan pilihan raya negeri Sarawak pada bila-bila masa sebelum Julai ini. Manakala Dato' Sri Najib Tun Razak juga sudah menunjukkan momentumnya untuk mempercepatkan pilihan raya umum ke-13 pada tahun ini, walaupun tempohnya masih panjang lagi hingga tahun 2013.

Hari ini, 30 Januari 2011 Najib akan berada di Abu Dhabi, manakala Taib Mahmud sudah pun berada lebih awal di negara Arab itu. Di Abu Dhabi Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak akan merasmikan 'Invest Malaysia 2011' bersama-sama dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed Bin Zayed Bin Sultan Al-Nahyan.

Invest Malaysia 2011 yang diadakan di Abu Dhabi itu dikatakan mampu menarik pelabur dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang telah menunjukkan minat besar di Hab Halal Tanjung Manis (TMHH) di negeri Sarawak. TMHH merupakan projek pembangunan terbesar di bawah SCORE yang mampu menjana ekonomi negeri Sarawak lebih bersepadu menjelang 2020.

Selain daripada menghadiri Invest Malaysia 2011 itu, Najib dan Taib juga dikatakan akan bertemu di sana khusus untuk mendapatkan pandangan-pandangan yang boleh dirumus berkaitan dengan isu pilihan raya yang semakin membahang kehangatannya bukan sahaja di Sarawak, malah ia kini telah menjadi topik nasional.

Taib mempunyai beberapa pilihan untuk mengadakan pilihan raya negeri pada tahun ini. Bulan Februari bukanlah pilihan utamanya untuk diadakan pilihan raya, kerana pada bulan ini masyarakat Cina akan merayakan perayaan Tahun Baru Cina bermula 3 Februari depan. Namun begitu bulan Mac merupakan masa yang sesuai kerana cuti sekolah pertengahan penggal akan bermula 12 - 20 Mac.

Bulan April juga dikatakan tidak sesuai kerana pada bulan ini tidak wujud cuti panjang persekolahan. Walaupun pada 28 Mei sehingga 12 Jun merupakan cuti pertengahan tahun persekolahan, namun dalam jangka masa itu rakyat Sarawak berketurunan Dayak akan merayakan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 Jun 2011.

Difahamkan juga bahawa tarikh mengadakan pilihan raya boleh juga diadakan selepas 60 hari daripada tarikh akhir tamat penggal pada 24 Julai ini. Jika peruntukan klausa undang-undang pilihan raya itu digunakan, bermakna pilihan raya negeri Sarawak boleh diadakan sehingga bulan September 2011.

Rasanya jika tarikh pilihan raya Sarawak boleh dilanjutkan sehingga September 2011, maka PRU13 juga boleh diadakan secara serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak pada bulan September. Mungkin boleh diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada tanggal 30 dan 31 Ogos 2011.


Saturday, January 29, 2011

NAJIB NAK JUMPA SEMUA ADUN BN SARAWAK 6 FEBRUARI INI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Calon-calon ADUN BN semasa pilihan raya Negeri 2006. Dengar khabarnya, banyak muka baru bertanding tahun ini?

ADUN dari komponen BN Sarawak akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Miri pada 6 Februari ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah ketika
mengesahkan perkara tersebut berkata, perjumpaan berkenaan adalah mirip kepada perjumpaan bersama ahli Parlimen BN yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Januari lalu.

"Kali ini Perdana Menteri akan membuat perjumpaan bersama semua ADUN dari komponen BN di Sarawak dan ia pastinya akan membincangkan beberapa perkara termasuk hal berkaitan persiapan pilihan raya negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuching hari ini.

Fatimah yang juga Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, perjumpaan bersama Perdana Menteri itu akan diadakan secara berperingkat mengikut kumpulan kecil sepertimana perjumpaan bersama Ahli Parlimen BN baru-baru ini.

Ketika ini Sarawak mempunyai 63 ADUN yang mewakili BN iaitu PBB (35 kerusi), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (12 kerusi) manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memiliki lapan kerusi daripada 71 kerusi DUN yang ada.

Sumber: Bernama

SELAMAT PAGI...SAYA LETAK SEMUA JAWATAN DALAM PKR - GOBALA

Bekas anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan (foto) hari ini mengumumkan perletakan semua jawatan dalam parti itu berkuatkuasa serta-merta. Namub begitu beliau tidak pula berani untuk mengosongkan kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya atas tiket PKR semasa PRU12 yang lalu.

Beliau membuat pengumuman itu menerusi laman sosial twitter beliau yang berbunyi: “Selamat Pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam parti PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO Baru”.

Keputusan beliau untuk meletakkan semua jawatan dalam parti dibuat dalam tempoh kurang sebulan selepas beliau diberikan surat tunjuk sebab kerana mengkritik parti dan pucuk pimpinan melalui surat 45 halaman dari parti bertarikh 31 Dis, 2010 melalui faksimili.

Gobalakrishnan diminta memberikan penjelasan mengenai tindakannya itu kepada Parti Keadilan Rakyat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat itu.

Bagaimanapun, Gobalakrishnan berkata, tempoh tujuh hari itu tidak adil dan tidak munasabah kerana beliau hanya mempunyai masa tiga hari untuk menjawab surat itu dan sebaliknya meminta 45 hari untuk menjawab surat itu kerana beliau perlu meneliti pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Gobalakrishnan diberikan surat tunjuk sebab itu kerana mengkritik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah mengarahkan penutupan kuil Sivan di Petaling Jaya, Selangor.


Related Posts Widget for Blogger

Tuesday, January 25, 2011

TAIB & RAGAD WALEED SEJIWA SENADA DI MIRI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud & Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib
Pasangan Sejiwa Senada untuk Sarawak

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isterinya Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib telah diberikan sambutan meriah oleh warga bandaraya Miri pada Sabtu, 22 Januari 2011 lalu, sebaik sahaja mereka berdua sampai ke tapak pameran "Sejiwa Senada Bahagian Miri" anjuran Kerajaan Negeri Sarawak yang berlangsung selama dua hari hingga Ahad, 23 Januari 2011, di Padang Majlis Bandaraya Miri, Sarawak.


Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi dan Pehin Sri Taib Mahmud

Kehadiran Taib bersama isteri barunya bagaikan sireh pulang ke gagang, kerana Miri merupakan tempat kelahiran Ketua Menteri Sarawak itu yang kini membawa sinar bersama seri pengantinnya untuk rakyat negeri ini khususnya di Bahagian Miri.

Elok juga Taib Mahmud turun ke padang di saat rakyat negeri ini telah merasakan bahang kehangatan pilihan raya negeri yang bakal diumumkan dalam jangka masa yang terdekat ini untuk membawa bersama isteri barunya yang jelita rupawan, agar rakyat dapat turut merasai kebahagiaannya.

Kebahagiaan rakyat haruslah diambil kira dan menjadi faktor penting untuk menentukan kebahagiaan kedua-dua mempelai ini akan berterusan sehingga rakyat negeri ini dapat menghadiahkan kejayaan besar pula kepada Barisan Nasional yang dipimpin oleh Taib. Pasangan sejoli 'Taib & Ragad Waleed' biarlah tampak sejiwa dan senada supaya kebahagiaan mereka mampu membahagiakan juga rakyat jelata yang mendoakan pemimpin mereka.

Taib dan Ragad Waleed disambut meriah oleh warga Miri

Jelajah Sejiwa Senada anjuran Kerajaan Negeri Sarawak ini rasanya mampu untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat akar umbi. Program seumpama ini biarah merakyat tidak setakat di Bandaraya Miri sahaja, bahkan ianya penting juga untuk rakyat yang tinggal di bandar-bandar kecil termasuk di desa pedalaman yang meliputi rumah-rumah panjang yang didiami oleh sebahagian besar rakyat yang memberikan sokongan kepada BN selama ini. Rakyat berhak mengetahui agenda pembangunan yang hendak dijalankan oleh kerajaan, kerana rakyatlah yang memberikan mandat sehingga kerajaan terbentuk secara demokratik.

Di samping meminta rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana pembangunannya selama ini, sewajarnya juga pemimpin yang memimpin kerajaan tidak melupakan jasa rakyat yang mengundi mereka sehingga terbentuknya sebuah kerajaan hari ini. Ingatlah, rakyat boleh menukar selera mereka jika selera rakyat tidak dihargai lagi oleh kalangan pemimpin yang digenangi dengan sikap angkuh dan lupa daratan.

Puan Sri Ragad Waleed di sambut mesra oleh warga Miri

Rasanya kepimpinan negeri Sarawak yang diterajui oleh Pehin Sri Taib Mahmud tidak menjurus ke arah itu. Taib telah berjanji akan bekerja keras untuk membahagiakan rakyat selari dengan misi dan visi politik pembangunnnya sejak dahulu hingga ke hari ini. Beliau bersedia untuk membarisi bakal-bakal calon yang mewakili BN di kalangan mereka yang mampu memikat dan memenangi hati rakyat.

Perdana Menteri sendiri sering mengulang-ulangkan seruan ini supaya semua parti komponen BN dapat menentukan hanya calon yang mampu menang sahaja yang dapat diketengahkan dalam pilihan raya yang bakal diadakan nanti.

Taib memang arif dengan situasi ini, lagi pun beliau bukannya calang-calang pemimpin yang boleh dipandang rendah martabat kepimpinannya. Sarawak yang dikemudinya sejak tahun 1981 terbukti semakin stabil dan maju ke hadapan membawa bersama obor 1Malaysia yang sekian lama berjaya dipraktiskan di negeri ini. Najib tak perlu gundah gulana kerana Taib boleh meyakinkan rakyat negeri ini untuk terus kekalkan BN di persada yang sedia ada.

KOLEKSI FOTO
TAIB MAHMUD & RAGAD WALEED AL-KURDI
SEMPENA PAMERAN SEJIWA SENADA
BAHAGIAN MIRI - 22 JANUARI 2011.