assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, October 31, 2010

ANNUAR MUSA JUARAKAN KELANTAN....KU LI DI GALAS MACAMANE?

Gelombang Merah di Stadium Bukit Jalil


Tahniah kepada semua pemain Kelantan dan seluruh rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang teristimewa kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang telah mengemudi kejayaan 'The Red Warriors' muncul sebagai juara Piala Malaysia 2010 apabila tewaskan juara bertahan, Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kelantan melakar sejarah apabila buat julung kali menjulang Piala Malaysia, setelah menewaskan juara musim lepas Negeri Sembilan 2-1, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun.

Demikian episod kecemerlangan bolasepak Kelantan yang diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa yang berjaya menggalas tugas menjulang semangat kesukanan untuk rakyat negeri itu. Alangkah moleknya jika semangat ini dapat diterjemahkan pula dengan kejayaan BN di Galas yang sedang dipertaruhkan dalam pilihan raya kecil yang sedang digalas oleh pengarahnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Thursday, October 28, 2010

SIAPAKAH TOKOH UMNO KELANTAN YANG BAKAL TINGGALKAN PARTI?

Font size

Ku Li pernah di luar UMNO ketuai Parti S46, Ibrahim Ali juga keluar masuk UMNO dan kini MP Bebas, manakala Zaid Ibrahim keluar UMNO sertai PKR...



Di tengah-tengah kesibukan dan keriuhan berkempen di PRK Dun Galas, kedengaran juga bahang cerita yang mungkin menggemparkan politik UMNO Kelantan kononnya terdapat seorang tokoh UMNO negeri Chek Siti Wan Kembang itu yang akan meninggalkan parti (UMNO) yang telah disertainya sejak zaman remajanya lagi untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Sejauh mana kebenaran desas desus itu, sama-samalah kita menunggunya di penghujung bulan ini atau di awal November sebelum hari pembuangan undi pada 4 November yang akan datang. Difahamkan tokoh UMNO ini akan mengadakan sidang medianya di Kuala Lumpur pada Sabtu ini yakni pada hari perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia diantara Kelantan dengan Negeri Sembilan.

Jika desas desus ini juga menjadi kenyataan, dibimbangi PRK Dun Galas yang sedang hangat berjalan akan memberi impak yang kuat kepada UMNO yang mengimpikan DUN itu dirampas semula daripada tangan PAS.

Difahamkan tokoh UMNO Kelantan ini begitu kecewa kerana ketokohannya selama ini tidak dipedulikan oleh UMNO terutama dalam menggalas gerak kerja PRK Dun Galas yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarahnya.

Siapakah tokoh UMNO itu....rasanya pihak Pakatan Rakyat juga sudah mengetahuinya, cuma menunggu pengumuman rasmi.




Tuesday, October 26, 2010

KU LI PULANG LEBIH AWAL, TIDAK BERSAMA DI PUSAT PENAMAAN CALON?

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah hari ini tidak hadir di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang di sini. Tindakannya itu telah menimbulkan tanda tanya dan kegilasahan di kalangan penyokong BN.

Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dilihat tidak bersama pemimpin-pemimpin BN yang lain memasuki ke pusat penamaan calon pagi.

Difahamkan Tengku Razaleigh bersama dengan penyokong-penyokong BN di luar kawasan pusat penamaan calon.

Menurut Timbalan Pengarah Pilihan Raya Datuk Seri Mustapha Mohamad, Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan “Ku Li” hadir tetapi bersama penyokong di luar.

“Ku Li ada, beliau bersama rakyat di luar.

“Beliau tidak mahu naik, bagi beliau yang lebih penting adalah pengundi. Jadi beliau mahu bersama pengundi,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin berkata Ku Li ada bersamanya di luar ketika calon dan pemimpin memasuki pusat penamaan calon tapi sudah pulang.

“Beliau ada bersama saya pagi tadi, tapi sekarang sudah balik,” katanya.

Ku Li bersama Shabery Cheek dikatakan telah meninggalkan lokasi lebih awal kira-kira jam 10.00 pagi.

Dalam pilihan raya kecil DUN Galas, Barisan Nasional meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff sebagai calon manakala PAS pula meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.

Pilihan raya kecil DUN Galas diadakan berikutan kematian penyandangnya Che Hashim Sulaima daripada PAS, yang meninggal dunia akibat kanser usus 27 September lalu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil itu iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.

Sunday, October 24, 2010

PUTRAJAYA MENJADI TARUHAN DAN MIMPI NGERI BUAT NAJIB DAN ANWAR?

Putrajaya terus menjadi idaman politik, bahkan ianya menjadi taruhan politik oleh dua pemimpin besar daripada UMNO/BN dan juga daripada Pakatan Rakyat (PR). Dato' Sri Najib Tun Razak acapkali menerima gertakan daripada pemimpin parti pembangkang kononnya Putrajaya bakal dirampas oleh mereka selepas PRU13 nanti.

Manakala Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai 'saudagar mimpi' semakin mempercayai mimpinya semakin hampir untuk menawan Putrajaya. Jika ini terjadi, malang sungguh buat UMNO pimpinannya yang menjadi mimpi ngeri kepada UMNO yang bakal kehilangan kuasa menjelang PRU13 nanti (?).

Foto - Saudagar Mimpi minum bersama dengan Perdana Menteri di lobi Parlimen.

Presiden UMNO dilihat begitu komited untuk melakukan transformasi baru kepada parti UMNO yang diandaikan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini sebagai parti yang lemah yang diwariskan oleh pemimpin sebelum Najib. Najib terpaksa memperkenalkan satu lagi slogan untuk UMNO yakni 'UMNO Dahulukan Rakyat' selepas slogan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan' sebagai kata sakti untuk mengelakkan UMNO kehilangan kuasa di persada Putrajaya.

Najib juga terpaka mengakui kelemahan dan masalah yang dihadapi sehingga memaksa beliau menggariskan tujuh nilai transformasi yang harus dipatuhi oleh ahli-ahli UMNO di seluruh negara jika mahukan UMNO terus menguasai Putrajaya.

"Menjelang PRU13 ini, kita concentrate (tumpukan) menang! Kuatkan UMNO di peringkat Bahagian," katanya dalam ucapan penggulungan Presiden UMNO pada akhir perhimpunan parti itu.

Meniupkan lagi semangat kepada perwakilan, Najib juga mengajak ahli UMNO supaya perkuatkan keazaman untuk mempertahankan Putrajaya dari dirampas oleh parti pembangkang.

Demikian mesej penting yang menjadi seruan Dato' Sri Najib yang mahukan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu memahami risiko yang sedang dihadapi jika mereka terus berpecah. Najib yang disifatkan oleh Anwar semakin cemas dan bimbang akan kehilangan kuasanya, terus menyeru dan menuntut ahli-ahli UMNO di segenap peringkat supaya bekerja keras untuk mempertahankan Putrajaya daripada dirampas oleh kumpulan parti lawan yang beliau sifatkan sebagai 'saudagar mimpi'.

"Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?" tanya beliau.

Najib kemudian menambah, 'Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi Putrajaya mesti kita pertahankan!"

Anwar Ibrahim ketika mengulas seruan Najib itu berkata biarlah Najib bercakap mengikut rentaknya sebelum bersara menjadi Perdana Menteri keenam apabila Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya.

"Biarkan Najib bercakap ikut rentak sendiri kononnya mahu menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dengan nyawa dan badannya. Ini menunjukkan dia dah bimbang, cuma takut nak khabarkan," ujarnya ketika berucap dalam majlis makan malam anjuran DAP di Butterworth, Pulau Pinang kelmarin.

Tambah beliau yang juga Ketua Pembangkang, jika rakyat mahukan pembaharuan dalam pentadbiran, mereka perlu berani kehadapan mengundi Pakatan Rakyat untuk ke Pusat Pentadbiran Negara buat pertama kali dalam sejarah.

Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 yang berlangsung dari 19 - 23 Oktober 2010 itu sudah pun melabuhkan tirainya. Sepintas lalu memperlihatkan seluruh perwakilan UMNO yang menghadiri perhimpunan kali ini bagaikan menerima suntikan semangat baru setelah mendengar dengan syahdu ucapan pemimpin nombor satu mereka yang kelihatan semakin bertenaga dan ampuh untuk mempertahankan martabat dan harakat agenda 'Melayu' yang sebelum ini ditenggelami dengan slogan 1Malaysia yang dimanipulasikan oleh mereka yang kurang senang dengan pemilikan hak keistimewaan Melayu di negaranya sendiri.


Saturday, October 23, 2010

"U TAU TAK SOI LEK...KAMI TAK PANGGIL KAMU BANGSA PENDATANG, TAPI KAMI NAK BERITAHU KAMU DATANG MENGGANGGU KAMI" - PENGERUSI TETAP UMNO

Di dalam Perhimpunan Agung UMNO yang masuk hari kedua pada Jumaat, 22 Oktober 2010, Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya tidak lagi mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu termasuk 30 peratus ekuiti Bumiputera yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bercakap dalam dialek Hokkien, Badruddin berkata, sebagai sebuah pasukan dalam Barisan Nasional (BN), Dr Chua tidak sepatutnya mempersoalkan hak 30 peratus ekuiti Melayu dan Bumiputera itu yang disediakan menerusi tindakan afirmatif ekonomi.

“Soi Lek, kita semua kawan. Saya nak beritahu beliau supaya 30 peratus (ekuiti) jangan ganggu.

“Kami bagi orang Cina, orang Melayu dan orang India kongsi itu 100 peratus,” kata beliau seolah-olah memberi nasihat kepada bekas menteri kesihatan itu.

Dr Chua menghadiri sesi perasmian Perhimpunan Agung Umno 2010 semalam.

Di sebalik persekitaran kontroversi berhubung kenyataan rasis sejak kebelakangan ini membabitkan pengetua-pengetua sekolah dan pemimpin politik dan sektor awam yang menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang, Badruddin seterusnya berkata: “U (kamu) tau tak Soi Lek, kita hormati kamu.”

“Kita tidak panggil kamu bangsa pendatang tapi kami nak beritahu kamu datang ganggu 30 peratus itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

“U (kamu) tahu tak Soi Lek?” kata beliau yang mempengerusikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini menyusuli perbahasan seorang perwakilan.

--------------------------------------------------------------------------------

MENARA WARISAN MERDEKA BIARLAH DI KG BARU?

Dato' Johari Ghani (Foto sebelah), Pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa yang mewakili Umno Wilayah Persekutuan mahu kerajaan membangunkan projek Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat di Kampung Baru sebagai mercu tanda orang Melayu.

“Saya mencadangkan agar menara Warisan Merdeka 100 tingkat ini dinaikkan di tengah-tengah tanah orang Melayu di Kg. Baru.

“Permodalan Nasional Berhad ada 220 ekar tanah, 203 ekar 10 peratus adalah orang Melayu akan setuju jika menara Warisan Merdeka ini menjadi mercu kejayaan orang Melayu di tanah Melayu,” kata beliau ketika membahaskan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di hari kedua semalam.

Dalam Bajet 2011 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembinaan projek bersepadu Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.

Warisan Merdeka akan menjadi menara tertinggi di Malaysia. dan yang kedua tertinggi di dunia. Projek itu akan mengekalkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai warisan negara.

Projek itu bagaimanapun ditentang hebat pelbagai pihak, terutama pemimpin Pakatan Rakyat.

“KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur) kini membangun dan tanah di KLCC mahal, Menara Warisan Merdeka ini saya percaya seluas 220 ekar ini pada 10 tahun hingga 40 tahun akan datang ia akan jadi harta tidak ternilai oleh orang Melayu,” kata Johari lagi.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Kawasan Kampung Baru meliputi tujuh buah kampung dengan keluasan 90.2 hektar dan berusia 110 tahun. Ia kini mempunyai 35,000 penduduk.


Friday, October 22, 2010

Tiada Masalah Jika Berpegang Kepada Kontrak Sosial – Dr Mahathir


KUALA LUMPUR 21 Okt – Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika rakyat Malaysia berpegang kuat kepada perjanjian asal, yang dipersetujui oleh pemimpin daripada pelbagai kaum sewaktu merdeka dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak akan ada pertikaian hak.

(Foto - Presiden UMNO menyampaikan ucapan dasarnya)

“Kita telah mempunyai satu formula yang berjalan dengan baik selama 50 tahun. Mengapakah kita mahu menukarnya? Mengapakah anda mahu menimbulkan ketegangan antara kaum,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno ke-61 oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai ucapan perasmian Najib yang antara lain berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakati oleh bapa-bapa pengasas mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Dr Mahathir, bekas perdana menteri keempat negara, berkata ucapan Najib itu tepat pada masanya bagi menjelaskan dan memperingati perjanjian yang sekian lama didokong antara pelbagai kaum dalam negara ini.

Dr Mahathir, yang turut menyifatkan isi kandungan ucapan Presiden Umno itu baik, berkata adalah penting bagi rakyat patuh kepada perkara-perkara dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh diubah tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Dr Mahathir berkata mereka yang cuba meminda Perlembagaan Persekutuan sebenarnya tidak faham mengenai isi andungannya.

Malahan sejak dahulu lagi, kata beliau jika ada pihak yang hendak membuat perubahan ia tidak dibenarkan kerana perkara itu akan menimbulkan pertentangan antara kaum-kaum.

Sementara itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan ucapan Najib sebagai “ucapan penyedar” terhadap isu-isu Perlembagaan, kedudukan orang Melayu dan sebagainya yang kini “menampakkan wujudnya kekeliruan dan kecelaruan” dalam perbincangan.

“Tapi hari ini Presiden Umno telah menjelaskan, dan saya percaya akan ada satu kesedaran mengenai situasi itu, jadi (tidak ada sebab) kita timbulkan perkara-perkara yang nak menakut-nakutkan, nak memomok-momokkan,” kata bekas Perdana Menteri.

Abdullah berkata dengan kesedaran itu, ia akan menghindar pelbagai perbalahan yang mungkin timbul kerana tidak adanya pemahaman mengenai apa yang dimaktub dalam Perlembagaan.

“Inilah perkata yang kita namakan klausa gagasan politik yang telah berakar umbi dalam Perlembagaan Persekutuan… ertinya apa yang ada dalam Perlembagaan itu dimeterikan dengan diadakan perjanjian dulu serta diadakan muafakat pada masa itu antara semua pemimpin-pemimpin kaum,” katanya.

Wednesday, October 20, 2010

UMNO TIDAK PERLU APOLOGETIK PERJUANGKAN HAK MELAYU - MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Umno tidak perlu bersikap apologetik dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta Bumiputera kerana sejarah membuktikan bahawa sepanjang negara dipimpin oleh parti Melayu terbesar itu, bukan sahaja orang Melayu mendapat nikmat malah semua kaum beroleh manfaat.

Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Umno yang kini mempunyai kira-kira 3.4 juta anggota, juga tidak perlu apologetik untuk mempertahankan identiti bangsa Melayu, malah anggota parti seharusnya bangga menjadi Melayu, menjunjung adab dan tatasusila Melayu, mempertahankan warisan budaya Melayu, selagi mana Umno berlaku adil kepada semua.

“Ukuran sebenar kemuliaan seorang insan bukanlah ketaksuban kepada bangsanya, tetapi ketakwaan kepada Allah, dan sesungguhnya, berlaku adil kepada semua adalah tanda ketakwaan bagi orang yang beriman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan serentak Perhimpunan Agung ketiga-tiga sayap Umno — Wanita, Pemuda dan Puteri yang bertemakan “Menjulang Perjuangan, Mengisi Harapan” di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur dan isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Umno juga tidak akan berpaling daripada landasan perjuangannya untuk memajukan ekonomi Melayu dan Bumiputera.

“Umno tidak akan ragu-ragu dan apologetik untuk memperjuangkan pengagihan ekonomi (negara) yang adil untuk orang Melayu dan Bumiputera.

“Namun, saya tegaskan bahawa dimensi baru tindakan afirmatif yang dilaksanakan adalah berteraskan kepada keperluan dan kelayakan. Hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan sahaja akan dibantu,” katanya.

Beliau berkata peluang-peluang ekonomi juga akan terbuka luas buat mereka yang gigih berusaha, sebaliknya tiada tempat bagi pengamal “rent-seeking” yang haloba dan ingin mengaut laba yang sementara.

Muhyiddin berkata politik berasaskan kaum bukan satu bentuk politik perkauman atau politik rasis, malahan Umno sentiasa istiqamah dalam memperjuangkan hak Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, dan pada masa yang sama sentiasa menghormati hak serta kepentingan kaum-kaum lain dalam negara.

“Politik rasis bermaksud kita hanya mengutamakan kepentingan kaum sendiri dan menzalimi kaum-kaum lain. Parti yang mendakwa tidak berasaskan kaum boleh jadi amat rasis jika ia zalim kepada kaum lain.

“Hakikatnya, sepanjang sejarah perjuangan Umno, parti keramat orang Melayu ini tidak pernah menjadi parti yang rasis,” katanya.

Beliau berkata pemimpin Umno sedar bahawa berkongsi kuasa politik dan nikmat ekonomi dengan kaum-kaum lain sebenarnya jalan terbaik untuk mewujudkan kemakmuran dan keamanan terutama dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Muhyiddin berkata kejayaan Malaysia selama ini membuktikan andaian pelbagai pihak meleset apabila sejurus selepas negara merdeka, mereka meramalkan negara akan hancur akibat kepelbagaian kaum, agama dan taraf ekonomi.

“Berkat kepimpinan Umno yang dinamik dan toleran, ramalan buruk ini tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, negara-negara jiran yang tidak semajmuk kita mengalami dan masih mengalami ketegangan kaum dan agama yang membawa kepada pertumpahan darah,” katanya.

Beliau berkata antara punca kejayaan negara ialah kesejahteraan ekonomi yang berperanan penting untuk menjamin keamanan.

“Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin besar Umno apabila mereka mengilhamkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang berupa dasar pembangunan ekonomi yang menggabungkan penciptaan kekayaan dan pembahagian yang adil,” katanya.

Di akhir ucapannya, Muhyiddin mengajak semua anggota sayap parti agar memperkukuhkan kesatuan hati, memperteguhkan kesatuan minda, memperkuatkan kesatuan amal, dan membulatkan kesatuan matlamat dalam wadah perjuangan suci Umno.

“Marilah kita berikan sokongan padu kepada Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjayakan pembaharuan di dalam parti dan kerajaan. Marilah kita berikan keyakinan, kepercayaan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada presiden untuk memperkukuhkan parti dan mengangkat martabat perjuangan Umno,” katanya.

Perhimpunan lima hari yang bermula hari ini dihadiri 4,907 perwakilan yang terdiri daripada 2,543 perwakilan yang akan ke Perhimpunan Agung Umno, 793 perwakilan ke Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 795 Pemuda dan 776 ke Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.