40 ULAMAK MUDA JADI AHLI UMNO, APA SALAHNYA?UMNO telah pun men

erima keahlian 40 orang baru yang dikenali sebagai
'ulamak muda' di dalam satu majlis khas yang dihadiri oleh pemimpin nombor satu dan nombor dua UMNO yang juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia di PWTC, semalam. Hanya 16 orang ustadz-ustadz berkenaan yang hadir.
Sebelumnya, timbul spekulasi hebat yang menyebut bahawa
Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Foto kiri) bekas Mufti Perlis akan turut menyertai UMNO, namun di dalam majlis yang diadakan kelmarin kelibatnya tidak kelihatan. Mengulas ketidak hadiran Dr. Mohd. Asri itu, Shahidan Kasim, mantan MB Perlis yang turut berada di dalam majlis itu menyatakan bahawa mantan Mufti Perlis itu akan menyusuli kemudian untuk menjadi ahli UMNO, kerana menurutnya Dr. Asri merupakan penyokong UMNO selama ini.
Penyertaan ulamak-ulamak muda ini di dalam UMNO dilihat telah menimbulkan kehairanan dan keresahan di kalangan
'agamawan' terutama di kalangan mereka yang pro pembangkang. Golongan yang tidak berminat dengan UMNO melihat parti kebangsaan 'Melayu' ini sebagai sebuah parti sekular yang tidak bercirikan perjuangan Islam, kerana UMNO dikatakan 'Asabiyah' dengan perjuangan kebangsaannya.
Suatu masa dahulu pun, Tuan Guru Hadi Awang yang kini menerajui parti PAS dengan begitu lantang mendakwa bahawa perjuangan UMNO adalah
'asabiyah' kerana parti ini dikatakan tidak serius memperjuang dan melaksanakan hukum Islam di negara ini dengan mendakwa UMNO juga sebagai
kafir, zalim dan fasik.Presiden PAS itu juga pernah berkata bahawa penentangannya terhadap UMNO kerana parti ini juga dikatakan telah bertindak salah kerana bersekongkol dengan MCA, MIC dan parti-parti lain di dalam BN yang tidak Islamik. Oleh kerana itu UMNO telah dilabelkan sebagai parti yang harus ditentang habis-habisan lantaran dasarnya bertentangan dengan Islam.
Jika berpegang kepada pandangan yang dilontarkan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang itu, tentunya tidak manis mereka yang menggelarkan dirinya sebagai 'Ulamak' menjadi ahli parti yang tidak seIslam seperti PAS.
Tetapi benarkah hanya PAS sahaja yang berhak untuk memperjuangkan Islam di negara ini? Apakah entiti lain yang tidak berjenama PAS boleh dianggap sebagai terasing daripada Islam? Jika itulah pegangannya, mereka yang taksub dengan PAS hendaklah mengemukakan dalil-dalil akli dan juga naqli betapa Rasulullah SAW juga bencikan umatnya yang menjadi ahli UMNO, dan kemukakan juga dalil bahawa hanya PAS sahaja yang menjadi pewaris kepada perjuangan Islam hari ini?
Jika menyertai PAS dianggap sebagai
'Kesyumulan Islam' samalah juga mentamsilkan (mengandaikan) parti itu sebagai agama. Persoalannya, benarkah PAS itu Islam, dan Islam itu PAS? Jika Islam itu hanya milik PAS, bagaimana pula dengan umat Islam yang tidak menjadi ahlinya, apakah akidah Islamnya boleh terjejas tanpa menjadi ahli kepada Parti PAS?
Bagaimana pula dengan umat Islam negara lain yang tidak menjadi ahli PAS, apakah mereka dilarang memasuki
'tanah haram' di Mekah dan juga di Madinah semata-mata kerana mereka belum lagi menjadi ahli PAS?
Demikianlah kesannya jika pemahaman Islam disempitkan hanya dari sudut perjuangan kepartian sehingga tergamak menuding jari kepada orang lain sebagai tidak Islam jika tidak bersama 'Parti' yang meletakkan nama Islam.
UMNO janganlah bertindak taksub seperti itu. Parti UMNO hendaklah meletakkan perjuangan membela agama, bangsa dan juga negara secara tertib mengikut keutamaan yang dituntut. Janganlah memandang sepi di atas teguran yang dibuat jika prinsip perjuangan UMNO tidak bercorak Islam kerana terlalu banyak kemungkaran di dalamnya, seperti amalan rasuah, meluasnya perjudian, begitu juga dengan kesuburan aktiviti-aktiviti kemaksiatan yang menjurus kepada kebejatan sosial.
Jika UMNO dilihat meneruskan amalan dan nilai yang buruk ini pastinya UMNO akan terus dilihat sebagai tidak berkeupayaan untuk bertindak sebagai
'umarak' di negara ini. Ulamak yang yang hendak menjadi ahli UMNO harus bijak untuk mendakwahkan parti ini supaya tidak tergelincir dari ciri-ciri keIslaman sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
Jika ulamak yang menyertai UMNO ini dilihat tidak lagi bijaksana untuk memberi nasihat kepada umaraknya terutama yang menyangkut dengan aspek kesucian Islam, maka lebih baik ulamak muda ini ditarbiahkan (retreat) dahulu sebelum mereka kecundang di tangan-tangan yang tidak menjiwai Islam di dalam UMNO.
Terdapat banyak percanggahan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO tentang perlaksanaan hukum Islam di negara ini. Golongan ulamak yang sedia ada di dalam UMNO pun tidak mampu untuk menggalas amanah ini kerana seringkali pandangan dan pendapat mereka telah diUMNOkan sehingga mereka tergamak melihat Islam semakin dicerca dan dipersendakan.
Keadaan yang berlaku seperti inilah yang mengundang keresahan di kalangan pejuang Islam sehingga mereka terkabur untuk melihat keseriusan UMNO memperjuangkan agama Islam. Matlamat untuk Islam tidak lagi terlihat di dalam UMNO, sebaliknya terserlah banyak kemungkaran yang berlaku di dalam parti ini yang membuka ruang kepada parti PAS untuk mempersalahkan UMNO.
Oleh yang demikian, apakah salahnya ustadz-ustadz muda ini menyertai UMNO supaya UMNO dapat diberi tunjuk ajar tentang dakwah Islamiah yang sebenarnya. Biarkan mereka mencuba untuk mendakwahkan UMNO, mana tahu mungkin niat suci mereka itu berhasil!
Renungan - Surah Al-Asr:"Demi masa...sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."