assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, May 9, 2012

DURIAN RUNTUH - NAJIB IMPIKAN PILIHAN RAYA JUN INI?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Najib berucap di hadapan peneroka Felda di Jengka, Pahang.
Peneroka-Peneroka Felda teruja dengan 'Durian Runtuh'.
NAJIB tidak perlu marah-marah dengan menghamburkan kata-kata kesat seperti 'kurang ajar' dan 'biadap' kepada musuh politiknya apabila hendak mengumumkan durian runtuh kepada peneroka Felda. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa kelmarin telah mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka malah untuk isteri dan anak peneroka serta warga kerja Felda. Durian runtuh untuk peneroka adalah berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.
Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda. Pada majlis itu juga, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.
Jikalau Najib menganggapkan durian runtuh ini boleh menggandakan lagi keyakinan rakyat kepada Barisan Nasional, maka tidak ada sebab lagi untuk beliau menangguhkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 dapat disegerakan pada bulan Jun ini.
Menangguhkannya lagi dibimbangi semakin berganda isu-isu yang akan dimanipulasi oleh pihak pembangkang untuk menggagalkan impian Perdana Menteri merampas kembali negeri-negeri yang sudah ditawan oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang lepas.
Begitu juga PRU13 nanti akan menjadi lebih sengit kerana Najib mahu membuktikan bahawa  BN berkemampuan untuk meraih kembali majoriti dua pertiga yang telah dinafikan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU12 pada 8 Mac 2008.
Sejak pengumuman Najib semalam untuk memberi durian runtuh@RM15,000 kepada 112,635 warga Felda di seluruh negara, ia telah mengundang kepelbagaian tafsiran dan pendapat serta tidak kurang juga persepsi pro dan kontra yang bersandarkan kepada hujah-hujah untuk memikat hati rakyat.
PKR sendiri mendakwa bahawa durian runtuh yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu merupakan petunjuk bahawa pilihan raya ke-13 semakin hampir, malah mereka lebih teruja untuk menyatakan Najib semakin gelabah dan tersasar menipu peneroka Felda, kerana jangkaan mereka selepas penyenaraian FELDA Global Ventures (FGV) di dalam Bursa Saham, setiap keluarga peneroka sepatutnya menerima lebih daripada itu, iaitu sekitar RM50,000, dan bukannya RM15,000.

PKR mendakwa penyembunyian fakta pelaburan ini membuktikan sekali lagi bahawa pentadbiran Barisan Nasional membolot kekayaan sesama mereka, sedang rakyat diberikan hampas dan imbuhan kecil sahaja.

Menurut sumber yang diperolehi oleh pihak pembangkang, mereka telah meneliti prospektus penyenaraian Felda Global Ventures (FGV) dan mendapati dana yang akan dikutip olehg Felda selepas penyenaraian berjumlah RM5.6 bilion, sementara FGV pula akan mendapat suntikan dana tambahan berjumlah RM4.557 bilion untuk menentukan berapakah nilaian sebenar ganjaran yang sepatutnya diperolehi oleh peneroka FELDA.

Ini berikutan urusniaga berikut:

1.FELDA akan menjual 59% dari pegangannya sedia ada di dalam FGV (bersamaan 1,208,890,900 saham) kepada pelabur-pelabur baru
2.FGV akan menerbitkan saham baru berjumlah 980,000,000 yang akan dijual kepada pelabur-pelabur baru
3.Harga penyenaraian setiap unit saham adalah RM4.65
4.Dana tambahan yang dikutip oleh FELDA adalah RM4.65 x 1,208,890,900 = RM5.6 bilion
5.Dana tambahan yang dikutip oleh FGV adalah RM4.65 x  980,000,000 = RM4.557 bilion

Jumlah keluarga peneroka FELDA di seluruh negara adalah 112,635 yang berhak mendapat keuntungan dari proses penyenaraian ini kerana tanah-tanah seluas 840,603 ekar yang diusahakan oleh Felda Plantations Sdn Bhd adalah milik mereka. Tanah ini dipajakkan kepada FGV yang memberi nilaian besar kepada penyenaraian ini. Tanpa tanah yang diambil oleh FELDA atas nama peneroka ini, penyenaraian FGV akan gagal.
Berasaskan kajian inilah, mereka berpendapat Dato' Seri Najib Tun Razak harus berterus terang kepada rakyat bahawa hanya 30% (berjumlah RM15,000 setiap keluarga) dari dana yang dikutip akan diagihkan kepada peneroka. Jumlah keseluruhan agihan ini adalah RM1.689 bilion.
Bakinya yang lebih besar (iaitu 70% dari jumlah dana yang dikutip) berjumlah RM3.942 bilion akan disimpan seterusnya mereka mendakwa ia akan digunakan oleh pentadbiran Najib.
Nampaknya 'durian runtuh' ini bakal menjadi isu rakyat. Persoalannya ialah pihak manakah yang bakal menjadi mangsa runtuhan daripada skim durian runtuh Felda ini?


Friday, May 4, 2012

BENARKAH BUDAYA LUCAH MEMPERKASA UMNO KINI?

Berita-Berita Melucahkan untuk menumbangkan Pakatan Rakyat?
Oleh Abdul Rahman Hashim

Media arus perdana seperti akhbar Utusan dan TV3 sekali lagi telah mendepani isu porno yang melucahkan pemikiran rakyat apabila menyiarkan gambar-gambar dalam jamban tahi yang memaparkan kononnya Azmin Ali, Timbalan Presiden PKR sedang beraksi lucah bersama seorang wanita. 
Samada ianya benar atau pun sebaliknya, rasanya tidak wajar akhbar utusan dan TV3 memilih maklumat itu untuk disensasikan semata-mata pelakunya adalah penentang regim UMNO. Itu pun belum tentu kesahihannya!  Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak telah menafikan bahawa gambar itu bukanlah dia, dan menyifatkan ia sebagai fitnah jahat terhadap dirinya, lantas Azmin telah menyaman akhbar utusan sebanyak RM100 juta kerana menyiarkan gambar yang bukan dirinya sebenar.
Jika akhbar utusan dan TV3 merasakan maklumat melucahkan ini sebagai katalis untuk menghadang kerajaan BN dari ditumbangkan oleh gerombolan Pakatan Rakyat menjelang PRU13, maka langkah sedemikian sebenarnya bukan sahaja tidak mampu dilakukan, malah saya berpendapat ia menambahkan lagi kebencian rakyat atas pagar kepada UMNO/BN. 
Golongan yang menjadi 'penentu' ini rasanya hati mereka tidak tertambat untuk menyukai UMNO/BN sekiranya gambar/video lucah seperti itu menjadi senjata utama mereka untuk membenamkan Pakatan Rakyat. Saya bimbang, kecenderungan nemilih serangan peribadi yang tidak bertapis ini akan menikam diri kita sendiri, kerana strategi seumpama inilah yang telah melumpuhkan kekuatan UMNO sehingga kita tidak berupaya lagi untuk menyekat gelombang rakyat pada PRU12 yang lalu.
Pada PRU yang lepas, ternyata gambar dan video pornografi yang kononnya membabitkan adegan lucah Anwar Ibrahim sebagai bahan untuk menguatkan lagi UMNO, ternyata telah memakan diri. Ternyata rakyat Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan tidak dapat menerima tohmahan sebegini, lalu mereka menghukum regim UMNO/BN. Lantaran itu BN telah kehilangan undi popular di bumi semenanjung, nasib baik ia diselamatkan oleh penyokong-penyokong BN di Negeri Sarawak dan juga Sabah. Akhirnya BN telah kehilangan majoriti 2/3 akibat tersalah langkah menyerang peribadi pemimpin pembangkang, di samping terlalu banyak pula isu penyelewengan dan rasuah pemimpin UMNO/BN yang dipungut oleh pambangkang.
Maka sebab itu, saya merasakan adalah wajar 'permainan kotor' atau pun 'Gutter Politics - Politik Longkang' seperti ini diBERSIHkan dan diNYAHkan oleh UMNO, kerana menyerang mereka dengan isu lucah akan menjadikan UMNO/BN hari ini sebagai parti 'VERSI LUCAH - Hanya Untuk Tontonan Dewasa Sahaja!' Jika UMNO terjadi sedemikian, janganlah dikecam mereka sekiranya mereka berkempen di serata tempat meminta rakyat tidak memilih parti versi lucah ini. Terlalu bannyak bahan cetak rompak yang diambil dari pelucah-pelucah (blogger) yang pro UMNO ini yang diguna pakai oleh akhbar arus perdana, sehingga ia menjadi sumber rujukan utama oleh Ketua-Ketua Pengarang media yang berkenaan untuk dijadikan bahan siaran ampu bodek mereka. 
Tidak dapat dinafikan bahawa akhbar Utusan dan TV3 mempunyai pembaca dan penonton yang setia dengan mereka, namun satu hakikat yang agak sukar mereka akui ialah ramai juga yang sedang membenci mereka, malah mungkin ada yang akan mengoyak-ngoyakkan akhbar ini untuk dimasukkan sahaja ke dalam jamban tahi. 
Sepatutnya mereka membantu UMNO/BN yang menjadi majikan mereka selama ini tanpa memilih pemberitaan yang melucahkan sehingga anak-anak kecil  dan remaja di bawah umur 17 tahun telah dihalang oleh sebahagian besar ibubapa supaya menjauhi akhbar seumpama ini.
Diharapkan UMNO tidak hanya diminati oleh penggemar gambar dan video lucah seperti yang diasuh oleh media lucah ini. Saya pun tidak terfikir apakah UMNO akan terdorong dilucahkan semata-mata untuk mengekalkan kuasanya? Apakah UMNO sudah ketandusan modal lagi sehingga sanggup membiarkan isu lucah ini membudayakan gerak kerja kempen untuk menawan hati rakyat?



Sunday, April 29, 2012

JIKA BERSIH 3.0 GAGAL, ADAKAN PILIHAN RAYA SEGERA!

Oleh Abdul Rahman Hashim
Perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan pada 28 April 2012 sudah pun berlalu. Pihak penganjur BERSIH 3.0 menganggarkan lebih 200 ribu khalayak dari seluruh negara telah berhimpun di Kota Raya Kuala Lumpur untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan BERSIH 3.0 yang mereka anggap sebagai bantahan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengendalikan perjalanan pilihan raya di negara ini.
BERSIH melihat SPR sebagai tidak bersih kerana menurut mereka berlakunya ketidaktelusan pada senarai pengundi yang meragukan mereka.Tan Sri Abdul Aziz Yusuf, Pengerusi SPR menjadi sasaran kecaman puak-puak yang pro BERSIH 3.0, malah Datuk Saifudin Nasution, Setiausaha Agung PKR telah mendakwa Pengerusi SPR ini sering menunjukkan kecenderungan kepada parti pemerintah tanpa mempedulikan gesaan dan saranan yang dibantah oleh pihak Pakatan Rakyat.
Tan Sri Abdul Aziz pada mulanya menyahut cabaran Saifudin Nasution dengan menyatakan bahawa dirinya bukan ahli UMNO sebagaimana yang didakwa, malah beliau bersumpah bahawa dirinya bukanlah seorang ahli UMNO semata-mata untuk meyakinkan pihak pembangkang betapa dirinya berkecuali daripada sebarang unsur kepartian.
Namun begitu, setelah Datuk Saifudin Nasution membuktikan bahawa Tan Sri Abdul Aziz adalah seorang penyokong UMNO tegar dengan menyebutkan nombor kad pengenalan dan nombor keahlian UMNO Pengerusi SPR itu, lalu Tan Sri Abdul Aziz terkejut seterusnya beliau mendakwa bahawa kemungkinan namanya telah didaftarkan oleh pihak tertentu tanpa pengetahuan dirinya.

MAKLUMAT KEAHLIAN UMNO PENGERUSI SPR: 
NAMA - ABDUL AZIZ BIN MOHD YUSUF 
IC - 500124-10-5279 
NO AHLI UMNO - 113804 
KOD CAWANGAN - 09920036.



Dalam artikata lain, wujudnya pecacai UMNO yang cuba merosakkan namanya dengan menjadikan dirinya 'orang UMNO'. Beliau sendiri mungkin bersetuju bahawa kedudukannya sebagai Pengerusi SPR tidaklah wajar bagi beliau menjadi penyokong kepada mana-mana parti, apatah lagi sebagai ahli UMNO. 
Sebagai ahli UMNO, tentunya saya berbangga kerana Pengerusi SPR merupakan penyokong UMNO, dan pastinya apa saja kemelut yang dihadapi oleh UMNO/BN termasuk kecaman-kecaman yang menimpa pemimpin UMNO sekarang ini akan dapat diselamatkan oleh beliau, kerana sebagai ahli UMNO, Tan Sri Abdul Aziz sedikit sebanyak haruslah memberikan advantage kepada parti yang dianutinya. 
Justeru, kredibiliti Tan Sri Abdul Aziz yang juga mantan KSU Kementerian Dalam Negeri sebagai Pengerusi SPR telah dikecam hebat, malah pihak pembangkang telah melabelkan SPR sebagai salah satu cabang (Cawangan) UMNO selain menuding PDRM dan SPRM juga sedemikian. 
Pihak pembangkang telah melihat kecenderungan ini kerana tindak tanduk Pengerusi SPR dalam menangani penambahbaikan di dalam sistem pengurusan pilihan raya di negara ini semakin meragukan, malah ia dikaitkan sebagai strategi tipu dayanya untuk menyelamatkan Barisan Nasional yang semakin tertekan sekarang ini. 
Pakatan Rakyat mendakwa wujudnya manipulasi di dalam senarai daftar pemilih yang melibatkan pemindahan puluhan ribu nama pengundi dalam kawasan tertentu yang dipindahkan ke bahagian pilihan raya yang lain dengan menggunakan pada satu alamat yang sama. 
Begitu juga Pakatan Rakyat mendedahkan lebih 42 ribu pengundi yang nama mereka tidak wujud di dalam senarai Jabatan Pendaftaran Negara. Mereka terkesan ramai warga Myanmar, Bangladesh, Pakistan dan juga Indonesia telah diberikan taraf kerakyatan segera supaya mereka layak mengundi pada PRU13 nanti. 
Maka sebab itu, BERSIH mendakwa SPR tidak lagi bersih dan mendesak supaya SPR membersihkan senarai nama pemilih yang bersabit itu sebelum diadakan PRU13. Dalam perhimpunan BERSIH yang diadakan semalam juga kedengaran laungan gegak gempita demonstran yang mendesak supaya Tan Sri Abdul Aziz Yusuf segera meletakkan jawatannya. 
Persoalannya sekarang ialah apakah Pengerusi SPR akan menuruti desakan BERSIH itu? Apakah Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang turut dikecam hebat dalam perhimpunan BERSIH itu akan melakukan transformasi seperti yang dituntut oleh Pakatan Rakyat? 
Pada saya, sudah sewajarnya SPR sendiri yang harus melihat kelemahan dan juga kepincangan-kepincangan yang berlaku pada senarai pengundi itu. Jika Najib terasa dirinya telah diasak bertubi-tubi dalam isu berbangkit ini, lantas beliau terdorong pula untuk memberikan penjelasan, maka dikhuatiri seolah-olah mengesahkan lagi bahawa SPR memang dilihat sebagai sebuah 'cawangan UMNO/BN' yang tidak perlu dilayan lagi segala tuntutan yang dibuat oleh seteru politiknya samada daripada BERSIH atau pun Pakatan Rakyat. 
Fenemona ini menyaksikan betapa sukarnya Pengerusi SPR sendiri untuk melawan arus deras ini, walaupun menyedarinya akan berlaku perkara-perkara yang tidak sepatutnya menimpa SPR, akibat pertembungan pola-pola politik kepartian. UMNO/BN menganggap PRU13 sebagai survival politik yang perlu diperkuatkan demi memanjangkan talian hayat Barisan Nasional/UMNO daripada dikecundangkan oleh Pakatan Rakyat yang sudah pun berjaya mejatuhkan BN di lima buah negeri termasuk juga satu di Wilayah Persekutuan dalam PRU12 yang lalu. 
Pakatan Rakyat pula menjadikan peluang PRU13 ini untuk mereka mempertahankan momentum di enam buah negeri, seterusnya menggapai impian untuk menawan Putrajaya. Maka sebab itu, kedua-dua pihak terpaksa bertungkus lumus untuk membuktikan kemampuan masing-masing, bahkan tidak akan memberi ruang kepada pihak lawan masing-masing untuk mengambil kesempatan daripada kelemahan sistem pilihan raya yang dikendalikan oleh SPR. 
Namun begitu pihak BERSIH yang digalas oleh Pakatan Rakyat telah membangkitkan sentimen kebencian dan kemarahan rakyat terhadap SPR sekaligus hendak mejatuhkan kerajaan BN. Pakatan Rakyat boleh membesar-besarkan isu yang berbangkit ini, malah mereka telah berjaya menyemarakkan kebencian ini di dalam perhimpunan BERSIH 3.0 yang disertai lebih 200 ribu di Kota Raya Kuala Lumpur kelmarin. 
Jika Dato' Sri Najib Tun Razak merasakan apa yang disanggah oleh Pakatan Rakyat terhadap keupayaan SPR itu sebagai anjing menyalak bukit sahaja, maka gunakanlah kesempatan ini untuk mempercepatkan PRU13. Mungkin ini peluang terbaik bagi Najib untuk merampas semula negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Keyakinan ini tidak boleh dibiarkan berlanjutan lagi sebelum macam-macam perkara lain yang akan berbangkit menimpa UMNO/BN. Begitu juga jika Dato' Sri Najib menganggap suara 200 ribu demonstran yang sederap menguningkan sebahagian jalan-jalan raya di Kuala Lumpur itu semalam sebagai SUARA HINGUSAN maka jangan ditunggu lagi, bubarkan sahaja Parlimen agar rakyat boleh menentukan yang mana kaca dan yang mana permata. 
Anwar Ibrahim di dalam road show ceramahnya ke seluruh negara juga sering menyanyikan lagu 'Madu dan Racun' dengan gubahan liriknya, iaitu..."Madu di tangan kanan mu, PAKATAN! Racun di tangan kiri mu, BN!...Aku dah tahu mana satu pilihanku...."


Saturday, April 21, 2012

HIMPUNAN AIBKAN MANUSIA PECACAI AMPU SEMALAYSIA (HAMPAS) LANCARKAN 'TIBAI'


Oleh Abdul Rahman Hashim

Mereka merupakan di antara anggota TIBAI
menjadi HAMPAS buat UMNO!

Saya juga diundang menghadiri majlis pelancaran rasmi TIBAI iaitu singkatan kepada perkataan 'TOLAK INDIVIDU BERNAMA ANWAR IBRAHIM' yang akan dirasmikan oleh pembodek terbesar negara Datuk Paduka Haji Ibrahim Ali, Presiden PERKASA pada 22 April 2012, bertempat di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Maaf kepada Majlis Syura TIBAI, saya tidak dapat memenuhi undangan itu kerana saya tidak berkenan dan tidak mahu menambahkan lagi dosa saya kepada Allah, kerana di dalam majlis TIBAI ini nanti tentunya akan dinodai oleh mereka-mereka yang tidak takut berdosa kepada Tuhan akibat keghairan meluap-luap mereka untuk menyerang dan mengaibkan air muka orang lain.

Di dalam agama yang tidak dianuti oleh Senator Nallakarupan, Islam melarang keras tanpa ada kompromi sekiranya kita berkelakuan lebih buruk mencaci, menghina dan mengaibkan orang yang dianggap buruk oleh kita. Banyak potongan ayat Al-Quran dan Al-Hadis yang diImani oleh Zahid Md Arip, Ezam Mohd. Nor, Zaharin Hashim, Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali termasuk serikandi idola mereka Umi Hafilda yang melarang umat Islam supaya menjauhi daripada perebuatan keji dengan menghina dan mengaibkan peribadi orang lain.

Lagi banyak kutukan dewata kita terhadap individu Islam yang dihina itu, maka bertambahlah pahala yang dperolehi oleh orang yang diaibkan itu. Pahala yang ada pada kita akan berpindah kepada orang yang kita aibkan itu! Takkan Zul Nordin dah kabur mata dengan hukum feqah ini?

Apakah Mursyidul Am Majlis Syura TIBAI, Saudara Zahid Md Arip iaitu cucu kepada Tun Ghafar Baba tidak terasa berdosa untuk mensyubhatkan diri ke lembah dosa yang amat keras balasannya di akhirat kelak? Apakah anggota Majlis Syura TIBAI ini ada kekebalan di sisi Allah untuk terus membiadapkan diri mereka sehingga terlupa bahawa diri masing-masing juga memiliki sifat-sifat mazmumah, malah mungkin lebih tinggi darjat dosanya dengan insan yang ditibai itu?

Kepada mereka, secara tulus saya ingatkan supaya diri kita jangan jadi 'hampas' semata-mata tingginya keinginan untuk menjadi pembodek yang hina dina. Jika kita membariskan kesalahan orang lain dan mendedahkannya kepada umum, apakah kita tuli bahawa di dalam rumah kita juga tidak kurang, malah lebih berganda perbuatan-perbuatan munkar dan kekejian yang wajib dibanteras?

Jika di dalam UMNO disaratkan dengan insan-insan yang oportunis seperti ini termasuk kaki ampu dan kaki kipas serta yang tidak takut kepada dosa, maka dibimbangi semakin hampirlah kita di perkuburan untuk ditalkinkan.

Saya berpendapat di dalam sepak terajang berpolitik janganlah kita ghairah sangat untuk mencari-cara keaiban peribadi orang lain. Permainan politik sedemikian menjadikan diri kita lebih hina, kerana tak pasal-pasal orang lain akan menilai akhlak dan akal budi kita, saling tak tumpah persis pecacai UMNO yang hina dina. Apabila kita gemar menjadi pecacai menghina orang lain, tentu ramai yang akan berkata bahawa yang menghina itu lebih hina dari orang yang dihinanya. Sebagai orang UMNO, saya berhak untuk menyatakan rasa malu sekiranya UMNO menghalalkan perbuatan keji yang berdosa ini.

Bukankah banyak kebijakan lain yang boleh kita lakukan untuk menghambat hati rakyat supaya selesa dengan UMNO? Bukankah di dalam UMNO ramai juga yang berjiwa Islam, tetapi apakah kita hanya berbangga dengan ilmu Islam yang dimiliki sedangkan kemunkaran berlambak di depan mata tidak dipedulikan.

Ulamak-ulamak yang berada di dalam UMNO hendaklah benar-benar ikhlas dan tuntas untuk melihat kebejatan yang menjadi virus dan racun kepada parti yang menjadi teras kepada pemerintahan negara ini agar tidak dipendekkan jangka hayatnya. Melontarkan banyak keaiban Anwar janganlah sampai mengundang keaiban pemimpin kita turut terlondeh. Jika kita marah kerana aib pemimpin kita dilondehkan, eloklah kita segera muhasabah diri dan perbetulkan alignment sendiri yang kelihatan rosak.

TIBAI yang dilancarkan nanti lebih merupakan 'HIMPUNAN AIBKAN MANUSIA PECACAI AMPU SEMALAYSIA' atau singkatannya HAMPAS. Wallahu'alam!



Thursday, April 19, 2012

SAMSENG YANG DIPERKASAKAN LEBIH PERKASA DARIPADA POLIS?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Meraka mengganas di Dataran Merdeka



KLIK VIDEO INI:
KESAMSENGAN YANG TAK TERKAWAL LAGI?

BUAT APA NAK TUNJUK SAMSENG KEPADA PELAJAR,
LEBIH BAIK PERGI BUKIT BINTANG,
DI SANA LEBIH
BANYAK SAMPAH MASYARAKAT
YANG PERLU DIBERSIHKAN OLEH SAMSENG.



Kenapa samseng sangat sekumpulan gangster terhadap sekumpulan mahasiswa yang masih berkhemah di Dataran Merdeka, sedangkan pihak polis pun tidak mengkasari untuk menyuraikan mereka ini? Cuma sebelum ini terdapat pihak Penguatkuasa Direktorat DBKL yang ditugaskan merampas khemah-khemah yang dipasang oleh golongan pelajar terbabit sejak 14 April lalu kerana mereka terbabit dengan demo PTPTN anjuran beberapa pertubuhan pelajar IPT, di mana mereka semua membantah perlaksanaan dasar pinjaman PTPTN yang membebankan para pelajar seterusnya mereka mendesak kerajaan supaya menghapuskan PTPTN ke arah dasar pendidikan percuma di negara ini.

Puak yang berkhemah itu berkeras untuk tidak mengendahkan arahan DBKL, sebaliknya mereka berkata akan terus berkhemah di Dataran Merdeka sehingga Perhimpunan BERSIH 3.0 yang akan diadakan pada 28 April 2012.

Di dalam kejadian malam tadi, kira-kira jam 2.30 pagi terdapat sekumpulan 60-70 orang dikatakan telah bertindak kasar terhadap segolongan mahasiswa yang masih berkampung di Dataran Merdeka.

(Foto kiri - Antara yang tercedera akibat dipukul)

Samseng ini bagaikan lebih berkuasa daripada penguatkuasa Direktorat DBKL, bahkan mereka kelihatannya begitu sewenang-wenangnya bertindak merobohkan khemah-khemah yang ada, mengkasari mereka yang menghuni khemah itu, malah samseng-samseng ini mengganas dengan menyepak, menendang dan merampas kamera dan perakam video yang dimiliki oleh mahasiswa terbabit.

Kekecohan yang berlaku ini bagaikan tidak ada kawalan keselamatan, kerana pihak polis yang ada di situ dilihat gagal untuk menghentikan kekasaran mengganas yang dibuat oleh samseng yang diupah oleh pihak tertentu itu, walau pun kedengaran jeritan meminta pertolongan oleh sebahagian mahasiswa yang menjadi mangsa buli golongan penyangak itu.

Persoalannya sekarang ialah, wajarkah puak samseng ini diundang untuk menyuraikan pelajar-pelajar yang berkhemah di situ. Apakah samseng upahan ini wajar dilindungi sehingga mereka bermaharajalela bertindak sesuka hati sehingga mendatangkan kecederaan kepada pelajar-pelajar terbabit?

Amatlah malang lagi, jika terdapat pemimpin UMNO sendiri yang merestui tindakan 'gangsterisme' ini semata-mata kerana runsing dengan desakan mahasiswa yang tidak berpihak kepada UMNO/Kerajaan dalam isu PTPTN yang diperjuangkan oleh mereka. Nampaknya macam wujud kecenderungan beberapa pemimpin UMNO termasuk Menteri Pengajian Tinggi sendiri yang tergamak menghina anak-anak muda itu, sekaligus semacam wujudnya kecenderungan memihak kepada puak-puak samseng itu.

SAMSENG yang mengancam dan mengkasari pelajar nampaknya begitu selesa dilindungi sedangkan golongan pelajar yang berkhemah secara aman di situ dianggap LEBIH SAMSENG dari SAMSENG UPAHAN itu.

Jika itu sajalah hukuman yang wajar dilakukan terhadap golongan pelajar itu, maka rakyat negara ini masih belum selamat kerana ada suatu gerakan yang dilindungi untuk memberi muka kepada aktiviti gangsterisme. Selalu sangat kita melihat golongan ini membuat kacau ganggu malah mereka semakin liar untuk menggugat gerakan demokrasi sihat di negara ini.

Misi pihak polis untuk mencegah jenayah di negara ini, janganlah sampai rakyat merasakan adanya kelompong yang meragukan, apabila mafia politik ini diberikan kebebasan untuk lebih berkuasa daripada kuasa polis sendiri. Sekian, sekadar keluhan saya.


NAJIB SERING LABELKAN DIA 'LANUN', KINI SHAFIE APDAL DIHIMPIT SKANDAL?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Dato' Seri Shafie Apdal dikatakan
ada skandal dengan artis Zahida Rafik?

Zahida Rafik

"Pada setiap kali perjumpaan itu Datuk akan menyerahkan wang tunai antara RM100,000 hingga RM200,000" - Bekas Pemandu Zahida.

Tiba-tiba isu yang membabitkan seorang Menteri dengan seorang artis ini meletup. Ia timbul di saat Perdana Menteri sedang berkira-kira untuk mentaqwimkan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang dijangka bakal diadakAn menjelang Jun 2012 ini.

Apakah skandal Shafie Apdal & Zahida Rafik (Foto kiri) bakal mencontengkan imej parti dan juga kerajaan sebagaimana tercalarnya maruah peribadi Anwar yang digonggong oleh pecacai-pecacai yang mendakwa hanya pemimpin pembangkang itu sahaja yang perlu dilenyapkan karier politiknya atas alasan 'tidak bermoral'?

Jika alasan itu Anwar hendak dimangsakan, maka Shafie Apdal haruslah memerbersihkan dirinya segera supaya rentetan malang kepada Anwar itu tidak terpalit ke atas dirinya. Persoalannya ialah apakah benar Menteri Pembangunan Luar Bandar itu terlibat dengan skandal sebagaimana yang disangkakan itu?

Jika pemberian wang sebanyak itu perlu diberikan kepada artis secantik Zahida Rafik pada setiap kali mereka berjumpa, mungkin ia tidak perlu dipolemikkan sekiranya mereka merupakan pasangan suami isteri yang sah. Seberapa banyak duit sekali pun yang hendak disalurkan kepada Zahida Rafik atau berapa banyak banglo serta beberapa kereta mewah yang hendak dihadiahkan kepadanya, bukanlah menjadi masalah besar sekiranya benar mereka adalah pasangan suami isteri.

Tetapi ia mungkin mencetuskan polemik kepada diri mereka malah terpalit juga imej kerajaan dan parti UMNO, kerana Sang Jejaka itu adalah seorang Menteri Kerajaan Persekutuan dan juga Naib Presiden UMNO yang dilihat terjebak dengan skandal yang membabitkan dengan seorang Jelitawan bergelar artis/pelakun. Sememangnya cerita pasangan sejoli ini telah lama tersebar, cuma ianya dapat dikawal supaya tidak mencetuskan isu politik yang mungkin membebankan UMNO.

Bermula dengan dakwaan pemandu peribadi Zahida sendiri yang membongkarkan bahawa Shafie Apdal akan menyerahkan wang tunai antara RM100 ribu hingga RM200 ribu kepada kekasihnya, Zahida Rafik apabila setiap kali mereka berjumpa; telah menjadikan isu ini terangkat di persada media terutama di dalam media baru seperti laman-laman blogg, facebook, twitter dan beberapa media cetak yang lainnya.

Mungkinkah akan terselak lebih banyak maklumat sensasi yang bakal menghangatkan dunia hiburan tanah air, malah dibimbangi ia akan mencalarkan imej peribadi Shafie Apdal sekaligus menyaksikan Menteri yang sering digelar oleh Najib sebagai 'Lanun Semporna' itu bakal rebah dek kerana terkhayal dengan godaan wanita cantik.

Apa pun saya sarankan agar kita tidak berterusan bersikap untuk mengaibkan orang lain, terutamanya kepada rakan-rakan dalam blok Pakatan Rakyat supaya tidak terikut-ikut dengan gaya pecacai-pecacai UMNO selama ini yang berminat sangat dengan citra melucahkan, namun citra dan sketsa melucahkan Anwar Ibrahim akhirnya terpercik juga ke muka UMNO.

Sekiranya puak-puak Pakatan Rakyat enggan menyamakan diri mereka dengan gelagat keji yang disandiwarakan oleh pecacai UMNO selama ini, eloklah jauhi dari perbuatan itu. Harap-harap JAKIM, Utusan, Berita Harian, RTM & TV3 janganlah sensasikan skandal Shafie Apdal/Zahida Rafik seperti yang telah mereka lakukan terhadap Anwar Ibrahim.


Friday, April 13, 2012

KARNIVAL LUT & ANWAR DI SETAPAK JAYA

Kehebatan Ceramah Anwar yang dihadiri oleh 20 orang sahaja?

Ceramah Kisah Nabi Lut di Surau Setapak Jaya yang dihadiri
lebih 1,000 orang?

Kebanjiran orang ramai di Taman Setapak Jaya. Antara mendengar
kisah Nabi Lut dan Anwar.

Oleh Abdul Rahman Hashim


Saya terpukau dengan kehebatan seorang Imam yang sedang berceramah di dalam sebuah Surau di Taman Setapak Jaya malam tadi, tapi sayangnya dia berceramah syok sendiri di hadapan kira-kira 15 orang sahaja di dalam surau tersebut. Dia sempat mendendangkan lagu-lagu nasyid untuk menghiburkan jemaah yang tidak terhibur dengan ceramahnya itu.

Namun begitu saya percaya Imam tersebut merasakan ceramahnya itu akan diikuti dan didengari oleh ribuan orang ramai dari pelbagai kaum yang sedang membajiri padang bolasepak yang terletak bersebelahan sahaja dengan Surau Taman Setapak Jaya. Ramai juga jemaah di dalam surau itu yang lebih berminat untuk mengikuti ceramah agama yang mengkisahkan NABI LUT dari luar surau sahaja, lagi pun corong pembesar suara yang dihalakan ke padang itu pun cukup jelas untuk didengari.

Malangnya kebanjiran manusia yang berada di padang itu lebih tertumpu pula untuk mendengar celoteh ADAM ADLI, YB Dr. Tan Seng Giaw dan YB Khalid Samad sebelum kedatangan Anwar Ibrahim. Ribuan manusia yang berada di situ kebingungan malah ada yang menggelengkan kepala kerana terdapat dua majlis ceramah di dalam satu masa.

Ceramah mengenai Nabi Lut semakin sayup menghilang malah Anwar Ibrahim yang tiba pada jam 10.30 malam pun tidak sempat untuk mendengar kisah-kisah kejahilan kaum Nabi Lut. Laungan reformasi anak-anak muda di situ yang menyambut ketibaan Anwar telah menenggelamkan citrawara Nabi Lut. Hampir separuh daripada keluasan padang itu telah dipenuhi dengan ribuan orang ramai, dan mungkin sebahagian daripada 15 orang yang setia dengan kisah Nabi Lut itu turut berada di tengah padang untuk melihat sendiri wajah Anwar Ibrahim yang disangkakan persis kaum Lut??

Seingat saya yang sudah 25 tahun menetap di persekitaran Setapak Jaya, inilah sejarah yang menakjubkan bagi penduduk Setapak Jaya, kerana terdapatnya karnival LUT & ANWAR yang diadakan serentak dalam satu masa di surau dan juga di padang. Namun saya sedih juga, kisah Nabi Lut di dalam Surau itu masih tidak boleh mengatasi kehebatan Arwah Hamzah Kunjoo Marakan yang sentiasa berjaya mengumpulkan kehadiran yang ramai apabila beliau menganjurkan Karnival Sukan Bolasepak 9 Sebelah dan Hari Keluarga untuk penduduk Setapak Jaya hampir saban tahun sehingga akhir hayatnya.

Allahyarham Hamzah Kunjoo Marakan (Foto kiri) adalah Ketua Masyarakat dan juga Ketua UMNO Cawangan Setapak Jaya Fasa Dua di situ. Beliau kembali ke rahmatullah pada 23 Mei 2010 yang lalu. Masyarakat Setapak Jaya terasa dengan kehilangannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Ceramah Isu Semasa anjuran Pakatan Rakyat di atas padang, Taman Setapak Jaya dalam Parlimen Setiawangsa yang diadakan malam 12 April 2012 telah menyaksikan ribuan penduduk tempatan dan juga masyarakat dari luar kawasan ini terpegun dengan impresi 'permainan kata-kata' yang dicerakinkan oleh Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim telah mengupas beberapa isu politik dengan segala kehebatan yang dimilikinya. Ceramah yang bertenaga itu berlegar-legar tentang perkara yang dipolemikkan seperti isu Altantuya, komisen kapal selam, Rosmah dengan cincinnya, hal permit teksi milik tokoh-tokoh UMNO, isu-isu SPR dan BERSIH 3.0 termasuklah isu pendidikan percuma yang berkait rapat dengan PTPTN yang juga dsentuh oleh Anwar.

Anwar terkejut melihat kehadiran orang ramai di sini kerana menurutnya Setiawangsa dianggap sebagai kawasan putih bagi UMNO/BN, kini bagaikan terpukul gelombang untuk ditawan oleh Pakatan Rakyat dalam PRU13 nanti. Anwar menyatakan harapan dan keyakinannya bahawa tidak mustahil Parlimen Setiawangsa bakal jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, kerana sokongan rakyat yang berpihak kepada Pakatan Rakyat dalam PRU12 yang lepas akan berganda menjelang PRU13.

Jika menoleh kembali keputusan yang dicapai di dalam PRU12 yang lepas, peti undi di Setapak Jaya menyaksikan undi popular kepada UMNO/BN jatuh merudum. Majoriti pengundi Cina di sini bagaikan berdegil untuk terus dominan kepada Pakatan Rakyat. Kecaman dan sanggahan politik yang dicetuskan Anwar Ibrahim di dalam ceramahnya di Setapak Jaya malam tadi memperlihatkan cabaran yang sengit bakal dihadapi oleh UMNO di bawah pimpinan Ahli Parlimen Setiawangsa, Dato' Sri Zulhasnan Rafique.

Permainan kata-kata yang dilemparkan oleh Anwar terhadap pemimpin-pemimpin UMNO haruslah diambil ingatan kerana ianya didendangkan secara santai di atas ketempangan dan kepincangan yang mungkin terserlah di dalam UMNO.

Transformasi politik yang dicetuskan oleh Najib Tun Razak mungkin bagaikan mencurah air ke daun keladi seandainya masih ada golongan oportunis yang terdorong untuk memperkasakan diri sendiri lebih daripada memperkasa parti. Ingatlah, gerombolan yang berpayung di bawah Pakatan Rakyat tidaklah sekuat mana, cuma mereka menjadi semakin kuat di atas kebejatan politik yang melanda UMNO/BN dewasa ini.

Pilihan rakyat hanya satu, jika UMNO mampu menjadi lebih hebat sebagai Sang Juara Rakyat, maka konsistensi untuk UMNO terus berkuasa menjadi semakin cerah. Jika UMNO tidak berupaya melepasi kepompong kehinaan seperti gejalah rasuah, kebejatan moral, kesombongan, berkelahi sesama sendiri untuk merebut takhta, cah keting, bentis membentis dan macam-macam lagi kehinaan yang melilit perjuangan UMNO, maka rebahlah kekuasaan yang kita miliki selama ini.