Dua lelaki telah ditahan berkaitan dengan pendedahan rakaman video seks, yang dikaitkan dengan pemimpin kanan Pakatan Rakyat melanggan pelacur asing bukannya Tan Sri Abd Rahim Thamby Chik dan juga Datuk Syazryl Eskay Abdullah.Demikian disahkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar di dalam satu kenyataannya hari ini, ekoran spekulasi yang menyebut kedua-dua Datuk T telah ditahan polis.
Sementara itu, Timbalan Komisioner Polis Datuk Ghazali Md Amin dari Bukit Aman berkata beberapa barang yang boleh dijadikan bukti telah dirampas daripada kedua-dua lelaki yang ditahan itu. Kedua-duanya dibebaskan dengan diikat jamin oleh pihak polis.
“Salah seorang juga berkata di mana rakaman itu dibuat dan kami telah menghantar pasukan forensik bersama pegawai penyiasat ke lokasi,” kata beliau dipetik The Star Online hari ini.
Pagi tadi, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita bahawa mereka sedang cuba untuk mengenal pasti karakter-karakter dalam video sama ada individu terbabit bertanggungjawab memasang kamera untuk tujuan rakaman.
Laporan awal menyebut ia dirakamkan di ibu negara pada 21 Februari lalu.
Semalam, Abdul Rahim yang merupakan bekas ketua menteri Melaka dan bekas ketua Pemuda Umno menyerahkan video aksi seks terbabit kepada polis.
Beliau menyerahkan video asal itu setelah disoal siasat selama lima jam di ibu pejabat polis Bukit Aman di sini.
Rahim berkata beliau juga menyerahkan kepada polis seutas jam tangan jenama Omega, dikatakan milik lelaki berkenaan yang diambil dari bilik sebuah hotel di mana adegan seks itu dirakam.
Turut disoal siasat ialah Shazryl.
Kelmarin, Rahim mendedahkan kepada media bahawa beliau bersama Shazryl dan Bendahari Perkasa, Datuk Shuib Lazim yang menggelarkan diri sebagai “Datuk T” bertanggungjawab mendedahkan video berkenaan.







