assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, January 30, 2011

TAIB & NAJIB BERADA DI ABU DHABI TARIK PELABUR ARAB, MUNGKIN BINCANG TARIKH PILIHAN RAYA DI SANA

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (foto) sudah mendapat ilham untuk adakan pilihan raya negeri Sarawak pada bila-bila masa sebelum Julai ini. Manakala Dato' Sri Najib Tun Razak juga sudah menunjukkan momentumnya untuk mempercepatkan pilihan raya umum ke-13 pada tahun ini, walaupun tempohnya masih panjang lagi hingga tahun 2013.

Hari ini, 30 Januari 2011 Najib akan berada di Abu Dhabi, manakala Taib Mahmud sudah pun berada lebih awal di negara Arab itu. Di Abu Dhabi Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak akan merasmikan 'Invest Malaysia 2011' bersama-sama dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohammed Bin Zayed Bin Sultan Al-Nahyan.

Invest Malaysia 2011 yang diadakan di Abu Dhabi itu dikatakan mampu menarik pelabur dari negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang telah menunjukkan minat besar di Hab Halal Tanjung Manis (TMHH) di negeri Sarawak. TMHH merupakan projek pembangunan terbesar di bawah SCORE yang mampu menjana ekonomi negeri Sarawak lebih bersepadu menjelang 2020.

Selain daripada menghadiri Invest Malaysia 2011 itu, Najib dan Taib juga dikatakan akan bertemu di sana khusus untuk mendapatkan pandangan-pandangan yang boleh dirumus berkaitan dengan isu pilihan raya yang semakin membahang kehangatannya bukan sahaja di Sarawak, malah ia kini telah menjadi topik nasional.

Taib mempunyai beberapa pilihan untuk mengadakan pilihan raya negeri pada tahun ini. Bulan Februari bukanlah pilihan utamanya untuk diadakan pilihan raya, kerana pada bulan ini masyarakat Cina akan merayakan perayaan Tahun Baru Cina bermula 3 Februari depan. Namun begitu bulan Mac merupakan masa yang sesuai kerana cuti sekolah pertengahan penggal akan bermula 12 - 20 Mac.

Bulan April juga dikatakan tidak sesuai kerana pada bulan ini tidak wujud cuti panjang persekolahan. Walaupun pada 28 Mei sehingga 12 Jun merupakan cuti pertengahan tahun persekolahan, namun dalam jangka masa itu rakyat Sarawak berketurunan Dayak akan merayakan Hari Gawai Dayak yang jatuh pada 1 Jun 2011.

Difahamkan juga bahawa tarikh mengadakan pilihan raya boleh juga diadakan selepas 60 hari daripada tarikh akhir tamat penggal pada 24 Julai ini. Jika peruntukan klausa undang-undang pilihan raya itu digunakan, bermakna pilihan raya negeri Sarawak boleh diadakan sehingga bulan September 2011.

Rasanya jika tarikh pilihan raya Sarawak boleh dilanjutkan sehingga September 2011, maka PRU13 juga boleh diadakan secara serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak pada bulan September. Mungkin boleh diadakan selepas Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada tanggal 30 dan 31 Ogos 2011.


Saturday, January 29, 2011

NAJIB NAK JUMPA SEMUA ADUN BN SARAWAK 6 FEBRUARI INI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Calon-calon ADUN BN semasa pilihan raya Negeri 2006. Dengar khabarnya, banyak muka baru bertanding tahun ini?

ADUN dari komponen BN Sarawak akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Miri pada 6 Februari ini.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datin Fatimah Abdullah ketika
mengesahkan perkara tersebut berkata, perjumpaan berkenaan adalah mirip kepada perjumpaan bersama ahli Parlimen BN yang diadakan di Kuala Lumpur 8 Januari lalu.

"Kali ini Perdana Menteri akan membuat perjumpaan bersama semua ADUN dari komponen BN di Sarawak dan ia pastinya akan membincangkan beberapa perkara termasuk hal berkaitan persiapan pilihan raya negeri,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di Kuching hari ini.

Fatimah yang juga Timbalan Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, perjumpaan bersama Perdana Menteri itu akan diadakan secara berperingkat mengikut kumpulan kecil sepertimana perjumpaan bersama Ahli Parlimen BN baru-baru ini.

Ketika ini Sarawak mempunyai 63 ADUN yang mewakili BN iaitu PBB (35 kerusi), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (12 kerusi) manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memiliki lapan kerusi daripada 71 kerusi DUN yang ada.

Sumber: Bernama

SELAMAT PAGI...SAYA LETAK SEMUA JAWATAN DALAM PKR - GOBALA

Bekas anggota Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga anggota Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan (foto) hari ini mengumumkan perletakan semua jawatan dalam parti itu berkuatkuasa serta-merta. Namub begitu beliau tidak pula berani untuk mengosongkan kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya atas tiket PKR semasa PRU12 yang lalu.

Beliau membuat pengumuman itu menerusi laman sosial twitter beliau yang berbunyi: “Selamat Pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam parti PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO Baru”.

Keputusan beliau untuk meletakkan semua jawatan dalam parti dibuat dalam tempoh kurang sebulan selepas beliau diberikan surat tunjuk sebab kerana mengkritik parti dan pucuk pimpinan melalui surat 45 halaman dari parti bertarikh 31 Dis, 2010 melalui faksimili.

Gobalakrishnan diminta memberikan penjelasan mengenai tindakannya itu kepada Parti Keadilan Rakyat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh surat itu.

Bagaimanapun, Gobalakrishnan berkata, tempoh tujuh hari itu tidak adil dan tidak munasabah kerana beliau hanya mempunyai masa tiga hari untuk menjawab surat itu dan sebaliknya meminta 45 hari untuk menjawab surat itu kerana beliau perlu meneliti pelbagai dakwaan yang dilemparkan terhadapnya.

Gobalakrishnan diberikan surat tunjuk sebab itu kerana mengkritik Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa telah mengarahkan penutupan kuil Sivan di Petaling Jaya, Selangor.


Related Posts Widget for Blogger

Tuesday, January 25, 2011

TAIB & RAGAD WALEED SEJIWA SENADA DI MIRI

Oleh Abdul Rahman Hashim

Pehin Sri Abdul Taib Mahmud & Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib
Pasangan Sejiwa Senada untuk Sarawak

Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isterinya Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib telah diberikan sambutan meriah oleh warga bandaraya Miri pada Sabtu, 22 Januari 2011 lalu, sebaik sahaja mereka berdua sampai ke tapak pameran "Sejiwa Senada Bahagian Miri" anjuran Kerajaan Negeri Sarawak yang berlangsung selama dua hari hingga Ahad, 23 Januari 2011, di Padang Majlis Bandaraya Miri, Sarawak.


Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi dan Pehin Sri Taib Mahmud

Kehadiran Taib bersama isteri barunya bagaikan sireh pulang ke gagang, kerana Miri merupakan tempat kelahiran Ketua Menteri Sarawak itu yang kini membawa sinar bersama seri pengantinnya untuk rakyat negeri ini khususnya di Bahagian Miri.

Elok juga Taib Mahmud turun ke padang di saat rakyat negeri ini telah merasakan bahang kehangatan pilihan raya negeri yang bakal diumumkan dalam jangka masa yang terdekat ini untuk membawa bersama isteri barunya yang jelita rupawan, agar rakyat dapat turut merasai kebahagiaannya.

Kebahagiaan rakyat haruslah diambil kira dan menjadi faktor penting untuk menentukan kebahagiaan kedua-dua mempelai ini akan berterusan sehingga rakyat negeri ini dapat menghadiahkan kejayaan besar pula kepada Barisan Nasional yang dipimpin oleh Taib. Pasangan sejoli 'Taib & Ragad Waleed' biarlah tampak sejiwa dan senada supaya kebahagiaan mereka mampu membahagiakan juga rakyat jelata yang mendoakan pemimpin mereka.

Taib dan Ragad Waleed disambut meriah oleh warga Miri

Jelajah Sejiwa Senada anjuran Kerajaan Negeri Sarawak ini rasanya mampu untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat akar umbi. Program seumpama ini biarah merakyat tidak setakat di Bandaraya Miri sahaja, bahkan ianya penting juga untuk rakyat yang tinggal di bandar-bandar kecil termasuk di desa pedalaman yang meliputi rumah-rumah panjang yang didiami oleh sebahagian besar rakyat yang memberikan sokongan kepada BN selama ini. Rakyat berhak mengetahui agenda pembangunan yang hendak dijalankan oleh kerajaan, kerana rakyatlah yang memberikan mandat sehingga kerajaan terbentuk secara demokratik.

Di samping meminta rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana pembangunannya selama ini, sewajarnya juga pemimpin yang memimpin kerajaan tidak melupakan jasa rakyat yang mengundi mereka sehingga terbentuknya sebuah kerajaan hari ini. Ingatlah, rakyat boleh menukar selera mereka jika selera rakyat tidak dihargai lagi oleh kalangan pemimpin yang digenangi dengan sikap angkuh dan lupa daratan.

Puan Sri Ragad Waleed di sambut mesra oleh warga Miri

Rasanya kepimpinan negeri Sarawak yang diterajui oleh Pehin Sri Taib Mahmud tidak menjurus ke arah itu. Taib telah berjanji akan bekerja keras untuk membahagiakan rakyat selari dengan misi dan visi politik pembangunnnya sejak dahulu hingga ke hari ini. Beliau bersedia untuk membarisi bakal-bakal calon yang mewakili BN di kalangan mereka yang mampu memikat dan memenangi hati rakyat.

Perdana Menteri sendiri sering mengulang-ulangkan seruan ini supaya semua parti komponen BN dapat menentukan hanya calon yang mampu menang sahaja yang dapat diketengahkan dalam pilihan raya yang bakal diadakan nanti.

Taib memang arif dengan situasi ini, lagi pun beliau bukannya calang-calang pemimpin yang boleh dipandang rendah martabat kepimpinannya. Sarawak yang dikemudinya sejak tahun 1981 terbukti semakin stabil dan maju ke hadapan membawa bersama obor 1Malaysia yang sekian lama berjaya dipraktiskan di negeri ini. Najib tak perlu gundah gulana kerana Taib boleh meyakinkan rakyat negeri ini untuk terus kekalkan BN di persada yang sedia ada.

KOLEKSI FOTO
TAIB MAHMUD & RAGAD WALEED AL-KURDI
SEMPENA PAMERAN SEJIWA SENADA
BAHAGIAN MIRI - 22 JANUARI 2011.


Friday, January 21, 2011

TAIB BAYANGKAN BANYAK MUKA BARU BAKAL DITANDINGKAN

Oleh Abdul Rahman Hashim

Taib Mahmud (Tengah) bersama dua Timbalan Ketua Menterinya
Alfred Jabu (Kiri) dan George Chan (Kanan)


Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak membayangkan partinya PBB tidak mempunyai masalah untuk mengenengahkan calon yang boleh membawa kemenangan sebagaimana yang dikehendaki oleh Perdana Menteri, kerana menurutnya kebanyakan penyandang yang sedia ada akan memberi laluan kepada muka baru.

"Kita sudah tahu siapa yang kita nak gantikan dan kebanyakan mereka (penyandang) ini akan memberi laluan kepada muka baru." katanya. Bagaimanapun, Taib berharap parti komponen BN yang lain khususnya SUPP dapat menentukan mereka yang patut menjadi calon pilihan raya serta mampu menarik penyokong baru setelah mempunyai semangat baru bagi menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006.

Taib berkata demikian ketika ditemubual di dalam rancangan dialog bertajuk 'Pembangunan Sosio-ekonomi dan Politik Sarawak' di TV1 pada 19 Januari lepas.

Dalam temubual itu juga Taib Mahmud berkata beliau akan berunding dengan Perdana Menteri samada pilihan raya negeri ini patut diadakan serentak dengan pilihan raya umum.

Pada pilihan raya negeri lepas, BN berjaya memenangi 63 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan. PBB memenangi kesemua 35 kerusi yang ditandingi, SUPP pula menang 11 kerusi daripada 19 yang ditandingi, manakala PRS dan SPDP masing-masing lapan. DAP pula menang 7 kerusi, Parti Cinta Malaysia (PCM) hanya menang 1 kerusi.

Dewan Undangan Negeri Sarawak akan tamat tempohnya pada 24 Julai tahun ini selepas diadakan pilihan raya negeri pada 20 Mei 2006.

Thursday, January 20, 2011

ALFATIHAH...ADUN MERLIMAU MENINGGAL DUNIA

Alfatihah...ADUN Merlimau yang juga Exco Kerajaan Negeri Melaka Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan (foto) sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami satu serangan jantung semalam telah meninggal dunia lewat petang hari ini.

Demikian kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Hospital Putra, Melaka. Berita Warta Perdana jam 8.00 malam hari ini juga telah menyiarkan maklumat mutakhir ini pada penghujung siaran berita tersebut.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Mohd Rustam telah melawat Mohamad Hidhir sejak dari jam 3.15 petang ini ketika Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu kritikal selepas diserang sakit jantung buat kali ketiga pada pukul 6.45 pagi tadi.

Merlimau merupakan salah satu kerusi DUN di dalam kawasan parlimen Jasin, Melaka yang telah dimenangi oleh Allahyarham dalam PRU12 yang lalu. Pilihan raya kecil bagi kawasan DUN Merlimau ini dijangka bakal diumumkan oleh pihak SPR setelah mendapat pengesahan kekosongan kerusi DUN tersebut daripada Speaker DUN Melaka.

Takziah kepada keluarga Allahyarham.


Wednesday, January 19, 2011

PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK SESUAI BULAN MAC INI?

Oleh Abdul Rahman Hashim

Aura Taib Mahmud dan Ragad Waleed Al-Kurdi Taib
akan menyinar pilihan raya Sarawak

Sudah terang lagi bersuluh, tahun 2011 merupakan tahun terpenting kepada kerajaan negeri Sarawak pimpinan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, kerana tempoh edah kerajaan BN negeri ini semakin menghampiri garisan penamat sebelum ia dimandatkan semula oleh rakyat menjelang pilihan raya negeri yang bakal diumumkan pada bila-bila masa dalam sebulan dua ini.

Faktor kebahagiaan dan keceriaan Taib Mahmud bersama isteri barunya Ragad Waleed Al-Kurdi Taib (Foto) yang baru saja disandingkan pada 16 Januari lepas nampaknya bakal mengilhamkan Ketua Menteri itu untuk memilih tarikh yang paling sesuai sebelum Julai 2011 untuk menasihatkan TYT Yang diPertua Negeri Sarawak membubarkan Dewan Undangan Negeri bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan segera.


Parti-Parti Komponen Barisan Nasional Sarawak

Semua parti komponen BN negeri iaitu PBB, SUPP, SPDB dan PRS telah diarah supaya bersiap siaga untuk menanti tiupan nafiri, kerana mood rakyat begitu terpanggil untuk diterjemahkan dalam bentuk undi sokongan mereka samada BN masih relevan untuk memayungi rakyat ataupun mereka ada pilihan lain untuk mewarnai lanskap politik bumi kenyalang ini?

Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN Pusat telah berkali-kali mengulangi bahawa pemilihan calon yang bakal ditandingkan dalam pilihan raya kali ini ialah dari kalangan mereka yang boleh memenangi hati rakyat sekaligus ia menjadi faktor penting untuk kemenangan BN.

Najib bagaikan tidak mahu berkompromi lagi tentang kriteria memilih calon ini, kerana beliau amat menyedari jika tersilap meletakkan calon yang hanya berprestij dengan kedudukan pangkat yang disandang dalam parti, tetapi dibenci oleh rakyat akar umbi. Najib menyarankan agar semua parti komponen BN tidak menamakan calon seumpama ini, kerana akhirnya ia menjadi liabiliti kepada parti seterusnya akan ditolak oleh rakyat.

Sejauh manakah saranan Perdana Menteri ini dapat dihayati dan diterjemahkan oleh ketua-ketua parti komponen BN negeri ini? Apakah kekalahan terburuk yang dialami oleh SUPP dalam pilihan raya negeri 2006 lalu mampu ditebus semula oleh parti tertua Sarawak? Begitu juga apakah SPDP pimpinan William Mawan dan PRS pimpinan Masing boleh menyekat kemaraan Pakatan Rakyat dari semenanjung yang bergandingan dengan Parti SNAP untuk meruntuhkan empayar Barisan Nasional yang sudah terbina sekian lama di Sarawak ini?

Melihat akan cabaran-cabaran ini, tentunya Taib Mahmud sudah boleh membaca dan terkesan untuk melakukan sentuhan modifikasi ke arah memperkasakan keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional. Banyak isu-isu yang menyentuh hati nurani rakyat yang perlu diberikan keutamaan oleh Taib jika masih mahukan sokongan rakyat.

SUPP tidak seharusnya berpuas hati dengan fenomena pengundi Cina yang masih melihat percakaran dan pergeseran dalaman di antara pemimpin parti itu yang memaksa sekali lagi mereka berubah haluan untuk memilih DAP dan PKR sebagai alternatifnya. Kepimpinan Dr. George Chan janganlah dijadikan alasan lagi oleh kebanyakan pengundi Cina untuk tidak memberikan sokongan kepada BN.

Papan iklan Konvensyen SUPP 2010 pada 16 Januari 2011
dirasmikan oleh Perdana Menteri, di Kuching.

Datuk Patinggi Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam, Presiden SUPP telah berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat keturunan Cina dengan penambahbaikan prasarana rakyat terutama yang menyangkut dengan prsarana pendidikan, bantuan sosio ekonomi termasuk kebajikan rakyat dalam bandar dan luar bandar, yang mendapat perhatian oleh Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak.

Perjuangan SUPP selama ini sememangnya diyakini oleh sebahagian besar penduduk berketurunan Cina negeri ini, kerana parti ini terbukti telah banyak menaburkan jasa kepada rakyat sejak dahulu lagi. Mungkin rakyat menjadi bosan akibat krisis kepimpinan yang melanda SUPP sebelum ini, ditambah pula dengan beberapa isu negeri dan isu nasional yang tidak dapat dikawal menerusi media-media internet.

Pehin Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri yang paling lama bertahan ini hendaklah terus menggayakan politik pembangunnnya mengikut rentak dan acuan aspirasi Perdana Menteri yang mencetuskan Gagasan 1Malaysia sebagai formula transformasi politik yang mendahulukan rakyat.

Jika sudah bersedia dan yakin bahawa rakyat telah didahulukan, rasanya Taib Mahmud bolehlah pasrah untuk memberi peluang pula kepada rakyat memperbaharui mandat yang diperolehi selama ini. Najib mungkin memerhatikan kecenderungan sebenar rakyat Sarawak terhadap prestasi Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini, sekaligus akan mengilhamkannya pula untuk mengadakan pilihan raya umum yang tidak kurang hangat diperkatakan sekarang ini.


Nampaknya bulan Februari bukanlah satu tarikh yang sesuai untuk diadakan pilihan raya negeri, kerana di bulan ini masyarakat Cina akan merayakan Tahun Baru Cina yang diraikan secara meriah di Negeri Bumi Kenyalang. Apakah selepas perayaan Tahun Baru Cina iaitu di penghujung bulan Februari menjadi pilihan Taib untuk mengumumkan tarikh sesuai pembubaran DUN Sarawak kerana kemungkinan pilihan raya boleh diadakan pada bulan Mac 2011?

Memilih bulan April (4) mungkin alergik kepada yang mempercayai angka 4 itu sebagai nombor sedih ataupun ia sebagai suatu kematian yang patut dielakkan. Jika begitu, bulan April tidak sesuai untuk diadakan pilihan raya. Mungkinkah angka 3 atau bulan Mac yang sesuai?
Jika memilih bulan Mei, rasanya tidak sesuai bagi negeri ini kerana masyarakat Dayak negeri Sarawak pula akan menyambut Hari Gawai Dayak di penghujung bulan Mei dan awal Jun. Jika mengikut keserasian PM yang mahu 'Rakyat didahulukan' tentunya pilihan raya amat tidak sesuai diadakan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina dan juga Hari Gawai Dayak.

Namun begitu, musim cuti persekolahan yang akan datang juga akan menjadi pilihan yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya, kerana kebiasaannya sekolah-sekolah akan digunakan sebagai tempat pembuangan dan pengiraan undi.

Semoga aura Taib kali ini boleh mempengaruhi yang terbaik untuk BN!