Oleh Abdul Rahman Hashim
Pehin Sri Abdul Taib Mahmud & Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib
Pasangan Sejiwa Senada untuk Sarawak Ketua Menteri Sarawak Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isterinya Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi Taib telah diberikan sambutan meriah oleh warga bandaraya Miri pada Sabtu, 22 Januari 2011 lalu, sebaik sahaja mereka berdua sampai ke tapak pameran "Sejiwa Senada Bahagian Miri" anjuran Kerajaan Negeri Sarawak yang berlangsung selama dua hari hingga Ahad, 23 Januari 2011, di Padang Majlis Bandaraya Miri, Sarawak.

Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi dan Pehin Sri Taib MahmudKehadiran Taib bersama isteri barunya bagaikan sireh pulang ke gagang, kerana Miri merupakan tempat kelahiran Ketua Menteri Sarawak itu yang kini membawa sinar bersama seri pengantinnya untuk rakyat negeri ini khususnya di Bahagian Miri.
Elok juga Taib Mahmud turun ke padang di saat rakyat negeri ini telah merasakan bahang kehangatan pilihan raya negeri yang bakal diumumkan dalam jangka masa yang terdekat ini untuk membawa bersama isteri barunya yang jelita rupawan, agar rakyat dapat turut merasai kebahagiaannya.
Kebahagiaan rakyat haruslah diambil kira dan menjadi faktor penting untuk menentukan kebahagiaan kedua-dua mempelai ini akan berterusan sehingga rakyat negeri ini dapat menghadiahkan kejayaan besar pula kepada Barisan Nasional yang dipimpin oleh Taib. Pasangan sejoli 'Taib & Ragad Waleed' biarlah tampak sejiwa dan senada supaya kebahagiaan mereka mampu membahagiakan juga rakyat jelata yang mendoakan pemimpin mereka.
Taib dan Ragad Waleed disambut meriah oleh warga MiriJelajah Sejiwa Senada anjuran Kerajaan Negeri Sarawak ini rasanya mampu untuk mendekatkan pemimpin dengan rakyat akar umbi. Program seumpama ini biarah merakyat tidak setakat di Bandaraya Miri sahaja, bahkan ianya penting juga untuk rakyat yang tinggal di bandar-bandar kecil termasuk di desa pedalaman yang meliputi rumah-rumah panjang yang didiami oleh sebahagian besar rakyat yang memberikan sokongan kepada BN selama ini. Rakyat berhak mengetahui agenda pembangunan yang hendak dijalankan oleh kerajaan, kerana rakyatlah yang memberikan mandat sehingga kerajaan terbentuk secara demokratik.
Di samping meminta rakyat berterima kasih kepada kerajaan kerana pembangunannya selama ini, sewajarnya juga pemimpin yang memimpin kerajaan tidak melupakan jasa rakyat yang mengundi mereka sehingga terbentuknya sebuah kerajaan hari ini. Ingatlah, rakyat boleh menukar selera mereka jika selera rakyat tidak dihargai lagi oleh kalangan pemimpin yang digenangi dengan sikap angkuh dan lupa daratan.
Puan Sri Ragad Waleed di sambut mesra oleh warga MiriRasanya kepimpinan negeri Sarawak yang diterajui oleh Pehin Sri Taib Mahmud tidak menjurus ke arah itu. Taib telah berjanji akan bekerja keras untuk membahagiakan rakyat selari dengan misi dan visi politik pembangunnnya sejak dahulu hingga ke hari ini. Beliau bersedia untuk membarisi bakal-bakal calon yang mewakili BN di kalangan mereka yang mampu memikat dan memenangi hati rakyat.
Perdana Menteri sendiri sering mengulang-ulangkan seruan ini supaya semua parti komponen BN dapat menentukan hanya calon yang mampu menang sahaja yang dapat diketengahkan dalam pilihan raya yang bakal diadakan nanti.
Taib memang arif dengan situasi ini, lagi pun beliau bukannya calang-calang pemimpin yang boleh dipandang rendah martabat kepimpinannya. Sarawak yang dikemudinya sejak tahun 1981 terbukti semakin stabil dan maju ke hadapan membawa bersama obor 1Malaysia yang sekian lama berjaya dipraktiskan di negeri ini. Najib tak perlu gundah gulana kerana Taib boleh meyakinkan rakyat negeri ini untuk terus kekalkan BN di persada yang sedia ada.
KOLEKSI FOTO
TAIB MAHMUD & RAGAD WALEED AL-KURDI
SEMPENA PAMERAN SEJIWA SENADA
BAHAGIAN MIRI - 22 JANUARI 2011.









