assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, December 30, 2010

MISI MENEBUS MARUAH UMNO DI WP BUKAN DI PUNDAK MUHYIDDIN DAN NONG CHIK SAHAJA...

Oleh Abdul Rahman Hashim
Mengekalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan merupakan satu langkah yang bijak, samalah juga mengekalkan Dato' Sri Najib Tun Razak mengetuai Badan Perhubungan UMNO Selangor dilihat sebagai melangkah ke hadapan untuk menjana transformasi politik memperkasakan UMNO/BN di kedua-dua negeri yang tidak lagi didominasi oleh UMNO dan BN.
Wilayah Persekutuan sejak dahulu lagi majoriti kerusi parlimennya tidak berpihak kepada Barisan Nasional. Meletakkan Timbalan Perdana Menteri mengetuai Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan rasanya bukan bermakna sebagai jaminan mudah untuk menjadikan UMNO menguasai semua 13 kerusi parlimen yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putraja dan juga di Wilayah Persekutuan Labuan; namun saya percaya faktor kepimpinan Timbalan Perdana Menteri di Wilayah Persekutuan ini dilihat lebih menjurus ke arah memantapkan lagi keperkasaan kepimpinan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO di Wilayah ini.
Bukanlah mudah untuk mengurus 'politik kerja' di wilayah yang bukan bertaraf 'sebuah negeri' jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain yang memiliki sebuah kerajaan negeri seperti Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Selangor, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Di negeri-negeri yang mempunyai Menteri Besar ataupun Ketua Menteri, sistem dan struktur politiknya berpaksikan kepada mandat dan pilihan rakyat negeri itu dalam sesebuah pilihan raya peringkat negeri berkenaan. Berbanding dengan Wilayah Persekutuan, ia tidak mempunyai kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) yang akan dipertandingkan dalam PRU yang membolehkan terbentuknya sebuah kerajaan negeri berlandaskan majoriti pilihan rakyat.
Walaupun UMNO sejak dahulu lagi telah mengetuai kerajaan Negeri Selangor, namun dalam PRU12 tahun 2008 yang lalu majoriti rakyat negeri itu telah menolak UMNO dan BN sehingga UMNO/BN kini berada di blok pembangkang. Begitu juga di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Perak sebelum ini, di mana majoriti rakyat telah memilih Pakatan Rakyat membentuk kerajaan di negeri-negeri berkenaan.
Jika kita melihat sistem politik di Wilayah Persekutuan, UMNO/BN tidak dibebankan dengan kerunsingan untuk membentuk kerajaan negeri, kerana Wialayah ini bukanlah sebuah negeri. Namun, jikalau Wilayah Persekutuan menjadi sebuah negeri seperti negeri-negeri lain, sudah pasti negeri ini dikuasai oleh Pakatan Rakyat. Walaupun kemenangan di tiga buah kawasan parlimen iaitu di Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan, namun UMNO/BN tidak berjaya untuk menembusi 10 kawasan parlimen yang lainnya dalam PRU12 yang lalu.
Kawasan parlimen yang sepatutnya dimenangi oleh UMNO seperti di Lembah Pantai dan juga di Titiwangsa, namun ia tertiarap dan kecundang di tangan PKR dan juga PAS dalam PRU yang lepas. Kemungkinan untuk menang di Wangsa Maju memang ada, namun rata-rata pengundi di sana berpendapat kalaulah calon UMNO yang bertanding di kawasan itu, tentunya BN tidak kecundang dengan majoriti tipis 150 undi.
UMNO/BN bernasib baik di parlimen Setiawangsa, kerana calonnya Zulhasnan Rafique walaupun tertewas dalam pengiraan undi di beberapa kawasan peti undi, namun ia diselamatkan oleh pengundi-pengundi pos dari kalangan tentera dan juga polis. Kegagalannya untuk memenangi hati rakyat amat mengejutkan beliau, kerana populariti dirinya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan telah tercalar akibat gelombang tsunami PRU12.

Penyerahan tugas Menteri Wilayah Persekutuan
Walaupun Zulhasnan Rafique adalah satu-satunya calon dari WP Kuala Lumpur yang menang dalam PRU12 yang lalu, namun beliau tidak bernasib baik kerana tidak dikekalkan dalam kabinet Dato' Sri Najib, sebaliknya Perdana Menteri telah melantik Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sebagai senator bagi membolehkan dirinya menggantikan Zulhasnan Rafique sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Zulhasnan bukan sahaja kehilangan jawatan menteri, malah beliau juga tidak dikekalkan untuk mengetuai Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, kerana tempatnya telah digantikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Timbalan Perdana Menteri, manakala Menteri Wilayah Persekutuan yang baru itu dilantik pula sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Kombinasi pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Raja Nong Chik dilihat mampu untuk melakukan anjakan paradigma sebagai persediaan untuk memperkasakan perjuangan UMNO di Wilayah Persekutuan yang semakin mencabar ini.
Persoalan samada Menteri Wilayah Persekutuan yang baru ini mampu mengenepikan Nurul Izzah di Lembah Pantai dalam PRU13 nanti, sama-samalah kita melihat apakah anjakan yang dicipta ini benar-benar mampu menawan semula hati pengundi di kawasan yang pernah diwakili oleh Shahrizat Jalil ini.
Raja Nong Chik perlu membuktikan kehadirannya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dapat menandingi kehebatan Nurul Izzah yang kini menjadi Naib Presiden PKR. Justeru, sewajarnya parlimen Lembah Pantai dirampas semula oleh UMNO/BN dalam PRU13 kelak. Misi ini bukanlah kerja mudah tetapi ia memerlukan kesungguhan yang berganda untuk merakyatkan semula UMNO yang telah ditolak oleh rakyat Lembah Pantai.
Parlimen Titiwangsa juga tidak pernah dimenangi oleh pembangkang sebelum ini, tetapi gelombang tsunami PRU12 2008 telah memangsakan juga UMNO yang pernah diwakili oleh Idris Ibrahim, Idris Basri, Dr. Suleiman Mohamed dan juga Astaman Abdul Aziz (Foto kiri).
Mereka ini mampu menggalas pengaruh UMNO untuk kekal di kawasan ini, tetapi percaturan yang menggugurkan Astaman Abd. Aziz daripada terus bertanding dalam PRU yang lepas telah menyebabkan kekecewaan bukan sahaja kehilangan pengaruh yang masih mahukan Dr Suleiman Mohamed yang mengetuai UMNO Bahagian itu, malah tidak kurang juga menghampakan sebilangan pengaruh rakyat yang baharu sahaja hendak bermanja dengan Datuk Astaman Abdul Aziz yang telah menggerakkan jentera Yayasan Pendidikan Titiwangsa di kawasan yang diwakilinya.
Kehadiran calon penggantinya (Aziz Jamaludin) banyak menimbulkan keresahan di kalangan rakyat di Titiwangsa, di mana akhirnya mereka terpaksa memecah rekod memilih Dr Lo Lo dari PAS daripada memilih Aziz Jamaludin (Calon UMNO). UMNO terpaksa menggigit jari di Titiwangsa, sebelum bangkit semula dalam PRU13 nanti.
Apakah pemangku Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa sekarang, Dato' Johari Ghani mampu menggalas tugas untuk menebus kembali memartabatkan pengaruh UMNO di Titiwangsa? Sekali lagi misi agenda merakyatkan UMNO perlu digandakan di kawasan ini. Sumbang politik dalaman yang melemahkan parti janganlah dibiarkan melilit tengkok sendiri.
Nampaknya Parlimen Wangsa Maju yang sepatutnya menang dalam PRU12 juga menjadi mangsa akibat sedikit kekecewaan pengundi-pengundi Melayu yang berkehendakkan supaya calon UMNO bertanding di sana. Apakah kekalahan calon MCA di Wangsa Maju di tangan PKR dalam PRU12 yang lalu menjadikan Yew Teong Look (YTL) akan serik untuk berhadapan semula dalam PRU13 nanti?
Perlantikan Dato' Dr Shafei Abdullah (Foto kanan), Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju sebagai Pengerusi Barisan Nasional Parlimen Wangsa Maju menggantikan Yew Teong Look (YTL) daripada MCA dilihat sebagai indikasi samada Shafei mampu menggalas tugas memperkasakan UMNO/BN di Wangsa Maju ataupun beliau bakal diangkat untuk menjadi calon UMNO/BN menjelang PRU13 kelak.
Kecenderungan pengundi Cina di kawasan ini agak menggugat siapa jua calon BN yang bakal bertanding di Wangsa Maju. Dato' Shafei harus menguatkan lagi keyakinan pengundi untuk mendekati UMNO dan juga Barisan Nasional. Masalah siapa juga yang bakal diletakkan di situ menjadi kayu pengukur KPI kepada pemimpin-pemimpin UMNO dan parti komponen BN terutamanya MCA yang juga mahukan kerusi ini ditandinginya.
UMNO dilihat akan terus bertapak di Parlimen Putrajaya dan juga Labuan. Namun BN di WP di bawah kepimpinan Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin perlulah menggandakan usaha untuk mencipta sejarah kebangkitan slogan 1MALAYSIA yang diimpikan oleh pencetusnya Dato' Sri Najib, supaya kawasan-kawasan kelabu/hitam seperti Bukit Bintang, Cheras, Seputeh, Kepong, Batu, Bandar Tun Razak dan Segambut dapat diBNkan.
Inilah rentetan cabaran dan maruah yang harus digalas oleh mereka yang berada di tampuk kekuasaan, samada di peringkat Perhubungan Wilayah Persekutuan mahupun di peringkat Bahagian/Parlimen malah di peringkat akar umbinya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, menjelang PRU13 nanti, banyak pengorbanan dan pembaharuan yang perlu dianjak oleh UMNO jika benar-benar mahukan rakyat meyakini semula UMNO.
Rasanya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Raja Nong Chik yang dikekalkan menerajui UMNO di Wilayah Persekutuan ini juga mereka tahu betapa getirnya perjuangan untuk menebus semula maruah UMNO dan juga BN di Kota Metropolitan ini.
Harap-harap kombinasi Syed Ali Habshee di Cheras, Abas @ Yahya Ghani di Batu, Zulhasnan Rafique di Setiawangsa, Shafei Abdullah di Wangsa Maju, Saharudin Zainal Abidin di Bandar Tun Razak, Kamarudin Ambok di Segambut, Rizuan Hamid di Kepong, Azim Zabidi di Bukit Bintang, Johari Ghani di Titiwangsa, Mustapha di Seputeh, Tengku Nan di Putrajaya, Yunus Kurus di Labuan termasuk Raja Nong Chik di Lembah Pantai akan menjadi pelengkap kepada kekuatan UMNO yang dikepalai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Sunday, December 26, 2010

MALAYSIA GANYANG INDONESIA 3-0

Tahniah, pasukan bola sepak negara (Malaysia) telah berjaya membenam dan mengganyang pasukan Indonesia dalam perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki dengan kelebihan agregat 3 - 0 di Stadium Bukit Jalil, malam semalam.
(Foto kiri - Bung Karno pelopor kemerdekaan Indonesia)

Piala AFF Suzuki nampaknya semakin hampir untuk dijulang oleh 27 juta rakyat Malaysia, kerana pasukan harimau negara kita hanya memerlukan 90 minit sahaja lagi untuk membaham pasukan garuda Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 29 Disember ini.

Stadium utama negara itu yang memahatkan nama Sukarno sebagai pejuang dan pelopor kemerdekaan tanah airnya mungkin menjadi medan utama untuk mereka mengganyang Malaysia sekali lagi, namun pasukan garuda itu terpaksa menerima hakikat betapa pasukan Malaysia kini semakin perkasa, malah tidak semudah yang disangka jika mereka masih mahu mengganyang Malaysia, walaupun di gelanggang Bung Karno.

Nampaknya kehebatan Bung Karno ketika melancarkan Konfrantasi Ganyang Malaysia atau KOGAM pada April 1964, tidak mampu mencengkam lagi akan kehebatan dan keperkasaan Malaysia hari ini.

Semangat daya juang yang terpahat oleh kesebelasan wira negara telah memberikan isyarat kepada kesebelasan pemain Indonesia supaya tidak lagi memandang rendah keupayaan negara ini untuk membaham sesiapa pun walaupun di Stadium Gelora Bung Karno (Foto kanan).

Yakinlah, jika di Stadium Bukit Jalil pasukan harimau mengganyang pasukan garuda dengan jaringan 3 - 0, mampukah pasukan garuda untuk menewaskan pasukan harimau pada 29 Disember nanti? Kelebihan dan ketangkasan harimau nampaknya tidak memungkinkan garuda untuk ke sekian kalinya mengganyang Malaysia.

Tahniah Malaysia!

HARIMAU MEMBAHAM GARUDA

Friday, December 24, 2010

PRK TENANG: MENGUNDI 30 JANUARI 2011, PENAMAAN CALON 22 JANUARI 2011

ec announces no by election will be held in perak 030209 spr chairman 02Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Labis, Johor telah ditetapkan pada 30 Januari (Ahad) depan.

Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jan, (Sabtu) kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.

Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.

Menurut Abdul Aziz (kanan), seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.

Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu.

Abdul Aziz berkata, sebanyak 376 petugas telah dilantik sepanjang lapan hari tempoh berkempen. Manakala seorang pengurus pilihan raya dan tiga penolongnya daripada Majlis Daerah Labis turut dilantik.

Sumber: Malaysiakini

Wednesday, December 22, 2010

WAJAH-WAJAH ISTERI BARU TAIB MAHMUD

Pernikahan Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, 74, dengan pasangan barunya gadis berketurunan arab Lubnan pada ahad lalu (19 Disember 2010) telah memberi sinar ceria bukan sahaja bagi dirinya malah telah memberi sinar baru kepada Sarawak Bumi Kenyalang yang beliau pimpin selama ini.

Kita doakan kebahagiaannya kerana beliau berhak untuk memilih jalan kebahagiaan itu! Jangan dipesongkan jodohnya itu sehingga terbit perasaan cemburu yang menafikan hak asasinya untuk beristeri dengan gadis pilihan hatinya.



Saturday, December 18, 2010

TAIB MAHMUD DAH KAHWIN BARU KE?

Taib Mahmud berkahwin gadis Lebanon

Perhubungan dengan Dian P Ramlee hanyalah gossip
Berita kencang yang membawa khabar bahawa Ketua Menteri Serawak, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, 74, dikatakan telah mengangkat nikah dengan seorang wanita Arab dipercayai dari Lebanon berusia 30-an sudah pastinya akan menggembirakan rakyat Serawak.

Ini kerana bukan sahaja sebuah mesjid terbina tetapi Ketua Menteri mereka tidak lagi didakap kesepian dan kedinginan malam yang sering menikam kalbu.

Faktor usia, kemampuan dan kekuatan bukan menjadi halangan kerana Serawak merupakan pengeluar utama "gambir" dari hutan Borneo tropika di dunia.

Ramai yang mengatakan kekuatan lelaki terletak pada kekuatan isteri, kalau isterinya muda dan jelita walalupun usia agak lewat tetapi jiwanya secara automatic akan menjadi cergas dan cerdas.

Dalam lain perkataan mineral dan vitamin yang disajikan isteri muda akan menjadi lonjakkan untuk beliau kekal dan meneruskan perjuangan sebagai Ketua Menteri Serawak selagi minda mampu mengenali bulan dan matahari.

SELAMAT PENGANTIN BARU.

(Petikan dari blog 'Mummy Rokiah')

Friday, December 17, 2010

DATUK SULAIMAN TAHA ADUN TENANG, JOHOR MENINGGAL DUNIA!


Al-Fatehah! Datuk Haji Sulaiman Taha, 59, ADUN Tenang (Foto sebelah) merangkap Ketua UMNO Bahagian Labis, Johor, kembali ke rahmatullah di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur, pada jam 1.10 pagi, 17 Disember 2010. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Labis selepas Fardhu Jumaat hari ini.

Allahyarham Sulaiman yang juga mantan Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Sri Najib Tun Razak, di masukkan ke Pusat Perubatan Ampang Puteri pada 24 November 2010 untuk menjalani rawatan penyakit kencing manis.

Sama-samalah kita hadiahkan Al-Fatehah kepada Allahyarham dan doakan semoga rohnya akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT.

Thursday, December 16, 2010

UMNO BELUM SESUAI MASUK KE SARAWAK?

Oleh Radzi Jaafar

Beberapa kali usaha dibuat untuk membawa UMNO masuk
ke Sarawak, tetapi semuanya gagal!

Datuk Dr Abg Hj Abd. Rauf menyampaikan ucapannya

Delegasi dari Setiawangsa bergambar di halaman rumah Datuk Dr. Abg Rauf

Para delegasi Setiawangsa di ruang tamu kediaman Dr. Abg Rauf

Rantaian 10 delegasi Setiawangsa yang berkunjung ke Sarawak


YB Datuk Dr Abang Haji Abdul Rauf Bin Abg Haji Zen Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak tidak menolak kemungkinan suatu hari nanti UMNO boleh masuk ke Sarawak, namun buat masa ini ia tidak sesuai lagi untuk UMNO berbuat demikian.

(Foto kiri - Dr Abg Rauf bersama Abdul Rahman Hashim)

Demikian pandangan yang diberikan oleh beliau semasa menyampaikan ucapan di hadapan sepuluh orang pemimpin UMNO daripada Bahagian Setiawangsa, Wilayah Persekutuan yang berkunjung ke kediamannya di Kampung Siol Kandis, Petra Jaya dekat Kuching, Sarawak pada 10 Disember lalu.

Menurut beliau, Parti PBB yang diterajui oleh Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (Foto kanan) masih relevan malah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak itu masih diperlukan oleh rakyat negeri ini.

Beliau menambah bahawa PBB merupakan parti yang telah berjaya menyatu padukan rakyat negeri ini yang mempunyai kepelbagaian kaum, adat resam dan juga anutan agamanya.

UMNO mungkin sesuai di semenanjung untuk perjuangan membela orang-orang Melayu di sana, tetapi Melayu dan Bumiputera di negeri Sarawak lebih selesa di bawah PBB yang menjadi teras kepada BN di negeri ini.


Kelihatan dari kiri Roselan, Joe, Shah dan Samad

Bergambar di Pangkalan Batu Water Front Sungai Sarawak

Bergambar di Water Front Sungai Sarawak berlatar belakang Kompleks
Dewan Undangan Negeri Sarawak yang baru

Gambar selepas makan malam di Hotel Hilton Kuching.
Dr. Razali (empat dari kanan) sahabat lama yang bertemu kembali di Kuching.
Beliau menjadi host makan malam di Hotel Hilton Kuching, 10 Disember 10.

10 delegasi Setiawangsa di pejabat Skuad 69 PDRM Sarawak di Jalan Rubber, Kuching.
Abdul Rahman Hashim (paling kanan) juga merupakan Setiausaha Eksekutif
Skuad 69 PDRM Sarawak

Dr Rauf juga berkata, konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri amat sesuai bagi sebuah negara yang terdiri daripada berbilang bangsa, agama dan juga budaya seperti Malaysia. Negeri Sarawak menurutnya telah lama mempraktriskan konsep 1Malaysia ini malah kini semakin diperkasakan demi untuk kemakmuran negara amnya dan negeri Sarawak khasnya.

Sementara itu, Abdul Rahman Hashim yang mengetuai delegasi 10 orang pemimpin-pemimpin NGO dari Parlimen Setiawangsa yang berkunjung ke negeri ini telah menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Dr Abang Rauf yang sudi menerima kehadiran 10 delegasi yang terdiri daripada Abdul Rahman Hashim, Roselan Abdul Rahman, Abas Mohd. Dom, Samad Saim, Yahya Taher, Nasir Md. Amin, Badrun Masan, Radzi Jaafar, Md. Zahari@Joe dan Md. Shah Abdul Wahab.

Kesemua mereka merupakan pemimpin masyarakat yang bergiat cergas di dalam UMNO, Perkasa dan juga Kelab Sukan & Rekreasi Warga Kota Kuala Lumpur. Kunjungan 10 orang ke kediaman Datuk Dr Abang Haji Abdul Rauf ini merupakan acara pertama lawatan muhibah ke negeri ini sebaik sahaja ketibaan pesawat dari Kuala Lumpur menuju ke Kuching kira-kira jam 1.00 tengahari.

Foto atas & bawah: di Pasar Tamu Satok membeli ikan terebuk masin


Kunjungan hormat terhadap Datuk Dr Abang Haji Abdul Rauf ini telah berlangsung selama dua jam bermula pukul 4.30 petang, sebelum meneruskan lawatan santai ke Kompleks Dewan Undangan Negeri dan juga ke Kampung Gersik di Petra Jaya, Kuching.

Lawatan muhibah yang bermula 10 Disember dan berakhir pada 12 Disember lalu amat memberi makna kepada sepuluh orang delegasi yang terbabit. Kesemua mereka juga telah dapat berkunjung ke Serikin (Daerah Bau) iaitu satu penempatan kaum Bidayuh yang terletak di sempadan Sarawak/Kalimantan, Indonesia.


Membelek cincin yang terdapat di Serikin

Bergambar di hadapan di Pondok Polis Serikin, Bau

Di Serikin, para delegasi telah sempat membeli belah barang-barang keperluan seperti tikar Sarawak, pakaian, cenderamata, ubat-ubatan tradisional dan lain-lain yang sukar diperolehi di Kuala Lumpur.

Sesungguhnya kunjungan selama 3 hari 2 malam ke negeri Sarawak Bumi Kenyalang ini begitu singkat sekali, kerana masih terdapat banyak lagi tempat-tempat menarik yang tidak sempat dilawati. Namun begitu banyak kenangan manis yang begitu nostalgik sepanjang 3 hari berada di Kuching.

Sekalung penghargaan kepada Abdul Rahman Hashim (Ketua Delegasi) dan juga Roselan Abdul Rahman yang begitu arif dengan suasana di negeri Sarawak ini. Mereka berdua telah berjaya menambat hati-hati kami untuk terbang lagi ke Bumi Kenyalang, setidak-tidaknya akan ada tawaran selepas ini untuk kami membantu kempen pilihan raya umum negeri itu yang bakal diadakan sedikit masa lagi.