assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Monday, December 6, 2010

BN, DI ANTARA KHAYALAN, KELUPAAN, KEJUMUDAN DAN KEANGKUHAN

Oleh Abdul Rahman Hashim

BN kena elakkan 4 penyakit jika ingin berkuasa lagi

Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional mengajak semua anggota komponennya supaya mengelakkan diri daripada empat gejala penyakit besar yang sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.

Empat penyakit tersebut delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan.

Menurutnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri. Baginya, keempat-empat penyakit ini perlu dielak dan dijauhkan sebelum rasa sayang rakyat kepada BN berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan.

(Foto kiri di atas - naskhah teks ucapan Dato' Sri Najib di Konvensyen BN 2010)

Beliau berkata demikian di dalam ucaptamanya sempena Konvensyen Barisan Nasional 2010 yang diadakan semalam (5 Disember 2010) di Dewan San Choon, Wisma MCA dekat Kuala Lumpur. Ucapan dasar Najib itu dialunkan dengan penuh bersemangat di hadapan lebih dua ribu perwakilan yang mewakili parti -parti komponen BN dari seluruh negara.


Ikrar Piagam Barisan Nasional 2010 dilafazkan...


Saya sendiri berada di dalam dewan tersebut (sebagai perwakilan dari UMNO WP), dan saya mendapati getaran ucapan dasar Perdana Menteri itu mampu menyuntik semangat yang tinggi kepada semua deligasi dari 13 parti komponen BN. Kesemua yang hadir dilihat begitu mengkagumi visi yang digariskan oleh pemimpin mereka itu, malah rata-rata perwakilan begitu optimis bahawa ucapan Najib kali ini menjurus kepada persediaan untuk menghadapi PRU13 yang dibayangkannya semakin hampir.

Saya bersama Tengku Adnan, Setiausaha Agung BN di Konvensyen BN 2010

Saya bersama Dato' Shafei (Setpol Najib) yg juga Ketua Penerangan

UMNO Wilayah Persekutuan

Suasana di dalam Dewam San Choon
Perwakilan Konvensyen BN 2010

Ucapan yang bertemakan 'Mengukuh Barisan Mendahulu Rakyat' merupakan satu tiupan nafiri dari seorang pemimpin yang tampak lebih serius untuk melakukan transformasi politik yang lebih ampuh setelah parti ini kehilangan majoriti 2/3 dalam PRU12 lalu.

Dato' Sri Najib Tun Razak begitu yakin rakyat semakin menampakkan kecenderungan untuk kembali menyokong Barisan Nasional. Dambaan ini dibuat berasaskan kepada angin perubahan rakyat yang dirasainya bakal menjadikan BN sebagai parti yang mampu menebus kembali kekalahan yang dialami di beberapa kerusi dalam pilihan raya yang lepas.

Menurutnya, untuk bangun kembali, BN mesti mencari formula pemulihan dalam melaksanakannya secara konsisten. Padanya, empat gejala penyakit yang disebutkan itu jika tidak dapat dihindari, hanya akan menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah kepada BN.

Pucuk pangkalnya, Najib berkata semua pihak di dalam BN hendaklah lebih berani melangkah ke hadapan untuk menggapai kekuatan baru memenuhi harapan rakyat hingga ke akar umbi. Najib meminta semua anggota komponen BN harus memahami denyutan nadi rakyat, kerana menurutnya rakyat hendak tahu apakah BN kali ini lebih bersedia untuk mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat.

Dato' Sri Najib juga secara sinikal menyifatkan pihak pembangkang hanya mampu memperdagangkan mimpinya (traders of dream), mencanangkan angan-angan dan mencetak khayalan untuk memperdayakan rakyat, sedangkan BN adalah parti yang menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, merchant of realities, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan yang jitu, serta perlaksanaan kerjanya lebih tersusun.

Menurutnya lagi, pembangkang cuba meniru konsep kerjasama yang diamalkan di dalam BN. Namun begitu baginya, usaha pihak pembangkang hanya sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, tidak memiliki wawasan malah nilai yang dikongsi bersama hanya bersifat talam dua muka.

Beliau juga menyifatkan antara DAP dan PAS tidak akan wujud kerjasama yang berpanjangan, mereka hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak macam bersatu tetapi hakikatnya telunjuk sahaja yang lurus, kelingking tetap berkait. Di antara kedua-dua parti ini mereka hanya bersatu semata-mata kerana ada orang ketiga. Kalau dahulu ada Parti Melayu Semangat 46, tetapi hari ini peranan itu diambil alih oleh PKR yang beliau sifatkan sebagai 'Parti Keluar Ramai-Ramai'.

Hakikatnya, ketiga-tiga parti lawan yang mendakwa bersifat pelbagai kaum, tetapi sebenarnya merekalah parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja. Jika ada pun kaum-kaum lain, hanyalah bersifat token atau sekadar kosmetik.

Sebenarnya menurut Najib, mereka bukan Pakatan Rakyat tetapi hanyalah pakatan tiga empat kerat, atau tiga empat kepala atau tiga empat orang sahaja. Lebih tepat dikatakan, mereka adalah parti dua buah keluarga dengan satu pihak lagi sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan.

Seterusnya Najib berkata, inilah kelainannya konsep BN yang memang dari segi hakiki dan maknawinya benar-benar berdasarkan perkongsian sejati rakyat dengan mengiktiraf realiti kepelbagaian kaum.

Konvensyen sehari ini telah berakhir kira-kira jam 6.00 petang selepas semua perwakilan melafazkan ikrar 'Piagam Barisan Nasional 2010' di hadapan Dato' Sri Najib Tun Razak dan pemimpin-pemimpin parti komponen BN yang lainnya.


Saturday, December 4, 2010

SELAMAT BERSIDANG KEPADA SEMUA DELEGASI KONVENSYEN BARISAN NASIONAL 2010



Hari ini lebih dua ribu orang perwakilan yang mewakili komponen parti Barisan Nasional dari seluruh negara telah berada di Kuala Lumpur untuk menyertai Konvensyen Barisan Nasional 2010 yang akan bermula esok 5 Disember, di Dewan San Choon, Wisma MCA. Konvensyen ini akan dirasmikan oleh Pengerusinya Dato' Sri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Malam ini semua perwakilan akan diraikan oleh Perdana Menteri dalam satu majlis makan malam yang diadakan di Kediaman Perdana Menteri di Sri Perdana, Putrajaya. Petang tadi Wisma MCA di Jalan Ampang telah mula menjadi tumpuan dimana semua perwakilan telah mendaftarkan nama masing-masing sebelum konvensyen ini dilangsungkan pagi esok.

Dato' Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional dijangka akan menyampaikan ucaptamanya kira-kira jam 10.00 pagi sebelum ianya dibahaskan oleh Presiden-Presiden parti komponen BN sehingga sesi petang.

Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO akan mewakili UMNO di dalam sesi perbahasan tersebut sebelum ianya digulung oleh Dato' Sri Najib Tun Razak. Mengakhiri konvensyen ini nanti, Dato' Sri Najib Tun Razak akan menerima 'Piagam Barisan Nasional' sebagai resolusi untuk dijadikan pelan tindakan ke arah memantapkan hala tuju perjuangan Barisan Nasional.

Tag Perwakilan saya

Sebagai Ketua Pengarang Buletin UMNO Wilayah Persekutuan, saya akan berada di sepanjang konvensyen ini untuk membuat liputan berita. Saya berterima kasih kerana diberikan peluang menjadi perwakilan ke konvensyen ini.








Tuesday, November 9, 2010

DULU KECEWA DENGAN UMNO, KINI ZAID DIKECEWAKAN PKR!

Zaid Ibrahim - UMNO>PKR> ?

Zaid Ibrahim bukan sahaja meletakkan semua jawatannya dalam PKR, tapi telah menggesa pula Anwar dan Azmin mengundur diri dari jawatannya. Sepatutnya orang yang telah kecewa ini tidak layak bercakap pasal kepimpinan parti yang baru beliau sertai.....dulu dia pernah kecewa dalam UMNO lantas menagih simpati Anwar untuk masuk PKR, hari ini dia paparkan gelagat hinanya dalam politik...dia bagaikan terlupa tentang kelemahan dirinya.

Demikianlah satira politik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini yang terlalu mengidamkan jawatan tertentu di dalam parti yang baru sahaja beliau sertai. Zaid dengan angkuhnya berkata bahawa PKR hari ini tidak memerlukan lagi Anwar dan Azmin, sebaliknya menyatakan bahawa dirinyalah yang paling layak untuk mengetuai PKR.

PKR perlulah melakukan muhasabah diri apakah orang seperti ini perlu lebih lama berada di dalam premisnya setelah UMNO mengecewakannya. Semasa berada di dalam UMNO, beliau terlupa bahawa dirinya tidaklah sehebat Annuar Musa di Kelantan, jauh sekali tidak menyamai aura Nik Aziz MB Kelantan.

Nampaknya aura Zaid Ibrahim seiras dengan Ibrahim Ali di Kelantan yang bertindak menikam UMNO setelah dirinya tidak dilantik semula mengetuai UMNO Pasir Mas, dan kemudiannya menagih simpati PAS untuk membolehkan beliau menyertai pilihan raya umum ke-12 yang lalu menggunakan lambang bulan yang beliau kutuk hari ini.

Mengapakah Zaid tergamak merendahkan martabat politiknya sehingga beliau telah dianggap telah bertindak bagaikan ejen UMNO di dalam parti PKR. Tingkah lakunya yang kecewa kerana tidak mendapat sokongan padu oleh sebahagian besar anggota PKR untuk beliau berhadapan dengan Azmin Ali yang terbukti amat setia dengan perjuangan PKR bagi merebut jawatan Timbalan Presiden, telah mendorong dirinya menjadi 'desparado' sehingga tergamak mencerca pemimpinnya sendiri (Anwar Ibrahim).

Patutlah beliau tidak sepopular Azmin yang kini telah meninggalkan jauh populariti Zaid dari segi perolehan undi bagi jawatan yang ditagihnya. Tindakannya itu rasanya bukanlah budaya UMNO, kerana Ali Rustam juga pernah diketepikan daripada sirkit pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO, tetapi Ketua Menteri Melaka itu tidak terdorong untuk melatah menjadi pengkhianat parti. Ali Rustam akur dengan keputusan Lembaga Disiplin UMNO itu dan beliau kini menjadi lebih matang di dalam UMNO.

Zaid Ibrahim tidaklah perlu untuk menyatakan kekesalannya di dalam PKR, kerana itu jugalah pilihannya setelah dikecewakan di dalam UMNO. Mungkin UMNO akan memperolehi keuntungan di sebalik kutukan dewata Zaid Ibrahim terhadap PKR yang menjadi seteru UMNO.

Naib Presiden UMNO Zahid Hamidi pula begitu terburu-buru meminta supaya Zaid Ibrahim menyertai semula UMNO yang pernah dikutuknya semasa bercumbuan di dalam PKR. Apa istimewanya Zaid Ibrahim untuk dipelawa masuk semula ke dalam UMNO, sedangkan Ibrahim Ali yang begitu kuat memuja dan memuji Najib di dalam PERKSA tidak mendapat pelawaan sebagaimana Zaid Ibrahim.

Walau bagaimanapun saya bersetuju jika Zaid Ibrahim tidak terus berada di dalam PKR kerana beliau tidak mempamirkan watak yang baik di dalam parti itu. UMNO yang pernah dipujanya sebelum ini mungkin layak untuk orang seperti dia.


Sunday, November 7, 2010

NAJIB KELUAR HOSPITAL HARI INI...

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak kini sudah sihat dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini. Demikian kenyataan semasa menonton Buletin Tengah Hari TV3 hari ini. Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Khamis lalu kerana mengalami ulser dan gastritis.


Dato' Sri Najib Tun Razak semasa di hospital Kuala Lumpur.

Friday, November 5, 2010

NAJIB KENA ULSER DAN GASTRITIS, AKAN BERADA DI HOSPITAL BEBERAPA LAGI

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

"Beliau telah mula diberi rawatan dan keadaannya beransur baik," kata Dr Mohd Ismail, dan menambah perdana menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi.

- Bernama

DULU NIK AZIZ MASUK HOSPITAL NAJIB DATANG MELAWATNYA, KINI NAJIB MASUK HOSPITAL, NIK AZIZ TAK DATANG KE?

Najib ziarah Nik Aziz

Thursday, November 4, 2010

BN MERAMPAS SEMULA DUN GALAS DAN KEKAL MENANG DI PARLIMEN BATU SAPI...TAHNIAH!


Abd. Aziz Yusof dan Datin Linda Tsen Thau Lin

Keputusan tidak rasmi di DUN Galas menyaksikan BN telah berjaya merampas semula kerusi tersebut daripada PAS. Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 3,744 undi, manakala calon BN Abdul Aziz Yusof (Foto di atas) telah memperolehi 5,177 undi dengan majoriti 1,069 undi.

Kejayaan merebut kembali takhta di Galas membuktikan betapa rakyat Kelantan sudah mula menunjukkan kebosanan mereka terhadap PAS yang sudah memerintah negeri itu sejak 20 tahun yang lalu.

AURA KU LI MENYENGAT DI GALAS...

Rata-rata juga berpendapat faktor kejayaan BN kali ini adalah juga dipengaruhi oleh aura Tengku Razaleigh Hamzah yang telah berjaya menggalas tugas dan tanggungjawabnya sebagai Pengarah jentera pilihan raya di dalam PRK tersebut. Peningkatan undi Cina kepada calon BN di beberapa kawasan juga menjadi petunjuk jelas bahawa populariti Pakatan Rakyat semakin merudum.

Manakala di Parlimen Batu Sapi juga menyaksikan calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin (foto di atas) telah berjaya menewaskan calon PKR Ansari Abdullah dan calon SAPP Datuk Yong Teck Lee dengan majoriti 6,359 undi. Beliau mendapat 9,773 undi sementara Teck Lee hanya 2,013 undi dan Ansari mendapat 3,414 undi.


Wednesday, November 3, 2010

200 ANGGOTA PKR WANGSA MAJU KELUAR PARTI SERTAI UMNO

Dato' Shafei Abdullah menerima borang keahlian UMNO daripada
Nasir Husin bersama pengikut-pengikutnya

Dua ratus anggota PKR cabang Wangsa Maju telah bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai Umno kerana mereka mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka yang diwakili oleh bekas ketua cabang tersebut, Mohd Nasir Husin (Foto kiri), menyerahkan borang keanggotaannya kepada Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Dr. Mohd Shafei Abdullah di pejabat Umno Bahagian itu di Kuala Lumpur.

Mohd Nasir yang pernah mengetuai cabang itu dari 1999 hingga 2004 berkata walaupun Anwar mendakwa memperjuangkan keadilan dan reformasi tetapi sebenarnya ia lebih kepada kepentingan peribadi.

Beliau berkata kira-kira 1,000 lagi anggota PKR cawangan tersebut dijangka menyertai Umno dalam tempoh tiga hingga empat bulan dari sekarang. Menurutnya beliau akan mengetuai program ceramah di sekitar Wangsa Maju untuk mendedahkan kepincangan PKR supaya pengundi kembali yakin kepada BN.

Sementara itu, Mohd Shafei berkata dengan penyertaan mereka ke dalam Umno, parti itu akan lebih yakin memenangi semula kerusi Parlimen Wangsa Maju. Pada pilihan raya umum 2008, kawasan Parlimen Wangsa Maju dimenangi oleh wakil PKR Wee Choo Keong mengalahkan penyandang Yew Teong Look (BN) dengan perbezaan 150 undi.

Bagaimanapun, Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, bertindak keluar daripada parti itu Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar - Bernama

KUPASAN LOCENGWANGSA...SHAFEI & ZAID BAKAL BERTEMBUNG DI WANGSA MAJU?

Tahniah kepada UMNO Bahagian Wangsa Maju pimpinan Ketua Bahagiannya Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah (Foto Kiri) kerana telah berjaya memikat hati Nasir Husin dan 200 anggota PKR yang lainnya menyertai UMNO.

Seingat saya sudah lama Nasir Husin ingin melompat semula ke dalam UMNO setelah beliau meninggalkannya sejak tahun 1998 untuk menzahirkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim yang sudah pun dipecat dari UMNO pada tahun berkenaan. Sebelum ini beliau pernah menjadi ahli UMNO di dalam Bahagian Titiwangsa.

Bukan itu sahaja Nasir Husin sudah pun membuktikan pengorbanannya terhadap Anwar setelah dirinya sendiri tertangkap oleh pihak polis di dalam satu operasi ISA semasa kehangatan isu Anwar pada tahun 1998 yang juga membabitkan beberapa tokoh seperti Zahid Hamidi, Azam Abdul Rahman (Presiden ABIM), Kamarudin Jaafar, Ruslan Kassim dan lain-lainnya yang saya tidak berapa ingat lagi.

Beliau ditahan kerana dikatakan terbabit dalam gerakan reformasi yang diketuai oleh Ezam Mohd. Noor dan Azmin Ali pada masa itu. Hampir setiap minggu demonstrasi digerakkan oleh reformist terbabit di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Kg. Baru dan juga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Setelah dibebaskan, Nasir telah meneruskan perjuangan bersama Parti KeADILan (ADIL) dan telah dilantik sebagai Ketua ADIL di Parlimen Wangsa Maju. Beliau sempat mengetuai parti itu dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1999 walaupun tidak menjadi calon menentang Zulhasnan Rafique di Wangsa Maju. Parti KeADILan yang diwakili oleh Marina Yusof pada masa itu tertewas di tangan Zulhasnan Rafique sebagai muka baru mewakili BN.


Dari kiri - Wee Choo Keong, Yew Teong Look & Zaid Ibrahim

Hari ini Nasir bagaikan kesampaian hajatnya untuk bersama semula di dalam UMNO. Beliau menyatakan lebih ramai lagi yang bakal mengikut jejak langkahnya dalam beberapa bulan ini. Kini Parti KeADILan telah bertukar jenama kepada Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Ketua PKR di Wangsa Maju kini bukan lagi Nasir dan bukan juga Wee Choo Keong.

Kedua-dua mereka tidak mempercayai lagi perjuangan palsu Anwar Ibrahim yang mereka anggap betul sebelum ini. Hari ini PKR Cabang Wangsa Maju diketuai oleh seorang bekas Menteri daripada UMNO iaitu Datuk Zaid Ibrahim yang juga menjadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Difahamkan Zaid kini sedang berjinak-jinak untuk mempertaruhkan dirinya bertanding dalam PRU13 nanti di kawasan Parlimen Wangsa Maju yang kini disandang oleh Wee Choo Keong yang telah lebih awal bertindak keluar daripada parti itu untuk menjadi Wakil Rakyat Bebas.

Wee yang tinggalkan PKR tidak pula berminat untuk menyertai BN. Sepatutnya MCA membuka pintu kepada Wee untuk sertai parti komponen BN itu, tetapi ianya tidak berlaku kerana MCA lebih berminat untuk mengembalikan semula Yew Teong Look (YTL) menjadi calon BN di kawasan parlimen ini.

YTL merasakan kekalahan 150 undi di tangan PKR dalam PRU12 lalu mungkin dapat ditebus kembali sekiranya beliau berentap dengan Zaid Ibrahim yang mungkin bertanding mewakili PKR. Zaid Ibrahim pula bagaikan sudah menghidu bahawa peratusan besar pengundi Melayu di Wangsa Maju bakal kecewa lagi kerana BN mungkin tidak meletakkan calon UMNO dalam PRU13 nanti.

Kehadirannya di Parlimen Wangsa Maju haruslah dilihat oleh UMNO sebagai satu cabaran sejauh mana UMNO yang dipimpin oleh Shafei Abdullah mampu memulihkan kekecewaan pengundi-pengundi Melayu di sini buat kali kedua yang mengharapkan calon MCA tidak lagi dipertaruhkan setelah tewas dalam PRU yang lepas.

Kekecewaan pengundi Melayu di Wangsa Maju ini mungkin ada asasnya, kerana kerusi di kawasan ini telah diwakili oleh UMNO sejak PRU 1995 yang telah dimenangi oleh Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Dr. Kamal Salih. Kemudian pada PRU 1999, kawasan ini sekali lagi mendominasi kemenangan dengan mempertaruhkan calon UMNO iaitu Datuk Sri Zulhasnan Rafique.

Namun begitu bermula pada PRU 2004 kawasan Parlimen Wangsa Maju tidak lagi diwakili oleh UMNO sehinggalah BN kecundang di dalam PRU13 pada tahun 2008 yang lalu yang menyaksikan pertarungan calon-calon bukan Melayu iaitu Yew Teong Look dari MCA dan juga Wee Choo Keong dari PKR. Diantara kedua-dua mereka, siapa yang menang dan siapa yang kalah di kawasan ini memperlihatkan betapa UMNO tidak lagi disenangi oleh pengundi-pengundi Melayu di atas kegagalan meletakkan calon Melayu di kawasan ini yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Pada mereka sudah dua kali kawasan Parlimen Wangsa Maju diwakili oleh calon bukan Melayu, dan kali ini kedengaran bahawa sebahagian besar pengundi Melayu di sini mahukan calon Melayu mewakili mereka. UMNO Bahagian Wangsa Maju perlulah melihat senario ini secara tuntas kerana pengundi Melayu di sini mengharapkan BN tidak lagi meletakkan calon Cina sebaliknya mereka mahu mengembalikan kerusi ini kepada calon UMNO.

Jika UMNO tidak meletakkan calonnya, pasti ia menjadi advantage kepada PKR yang mungkin sudah membacai keperluan meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan ini. Secara peribadi saya melihat YTL yang mengidamkan sekali lagi untuk bertanding di Wangsa Maju mungkin bakal menempah kekalahan kali keduanya.

Saya lebih optimis menyatakan sudah sampai masanya Wangsa Maju meletakkan semula calon UMNO untuk bertanding dalam PRU13 nanti supaya kedahagaan pengundi Melayu di sini dapat disegarkan semula. Sekiranya YTL juga yang bertanding, yang pasti pengundi Cina bakal berpecah kerana Wee Chee Keong juga mungkin berkeyakinan dirinya masih berpengaruh lantas beliau bertanding semula atas tiket bebas.

Kemunculan pula Zaid Ibrahim sebagai calon PKR sebenarnya menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN yang diwakili oleh YTL dan juga Wee Choo Keong sebagai calon Bebas. Senario ini dilihat akan menguntungkan PKR yang akan berjaya meraih sebahagian besar daripada pengundi-pengundi Melayu, manakala parti itu juga dilihat masih mampu untuk meraih kepercayaan pengundi-pengundi bukan Melayu yang sudah muak dengan MCA dan juga Gerakan yang masih membuai dengan masalah dalamannya.

Kebencian dan mual pengundi Cina terhadap MCA dan juga Gerakan telah mendorong mereka ini untuk beralih arah kepada Pakatan Rakyat. Kecondongan yang ketara masyarakat Cina kepada DAP nampaknya masih tegar jika dibandingkan dengan MCA dan juga Gerakan. MCA dan Gerakan haruslah membuat koreksi segera untuk membaik pulihkan keyakinan pengundi Cina terhadap BN jika mahukan Wangsa Maju kembali ke pangkuan BN.

Untuk memperbetulkan kemelut keyakinan ini, saya menaruh harapan yang tinggi agar dinamisme yang dimiliki oleh Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah selaku Ketua UMNO Bahagian dan juga Pengerusi Barisan Nasional Wangsa Maju dapat meletakkan keutamaan untuk menang merentasi bentuk kompromi lapuk yang akan menjebakkan BN dengan kekalahan kali kedua di PRU13.

Saya berpendapat apa salahnya BN Wangsa Maju kali ini meletakkan bosnya sendiri iaitu Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah untuk menyertai sirkit PRU13 agar BN dapat meraih gelombang rakyat Wangsa Maju yang memerlukan ketokohan seperti beliau.

Shafei dan Zaid pertembungan buku dengan ruas..


Dari Kiri - Shafei Abdullah & Zaid Ibrahim

Biarkan Shafei (UMNO) berentap dengan Zaid (PKR). Pertembungan buku dengan ruas ini mungkin menyebelahi Shafei kerana beliau merupakan calon tempatan yang sudah lama bertapak dan berakar umbi di Wangsa Maju. Zaid Ibrahim di Wangsa Maju tidaklah segagah namanya jika hendak dibandingkan dengan kehebatan Shafei Abdullah yang sudah lama merakyatkan dirinya dengan warga di Wangsa Maju.

Shafei harus diberikan peluang ini oleh pucuk pimpinan parti kerana beliau mampu melepasi halangan yang terbeban oleh YTL selama ini. YTL adalah calon BN yang kalah dalam PRU12, beliau tidak seharusnya dimangsakan sekali lagi dengan kekecewaan dan kemuakkan oleh warga Wangsa Maju yang tidak memerlukannya kali ini.

Saya yakin sebahagian besar warga di Kampung Wira Jaya, Kampung Sungai Mulia, Kampung Setia Jaya, Kampung Puah Seberang Utara/Selatan, Kampung Puah Bahagia, Kampung Puah, begitu juga penduduk di Taman Ibu Kota, Taman Setapak Indah, Taman Danau Kota, Taman Bunga Raya, Taman Melati, Seksyen 1, 2 dan 4 Wangsa Maju, malah saya lebih yakin dengan penduduk di Taman Setapak yang diketuainya, di mana semua kawasan penempatan ini tentunya mengharapkan Ketua UMNO Bahagian mereka dapat menjadi calon dalam PRU13 nanti.

Shafei Abdullah dalam meredah kejayaannya sebagai seorang pemimpin rakyat tidak digapainya dengan jalan yang mudah. Kepimpinannya telah merakyat dan berakar rumput sejak bergelumang dalam era Pemuda di Bahagian Batu sehingga beliau pernah mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju sebelum menyandang jawatan Naib Ketua Bahagian hinggalah ke mercu hari ini sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Keakrabannya dalam persahabatan begitu ampuh, begitu juga komitmennya dalam tingkah berpolitik amat dedikasi dan begitu terencana agenda perjuangannya. Saya pernah bergelumang dan berkancah politik dengannya. Kami pernah bersengketa dalam bertingkah politik, namun tidak pernah pula kami bermusuh tanpa bernoktah.

Keazaman dan kekuatan iltizam perjuangannya telah memikat Dato' Sri Najib Tun Razak sehingga melantik beliau sebagai Setiausaha Politiknya hingga kini. UMNO Wangsa Maju hendaklah seiring dengan beliau untuk mengembalikan semula maruah UMNO yang tersadung dalam PRU11 dan PRU12. Mungkinkah PRU13, Wangsa Maju milik UMNO?