assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, November 7, 2010

NAJIB KELUAR HOSPITAL HARI INI...

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak kini sudah sihat dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini. Demikian kenyataan semasa menonton Buletin Tengah Hari TV3 hari ini. Najib telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak Khamis lalu kerana mengalami ulser dan gastritis.


Dato' Sri Najib Tun Razak semasa di hospital Kuala Lumpur.

Friday, November 5, 2010

NAJIB KENA ULSER DAN GASTRITIS, AKAN BERADA DI HOSPITAL BEBERAPA LAGI

Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur malam tadi untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

"Beliau telah mula diberi rawatan dan keadaannya beransur baik," kata Dr Mohd Ismail, dan menambah perdana menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi.

- Bernama

DULU NIK AZIZ MASUK HOSPITAL NAJIB DATANG MELAWATNYA, KINI NAJIB MASUK HOSPITAL, NIK AZIZ TAK DATANG KE?

Najib ziarah Nik Aziz

Thursday, November 4, 2010

BN MERAMPAS SEMULA DUN GALAS DAN KEKAL MENANG DI PARLIMEN BATU SAPI...TAHNIAH!


Abd. Aziz Yusof dan Datin Linda Tsen Thau Lin

Keputusan tidak rasmi di DUN Galas menyaksikan BN telah berjaya merampas semula kerusi tersebut daripada PAS. Calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperolehi 3,744 undi, manakala calon BN Abdul Aziz Yusof (Foto di atas) telah memperolehi 5,177 undi dengan majoriti 1,069 undi.

Kejayaan merebut kembali takhta di Galas membuktikan betapa rakyat Kelantan sudah mula menunjukkan kebosanan mereka terhadap PAS yang sudah memerintah negeri itu sejak 20 tahun yang lalu.

AURA KU LI MENYENGAT DI GALAS...

Rata-rata juga berpendapat faktor kejayaan BN kali ini adalah juga dipengaruhi oleh aura Tengku Razaleigh Hamzah yang telah berjaya menggalas tugas dan tanggungjawabnya sebagai Pengarah jentera pilihan raya di dalam PRK tersebut. Peningkatan undi Cina kepada calon BN di beberapa kawasan juga menjadi petunjuk jelas bahawa populariti Pakatan Rakyat semakin merudum.

Manakala di Parlimen Batu Sapi juga menyaksikan calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin (foto di atas) telah berjaya menewaskan calon PKR Ansari Abdullah dan calon SAPP Datuk Yong Teck Lee dengan majoriti 6,359 undi. Beliau mendapat 9,773 undi sementara Teck Lee hanya 2,013 undi dan Ansari mendapat 3,414 undi.


Wednesday, November 3, 2010

200 ANGGOTA PKR WANGSA MAJU KELUAR PARTI SERTAI UMNO

Dato' Shafei Abdullah menerima borang keahlian UMNO daripada
Nasir Husin bersama pengikut-pengikutnya

Dua ratus anggota PKR cabang Wangsa Maju telah bertindak keluar daripada parti itu dan menyertai Umno kerana mereka mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka yang diwakili oleh bekas ketua cabang tersebut, Mohd Nasir Husin (Foto kiri), menyerahkan borang keanggotaannya kepada Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju Datuk Dr. Mohd Shafei Abdullah di pejabat Umno Bahagian itu di Kuala Lumpur.

Mohd Nasir yang pernah mengetuai cabang itu dari 1999 hingga 2004 berkata walaupun Anwar mendakwa memperjuangkan keadilan dan reformasi tetapi sebenarnya ia lebih kepada kepentingan peribadi.

Beliau berkata kira-kira 1,000 lagi anggota PKR cawangan tersebut dijangka menyertai Umno dalam tempoh tiga hingga empat bulan dari sekarang. Menurutnya beliau akan mengetuai program ceramah di sekitar Wangsa Maju untuk mendedahkan kepincangan PKR supaya pengundi kembali yakin kepada BN.

Sementara itu, Mohd Shafei berkata dengan penyertaan mereka ke dalam Umno, parti itu akan lebih yakin memenangi semula kerusi Parlimen Wangsa Maju. Pada pilihan raya umum 2008, kawasan Parlimen Wangsa Maju dimenangi oleh wakil PKR Wee Choo Keong mengalahkan penyandang Yew Teong Look (BN) dengan perbezaan 150 undi.

Bagaimanapun, Wee, yang juga bekas anggota majlis tertinggi PKR, bertindak keluar daripada parti itu Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Anwar - Bernama

KUPASAN LOCENGWANGSA...SHAFEI & ZAID BAKAL BERTEMBUNG DI WANGSA MAJU?

Tahniah kepada UMNO Bahagian Wangsa Maju pimpinan Ketua Bahagiannya Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah (Foto Kiri) kerana telah berjaya memikat hati Nasir Husin dan 200 anggota PKR yang lainnya menyertai UMNO.

Seingat saya sudah lama Nasir Husin ingin melompat semula ke dalam UMNO setelah beliau meninggalkannya sejak tahun 1998 untuk menzahirkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim yang sudah pun dipecat dari UMNO pada tahun berkenaan. Sebelum ini beliau pernah menjadi ahli UMNO di dalam Bahagian Titiwangsa.

Bukan itu sahaja Nasir Husin sudah pun membuktikan pengorbanannya terhadap Anwar setelah dirinya sendiri tertangkap oleh pihak polis di dalam satu operasi ISA semasa kehangatan isu Anwar pada tahun 1998 yang juga membabitkan beberapa tokoh seperti Zahid Hamidi, Azam Abdul Rahman (Presiden ABIM), Kamarudin Jaafar, Ruslan Kassim dan lain-lainnya yang saya tidak berapa ingat lagi.

Beliau ditahan kerana dikatakan terbabit dalam gerakan reformasi yang diketuai oleh Ezam Mohd. Noor dan Azmin Ali pada masa itu. Hampir setiap minggu demonstrasi digerakkan oleh reformist terbabit di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Dataran Merdeka, Pasar Seni, Masjid Kg. Baru dan juga di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Setelah dibebaskan, Nasir telah meneruskan perjuangan bersama Parti KeADILan (ADIL) dan telah dilantik sebagai Ketua ADIL di Parlimen Wangsa Maju. Beliau sempat mengetuai parti itu dalam pilihan raya umum yang diadakan pada tahun 1999 walaupun tidak menjadi calon menentang Zulhasnan Rafique di Wangsa Maju. Parti KeADILan yang diwakili oleh Marina Yusof pada masa itu tertewas di tangan Zulhasnan Rafique sebagai muka baru mewakili BN.


Dari kiri - Wee Choo Keong, Yew Teong Look & Zaid Ibrahim

Hari ini Nasir bagaikan kesampaian hajatnya untuk bersama semula di dalam UMNO. Beliau menyatakan lebih ramai lagi yang bakal mengikut jejak langkahnya dalam beberapa bulan ini. Kini Parti KeADILan telah bertukar jenama kepada Parti Keadilan Rakyat atau PKR. Ketua PKR di Wangsa Maju kini bukan lagi Nasir dan bukan juga Wee Choo Keong.

Kedua-dua mereka tidak mempercayai lagi perjuangan palsu Anwar Ibrahim yang mereka anggap betul sebelum ini. Hari ini PKR Cabang Wangsa Maju diketuai oleh seorang bekas Menteri daripada UMNO iaitu Datuk Zaid Ibrahim yang juga menjadi Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Difahamkan Zaid kini sedang berjinak-jinak untuk mempertaruhkan dirinya bertanding dalam PRU13 nanti di kawasan Parlimen Wangsa Maju yang kini disandang oleh Wee Choo Keong yang telah lebih awal bertindak keluar daripada parti itu untuk menjadi Wakil Rakyat Bebas.

Wee yang tinggalkan PKR tidak pula berminat untuk menyertai BN. Sepatutnya MCA membuka pintu kepada Wee untuk sertai parti komponen BN itu, tetapi ianya tidak berlaku kerana MCA lebih berminat untuk mengembalikan semula Yew Teong Look (YTL) menjadi calon BN di kawasan parlimen ini.

YTL merasakan kekalahan 150 undi di tangan PKR dalam PRU12 lalu mungkin dapat ditebus kembali sekiranya beliau berentap dengan Zaid Ibrahim yang mungkin bertanding mewakili PKR. Zaid Ibrahim pula bagaikan sudah menghidu bahawa peratusan besar pengundi Melayu di Wangsa Maju bakal kecewa lagi kerana BN mungkin tidak meletakkan calon UMNO dalam PRU13 nanti.

Kehadirannya di Parlimen Wangsa Maju haruslah dilihat oleh UMNO sebagai satu cabaran sejauh mana UMNO yang dipimpin oleh Shafei Abdullah mampu memulihkan kekecewaan pengundi-pengundi Melayu di sini buat kali kedua yang mengharapkan calon MCA tidak lagi dipertaruhkan setelah tewas dalam PRU yang lepas.

Kekecewaan pengundi Melayu di Wangsa Maju ini mungkin ada asasnya, kerana kerusi di kawasan ini telah diwakili oleh UMNO sejak PRU 1995 yang telah dimenangi oleh Ketua UMNO Bahagiannya Datuk Dr. Kamal Salih. Kemudian pada PRU 1999, kawasan ini sekali lagi mendominasi kemenangan dengan mempertaruhkan calon UMNO iaitu Datuk Sri Zulhasnan Rafique.

Namun begitu bermula pada PRU 2004 kawasan Parlimen Wangsa Maju tidak lagi diwakili oleh UMNO sehinggalah BN kecundang di dalam PRU13 pada tahun 2008 yang lalu yang menyaksikan pertarungan calon-calon bukan Melayu iaitu Yew Teong Look dari MCA dan juga Wee Choo Keong dari PKR. Diantara kedua-dua mereka, siapa yang menang dan siapa yang kalah di kawasan ini memperlihatkan betapa UMNO tidak lagi disenangi oleh pengundi-pengundi Melayu di atas kegagalan meletakkan calon Melayu di kawasan ini yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Pada mereka sudah dua kali kawasan Parlimen Wangsa Maju diwakili oleh calon bukan Melayu, dan kali ini kedengaran bahawa sebahagian besar pengundi Melayu di sini mahukan calon Melayu mewakili mereka. UMNO Bahagian Wangsa Maju perlulah melihat senario ini secara tuntas kerana pengundi Melayu di sini mengharapkan BN tidak lagi meletakkan calon Cina sebaliknya mereka mahu mengembalikan kerusi ini kepada calon UMNO.

Jika UMNO tidak meletakkan calonnya, pasti ia menjadi advantage kepada PKR yang mungkin sudah membacai keperluan meletakkan calon Melayu bertanding di kawasan ini. Secara peribadi saya melihat YTL yang mengidamkan sekali lagi untuk bertanding di Wangsa Maju mungkin bakal menempah kekalahan kali keduanya.

Saya lebih optimis menyatakan sudah sampai masanya Wangsa Maju meletakkan semula calon UMNO untuk bertanding dalam PRU13 nanti supaya kedahagaan pengundi Melayu di sini dapat disegarkan semula. Sekiranya YTL juga yang bertanding, yang pasti pengundi Cina bakal berpecah kerana Wee Chee Keong juga mungkin berkeyakinan dirinya masih berpengaruh lantas beliau bertanding semula atas tiket bebas.

Kemunculan pula Zaid Ibrahim sebagai calon PKR sebenarnya menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara BN yang diwakili oleh YTL dan juga Wee Choo Keong sebagai calon Bebas. Senario ini dilihat akan menguntungkan PKR yang akan berjaya meraih sebahagian besar daripada pengundi-pengundi Melayu, manakala parti itu juga dilihat masih mampu untuk meraih kepercayaan pengundi-pengundi bukan Melayu yang sudah muak dengan MCA dan juga Gerakan yang masih membuai dengan masalah dalamannya.

Kebencian dan mual pengundi Cina terhadap MCA dan juga Gerakan telah mendorong mereka ini untuk beralih arah kepada Pakatan Rakyat. Kecondongan yang ketara masyarakat Cina kepada DAP nampaknya masih tegar jika dibandingkan dengan MCA dan juga Gerakan. MCA dan Gerakan haruslah membuat koreksi segera untuk membaik pulihkan keyakinan pengundi Cina terhadap BN jika mahukan Wangsa Maju kembali ke pangkuan BN.

Untuk memperbetulkan kemelut keyakinan ini, saya menaruh harapan yang tinggi agar dinamisme yang dimiliki oleh Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah selaku Ketua UMNO Bahagian dan juga Pengerusi Barisan Nasional Wangsa Maju dapat meletakkan keutamaan untuk menang merentasi bentuk kompromi lapuk yang akan menjebakkan BN dengan kekalahan kali kedua di PRU13.

Saya berpendapat apa salahnya BN Wangsa Maju kali ini meletakkan bosnya sendiri iaitu Dato' Dr. Mohd. Shafei Abdullah untuk menyertai sirkit PRU13 agar BN dapat meraih gelombang rakyat Wangsa Maju yang memerlukan ketokohan seperti beliau.

Shafei dan Zaid pertembungan buku dengan ruas..


Dari Kiri - Shafei Abdullah & Zaid Ibrahim

Biarkan Shafei (UMNO) berentap dengan Zaid (PKR). Pertembungan buku dengan ruas ini mungkin menyebelahi Shafei kerana beliau merupakan calon tempatan yang sudah lama bertapak dan berakar umbi di Wangsa Maju. Zaid Ibrahim di Wangsa Maju tidaklah segagah namanya jika hendak dibandingkan dengan kehebatan Shafei Abdullah yang sudah lama merakyatkan dirinya dengan warga di Wangsa Maju.

Shafei harus diberikan peluang ini oleh pucuk pimpinan parti kerana beliau mampu melepasi halangan yang terbeban oleh YTL selama ini. YTL adalah calon BN yang kalah dalam PRU12, beliau tidak seharusnya dimangsakan sekali lagi dengan kekecewaan dan kemuakkan oleh warga Wangsa Maju yang tidak memerlukannya kali ini.

Saya yakin sebahagian besar warga di Kampung Wira Jaya, Kampung Sungai Mulia, Kampung Setia Jaya, Kampung Puah Seberang Utara/Selatan, Kampung Puah Bahagia, Kampung Puah, begitu juga penduduk di Taman Ibu Kota, Taman Setapak Indah, Taman Danau Kota, Taman Bunga Raya, Taman Melati, Seksyen 1, 2 dan 4 Wangsa Maju, malah saya lebih yakin dengan penduduk di Taman Setapak yang diketuainya, di mana semua kawasan penempatan ini tentunya mengharapkan Ketua UMNO Bahagian mereka dapat menjadi calon dalam PRU13 nanti.

Shafei Abdullah dalam meredah kejayaannya sebagai seorang pemimpin rakyat tidak digapainya dengan jalan yang mudah. Kepimpinannya telah merakyat dan berakar rumput sejak bergelumang dalam era Pemuda di Bahagian Batu sehingga beliau pernah mengetuai Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju sebelum menyandang jawatan Naib Ketua Bahagian hinggalah ke mercu hari ini sebagai Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju.

Keakrabannya dalam persahabatan begitu ampuh, begitu juga komitmennya dalam tingkah berpolitik amat dedikasi dan begitu terencana agenda perjuangannya. Saya pernah bergelumang dan berkancah politik dengannya. Kami pernah bersengketa dalam bertingkah politik, namun tidak pernah pula kami bermusuh tanpa bernoktah.

Keazaman dan kekuatan iltizam perjuangannya telah memikat Dato' Sri Najib Tun Razak sehingga melantik beliau sebagai Setiausaha Politiknya hingga kini. UMNO Wangsa Maju hendaklah seiring dengan beliau untuk mengembalikan semula maruah UMNO yang tersadung dalam PRU11 dan PRU12. Mungkinkah PRU13, Wangsa Maju milik UMNO?


Tuesday, November 2, 2010

SOBERI SHAFII KELUAR UMNO

Tokoh UMNO yang tinggalkan parti itu bukannya Annuar Musa, bukannya Alwi Che' Mat, bukan juga Awang Adek, tetapi yang mengambil tindakan keluar daripada UMNO itu ialah Haji Mohd. Soberi Shafii (Foto Kiri). Beliau kecewa dengan UMNO yang telah disertainya sejak 38 tahun lalu dan terpaksa meninggalkannya berkuat kuasa pada tanggal 1 November 2010.

Soberi atau lebih dikenali dengan panggilan abg yie tidak tertahan lagi untuk kekal di dalam UMNO kerana menyifatkan pemimpin-pemimpin yang ada di dalam UMNO lebih mementingkan agenda peribadi daripada kepentingan parti. Menurut katanya lagi beliau rela kecewa di luar UMNO daripada kecewa di dalam parti itu yang beliau sifatkan tidak lagi mengenang budi kepada ahlinya.

Soberi yang pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian di Peringat dan ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Ketereh akan menjelajah ke seluruh negeri Kelantan untuk memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan berhubung dengan tindakannya yang meninggalkan UMNO. Difahamkan ramai lagi yang bakal mengambil tindakan yang sama seperti yang dilakukan oleh Soberi.


Sunday, October 31, 2010

ANNUAR MUSA JUARAKAN KELANTAN....KU LI DI GALAS MACAMANE?

Gelombang Merah di Stadium Bukit Jalil


Tahniah kepada semua pemain Kelantan dan seluruh rakyat negeri Cik Siti Wan Kembang teristimewa kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang telah mengemudi kejayaan 'The Red Warriors' muncul sebagai juara Piala Malaysia 2010 apabila tewaskan juara bertahan, Negeri Sembilan 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kelantan melakar sejarah apabila buat julung kali menjulang Piala Malaysia, setelah menewaskan juara musim lepas Negeri Sembilan 2-1, pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kemenangan itu turut menebus kehampaan tewas 1-3 kepada Negeri Sembilan pada saingan akhir piala paling berprestij Liga Malaysia itu musim lepas, selain menamatkan kemarau selama 55 tahun.

Demikian episod kecemerlangan bolasepak Kelantan yang diterajui oleh Tan Sri Annuar Musa yang berjaya menggalas tugas menjulang semangat kesukanan untuk rakyat negeri itu. Alangkah moleknya jika semangat ini dapat diterjemahkan pula dengan kejayaan BN di Galas yang sedang dipertaruhkan dalam pilihan raya kecil yang sedang digalas oleh pengarahnya, Tengku Razaleigh Hamzah.

Thursday, October 28, 2010

SIAPAKAH TOKOH UMNO KELANTAN YANG BAKAL TINGGALKAN PARTI?

Font size

Ku Li pernah di luar UMNO ketuai Parti S46, Ibrahim Ali juga keluar masuk UMNO dan kini MP Bebas, manakala Zaid Ibrahim keluar UMNO sertai PKR...



Di tengah-tengah kesibukan dan keriuhan berkempen di PRK Dun Galas, kedengaran juga bahang cerita yang mungkin menggemparkan politik UMNO Kelantan kononnya terdapat seorang tokoh UMNO negeri Chek Siti Wan Kembang itu yang akan meninggalkan parti (UMNO) yang telah disertainya sejak zaman remajanya lagi untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Sejauh mana kebenaran desas desus itu, sama-samalah kita menunggunya di penghujung bulan ini atau di awal November sebelum hari pembuangan undi pada 4 November yang akan datang. Difahamkan tokoh UMNO ini akan mengadakan sidang medianya di Kuala Lumpur pada Sabtu ini yakni pada hari perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia diantara Kelantan dengan Negeri Sembilan.

Jika desas desus ini juga menjadi kenyataan, dibimbangi PRK Dun Galas yang sedang hangat berjalan akan memberi impak yang kuat kepada UMNO yang mengimpikan DUN itu dirampas semula daripada tangan PAS.

Difahamkan tokoh UMNO Kelantan ini begitu kecewa kerana ketokohannya selama ini tidak dipedulikan oleh UMNO terutama dalam menggalas gerak kerja PRK Dun Galas yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarahnya.

Siapakah tokoh UMNO itu....rasanya pihak Pakatan Rakyat juga sudah mengetahuinya, cuma menunggu pengumuman rasmi.