assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Wednesday, August 18, 2010

SOI LEK PULA INGATKAN MUHYIDDIN, USAH PUKUL GENDANG PERKAUMAN


Soi Lek ingatkan Muhyiddin...

Pertikaman lidah di kalangan pemimpin UMNO dan MCA kini semakin membara. Semalam Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MCA melahirkan rasa kecewanya ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden UMNO yang menggunakan insiden 13 Mei 1969 untuk memberi amaran kepada MCA agar tidak memperlekehkan semangat Barisan Nasional (BN) jika mahu memperjuangkan kepentingan komuniti Cina.

Kata Dr Chua, pemimpin-pemimpin BN tidak perlu memukul “gendang perkauman” kerana rakyat Malaysia kini lebih matang dalam memahami perkembangan semasa.

Selain itu kata beliau, apa yang diminta oleh MCA bukan dengan mengetepikan kepentingan atau hak mana-mana kaum lain.

Bekas Menteri Kesihatan itu menekankan rakyat Malaysia kini lebih matang berbanding persekitaran 1969 dan boleh terlibat dalam perbincangan-perbincangan waras.

“Keadaan sosioekonomi di Malaysia sekarang jauh berbeza berbanding tahun 1969 memandangkan rakyat Malaysia berupaya untuk mengadakan perbincangan rasional tanpa memukul gendang perang perkauman,” katanya.

“Apa yang kami minta cuma bahagian yang adil. Dijamin, MCA tiada rancangan atau minat untuk menafikan hak-hak kaum lain yang mereka berhak,” kata beliau dalam kenyataan akhbar dikeluarkan di sini.

Timbalan Perdana Menteri sebelum ini mengingatkan Dr Chua agar tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kemarahan dan prasangka terhadap kaum lain.

Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata Dr Chua seharusnya bersikap lebih terbuka dan peka terhadap sensitiviti serta keperluan bangsa lain di negara ini.

“Apa pun yang hendak diperjuangkan, kepimpinan sesuatu kaum itu adalah hak mereka tetapi jangan dilihat menjejaskan kepentingan kaum yang lain.

“Umno, parti yang memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi mengambil kira nasib kaum yang lain.

“Oleh itu, jangan menimbulkan keresahan dan kemarahan hanya kerana hendak mempertahankan resolusi dan sensitiviti dan hak kaum lain,” katanya.

Kata Muhyiddin, sasaran 30 peratus penguasaan ekuiti Bumiputera belum dicapai dan ia bukan tuntutan melampau di mana dalam keadaan yang sama, kaum Cina telah menguasai 40 peratus dalam ekonomi negara.

“Ini harus dilihat dalam konteks yang lebih besar. Tanpa pembahagian yang adil, kita lihat apa yang terjadi pada tahun 1969 (rusuhan perkauman)... saya berharap tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Muhyiddin berkata dalam keadaan ekonomi pada masa kini, Dr Chua harus memahami dan menyedari penguasaan kaum Melayu masih belum mencapai sasaran, dan beliau perlu bersikap adil terhadap orang Melayu.

Dr Chua berkata, MCA sentiasa setia kepada perjuangan BN, tetapi pada masa yang sama perlu kekal relevan dengan memenuhi keperluan masyarakat Cina.

“MCA sensitif dengan peranannya dalam lingkungan Barisan Nasional tetapi kami ada peranan untuk dimainkan selaku parti kaum Cina, agar kita boleh kekal relevan.

Sehubungan itu kata beliau, kesetiaan MCA kepada BN tidak harus dipersoalkan memandangkan ia telah melalui detik-detik pahit dan manis apabila Umno berhadapan dengan situasi sukar.

“Ketika itu MCA telah memberikan sokongan bagi memastikan kemenangannya dalam pilihan raya,” kata beliau lagi.

Malah kata beliau, partinya tidak pernah mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, sambil menekankan bahawa tindakan afirmatif seharusnya berasaskan keperluan, merit dan mesra pasaran.

Kata Dr Chua, pihaknya juga memperjuangkan bahawa kaum Bumiputera turut wajar diberikan keistimewaan harga dalam sektor-sektor tertentu apabila ekonomi diliberalisasikan untuk pelaksanaan tender terbuka.


Tuesday, August 17, 2010

AMARAN MUHYIDDIN KEPADA SOI LEK, MCA JANGAN PERLEKEH SEMANGAT BN!



Dalam keadaan UMNO yang masih berhadapan dengan kemelut keyakinan untuk penyatuan Melayu, kini MCA semakin berani pula menjolok isu-isu yang sensitif yang membabitkan kepentingan Melayu apabila memperjuangkan kepentingan komuniti Cina.

Ekoran daripada beberapa kenyataan yang menyinggung perasaan orang-orang Melayu yang dibuat oleh Presiden MCA sejak akhir-akhir ini, ditambah pula dengan 12 perkara tuntutan oleh Kongres Ekonomi Cina baru-baru ini yang kontradik dengan dasar kepentingan Melayu dan bumiputera di negara ini, lantas telah mengundang kenyataan amaran daripada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin kepada MCA agar parti itu tidak memperlekehkan semangat Barisan Nasional (BN), seterusnya beliau mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar sensitif kepada keperluan kaum-kaum lain, terutamanya kepada orang Melayu.

“Di dalam Barisan Nasional kami sentiasa mengambil pendirian sama dalam isu-isu yang menyentuh kesemua kaum,” kata Muhyiddin kepada pemberita di sini.

“Jika mereka mahu berjuang untuk komuniti mereka, ia tidak harus menyentuh kepentingan orang Melayu,” kata Muhyiddin.

“Saya berharap parti-parti komponen akan mengambil kira soal ini, jadi jangan cetuskan sebarang salah faham.

“Sama ada mereka hendak mengambil pendirian seakan DAP, ia perkara lain tetapi pandangan mereka tidak harus membawa kepada salah faham,” kata beliau lagi.

Berhubung pendirian tegas MCA mahu melaksanakan resolusi-resolusi yang diluluskan pada Kongres Ekonomi Cina Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, kerajaan mempunyai kata putus akhir dalam isu-isu seperti dasar pro-Bumiputera.

“Jika anda menyentuh dasar kerajaan, MCA perlu faham bahawa hak keistimewaan, pengagihan kekayaan adalah tanggungjawab kerajaan untuk mempertahankan dasar-dasar sedemikian,” kata Muhyiddin.

“Apa sahaja yang mereka hendak berjuang, mereka perlu mempertimbangkan kepentingan BN. Saya tidak fikir MCA akan mengetepikan kepentingan kerjasama dalam BN,” kata Timbalan Presiden Umno ini.

Terdahulu dalam kenyataan dikeluarkan di sini, dua pemimpin kanan MCA membidas Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana mempersoalkan kesetiaan parti itu dalam BN.

Naib Presiden MCA Datuk Chor Chee Heung hari ini menegaskan, MCA sentiasa setia kepada BN dan tidak pernah meninggalkan Umno.

Pendirian seumpama itu juga dilahirkan oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam kenyataan berasingan.

“Selama ini MCA konsisten menunjukkan kesetiaan kepada BN. Ketika Umno mengalami saat-saat kesukaran pada 1980-an dan 1990-an, MCA tidak pernah tinggalkan mereka.

“Namun, kita juga akan mengambil berat akan kenyataan ini supaya setiap orang mengetahui bahawa ia adalah disebabkan oleh hegemoni politik sehingga pengundi berpaling dari BN,” kata Chor.

Beliau berkata, MCA sentiasa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak pernah mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu.

“MCA tidak pernah mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana termaktub dalam Pasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

“MCA mengetahui matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mahu membanteras kemiskinan tanpa mengambil kira latar belakang kaum.

“Namun kenyataan Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Datuk Nazir Razak yang mengatakan bahawa pelaksanaan DEB ‘telah ‘diimplemantasi oleh kumpulan tertentu demi kepentingan diri sendiri’, kelemahan ini harus dibaiki,” kata Chor dalam kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Dr Chua mendakwa beberapa pemimpin BN gagal melihat kegagalan masa-masa lalu dan tindakan mereka itu akan menyebabkan kelupusan parti itu dalam jangka panjang.

Dr Chua berkata, partinya tidak bimbang untuk sealiran dengan pesaingnya DAP dalam isu-isu tertentu dan tidak akan lari daripada menyatakan pendirian yang tegas jika perlu.

Beliau juga secara tidak langsung merujuk kepada Hishammuddin sebagai pemimpin terbabit yang melahirkan pandangan tegas tersebut pendirian MCA semalam.

“Kenyataan Hishammuddin semalam bahawa MCA tidak harus melupakan perjuangan BN apabila mengetengahkan tuntutan masyarakat Cina menunjukkan pemimpin-pemimpin BN belum belajar daripada pilihan raya umum 2008 dan tidak memahami desakan rakyat agar melakukan pembaharuan,” katanya lagi.

Dr Chua berkata, berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008 pemimpin-pemimpin MCA memahami keperluan bagi parti itu berubah untuk mendapatkan semula kepercayaan dan sokongan.

“Jika ada pemimpin-pemimpin BN yang terus berada dalam dunia mereka sendiri, mereka sudah tentu akan menolak MCA ke tepi dan tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada perikatan (BN),” katanya.

Tuesday, July 27, 2010

PENYATUAN MELAYU YANG HIPOKRIT?


Mereka pening memikirkan bolehkah Melayu bersatu padu. Ibrahim Ali pula
memperlekehkan mereka sebagai hipokrit?

Tiba-tiba ulamak UMNO Tan Sri Harussani Zakaria (Foto kiri) yang juga mufti Negeri Perak menyuarakan kebimbangannya tentang perpecahan Melayu yang membabitkan dua parti politik terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan PAS. Beliau dikatakan bersedia menjadi orang tengah untuk mempertautkan kedua-dua parti itu yang sama-sama Melayu dan sama-sama pula berpegang kepada ajaran Islam.

Sambil mempertahankan bahawa beliau tidak berbohong apabila menyatakan berlakunya pertemuan diantara dirinya dengan seorang pemimpin PAS (Dr. Hasan Ali) sebagai merintis permuafakatan politik diantara kedua parti yang bertelagah itu, tiba-tiba Datuk Dr. Hasan Ali Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor menafikan bahawa dirinya tidak pernah mengadakan perbincangan itu dengan mufti berkenaan, sebaliknya beliau berkata bahawa pertemuan itu hanya berlaku ketika mereka menghadiri satu majlis rasmi dan mereka hanya berbual secara umum tentang perpaduan Melayu dan Islam, tanpa membabitkan dasar perjuangan UMNO dan PAS.

Persoalannya, benarkah Melayu kini berpecah semata-mata ada sebahagian daripadanya tidak menyertai perjuangan UMNO? Apakah Melayu dikatakan hanya bersatu jika kesemua mereka menjadi ahli UMNO dan tinggalkan perjuangan PAS atau sebaliknya? Hanya mereka yang menyempitkan hala tuju dasar perjuangannya sahaja yang merasa bimbang berlakunya perpecahan di kalangan bangsa Melayu.

Sebenarnya Melayu hanya merupakan bangsa atau kaum seperti mana Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lainnya. Melayu sepatutnya boleh bersatu bukan kerana keegoaan suku kaumnya, tetapi Melayu boleh bersatu kerana pegangan agamanya yang satu, iaitu Islam.

Jika Najib berpendapat konsep 1Malaysia boleh menyatu padukan semua kaum di negara ini, mengapa konsep yang sama tidak mampu mempertautkan bangsa Melayu yang ditunjangi oleh UMNO? Sepatutnya sebelum menyuruh bangsa lain bersatu di bawah 1Malaysia, UMNO hendaklah terlebih dahulu menunjukkan sikap toleransi sesama sebangsanya, bukan sahaja bangsa Melayu di dalam PAS bahkan Melayu yang ada di dalam PKR.

Melayu di dalam UMNO, Melayu di dalam PAS dan Melayu di dalam PKR semuanya sebangsa dan seagama. Tidak wajar menyebut penyatuan bangsa hanya terbatas kepada Melayu UMNO dan Melayu PAS, sedangkan Melayu PKR juga menjadi faktor kepada kekuatan bangsa Melayu.

Anwar Ibrahim adalah Ketua Pembangkang berketurunan Melayu yang berada di dalam PKR, sementara Najib Tun Razak pula merupakan Perdana Menteri daripada UMNO juga berketurunan Melayu. Sementara itu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pula adalah Presiden PAS yang juga Melayu.

Tetapi kenapa Harussani yang bijak dengan ilmu agamanya telah menyempitkan skop perpaduan Melayu di negara ini hanya terbatas kepada UMNO dan PAS sahaja. Apabila dia mengajak UMNO dan PAS supaya bersatu, sebenarnya dia terlupa ada seorang lagi pemimpin Melayu yang cukup berpengaruh di negara ini yang tidak di hatinya, iaitu ANWAR IBRAHIM.

Bukankah kerana faktor Anwar jugalah UMNO menjadi lesu? Anwarisme yang begitu sebati di dalam harakat perjuangan Pakatan Rakyat yang menggabungkan PKR, PAS dan DAP telah berjaya merebahkan dominasi UMNO di Kedah, di Kelantan, di Selangor dan sebelumnya di Perak. UMNO Pulau Pinang juga tidak sekuat dahulu sebelum isu Anwar disodomikan. Manakala di negeri-negeri lain banyak juga kerusi UMNO yang rebah di tangan PAS dan juga PKR.

Isu Anwar telah menghantui populariti UMNO yang menyebabkan Melayu telah beralih arah kepada pro pembangkang. Jikalau Anwar yang menjadi faktor kepada kemerosotan pengaruh UMNO di kalangan rakyat terutamanya orang Melayu, maka Anwarlah yang sepatutnya diajak untuk meneroka formula penyatuan bangsa yang sudah berpecah tiga ini.

Jika Anwar pernah bersama UMNO sebelum ini, kenapa Anwar yang dipecat keahliannya pada 1998 tidak diusahakan supaya kembali memperkuatkan UMNO? Mempertahankan ego pemimpin masing-masing menjadikan Melayu akan terus dihanyutkan sehingga dibimbangi Melayu akan kehilangan kuasa di bumi sendiri.

PRU13 nampaknya menjadi penentu samada Melayu di dalam UMNO akan terus menggigit jari melihat slogan 1Malaysia yang diperkenalkan bakal meruntuhkan empayar sendiri. UMNO yang dahulunya begitu kuat MelayuismeNya, kini terpaksa digalang gantikan kepada PERKASA yang nampaknya lebih Melayu daripada UMNO.

Presidennya Ibrahim Ali berkata pemimpin-pemimpin Melayu dalam UMNO dan PAS tidak serius memperkatakan perpaduan Melayu sebaliknya penuh dengan hipokrasi. Saya berpendapat hipokrasi itu ada juga pada dirinya.


Friday, July 16, 2010

PELAWAAN UMNO HANYA MENJARING ANGIN...

Pelawaan UMNO untuk berunding dengan PAS mengenai perpaduan Melayu hampir menjaring angin setelah PAS sekali lagi mengulangi kesetiaannya kepada Pakatan Rakyat dengan menolak perbincangan dengan parti lawannya UMNO.

Walau bagaimanapun, perbincangan antara "G to G" (kerajaan dengan kerajaan) masih boleh diteruskan bagi kepentingan masyarakat dan umat Islam keseluruhannya.

"Kalau G to G, tidak menjadi masalah kerana kita mengamalkan konsep federalisme," kata setiausaha agung PAS Datuk Mustafa Ali. "Pendekatan politik kami tetap bersama dengan Pakatan. Kamu boleh buat andaian (pendirian kami)".

Pendirian ini memberikan tamparan kepada UMNO terutamanya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO yang cenderung untuk duduk semeja dengan pemimpin PAS bagi membincangkan masalah perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini yang dilihatnya tidak membawa keuntungan kepada survival Melayu.

Namun begitu hasrat Muhyiddin itu dilihat sinis oleh Dato' Sri Najib, kerana Presiden UMNO itu berpendapat bahawa UMNO tidaklah selemah yang disangka sehingga memerlukan PAS. Masalah perpecahan di kalangan umat Melayu negara ini semakin parah setelah UMNO menghadapi kehilangan banyak kerusi di Dewan Rakyat dan juga DUN di beberapa negeri dalam PRU12 yang lalu.

Dalam PRU12 itu Pakatan Rakyat telah menguasai enam buah negeri termasuk di Wilayah Persekutuan, namun begitu negeri Perak telah berjaya dikudetakan dan telah kembali ke pangkuan BN.

Melihat senario yang berlaku hingga ke hari ini, UMNO dikatakan sedang mengintai peluang dan mencari formula yang dapat mengembalikan semula kepercayaan rakyat terutamanya masyarakat Melayu terhadap UMNO dan BN.

Mengajak PAS untuk duduk semeja dengan UMNO dilihat sebagai langkah terbaik untuk penyatuan umat Melayu. Namun pelawaan yang dibuat oleh UMNO itu bagaikan ajak-ajak ayam kerana di kalangan pemimpin UMNO sendiri masih berbelah bahagi untuk sebumbung bersama PAS.

Nik Aziz sendiri menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan Muhyiddin, namun rata-rata di kalangan pemerhati politik berpendapat bahawa pertemuan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS akan tidur sebantal dan sekelambu seperti yang pernah digagaskan oleh Tun Razak pada tahun 1972 sehingga terbentuknya Barisan Nasional.

Apakah kesediaan Mursyidul Am PAS itu untuk duduk semeja dengan Muhyiddin boleh diandaikan bahawa PAS sanggup bersekongkol dengan rejim Najib dan mensayonarakan Anwar/PKR selepas ini? Rasanya teori sedemikian tidak mungkin terjadi kerana diantara PAS dan PKR kini dilihat semakin intim malah mereka sedang asyik maksyuk mengidamkan Putrajaya yang mereka sifatkan semakin hampir di sisi mereka.

PAS dan PKR yang disokong kuat oleh DAP telah meletakkan harapan yang tinggi agar Anwar dapat mengganti Najib menjelang PRU13 nanti. Mereka menganggap Pakatan Rakyat kini berada dalam posisi yang kuat untuk menumbangkan kerajaan UMNO/BN di bawah rejim Najib Tun Razak.

Walaupun Najib menyifatkan UMNO masih kuat dan tidak perlukan PAS, namun hakikat sebenarnya UMNO memerlukan suatu transformasi yang mampu merobah persepsi rakyat yang melihat parti itu tidak lagi bermampuan membela rakyat, sebaliknya rakyat semakin meluat dengan gelagat pemimpin yang lebih mementingkan 'perutisme' dan bercakaran sesama sendiri menggilakan jawatan. Masalah rakyat semakin dipinggirkan.

Rasanya penolakan PAS terhadap pelawaan UMNO itu memang telah dijangkakan, dan UMNO perlulah melakukan lebih banyak transformasi, bahkan UMNO perlu berani untuk melakukan ops pemutihan terhadap pendurjana dalaman yang masih melilit politik UMNO.

Monday, June 28, 2010

KARPAL SINGH KATA MALAYSIA BUKAN NEGARA ISLAM?

Karpal Singh diapit oleh Tuan-Tuan Guru PAS

Karpal Singh mengulangi pendirian bahawa parti DAP tetap tidak menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Menurutnya negara ini merupakan sebuah negara 'sekular' hanya meletakkan Islam sebagai agama rasmi, tetapi bukannya sebuah negara Islam. Oleh itu beliau menolak jika ada pendapat yang mengatakan negara ini sebagai negara Islam.

Di dalam Pakatan Rakyat, PAS merupakan parti yang bertegas untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Islam. Namun Karpal Singh sejak dahulu lagi tidak bersetuju dengan perjuangan PAS itu, malah beliau pernah mengeluarkan kenyataan 'langkah mayatnya dahulu' jika PAS mahukan Malaysia menjadi negara Islam.

Karpal menyalahkan Dr. Mahathir kerana telah mengubah persepsi perlembagaan negara yang menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, sebaliknya bersetuju dengan persepsi Tunku Abdul Rahman yang menyifatkan negara ini sebagai negara sekluar.

Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menjadi Perdana Menteri telah banyak memperkenalkan dasar-dasarnya yang menjurus kepada nilai-nilai Islam sehingga telah membentuk sebuah majlis yang diberikan peranan dan tanggungjawab untuk melaksanakan 'Dasar Penerapan Nilai Islam' di bawah Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Hal Ehwal Islam) yang kini dikenali sebagai JAKIM. Anwar Ibrahim pernah mengetuai jawatankuasa ini ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana sekitar tahun 1982 dan 1983.

Menerusi dasar penerapan nilai-nilai Islam inilah terbentuknya berbagai-bagai projek yang melambangkan gagasan Islamisasi seperti penubuhan Bank Islam, Pajak Gadai Islam, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) malah di zaman Tun Dr. Mahathir jugalah tertubuhnya Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Dasar Penerapan Nilai Islam yang diperkenalkan itu dilihat telah berjaya membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya. Walaupun perlaksanaan dasar itu tidak mengubah secara keseluruhannya Malaysia sebagai sebuah negara Islam, namun negara sekular persepsi Tunku Abdul Rahman itu telah dapat melaksanakan berbagai-bagai langkah syiar Islam ke arah Islamisasi yang hakiki.

Tidak timbul polemik yang hingar bingar termasuk daripada DAP yang menentang dasar penerapan nilai Islam itu, mungkin kaedah yang diperkenalkan itu tidak terlalu menjolok mata Karpal Singh dan DAP. Demikianlah syumulnya Islam jika diperkenalkan secara berhikmah tanpa memaksa orang-orang bukan Islam yang lainnya untuk menjadi lebih Islam.

Di sini jugalah letaknya 'Uslub Dakwah' di sebalik 'Dasar Penerapan Nilai Islam' yang lebih kurang sama dengan konsep 'Islam Hadhari' yang diperkenalkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam eranya menjadi Perdana Menteri sebelum Najib memperkenalkan 'Dasar 1Malaysia' untuk semua kaum.

PAS mungkin tidak boleh menerima cara UMNO melaksanakan konsep Islamisasi ini, kerana mungkin PAS berpendapat Islam yang diperkenalkan oleh UMNO itu hanya kosmetik. PAS berkehendakkan hukum hudud diperkenalkan jika benar UMNO serius untuk melaksanakan hukum Islam di negara ini. PAS berpendapat Malaysia hendaklah melaksanakan hukum Islam dan bukannya penerapan nilai Islam.

Karpal Singh yang bukan seorang penganut Islam tentulah tidak menjiwai Islam sebagai 'Ad-Deen' (A Way Of Life), maka sebab itu pemahaman konsep Islamnya tidak cenderung kepada Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Al-Quran As-Sunnah.



Sunday, June 27, 2010

DR. ASRI TIDAK SERTAI MANA-MANA PARTI

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
"Tak Jadi Sertai UMNO.."

Berikut ini ialah kenyataan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengenai spekulasi kononnya beliau akan menyertai UMNO bersama-sama 40 orang yang lainnya:-

"Ingin saya tegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik. Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta, tanpa mengira batasan parti, kaum dan agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua.

"Dalam masa yang sama, saya menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah dalam mana-mana parti. saya tidak mahu membuat kenyataan banyak dalam hal ini, demi menjaga perasaan sahabat-sahabat dan pihak-pihak yang lain.

Apa yang penting, saya tidak menyertai mana-mana parti, dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu setakat ini".



40 ULAMAK MUDA JADI AHLI UMNO, APA SALAHNYA?

UMNO telah pun menerima keahlian 40 orang baru yang dikenali sebagai 'ulamak muda' di dalam satu majlis khas yang dihadiri oleh pemimpin nombor satu dan nombor dua UMNO yang juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia di PWTC, semalam. Hanya 16 orang ustadz-ustadz berkenaan yang hadir.

Sebelumnya, timbul spekulasi hebat yang menyebut bahawa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Foto kiri) bekas Mufti Perlis akan turut menyertai UMNO, namun di dalam majlis yang diadakan kelmarin kelibatnya tidak kelihatan. Mengulas ketidak hadiran Dr. Mohd. Asri itu, Shahidan Kasim, mantan MB Perlis yang turut berada di dalam majlis itu menyatakan bahawa mantan Mufti Perlis itu akan menyusuli kemudian untuk menjadi ahli UMNO, kerana menurutnya Dr. Asri merupakan penyokong UMNO selama ini.

Penyertaan ulamak-ulamak muda ini di dalam UMNO dilihat telah menimbulkan kehairanan dan keresahan di kalangan 'agamawan' terutama di kalangan mereka yang pro pembangkang. Golongan yang tidak berminat dengan UMNO melihat parti kebangsaan 'Melayu' ini sebagai sebuah parti sekular yang tidak bercirikan perjuangan Islam, kerana UMNO dikatakan 'Asabiyah' dengan perjuangan kebangsaannya.

Suatu masa dahulu pun, Tuan Guru Hadi Awang yang kini menerajui parti PAS dengan begitu lantang mendakwa bahawa perjuangan UMNO adalah 'asabiyah' kerana parti ini dikatakan tidak serius memperjuang dan melaksanakan hukum Islam di negara ini dengan mendakwa UMNO juga sebagai kafir, zalim dan fasik.

Presiden PAS itu juga pernah berkata bahawa penentangannya terhadap UMNO kerana parti ini juga dikatakan telah bertindak salah kerana bersekongkol dengan MCA, MIC dan parti-parti lain di dalam BN yang tidak Islamik. Oleh kerana itu UMNO telah dilabelkan sebagai parti yang harus ditentang habis-habisan lantaran dasarnya bertentangan dengan Islam.

Jika berpegang kepada pandangan yang dilontarkan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang itu, tentunya tidak manis mereka yang menggelarkan dirinya sebagai 'Ulamak' menjadi ahli parti yang tidak seIslam seperti PAS.

Tetapi benarkah hanya PAS sahaja yang berhak untuk memperjuangkan Islam di negara ini? Apakah entiti lain yang tidak berjenama PAS boleh dianggap sebagai terasing daripada Islam? Jika itulah pegangannya, mereka yang taksub dengan PAS hendaklah mengemukakan dalil-dalil akli dan juga naqli betapa Rasulullah SAW juga bencikan umatnya yang menjadi ahli UMNO, dan kemukakan juga dalil bahawa hanya PAS sahaja yang menjadi pewaris kepada perjuangan Islam hari ini?

Jika menyertai PAS dianggap sebagai 'Kesyumulan Islam' samalah juga mentamsilkan (mengandaikan) parti itu sebagai agama. Persoalannya, benarkah PAS itu Islam, dan Islam itu PAS? Jika Islam itu hanya milik PAS, bagaimana pula dengan umat Islam yang tidak menjadi ahlinya, apakah akidah Islamnya boleh terjejas tanpa menjadi ahli kepada Parti PAS?

Bagaimana pula dengan umat Islam negara lain yang tidak menjadi ahli PAS, apakah mereka dilarang memasuki 'tanah haram' di Mekah dan juga di Madinah semata-mata kerana mereka belum lagi menjadi ahli PAS?

Demikianlah kesannya jika pemahaman Islam disempitkan hanya dari sudut perjuangan kepartian sehingga tergamak menuding jari kepada orang lain sebagai tidak Islam jika tidak bersama 'Parti' yang meletakkan nama Islam.

UMNO janganlah bertindak taksub seperti itu. Parti UMNO hendaklah meletakkan perjuangan membela agama, bangsa dan juga negara secara tertib mengikut keutamaan yang dituntut. Janganlah memandang sepi di atas teguran yang dibuat jika prinsip perjuangan UMNO tidak bercorak Islam kerana terlalu banyak kemungkaran di dalamnya, seperti amalan rasuah, meluasnya perjudian, begitu juga dengan kesuburan aktiviti-aktiviti kemaksiatan yang menjurus kepada kebejatan sosial.

Jika UMNO dilihat meneruskan amalan dan nilai yang buruk ini pastinya UMNO akan terus dilihat sebagai tidak berkeupayaan untuk bertindak sebagai 'umarak' di negara ini. Ulamak yang yang hendak menjadi ahli UMNO harus bijak untuk mendakwahkan parti ini supaya tidak tergelincir dari ciri-ciri keIslaman sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Jika ulamak yang menyertai UMNO ini dilihat tidak lagi bijaksana untuk memberi nasihat kepada umaraknya terutama yang menyangkut dengan aspek kesucian Islam, maka lebih baik ulamak muda ini ditarbiahkan (retreat) dahulu sebelum mereka kecundang di tangan-tangan yang tidak menjiwai Islam di dalam UMNO.

Terdapat banyak percanggahan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO tentang perlaksanaan hukum Islam di negara ini. Golongan ulamak yang sedia ada di dalam UMNO pun tidak mampu untuk menggalas amanah ini kerana seringkali pandangan dan pendapat mereka telah diUMNOkan sehingga mereka tergamak melihat Islam semakin dicerca dan dipersendakan.

Keadaan yang berlaku seperti inilah yang mengundang keresahan di kalangan pejuang Islam sehingga mereka terkabur untuk melihat keseriusan UMNO memperjuangkan agama Islam. Matlamat untuk Islam tidak lagi terlihat di dalam UMNO, sebaliknya terserlah banyak kemungkaran yang berlaku di dalam parti ini yang membuka ruang kepada parti PAS untuk mempersalahkan UMNO.

Oleh yang demikian, apakah salahnya ustadz-ustadz muda ini menyertai UMNO supaya UMNO dapat diberi tunjuk ajar tentang dakwah Islamiah yang sebenarnya. Biarkan mereka mencuba untuk mendakwahkan UMNO, mana tahu mungkin niat suci mereka itu berhasil!

Renungan - Surah Al-Asr:

"Demi masa...sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."