assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Sunday, June 27, 2010

DR. ASRI TIDAK SERTAI MANA-MANA PARTI

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin
"Tak Jadi Sertai UMNO.."

Berikut ini ialah kenyataan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengenai spekulasi kononnya beliau akan menyertai UMNO bersama-sama 40 orang yang lainnya:-

"Ingin saya tegaskan kepada rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik. Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta, tanpa mengira batasan parti, kaum dan agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua.

"Dalam masa yang sama, saya menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah dalam mana-mana parti. saya tidak mahu membuat kenyataan banyak dalam hal ini, demi menjaga perasaan sahabat-sahabat dan pihak-pihak yang lain.

Apa yang penting, saya tidak menyertai mana-mana parti, dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu setakat ini".



40 ULAMAK MUDA JADI AHLI UMNO, APA SALAHNYA?

UMNO telah pun menerima keahlian 40 orang baru yang dikenali sebagai 'ulamak muda' di dalam satu majlis khas yang dihadiri oleh pemimpin nombor satu dan nombor dua UMNO yang juga Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia di PWTC, semalam. Hanya 16 orang ustadz-ustadz berkenaan yang hadir.

Sebelumnya, timbul spekulasi hebat yang menyebut bahawa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Foto kiri) bekas Mufti Perlis akan turut menyertai UMNO, namun di dalam majlis yang diadakan kelmarin kelibatnya tidak kelihatan. Mengulas ketidak hadiran Dr. Mohd. Asri itu, Shahidan Kasim, mantan MB Perlis yang turut berada di dalam majlis itu menyatakan bahawa mantan Mufti Perlis itu akan menyusuli kemudian untuk menjadi ahli UMNO, kerana menurutnya Dr. Asri merupakan penyokong UMNO selama ini.

Penyertaan ulamak-ulamak muda ini di dalam UMNO dilihat telah menimbulkan kehairanan dan keresahan di kalangan 'agamawan' terutama di kalangan mereka yang pro pembangkang. Golongan yang tidak berminat dengan UMNO melihat parti kebangsaan 'Melayu' ini sebagai sebuah parti sekular yang tidak bercirikan perjuangan Islam, kerana UMNO dikatakan 'Asabiyah' dengan perjuangan kebangsaannya.

Suatu masa dahulu pun, Tuan Guru Hadi Awang yang kini menerajui parti PAS dengan begitu lantang mendakwa bahawa perjuangan UMNO adalah 'asabiyah' kerana parti ini dikatakan tidak serius memperjuang dan melaksanakan hukum Islam di negara ini dengan mendakwa UMNO juga sebagai kafir, zalim dan fasik.

Presiden PAS itu juga pernah berkata bahawa penentangannya terhadap UMNO kerana parti ini juga dikatakan telah bertindak salah kerana bersekongkol dengan MCA, MIC dan parti-parti lain di dalam BN yang tidak Islamik. Oleh kerana itu UMNO telah dilabelkan sebagai parti yang harus ditentang habis-habisan lantaran dasarnya bertentangan dengan Islam.

Jika berpegang kepada pandangan yang dilontarkan oleh Tuan Guru Haji Hadi Awang itu, tentunya tidak manis mereka yang menggelarkan dirinya sebagai 'Ulamak' menjadi ahli parti yang tidak seIslam seperti PAS.

Tetapi benarkah hanya PAS sahaja yang berhak untuk memperjuangkan Islam di negara ini? Apakah entiti lain yang tidak berjenama PAS boleh dianggap sebagai terasing daripada Islam? Jika itulah pegangannya, mereka yang taksub dengan PAS hendaklah mengemukakan dalil-dalil akli dan juga naqli betapa Rasulullah SAW juga bencikan umatnya yang menjadi ahli UMNO, dan kemukakan juga dalil bahawa hanya PAS sahaja yang menjadi pewaris kepada perjuangan Islam hari ini?

Jika menyertai PAS dianggap sebagai 'Kesyumulan Islam' samalah juga mentamsilkan (mengandaikan) parti itu sebagai agama. Persoalannya, benarkah PAS itu Islam, dan Islam itu PAS? Jika Islam itu hanya milik PAS, bagaimana pula dengan umat Islam yang tidak menjadi ahlinya, apakah akidah Islamnya boleh terjejas tanpa menjadi ahli kepada Parti PAS?

Bagaimana pula dengan umat Islam negara lain yang tidak menjadi ahli PAS, apakah mereka dilarang memasuki 'tanah haram' di Mekah dan juga di Madinah semata-mata kerana mereka belum lagi menjadi ahli PAS?

Demikianlah kesannya jika pemahaman Islam disempitkan hanya dari sudut perjuangan kepartian sehingga tergamak menuding jari kepada orang lain sebagai tidak Islam jika tidak bersama 'Parti' yang meletakkan nama Islam.

UMNO janganlah bertindak taksub seperti itu. Parti UMNO hendaklah meletakkan perjuangan membela agama, bangsa dan juga negara secara tertib mengikut keutamaan yang dituntut. Janganlah memandang sepi di atas teguran yang dibuat jika prinsip perjuangan UMNO tidak bercorak Islam kerana terlalu banyak kemungkaran di dalamnya, seperti amalan rasuah, meluasnya perjudian, begitu juga dengan kesuburan aktiviti-aktiviti kemaksiatan yang menjurus kepada kebejatan sosial.

Jika UMNO dilihat meneruskan amalan dan nilai yang buruk ini pastinya UMNO akan terus dilihat sebagai tidak berkeupayaan untuk bertindak sebagai 'umarak' di negara ini. Ulamak yang yang hendak menjadi ahli UMNO harus bijak untuk mendakwahkan parti ini supaya tidak tergelincir dari ciri-ciri keIslaman sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Jika ulamak yang menyertai UMNO ini dilihat tidak lagi bijaksana untuk memberi nasihat kepada umaraknya terutama yang menyangkut dengan aspek kesucian Islam, maka lebih baik ulamak muda ini ditarbiahkan (retreat) dahulu sebelum mereka kecundang di tangan-tangan yang tidak menjiwai Islam di dalam UMNO.

Terdapat banyak percanggahan di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO tentang perlaksanaan hukum Islam di negara ini. Golongan ulamak yang sedia ada di dalam UMNO pun tidak mampu untuk menggalas amanah ini kerana seringkali pandangan dan pendapat mereka telah diUMNOkan sehingga mereka tergamak melihat Islam semakin dicerca dan dipersendakan.

Keadaan yang berlaku seperti inilah yang mengundang keresahan di kalangan pejuang Islam sehingga mereka terkabur untuk melihat keseriusan UMNO memperjuangkan agama Islam. Matlamat untuk Islam tidak lagi terlihat di dalam UMNO, sebaliknya terserlah banyak kemungkaran yang berlaku di dalam parti ini yang membuka ruang kepada parti PAS untuk mempersalahkan UMNO.

Oleh yang demikian, apakah salahnya ustadz-ustadz muda ini menyertai UMNO supaya UMNO dapat diberi tunjuk ajar tentang dakwah Islamiah yang sebenarnya. Biarkan mereka mencuba untuk mendakwahkan UMNO, mana tahu mungkin niat suci mereka itu berhasil!

Renungan - Surah Al-Asr:

"Demi masa...sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran."

Wednesday, June 16, 2010

1,028 ORANG TENTUKAN NAJIB POPULAR?

Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia

Sebagai ahli UMNO saya agak musykil dengan 'rating' yang disimpulkan oleh Merdeka Centre yang menyebut Dato' Sri Najib Tun Razak hanya popular 72 peratus daripada 1,028 orang yang dihubunginya menerusi telefon.

Jika rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 28 juta orang, maka apa signifikannya dengan petunjuk cuma 1,028 orang yang dipilih untuk ditemubual menerusi panggilan telefon? Siapakah di kalangan 1,028 orang yang terpilih itu sehingga tergamak menjuruskan Najib kehilangan 28 peratus undi popular? Sepatutnya Perdana Menteri yang mendahulukan rakyat ini mendapat populariti seratus peratus sokongan rakyat, bukannya 72 peratus!

Namun begitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang lebih hebat daripada Najib menyifatkan dirinya cuma mendapat ranking 60 peratus undi popular pada tahun 1999, tetapi beliau berkata telah berjaya mencatatkan kemenangan lebih dua pertiga semasa pilihan raya umum pada tahun berkenaan. Oleh itu beliau menyarankan supaya Najib segera mengadakan pilihan raya ke-13 jika sumber Merdeka Centre itu boleh diyakini kejituan faktanya.

Dengan nada sinis beliau juga berkata kalaulah Najib ada 72 peratus, tapi ranking agensi itu kita nak tahu juga siapa mereka? Nampaknya pihak UMNO terpaksa juga mempercayai rating ini, tetapi janganlah begitu yakin kerana belum tentu 1,028 orang yang dikorespondenkan itu semuanya adalah mewakili pejuang dan pencinta UMNO.

Merdeka Centre boleh meletakkan 1,028 orang yang ditemui itu dalam apa jua bentuk kategori profesyennya, namun kewibawaan pendapat-pendapat mereka itu saya bimbang akan melekakan UMNO yang berbangga dengan kekuatan lebih 3 juta ahlinya.

Mungkin juga pungutan pendapat itu boleh dijadikan sandaran untuk dibanggakan oleh UMNO dan BN, tetapi pencapaian 69 peratus sokongan yang diterima oleh Najib sebelum ini tidak mendorong kepada kejayaan BN untuk memenangi hati rakyat di dalam pilihan raya kecil di Sibu pada 16 Mei yang lepas.

Saya fikir eloklah Merdeka Centre lebih cermat untuk melakukan analisanya agar kajian random itu tidak sekadar untuk menyedapkan hati Najib sahaja. Saya juga berfikir apakah Najib boleh bersenang hati dengan kajian rambang yang dibuat oleh agensi itu, lantas beliau terleka untuk menyelami sebenar isi hati rakyat di peringkat akar umbi yang telah menolak BN bukan sahaja di enam negeri di negara ini, malah terdapat banyak lagi kawasan di negeri-negeri lain yang UMNO dan BN telah kecundang.

Tetapi jika Najib boleh menerima fakta rambang yang meletakkan dirinya berada dalam ranking 72 peratus sokongan rakyat, maka eloklah Najib merenung kembali saranan yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mencadangkan supaya PRU13 diadakan lebih awal. Biarlah rakyat sendiri yang respon samada benar atau sebaliknya apa yang dirumuskan oleh Merdeka Centre itu.


Sunday, June 6, 2010

DR. M AKUI HANYA 20 PERATUS MELAYU SOKONG UMNO!

Dr. Mahathir merayu orang Melayu menyokong Najib.

"Dr Mahathir berkata, orang Melayu perlu bersatu kembali untuk mengembalikan kuasa politik mereka kerana walaupun mereka kaum majoriti iaitu 60 peratus daripada rakyat Malaysia, mereka terpecah kepada tiga.

Katanya, Melayu kini terpecah kepada tiga dan secara matematik UMNO hanya mewakili 20 peratus daripada 60 peratus Melayu, begitu juga dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Dua puluh peratus bagi setiap parti orang Melayu dianggap lemah. Orang Melayu sudah hilang haluan ada yang dah masuk DAP. Ada orang Melayu pakai tudung bawa bendera roket (DAP) masa pilihan raya kecil Parlimen Sibu," katanya.
-----------------------------------------------------------------------------------

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata demikian di dalam satu majlis di Tanjung Karang kelmarin. Saya memandang berat di atas pandangan mantan Perdana Menteri itu malah saya dapat menterjemahkannya iaitu majoriti Melayu kini telah berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Jika Dr. Mahathir membuat andaian 20 peratus orang Melayu menyokong PAS, manakala 20 peratus lagi menyokong PKR, ini bermakna 40 peratus orang Melayu di negara ini tidak lagi menyokong UMNO yang hanya mendapat kepercayaan 20 peratus sahaja.

Pandangan tajam Dr. Mahathir itu hendaklah dilihat oleh pemimpin UMNO hari ini sebagai satu hakikat yang sukar dinafikan. PERKASA tentunya tidak menentang dengan pandangan idola mereka ini, kerana PERKASA pimpinan Ibrahim Ali hari ini dilihat lebih berperisa Melayu daripada 'Pertubuhan Kebangsaan MELAYU Bersatu atau UMNO' hari ini yang semakin lesu untuk mendepani isu-isu Melayu, demi memperkasakan 'Gagasan 1Malaysia' tajaan Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia.

Dr. Mahathir dan Ibrahim Ali yang semakin gelisah dengan fenomena Melayu ini hendaklah mengingatkan sendiri Dato' Sri Najib Tun Razak sebelum mengajak 40 peratus orang Melayu yang pro pembangkang supaya menyokong UMNO pimpinan Najib.

Majlis Perundingan Melayu sendiri telah mempersoalkan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diilhamkan oleh Dato' Sri Najib malah Pengerusinya Dato' Ibrahim Ali yang juga Presiden PERKASA telah mengumumkan pada 29 Jun lalu bahawa Kongres Ekonomi Bumiputera yang diadakan itu telah MENOLAK Model Baru Ekonomi yang menggantikan DEB.

Ibrahim Ali secara berterus terang berkata Model Baru Ekonomi yang dicetuskan oleh pemimpin nombor satu UMNO itu tidak membawa kebaikan kepada orang Melayu di negara ini, malah beliau mempertikaikan kewibawaan penggubal MBE yang tidak cermat untuk memikirkan masa depan orang Melayu.

Pada hari yang sama ketika Kongres itu diadakan di PWTC, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Dato' Raja Nong Chik pula di dalam satu majlis yang lain, dengan bangganya mengumumkan bahawa Kg. Baru yang bakal dibangunkan nanti akan melibatkan nisbah pemilikan 40 peratus kepada bukan Melayu.

Sekali lagi pengumuman itu telah membangkitkan kemarahan orang Melayu dan pastinya mereka akan berkata....."itulah cara UMNO sekarang yang diselaputi dengan semangat 1Malaysia".

Jika pemimpin-pemimpin UMNO hari ini masih berpegang dengan dasar yang longgar ini saya juga bimbang sokongan 20 peratus orang Melayu yang menyokong parti UMNO juga akan berterbangan ditiup bersama taufan kebencian golongan bukan Melayu khususnya warga berketurunan Cina yang jelas rapuh sokongan mereka terhadap BN.

Anwar mengetuai perarakan puluhan ribu umat Islam
ke kedutaan AS dari Majid Kg. Baru.

Di antara puluhan ribu berarak ke Kedutaan AS
dari Majid Jame' Kg. Baru.

Khairy Jamaludin Ketua Pemuda UMNO hanya bertempik
di hadapan lebih kurang 200 orang sahaja di Masjid Negara.

Apabila Pemuda UMNO menganjurkan demonstrasi bantahan terhadap rejim Israel di Masjid Negara tempoh hari hanya dihadiri sekitar 200 orang sahaja, sedangkan lebih lima ribu jemaah yang mengerjakan solat Jumaat di masjid tersebut dilihat tidak tertarik untuk turut serta bersama Pemuda UMNO.

Manakala demonstrasi yang sama anjuran Pakatan Rakyat yang diadakan di Masjid Jame' Kg. Baru yang diketuai oleh Anwar Ibrahim telah berjaya mengumpulkan puluhan ribu manusia. Mereka telah berarak mengusung bersama pelbagai slogan yang mengecam Zionis/Israel malah APCO turut dicerca kerana mereka telah menganggap APCO juga adalah tali barut Israel yang perlu diNyahkan dari negara ini.

Sokongan orang Melayu kepada UMNO seperti yang diandaikan oleh Tun Dr. Mahathir itu janganlah sampai ke tahap kebencian mereka terhadap APCO yang berperisa Zionis.

Thursday, June 3, 2010

MASALAH EKSOZ - DOKTOR LIDAH BERCABANG...

Kalau lidah dah bercabang dua, tak hairanlah jika kata-kata juga turut bercabang! Sebelum ini dalam laporan awal kata tiada kesan tusukan pada eksoz (dubur) Saiful, tapi hari ni dalam keterangan sebagai saksi ke dua pendakwa terhadap Anwar Ibrahim si polan itu mendakwa ada pulak kesan tembusan zakar di dubur pengadu, kerana air mani yang tertinggal dalam dubur Saiful.

Lantas Anwar mendakwa wujudnya percanggahan besar di antara laporan perubatan pakar bedah Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Razali Ibrahim dengan keterangannya hari ini.

Laporan perubatan sebelum ini, Dr. Razali menyatakan bahawa tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa tembusan melalui zakar berlaku kerana tiada kesan koyak, kecederaan atau luka mempertahankan diri.

Tertarik juga dengan keterangan Pakar Bedah HKL sehingga terfikir, bagaimanakah caranya nak tinggalkan air mani dalam dubur tanpa kesan tusukan! Demikianlah lawaknya kisah di sebalik 'tiada kemasukan' tetapi ada perbuatan 'liwat'.

Mungkinkah keterangan bercabang ini turut mempengaruhi senario penghakiman kes ini? Sama-samalah kita nantikan. Biarlah mahkamah yang menentukan.


Tuesday, June 1, 2010

ROMBAKAN KABINET: ONG TEE KEAT AKHIRNYA DIGUGURKAN,


Ong Tee Keat digugurkan, Chor Chee Heung naik pangkat

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan dari Kabinet dan tempat beliau sebagai menteri pengangkutan digantikan oleh Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu pengumuman rombakan kecil kabinet yang dibuat lewat petang ini.

Kong sebelum ini merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perubahan ini juga menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang sebelum ini memenangi jawatan naib presiden MCA dilantik sebagai menteri penuh iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut mengumumkan pelantikan-pelantikan berikut:

1. Datuk Chor Chee Heung - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan)

2. Datuk G. Palanivel - Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

3. Datuk Richard Riot - Timbalan Menteri Luar (Ahli Parlimen Serian)

4. Datuk Donald Lim Siang Chai - Timbalan Menteri Kewangan

5. Datuk Manglin Dennis D'Cruz - Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

6. Datuk Rohani Abdul Karim - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

7. Datuk Lee Chee Leong - Timbalan Menteri Dalam Negeri (sebelum ini Timbalan Menteri Luar)

8. Gan Ping Sieu - Timbalan Menteri Belia dan Sukan

9. Jelaing anak Mersat - Timbalan Menteri Pengangkutan (sebelum ini Timbalan Menteri Dalam Negeri)

10. Chua Tee Yong - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Ahli Parlimen Labis)

11. Heng Seai Kie - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

- mstar.


KG. BARU - MELAYU MAKAN TULANG, DAGING DIMAMAH ORANG LAIN.

Kg. Baru menjadi pertaruhan 60/40 atas nama pembangunan

Isu kuota 40 peratus kepada bukan Melayu untuk pembangunan Kg. Baru di Kuala Lumpur terus dihambat kontroversi. Rata-rata di kalangan orang Melayu merasakan cadangan kerajaan untuk menisbahkan 60/40 antara Melayu dan bukan Melayu bukanlah satu formula yang bijak sebaliknya telah mengguris malah melukakan hati orang Melayu.

Keresahan masyarakat Melayu yang mewarisi tanah pusaka anugerah Sultan Selangor Almarhum Sultan Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (Foto) pada tahun 1899 itu jika tidak cermat diuruskan berkemungkinan akan memarakkan lagi kebencian dan kemarahan warga Melayu di situ yang masih sayangkan tanah milik mereka selama ini.

Jika cadangan ini tetap diteruskan dibimbangi Melayu akhirnya makan tulang sedangkan dagingnya akan dimamah oleh 'orang luar' yang tidak berperisa Melayu. Perdana Menteri ketika mengulas mengenai masa depan Kg. Baru ini ketika berucap di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM Ahad lalu telah memberi jaminan bahawa identiti Melayu tidak akan hilang jika pembangunannya dapat disertai oleh golongan bukan Melayu.

Persoalan yang berbangkit ialah apa guna dengan identiti itu jika harta milik orang Melayu selama ini dibiarkan pupus secara 'pecah dan perintah'. Terfikirkah kita selama ini jika Kg. Baru dibangunkan dengan perancangan nisbah 60/40, Melayu hanya bermegah dengan projek mega itu, tetapi tidak mampu bersaing dengan golongan yang mendapat 40 peratus itu.

Melayu yang telah kehilangan 4o peratus itu akhirnya terjerumus dengan fenomena gulung tikar bahkan kemungkinan apa yang digenggam akan terlepas ke tangan mereka yang sudah pun memiliki 40 peratus hasil dasar yang tidak cermat yang dilakukan oleh kerajaan UMNO hari ini.

Kita lihat saja apa yang sudah terjadi dengan projek mega KLCC. Perancangan awal kononnya akan memberi jaminan kepada kepentingan bumiputera, tetapi Ananda Krishnan yang telah menjualnya kepada Petrronas tetap tidak mampu menyelamatkan kepentingan kuota Melayu yang menceburi pasaran komersial di Suria KLCC.

Perniagaan Nasi Kerabu oleh pengusaha Melayu yang terpaksa membayar belasan ribu sewaan bulanan di kompleks membeli belah itu kini telah dilenyapkan jika dibandingkan dengan perniagaan Coffee Bean, Starbucks, Secret Recipe dan banyak lagi gedung-gedung yang telah didominasi oleh golongan yang bukan berperisa Melayu.

Apakah tergamak kerajaan hari ini mengambil tanah-tanah pusaka Melayu yang terletak di Kg. Baru itu dengan menjanjikan kononnya kepentingan Melayu tidak akan terjejas, sedangkan 40 peratus sudah pun terang lagi bersuluh akan diberikan pemilikan kepada golongan bukan Melayu, seolah-olah kerajaan merasakan orang Melayu di sana mungkin boleh bersetuju dengan formula pembahagian 60/40.

Inilah rumitnya jika orang Melayu hari ini dipaksa untuk menerima slogan 1Malaysia dimana segala-galanya mesti berkongsi dengan orang lain atas dasar kesamarataan kononnya. Keuntungan yang boleh dikecapi oleh bangsa lain di sebalik gagasan 1Malaysia sebenarnya amat merugikan malah boleh membunuh bangsa Melayu.

Orang Melayu sering disarankan supaya lebih banyak berkompromi dengan bukan Melayu hatta tanah milik pusaka orang Melayu juga terpaksa dibahagi-bahagi dengan mereka yang bukan sejiwa dengan Melayu, atas dasar untuk membodek hati mereka menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

Apakah kerajaan UMNO/BN sudah menghadapi kebuntuan untuk memikirkan bagaimana untuk membangunkan kepentingan Melayu di Kg Baru ini tanpa merobek hati orang Melayu yang tidak merelakan tanah mereka dikongsikan dengan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan tanah pusaka itu?

Jika formula perkongsian itu difikirkan boleh memajukan masa depan Melayu, kenapa ianya tidak dipraktiskan di tanah setinggan Cina yang terletak di Pudu yang kini menempatkan bangunan berkembar 'Berjaya Times Square' (Foto) milik Vincent Tan? Apakah orang Melayu telah diberikan kuota tertentu sebelum tanah itu dibangunkan? Rasanya tidak! Jika begitu kenapa Kg. Baru perlu dimangsakan atas nama pembangunannya?

Diharapkan kerajaan dapat menimbang semula cadangannya itu. Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak wajarlah 'under estimate' pemilik dan pewaris tanah di Kg. Baru itu tanpa melihat lebih jauh masa depan generasi yang boleh diharapkan menjadi pewaris kepada hak kepentingan tanah kurniaan Sultan Selangor itu.

Kita tidak mahu melihat kerugian yang telah diterima oleh masyarakat Melayu di Singapura hasil dasar yang tidak memihak kepada orang-orang Melayu di negara Temasek itu. Kita rasa sedih dengan peninggalan-peninggalan Melayu seperti Kg. Gelam, Jalan Ampas dan yang terkini permainan tarik tali kerajaan PAP untuk meNyahkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Tg. Pagar.

Amat malang sekali jika nasib orang Melayu di Kg. Baru tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan yang dipimpin oleh UMNO hari ini. UMNO janganlah dilihat oleh generasi akan datang sebagai 'Pagar Makan Padi'.