assalamualaikum Pictures, Images and Photos

Thursday, June 3, 2010

MASALAH EKSOZ - DOKTOR LIDAH BERCABANG...

Kalau lidah dah bercabang dua, tak hairanlah jika kata-kata juga turut bercabang! Sebelum ini dalam laporan awal kata tiada kesan tusukan pada eksoz (dubur) Saiful, tapi hari ni dalam keterangan sebagai saksi ke dua pendakwa terhadap Anwar Ibrahim si polan itu mendakwa ada pulak kesan tembusan zakar di dubur pengadu, kerana air mani yang tertinggal dalam dubur Saiful.

Lantas Anwar mendakwa wujudnya percanggahan besar di antara laporan perubatan pakar bedah Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Razali Ibrahim dengan keterangannya hari ini.

Laporan perubatan sebelum ini, Dr. Razali menyatakan bahawa tiada bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa tembusan melalui zakar berlaku kerana tiada kesan koyak, kecederaan atau luka mempertahankan diri.

Tertarik juga dengan keterangan Pakar Bedah HKL sehingga terfikir, bagaimanakah caranya nak tinggalkan air mani dalam dubur tanpa kesan tusukan! Demikianlah lawaknya kisah di sebalik 'tiada kemasukan' tetapi ada perbuatan 'liwat'.

Mungkinkah keterangan bercabang ini turut mempengaruhi senario penghakiman kes ini? Sama-samalah kita nantikan. Biarlah mahkamah yang menentukan.


Tuesday, June 1, 2010

ROMBAKAN KABINET: ONG TEE KEAT AKHIRNYA DIGUGURKAN,


Ong Tee Keat digugurkan, Chor Chee Heung naik pangkat

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan dari Kabinet dan tempat beliau sebagai menteri pengangkutan digantikan oleh Datuk Seri Kong Cho Ha dalam satu pengumuman rombakan kecil kabinet yang dibuat lewat petang ini.

Kong sebelum ini merupakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perubahan ini juga menyaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung yang sebelum ini memenangi jawatan naib presiden MCA dilantik sebagai menteri penuh iaitu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga turut mengumumkan pelantikan-pelantikan berikut:

1. Datuk Chor Chee Heung - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (sebelum ini Timbalan Menteri Kewangan)

2. Datuk G. Palanivel - Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

3. Datuk Richard Riot - Timbalan Menteri Luar (Ahli Parlimen Serian)

4. Datuk Donald Lim Siang Chai - Timbalan Menteri Kewangan

5. Datuk Manglin Dennis D'Cruz - Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

6. Datuk Rohani Abdul Karim - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

7. Datuk Lee Chee Leong - Timbalan Menteri Dalam Negeri (sebelum ini Timbalan Menteri Luar)

8. Gan Ping Sieu - Timbalan Menteri Belia dan Sukan

9. Jelaing anak Mersat - Timbalan Menteri Pengangkutan (sebelum ini Timbalan Menteri Dalam Negeri)

10. Chua Tee Yong - Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Ahli Parlimen Labis)

11. Heng Seai Kie - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

- mstar.


KG. BARU - MELAYU MAKAN TULANG, DAGING DIMAMAH ORANG LAIN.

Kg. Baru menjadi pertaruhan 60/40 atas nama pembangunan

Isu kuota 40 peratus kepada bukan Melayu untuk pembangunan Kg. Baru di Kuala Lumpur terus dihambat kontroversi. Rata-rata di kalangan orang Melayu merasakan cadangan kerajaan untuk menisbahkan 60/40 antara Melayu dan bukan Melayu bukanlah satu formula yang bijak sebaliknya telah mengguris malah melukakan hati orang Melayu.

Keresahan masyarakat Melayu yang mewarisi tanah pusaka anugerah Sultan Selangor Almarhum Sultan Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (Foto) pada tahun 1899 itu jika tidak cermat diuruskan berkemungkinan akan memarakkan lagi kebencian dan kemarahan warga Melayu di situ yang masih sayangkan tanah milik mereka selama ini.

Jika cadangan ini tetap diteruskan dibimbangi Melayu akhirnya makan tulang sedangkan dagingnya akan dimamah oleh 'orang luar' yang tidak berperisa Melayu. Perdana Menteri ketika mengulas mengenai masa depan Kg. Baru ini ketika berucap di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran MPM Ahad lalu telah memberi jaminan bahawa identiti Melayu tidak akan hilang jika pembangunannya dapat disertai oleh golongan bukan Melayu.

Persoalan yang berbangkit ialah apa guna dengan identiti itu jika harta milik orang Melayu selama ini dibiarkan pupus secara 'pecah dan perintah'. Terfikirkah kita selama ini jika Kg. Baru dibangunkan dengan perancangan nisbah 60/40, Melayu hanya bermegah dengan projek mega itu, tetapi tidak mampu bersaing dengan golongan yang mendapat 40 peratus itu.

Melayu yang telah kehilangan 4o peratus itu akhirnya terjerumus dengan fenomena gulung tikar bahkan kemungkinan apa yang digenggam akan terlepas ke tangan mereka yang sudah pun memiliki 40 peratus hasil dasar yang tidak cermat yang dilakukan oleh kerajaan UMNO hari ini.

Kita lihat saja apa yang sudah terjadi dengan projek mega KLCC. Perancangan awal kononnya akan memberi jaminan kepada kepentingan bumiputera, tetapi Ananda Krishnan yang telah menjualnya kepada Petrronas tetap tidak mampu menyelamatkan kepentingan kuota Melayu yang menceburi pasaran komersial di Suria KLCC.

Perniagaan Nasi Kerabu oleh pengusaha Melayu yang terpaksa membayar belasan ribu sewaan bulanan di kompleks membeli belah itu kini telah dilenyapkan jika dibandingkan dengan perniagaan Coffee Bean, Starbucks, Secret Recipe dan banyak lagi gedung-gedung yang telah didominasi oleh golongan yang bukan berperisa Melayu.

Apakah tergamak kerajaan hari ini mengambil tanah-tanah pusaka Melayu yang terletak di Kg. Baru itu dengan menjanjikan kononnya kepentingan Melayu tidak akan terjejas, sedangkan 40 peratus sudah pun terang lagi bersuluh akan diberikan pemilikan kepada golongan bukan Melayu, seolah-olah kerajaan merasakan orang Melayu di sana mungkin boleh bersetuju dengan formula pembahagian 60/40.

Inilah rumitnya jika orang Melayu hari ini dipaksa untuk menerima slogan 1Malaysia dimana segala-galanya mesti berkongsi dengan orang lain atas dasar kesamarataan kononnya. Keuntungan yang boleh dikecapi oleh bangsa lain di sebalik gagasan 1Malaysia sebenarnya amat merugikan malah boleh membunuh bangsa Melayu.

Orang Melayu sering disarankan supaya lebih banyak berkompromi dengan bukan Melayu hatta tanah milik pusaka orang Melayu juga terpaksa dibahagi-bahagi dengan mereka yang bukan sejiwa dengan Melayu, atas dasar untuk membodek hati mereka menyokong kerajaan yang ada pada hari ini.

Apakah kerajaan UMNO/BN sudah menghadapi kebuntuan untuk memikirkan bagaimana untuk membangunkan kepentingan Melayu di Kg Baru ini tanpa merobek hati orang Melayu yang tidak merelakan tanah mereka dikongsikan dengan orang lain yang tidak ada kena mengena dengan tanah pusaka itu?

Jika formula perkongsian itu difikirkan boleh memajukan masa depan Melayu, kenapa ianya tidak dipraktiskan di tanah setinggan Cina yang terletak di Pudu yang kini menempatkan bangunan berkembar 'Berjaya Times Square' (Foto) milik Vincent Tan? Apakah orang Melayu telah diberikan kuota tertentu sebelum tanah itu dibangunkan? Rasanya tidak! Jika begitu kenapa Kg. Baru perlu dimangsakan atas nama pembangunannya?

Diharapkan kerajaan dapat menimbang semula cadangannya itu. Raja Nong Chik Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar tidak wajarlah 'under estimate' pemilik dan pewaris tanah di Kg. Baru itu tanpa melihat lebih jauh masa depan generasi yang boleh diharapkan menjadi pewaris kepada hak kepentingan tanah kurniaan Sultan Selangor itu.

Kita tidak mahu melihat kerugian yang telah diterima oleh masyarakat Melayu di Singapura hasil dasar yang tidak memihak kepada orang-orang Melayu di negara Temasek itu. Kita rasa sedih dengan peninggalan-peninggalan Melayu seperti Kg. Gelam, Jalan Ampas dan yang terkini permainan tarik tali kerajaan PAP untuk meNyahkan tanah milik Keretapi Tanah Melayu di Tg. Pagar.

Amat malang sekali jika nasib orang Melayu di Kg. Baru tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan yang dipimpin oleh UMNO hari ini. UMNO janganlah dilihat oleh generasi akan datang sebagai 'Pagar Makan Padi'.

Monday, May 31, 2010

SYED SOBRI DI PERSIMPANGAN, BN ATAU PAS?

Dato' Syed Sobri Syed Hashim ADUN Kuala Nerang kini sedang dijejaki oleh wakil-wakil media untuk mendapatkan pengesahan darinya tentang ura-ura beliau akan membuat pengumuman meninggalkan BN menyertai PAS hari ini.

(Foto terbaru Syed Sobri, kini berkopiah putih)

Menurut sumber yang rapat dengan beliau memberitahu bahawa wakil rakyat BN itu kini sedang berada di pejabat Majlis Daerah Padang Terap menghadiri satu majlis yang diadakan di sana. Difahamkan di samping beliau turut disertai oleh para penyokongnya yang lengkap dengan pakaian 'Kedah Sejahtera' yang sering dipakai oleh penyokong-penyokong PAS negeri ini.

Tidak dapat dipastikan samada beliau akan membuat pengumuman selepas majlis tersebut. Sementara itu difahamkan juga sehingga kini belum ada pemimpin tertinggi UMNO peringkat negeri mahupun di peringkat pusat yang dapat menghubungi beliau.

Kegagalann menghubunginya kerana beliau dikatakan telah menggunakan telefon yang tidak dimiliki oleh sesiapa pun melainkan kawan-kawan rapatnya sahaja. Debaran semakin memuncak kerana Syed Sobri dikatakan begitu kecewa dengan UMNO, manakala PAS melihat perkembangan ini sebagai sesuatu yang positif untuk kekuatan partinya yang sedang memerintah kerajaan Negeri Kedah Darul Aman.




SYED SOBRI ADUN KUALA NERANG KECEWA DENGAN SIKAP PEMIMPIN UMNO KEDAH?

Dato' Syed Sobri Syed Hashim (Foto) ADUN Kuala Nerang yang dihebohkan sebagai wakil rakyat UMNO Kedah yang bakal menyertai PAS dikatakan begitu kecewa dan kesal dengan sikap pemimpin UMNO negeri itu yang tidak memberikan perhatian di atas kemelut yang sedang dihadapinya.

Syed Sobri yang kini menyisihkan dirinya dikatakan juga sedang berjinak-jinak untuk menyertai PAS walaupun telah dipujuk oleh sahabat handai supaya beliau tidak meneruskan niatnya itu.

Menurut sumber daripada orang yang terdekat dengannya memberitahu, Syed Sobri akan tetap dengan pendiriannya untuk meninggalkan UMNO menyertai parti PAS.

Difahamkan Dato' Seri Azizan Menteri Besar Kedah memaklumi tentang perkara ini dan PAS dikatakan tidak menjadi halangan besar untuk menerima penyertaan Dato' Syed Sobri di dalam parti itu.


Kiri: Dato' Seri Shafie Apdal. Kanan: Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah

Syed Sobri Syed Hashim dijangka akan mengumumkan penyertaannya di dalam PAS dalam sehari dua ini. Jika ini terjadi ia merupakan kegagalan UMNO negeri Kedah yang dipimpin oleh Dato' Seri Shafie Apdal (Foto di atas) yang juga Naib Presiden UMNO Pusat. Difahamkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Dato' Ahmad Bashah Md Hanipah (Foto di atas) juga gagal untuk menemui wakil rakyat Kuala Nerang itu.

Dipercayai juga bahawa Dato' Syed Sobri akan membuat 'road show' ke seluruh negeri Kedah bersama PAS untuk menceritakan sebab musabab beliau meninggalkan UMNO, termasuk membuat pendedahan tentang beberapa penyelewengan yang berlaku di dalam UMNO semasa mengadakan siri program Juara Rakyat.

Sunday, May 30, 2010

MODEL BARU EKONOMI CETUSAN NAJIB DITOLAK OLEH KONGRES EKONOMI BUMIPUTERA

Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan "tegas dan jelas" menolak Model Ekonomi Baru (MEB) 'secara prinsip' sehingga cadangan kongres ini diterima pakai oleh kerajaan. "MEB gagal meletakkan agenda bumiputera kerana ia adalah asas perlembagaan dan rumusan Model Ekonomi Baru ini adalah satu penghinaan kerana menolak semangat DEB," kata pengerusinya, Dato' Ibrahim Ali yang juga presiden PERKASA.

Menurutnya lagi, Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) gagal meletakkan agenda pembangunan ekonomi bumiputera sebagai agenda utama negara, walaupun menurutnya bumiputera adalah penduduk terbesar tetapi terkebelakang dari segi ekonomi.

"Agenda bumiputera di dalam MBE tidak boleh dibiarkan kabur atas alasan apa sekalipun. Ia perlu jelas supaya pihak pelaksana dasar ini dan rakyat bumiputera lebih fokus dan terarah, katanya.
Ibrahim Ali dengan tegas menyatakan pendirian ini di hadapan Dato' Sri Najib Tun Razak Perdana Menteri yang telah menyempurnakan penutupan kongres ini malam tadi di Dewan Merdeka PWTC.

Menurut Ibrahim Ali, lebih seribu peserta yang mewakili 126 NGO Melayu telah mengikuti Kongres Ekonomi Bumiputera sejak pagi hingga ke petang, di mana mereka telah membahaskan ucaptama yang disampaikan oleh Profesor Dr. Normah Mansor, Ketua Setiausaha Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MAPEN) yang bertajuk 'Agenda Melayu Dalam Model Baru Ekonomi (MBE)' .

Ibarhim Ali, Pengerusi Majlis Perundingan Melayu ketika menyampaikan ucapan

Dato' Sri Najib Tun Razak merasmikan penutupan Kongres

Di dalam ucapan yang penuh bersemangat itu, Dato' Ibrahim Ali juga telah menghuraikan mengapa Model Baru Ekonomi cetusan Najib itu ditolak oleh kongres. Diantara lainnya, Ibrahim Ali berkata bahawa semua pengulas yang terdiri daripada Senator Datuk Akbar Ali bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perangkaan Negara, begitu juga dengan Dato' Halipah Esa bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan juga Dato' Profesor Ramlah Adam, dimana kesemua mereka telah mengupas secara ilmiah dan mendapati Model Baru Ekonomi yang menggantikan DEB tidak membawa keuntungan kepada orang Melayu di negara ini.

Secara sinis Ibrahim Ali menyatakan jika pihak kerajaan tidak berhati-hati Model Baru Ekonomi ini yang diperkenalkan ini akan 'memakan tuan' dan bimbang padahnya akan terkesan dalam PRU13 nanti.

Beliau menyifatkan penggubal Model Baru Ekonomi yang disediakan oleh MTEN ini mungkin terlepas pandang banyak perkara yang dilihat tidak secocok dengan semangat Fasal 152 & 153 Perlembagaan Persekutuan yang berpaksikan kepada hak keistimewaan Melayu. Oleh itu tegasnya, Kongres tidak dapat menerima MBE ini.

Sementara itu Dato' Sri Najib Tun Razak dalam jawapan balasnya telah mengakui bahawa maklum balas yang diterimanya berkaitan dengan dasar MBE ini merupakan satu pandangan akar umbi yang akan diberikan perhatian.

Menurutnya, Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan ini merupakan satu proses bagi mendapatkan pandangan pakar-pakar yang bersifat global untuk menjangkau pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat lagi mencabar, selari dengan matlamat wawasan 2020 yang menuntut supaya negara ini menjadi sebuah negara maju menjelang 10 tahun yang akan datang.

Dato' Sri Najib juga bersedia untuk mengadakan pertemuan lebih kerap dengan Majlis Perundingan Melayu untuk mendengar segala pandangan dan juga rintihan berkaitan dengan masa depan ekonomi orang Melayu.

Di akhir majlis itu, Ibrahim Ali telah menyerahkan 'Perisytiharan 15 Jamadil Akhir 1431' kepada Perdana Menteri diikuti dengan resolusi-resolusi yang dicapai oleh kesemua wakil 26 NGO yang berkaitan.

Saturday, May 29, 2010

WAKIL RAKYAT BN KEDAH SERTAI PAS?

Khabar terbaru, rakyat Kedah sedang menunggu satu pengumuman minggu depan bahawa ada seorang wakil rakyat UMNO akan berhijrah menyertai Parti Islam SeMalaysia. Locengwangsa turut menerima sms tentang seorang ADUN dari UMNO itu yang dikatakan akan mengumumkan penyertaannya di dalam PAS dan kemungkinan juga beliau akan meletakkan jawatannya.

UMNO juga sedang berusaha untuk menghalang ADUN berkenaan supaya tidak berbuat demikian, dan bersedia membantu beliau menyelesaikan semua masalah yang dihadapinya.

Kemelut terbaru ini memberikan cabaran kepada UMNO yang sedang berusaha untuk melemahkan kerajaan PAS di bawah kepimpinan Dato' Seri Ustadz Azizan Abd. Razak (Foto).

Desas-desus sebelum ini yang menyebut terdapatnya beberapa orang ADUN dari PKR dan DAP akan keluar dari Pakatan Rakyat menjadi ADUN Bebas dan mengaitkannya kemungkinan berlakunya pembubaran Dewan Undangan Negeri Kedah telah tidak menjadi, sebaliknya seorang ADUN daripada UMNO pula yang telah memberi isyarat 'sayonara' kepada partinya untuk menyertai PAS.